July 21, 2013

Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin Ketua Pustakawan Pertama UKM Yang Dedikasi & Berjasa

BBB, 11 Ramadhan 1434 = 20 Julai 2013 (Sabtu):

Membuka sebuah universiti terutama pada peringkat permulaan memerlukan pegawai-pegawai yang dedicated di dalam tugas pentadbiran masing-masing bermula dari Naib Canselor, kepada Pendaftar dan Bendahari. Satu keperluan yang penting bagi tenaga pengajar dan mahasiswa ialah menyedia dan melengkapkan Perpustakaan bagi universiti. Perpustakaan adalah sumber keilmuan baik bagi sesebuah universiti, bahkan kepada masyarakat awam. Ianya menjadi sumber rujukan. Apa yang dipelajari oleh mahasiswa dari mahaguru adalah sedikit, bahkan apa yang disampaikan adalah sebagai panduan yang dapat digunakan oleh mahasiswa bagi membuat rujukan. Maklumat yang didapati dari mahaguru hendaklah diperluas dan diperbanyakkan dengan rujukan-rujukan di perpustakaan untuk maklumat, penulisan esei, kertaskerja atau buku. Jadi melengkapkan sumber keilmuan ialah dengan melengkapkan bahan-bahan sumber rujukan di perpustakaan. Perpustakaan yang lengkap menjadi tumpuan rujukan bagi mahasiswa. Mereka yang malas membuat rujukan dan mengharapkan kepada apa yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah tidak maju dan tidak bertambah ilmu.


Penulis sebagai pelajar sulung UKM berpeluang menyaksi betapa UKM sejak awal berusaha melengkapkan perpustakaan di UKM. Ketua dan pegawai-pegawai di perpustakaan sebok dan dedikasi di dalam menyempurnakan bahan perpustakaan. Ketua Pustakawan Pertama UKM ialah Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin. Beliau bukan saja bertanggungjawab menyediakan Perpustakaan Induk UKM, tetapi juga perpustakaan-perpustakaan cawangan bagi UKM.


Tuan Haji Abdul Aziz dilahirkan pada Februari 1940, mendapat Ijazah B.A. dari Universiti Malaya 1951 dan A. I. A pada tahun 1964. Kerjayanya di dalam perpustakaan bermula sebagai Pembantu Pustakawan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan kemudian sebagai Pustakawan di Archive Negara 1968 dan selepas itu sebagai Ketua Pustakawan di UKM bersama dengan pembukaan UKM 18 Mei 1970. Sumbangan Tuan Haji Abdul Aziz terhadap UKM amat besar. Beliau mengasaskan Perpustkaan UKM sejak ditubuhkan dan  mengasaskan Sistem Perpustakaan tersebut dan memperkayakan koleksi perpustakaan. Beliau melawat banyak tempat di luar Negara bagi meneliti keperluan-keperluan bahan Perpustakaan UKM. Beliau menyedia dan mengisi keperluan-keperluen buku dalam Perpustakaan lama dan baru UKM.


Semasa Tuan Haji Abdul Aziz menjadi Ketua Pustakawan UKM beliau ditugaskan merancang dan membina beberapa buah Perpustakaan  Cabang UKM seperti Perpustakaan Perubatan yang siap pada tahun 1974. Perpustakaan Cabang di Kampus Sabah pada akhir 1975. Bangunan Perpustakaan Tun Seri Lanang di Kampus Bangi yang dirasmikan namanya dengan nama Perpustakaan Tun Seri Lanang pada 2hb. Julai 1980 adalah juga dari perancangannya.

Bagi melengkapkan maklumat dan mendepani perkembangan semasa beliau turut menghadiri seminar dalam dan luar Negara, bahkan turut membentang kertas-kertas kerja di dalam seminar-seminar di dalam dan luar Negara.


Beliau juga turut menjadi anggota Jawatankuasa Tetap menyediakan memorandum antaranya:

  • Post Graduate School of Librarianship and Archives untuk Persatuan Perpustakaan Malaysia.
  • Projection of Potential Need for professional Librarians in Government Departments in Malaysia
  • Cadangan menubuhkan Perpustakaan Risikan Perdagangan dan Perindustrian di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan dan Perindustrian
  • Post Graduate School of Librarianship untuk Universiti Kebangsaan Malaysia.

UKM sebagai sebuah universiti yang muda tentulah masih kekurangan dari buku-buku dan mengharapkan sumbangan-sumbangan. Usaha ini dilakukan oleh Tuan Haji Abdul Aziz dan pada peringkat permulaan UKM mendapat sumbangan buku-buku dari beberapa Negara seperti:


  • Pada 15 Jun 1977 – Menerima sumbangan dari Kerajaan Belanda yang menghadiahkan buku-buku kepada Perpustakaan UKM melalui Duta Besar Belanda ke Malaysia, T.Y.T Mr. J.H. Delgorge
  • Pada 17 Jun 1977 – Menerima sumbangan buku-buku dari Kerajaan Australia oleh Duta Australia ke Malaysia T.Y.T Mr. G.B. Feakes
  • 19 Januari 1978 – Majlis Penerimaan Buku-Buku hadiah dari Kerajaan Jepun yang telah disampaikan oleh Mr Tomoya Kawamura, Councellor dan Deputy Chief of Mission, Kedutaan Jepun (Tanpa Tuan Haji Abdul Aziz).
  • 28 Mac 1980 - Penerimaan Hadiah Buku-Buku dari Kerajaan Canada oleh T.Y.T. Mr. J. Ross Franciss, Pesuruhjaya Tinggi Canada (Tanpa Tuan Haji Abdul Aziz).

Tuan Haji Abdul Aziz menghasilkan penerbitan-penerbitan. Antaranya:

  • Planning for the  1970s: Library Manpower, Kuala Lumpur, Persatuan Perpustakaan Malaysia, 1970.

Dalam kesebokan UKM berpindah – termasuk buku-buku dari Kampus Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur ke Kampus Tetap di Bangi, secara mengejut diberitakan kematian (Serangan Jantung) Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin Ketua Pustakawan UKM Pertama pada 10hb. November, 1977 dengan meninggalkan jasa yang besar dalam membangunkan Perpustakaan di Kampus-Kampus UKM.

Al-Fatihah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment