BBB, 09 Ramadhan 1434 = 18 Julai 2013 (Khamis):
Pemerintahan era kerajaan Umawiyyah (32-132H.) bertukar
kepada Kerajaan Abbasiyyah (132H. – 640H.) = (750M. – 1242M.). Era yang
disifatkan gemilang di dalam pemerintahan Islam. Nama Abbas adalah nisbah
kepada `Abbas bin Abdul Muttalib bapa saudara kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jadi
dinasti Abbasiyyah juga adalah berdasarkan keturunan yang juga mengambil
gelaran Khalifah. Kota
pemerintahan bagi kerajaan Abbasiyyah ialah Kota Baghdad. Antara khalifah
terkenal ialah Abu Ja`afar al-Mansur, Harun Al-Rashid, Al-Amin, Al-Ma`mun,
Al-Mu`tasim, Al-Mutawakkil dan diikuti dengan siri khalifah yang lemah dan
berakhir dengan Al-Mu`tasim (640H.=1242). Kerajaan Abbasiyyah dimusnahkan oleh
tentera Mongol diketuai Hulago Khan, maka dengan itu berakhirlah Kerajaan
Abbasiyyah yang berusia selama 542 tahun (Hamka, Sejarah Umat Islam, Pustaka
Antara, 1965: 167 – 185).
Dilihat dari segi perkembangan ilmu pengetahuan, maka
bidang-bidang keilmuan yang tumbuh sejak permulan Islam seperti keilmuan
al-Qur`an, Hadith, fiqh, aqidah, tafsir, bahasa (Nahu-Sarf) adalah berterusan.
Perbahasan bersifat falsafah juga berkembang dari cetusan oleh pihak Khawarij
melahirkan aliran Qadariyyah yang dikaitkan kepada Ma`bad al-Juhani sebagai pengasasnya yang
membicarakan tentang Qadar (Watt, W. Montgomery, The Formative Period of
Islamic Thought, Edinburgh, Edinburgh University Press, 1973: 85) membawa
kepada Mu`tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Ata` yang membahaskan
persoalan-persoalan keagamaan berdasarkan logic akal seperti persoalan mengenai
al-Qur`an, Sifat Tuhan, Keadilan, Tempat di Syurga (Manzilah bayn
al-Manzilatayn), wa`ad dan wa`id (Janji baik dan buruk) dan Amar Ma`ruf dan
Nahi Munkar (A. Hanafi M. A. Theologi
Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta, 1974: 40 – 41) sebaliknya lahir
aliran pasif yang dikenali dengan Jabariyyah. Bosan mempermainkan agama dengan rasional akal
melahirkan pendekatan sederhana yang berasaskan Qur`an dan Hadith yang tokohnya
ialah Hasan Basari yang kemudian melahirkan pendekatan Ash`ari-Maturidi. Satu
aliran lagi ialah dari golongan rohani yang tidak senang terhadap perbalahan
tentang keilmuan agama. Mereka lebih cenderung tidak melibatkan diri dengan
perbahasan, sebaliknya mengasingkan diri menghayati Kitab dan Sunnah sebagai
imam dan qudwah. Mereka merasa mesra dengan cinta ketuhanan, mendalami roh
al-Qur`an dan mengikuti jalan lempang. Jalan yang antaranya dirintis oleh Abul
Qasim Junayd al-Baghdadi yang mendakwah melalui masjid dan mimbarnya dan
sebagaimana diteroka oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi di Naisabur seterusnya
pengikut-pengikut kedua mereka (Abu Nasr Al-Sarraj al-Tusi, Al-Luma`, Dar
al-Kutub al-Hadithat-Maktabat al-Muthanna, Misr-Baghdad, 1380/1960: 6-7).
Pendeknya sehingga pada zaman Kerajaan Abbasiyyah Keilmuan
mantap dengan prinsip panduan dari al-Qur`an da al-Hadith, melahirkan
pendekatan fiqh yang mantap yang tokoh-tokoh ialah Imam Malik, Iman Shafie,
Imam Ahmad ibn Hanbal dan Hanafi, manakala di dalam bidang aqidah dipelopori
oleh Imam Hasan Basri berkembang kepada Ash`ari-Maturidi, manakala di dalam
bidang kerohanian seperti al-Junayd al-Baghdadi, al-Muhasibi dan Abu Nas
al-Sarraj.
Disebalik dari kekecohan politik pada peringkat masyarakat
pada zaman kerajaan Abbasiyyah berkembangnya pengajian pada peringkat rendah
yang pada masa itu terkenal dengan panggilan `Kuttab`` - tempat belajar
Menulis-Membaca dan juga pada peringkat menengah yang dikenali dengan
`Madrasah`. Pada zaman pemerinthan Khalifah Harun al-Rashid (170H. – 193H.)
didirikan Pengajian tinggi yang dinamakan Baitul Hikmah. Melalui pengajian
tinggi ini usaha menterjemah ilmu pengetahuan dari seperti Yunani, Parsi dan India dilakukan
melibatkan bidang falsafah, logic, kedoktoran hisab, geometri, dan astronomi.
Di Baghdad juga lahir tokoh-tokoh ilmuan antaranya al-Khawarizmi yang amat
berjasa kepada ilmu pengetahuan dengan sumbangannya di dalam bidang al-Gebra
dan Ilmu Pasti. Pada zaman Khalifah al-Ma`mun dan al-Mu`tasim lahir ilmuan dari
Baitul Hikmah Muhammad bin Musa bin Shakir pakar di dalam bidang Ilmu Ukur,
Astronomi dan Ilmu Falak. Pada zaman ini juga didirikan sebuah Akademi
Terjemahan. Sebuah jamaah penterjemah dibentuk yang diketuai oleh Yahya bin
Masawayh (778-857M.), juga didirikan sebuah alat astronomi (Observatrium) untuk
menyelidik cekerwala.
Di Baghdad juga pada zaman kerajaan Nizamiyyah didirikan
Pengajian Tinggi yang dikenali sebagai Universiti Nizamiyyah yang mempunyai
banyak fakulti. Antara Mahaguru yang pernah mengajar di pengajian tinggi ini
ialah al-Imam al Ghazali. Model pengajian sedemikian berkembang di seluruh
kerajaan Islam. Di Baghdad sahaja terdapat 30 buah, di Musol 6 buah. Di
tempat-tempat lain ialah di Kaherah, Nisabur, Samarqand, Isfahan ,
Marv, Bulk, Aleppo ,
Ghazni, Lahor dan lain-lain. Pengajian seperti ini banyak mempengaruhi
pengajian di Eropah pada peringkat awal. (M.M.Sharif, Dialektika Islam, -Terjemahan
Fuad Mohd. Fachruddin, Penerbit Diponegoro, Bandung , 1970: 38-42).
Di samping pengajian-pengajian di atas pada masa yang sama
terdapat pengajian-pengajian yang diberi nama menurut pengasasnya seperti
al-Rashidiyyah, al-Aminiyyah, al-Turkhaniyyah, al-Khatuniyyah, manakala di Syria terdapat
al-Sharifiyyah dan di Mesir al-Nasiriyyah dan al-Salahiyyah.
Turut berkembang pada zaman kerajaan Abbasiyyah ialah bidang
kesusasteraan. Kalau pada zaman kerajaan Umawiyyah perkembangan budaya dan
sasteranya adalah bersifat Arab jati, tetapi kerajaan Abbasiyyah yang didukung
oleh berbagai bangsa seperti Arab, Parsi, Turki, syriani, Barbar dan lain-lain
dan juga berlaku pertembungan dengan budaya dan pemikiran luar seperti Greek,
Rom, Hindi dan sebagainya, maka warna dan budaya sasteranya bersifat pelbagai,
namun pengucapannya masih di dalam bahasa Arab. Istana menjadi pusat budaya dan
sastera dan pemerintah memberi lindungan dan insentif terhadap perkembangan
budaya dan sastera. Lantaran itu lahir karya-karya besar memberi identiti
kepada pemerintah seperti karya Alfu Lailah wa Lailah (Seribu Satu Malam) yang
dikaitkan dengan zaman Khalifah Harun al-Rashid. Antara penyair dan tokoh
budaya seperti Abu Nuwas. Antara karya-karya berbentuk khutbah, surat , maqamat dan puisi.
Antara tokoh sasterawan ialah Ibn al-Muqaffa` yang mengarang
Cerita Haiwan dan puisi-puisi, al-Jahiz, Ibn al-`Amid, al-Sahib ibn Abbad,
Bashshar bin Burd, Abu al-`Atahiyyah, Ibn al-Rumi, Ibn al-Mu`tazz dan ramai
lagi. (Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy, Penerbit ?, Tempat
?, Tahun ?: hlm. 211 – 289).
Satu bidang yang turut berkembang selari dengan perkembangan
keilmuan ialah perpustakaan. Perpustakaan diadakan bagi keperluan pusat-pusat
keilmuan yang dibicarakan di atas dan perpustakaan khas untuk sebagai tempat
pengajian dan rujukan. Di berbagai perpustakaan terhimpun segala karya
dihasilkan ulama baik yang asli maupun terjemahan. Tatkala Hulago menyerang Baghdad , tentera Hulago
yang tidak bertamadun tidak menyelamatkan keilmuan yang menjadi khazanah warisan
umat manusia. Hamka menggambarkan situasi tragis dalam perampokan perang yang
memusnahkan:
``Setelah itu masuklah tentera yang ganas itu ke dalam kota , tidak ada maafnya
sedikit juga. Dihancurkan segala macam peradaban dan pusaka yang telah dibuat
beratus tahun lamanya, diangkut kitab-kitab yang telah dikarang oleh ahli ilmu
pengetahuan bertahun-tahun. Iaitu dihanyutkan ke dalam sungai Dajlah, sehingga
berubah warna airnya lantaran tinta yang telah larut dalam air.`` (Hamka,
Sejarah Umat Islam, 1965: 184).
Demikianlah peradaban Islam yang terbina di Baghdad lebih dari 500 tahun musnah di tangan
penjarah yang buta budaya dan tidak peka terhadap ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment