July 23, 2013

Teori, Pengalaman & Identiti Permuziuman

-->
BBB, 13 Ramadhan 1434 = 22 Julai 2013 (Isnin):

Pengalaman menjadi Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu selama 11 tahun (1993-2004), menjadi Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu negeri Selangor yang Lembaga Muzium Negeri Selangor dan kemudian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berada di bawah Exco berkenaan (2008-2011) dan kemudian dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (18 Januari 2012-26 Februari 2013) dan kini selaku Timbalan Pengerusi (mulai 27 Februari – Kini), semua pengalaman ini membantu kefahaman Penulis tentang permuziuman yang melayakkan Penulis untuk menulis berhubung dengan bidang tersebut. Penulis bukan semata-mata akan menulis tentang permuziuman – Muzium Terengganu dan Selangor serta beberapa yang lain, tetapi membina terlebih dahulu tentang Teori Permuziuman yang menjadi rangka pendekatan bagi membicarakan ruanglingkup permuziuman.


Pembinaan teori pula sudah menjadi pendekatan ilmiah dan budaya menulis bagi Penulis. Ini dilalui Penulis di dalam kegiatan akademik Penulis selama di UKM (1970-1999). Dengan pembinaan teori ianya menjadi Rangka dan Landasan, bahkan Faham dan Aliran di dalam penulisan. Dilihat dari penulisan sastera secara khusus, sesungguhnya selepas keterlibatan Penulis di dalam penulisan kreatif selama tiga puluh tahun lamanya (1962-1992), maka sempena menghadiri Kuliah Sastera di DBP & Port Dickson (Hotel Ming Court) berturut-turut secara intensif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Persuratan Melayu UKM dari 27-31 Oktober 1992 yang penyampai kuliah di DBP Prof. Dr. Braginsky dari University of Moscow (27-28 Okt. Di DBP), dan Seminar Sastera (29-31 Okt. Di Port Dickson) yang pembentang-pembentang kertas kerja ialah Prof. Dr. Farid Mohd Onn (Ketua Jabatan selaku Perasmi), Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh (UKM), Dr. Wong Sook Koon (USM), Prof. Dr. Braginsky (Moscow), Dr. Ungku Maimunah (UKM), Dr. Nur Nina Zuhra (USM), Prof. Dr. Hashim Awang (UM), Dr. Noriah Taslim (USM), Harold Brown (London) dan Mana Sikana (UKM), maka Penulis juga membentangkan kertas kerja berjudul, Sastera Islam: Teori Pengindahan dan Penyempurnaan Dalam Rangka Tauhid (Shafie Abu Bakar, Takmilah,: Teori, Falsafah dan Prinsip, dlm. Mana Sikana, Teori Sastera Dan Budaya Dalam Kajian Akademik, Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1997: 125-145). Dari tulisan ini dikembangkan kepada Teori Takmilah yang kemudian digunakan di dalam penulisan ilmiah baik pada peringkat Latihan Ilmiah, Sarjana, bahkan pada peringkat Doktor Falsafah. Sebelum daripada itu peranan yang paling utama yang Penulis terarah kepada bidang di atas ialah dari latar pendidikan Penulis yang mendapat pendidikan agama pada peringkat Thanawi dan yang paling penting mengikuti pengajian dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dari peringkat Ijazah Pertama, Sarjana dan Doktor Falsafah. Ramuan dari kesemua pendidikan di atas mengorientasikan Penulis secara serentak sebagai `Orang Bahasa, Sastera, Budaya, Seni dan Agama``. Sifat inilah yang mengalir di dalam karya-karya yang dihasilkan oleh Penulis.


Selepas Penulis terlibat dengan politik selama lima tahun dengan matlamat mendirikan `Negara Islam`, Penulis melihat pendekatan bagi cita-cita mendirikan Negara Islam yang lebih tepat tidak lain dari melalui Ilmu yang membina peradaban dan Tamadun umat, lantaran itu Penulis memperluaskan Teori Takmilah ke dalam Gagasan PESURAT berdasarkan `Iqra` (Pesuratan Adab & Tamadun). Dalam maksud Teori Takmilah sebagai Teori Penulisan Kreatif menjadi pelengkap bagi keseluruhan Gagasan Penulisan yang bersifat Adab dan Tamadun. Namun untuk  mencapai cita-cita mendirikan `Negara Islam` adalah sesuatu yang ideal. Ianya mungkin lebih praktikal pada peringkat mendirikan Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur. Penulis sebenarnya sedang menulis bagi tahap . ``Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur`` dengan menggunakan pendekatan PESURAT. Penambahan istilah `Menuju` bererti `Perjalanan` ke Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur adalah praktikal yang hasrat sedemikian  mungkin kesampaian dan mungkin tidak, tetapi dalam hal ini kita berniat baik dan berusaha mencapainya.

Keterlibatan Penulis dalam bidang permuziuman yang lebih dari satu setengah dekad mencetuskan idea,  kalau semua bidang yang Penulis terlibat diikat dengan teori, mengapa tidak sama dibinakan Teori Permuziuman, sekurang-kurangnya menjadi rangka pendekatan bagi Penulis di dalam menulis atau sebarang wacana ilmiah mengenainya. Jika baik dan diterima, maka ianya boleh juga digunakan oleh penulis-penulis yang lain atau bagi sesiapa yang memperkata atau berusaha memahami bidang permuziuman.

Penulis melihat bahawa pola bagi Teori Takmilah adalah sama dan bersesuaian untuk diterapkan kepada Teori Permuziuman yang juga terletak di bawah Gagasan PERURAT. Yang perlu ialah mengolah pola-pola berkenaan kepada ciri-ciri yang berhubungan dengan permuziuman. Pada hakikatnya bidang permuziuman adalah lebih luas  berbanding dengan bidang kreatif yang dicakupi oleh Teori Takmilah. Keluasannya menghampiri keluasan yang dicakupi oleh PESURAT. Namun begitu permuziuman ada ciri-ciri khusus berbanding dengan Gagasan PESURAT antaranya ada ciri estetik, budaya, nilai, kepurbaan dan nadirnya.

Untuk kesemua pendekatan di atas baik TAKMILAH kreatif atau permuziuman terletak di bawah PESURAT semuanya diikat dan disatukan oleh Ilmu yang bergerak kepada Adab dan Tamadun yang meningkatkan martabat manusia di sisi Allah dan juga Alam. Dari segi ilmu ini, pada hakikatnya Muzium adalah saudara bagi Perpustakaan. Kedua-duanya mendukung Ilmu, tetapi kedua-duanya mempunyai ciri dan keistimewaan masing-masing. Muzium menampilkan bahan-bahan sebagai objek langsung yang dapat dilihat dan dihayat secara langsung dengan indera, khususnya mata dan akal serta hati yang dapat diberi makna dan kefahaman menurut daya pengertian dan penghayatan masing-masing. Manakala Perpustakaan ialah gedung maklumat secara tertulis mengenai segala perkara yang dapat dirujuk, dibaca dan dihayati. Kedua-duanya berperanan memberi maklumat dan penghayatan kepada pengguna dan peminat. Kedua-duanya berperanan membina peradaban dan tamadun manusia.

Terilham dari Tulisan Ibn Khaldun membicarakan tentang tempoh hayat kewujudan alamiah (saduran):

Umur memerintah sebuah Kerajaan       Persis manusia dari segi kehidupan
Semua fana tiba tempoh perakhiran       Sejarah peninggalan mengekalkan 

(Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, Beirut: Dar al-Qalam, 1984: 170).

Sekian. 

No comments:

Post a Comment