BBB, 02 Ramadhan 1434 = 11 Julai 2013 (Khamis):
Kesan dari pertikaian Ali-Muawiyah bukan terhad kepada
penguasaan kerusi Khalifah, tetapi akibat daripadanya melahirkan penentangan,
penyimpangan dan pendapat yang bersifat `Prinsip` yang darinya mencambah
aliran-aliran yang bersifat doktrin. Daripadanya juga melahirkan budaya politik
yang asalnya bersifat Qabilah kepada politik pemerintahan.
Rasulullah s.a.w. telah berjaya menanamkan prinsip
Ketuhanan, kenegaraan Islam dan pengganti pemerintahan (Khalifah) secara
pemilihan. Keadaan ini dapat dikekalkan hingga kepada pemerintahan Khalifah
Umar al-Khattab dan bila tiba kepada pemerintahan `Uthman, cara pemerintahannya
mula dipersoalkan. Ali yang datang menyambung pemerintahan Khulafaur-Rashidin secara
pemilihan menghadapi gugatan dari Muawiyah – juga Aishah-Talhah-al-Zubayr.
Konflik antara Ali-Muawiyah melahirkan golongan Khawarij yang berpisah diri
(Keluar dari memberi sokongan kedua pihak) dan menegakkan prinsip `Tiada Hukum
Melainkan Hukum Allah` - Kembali kepada al-Qur`an.
Golongan Khawarij adalah satu golongan radikal dan lantang
menentang apa yang mereka sifatkan sebagai penyelewengan dan menuntut kembali
kepada prinsip al-Qur`an.
Golongan ini disifatkan sebagai permulaan kepada kelahiran
Ilmu al-Kalam. Daripada tahun 770M. lahir apa yang dinisbahkan kepada Theologi
Khawarij. Antara mereka yang dinisbahkan kepada teologi ini ialah al-Yaman ibn
Ribab yang menulis buku dan pendapatnya dirujuk oleh al-Ash`ari. Selain dari
al-Yaman ialah Tha`labi, Bayhasi, Yahya ibn Abi al-Kamil. Mereka dikatakan
terlibat di dalam perbahasan ilmu al-Kalam dan menentang pendirian Mu`tazilah.
Antara pendukung penting faham Khawarij ini ialah Ibn
al-Arzaq. Ibn al-Arzaq menubuhkan satu kumpulan meneliti tentang
prinsip-prinsip di dalam al-Qur`an dan menganjur hidup berdasarkan al-Qur`an.
Pemimpin Khawarij yang lain ialah Najda ibn `Amir . Antara mereka penentang
kuat terhadap karajaan Umayyah seperti Salih ibn al-Musarrah yang meninggal (695M.) dalam peperangan yang dianggap
pahlawan bagi Khawarij. Satu kumpulan sederhana dari segi pendirian berbanding
dengan kumpulan al-Arzaq ialah Abu Bilal Mirdas ibn Udayya al-Tamimi,
Ubaydillah bin Ziyad bertempat di Basrah dan kelompok yang dinisbahkan kepada
Ibadiyyah Sufriyyah dan Bayhasiyyah. (Watt, W. Montgomery, The Formative Period of Islamic Thought,
Edinburgh University Press, Edinburgh, 1973: 12 – 26).
Antara perkara asas bagi perkembangan Khawarij ialah:
a) Panduan
bagi masyarakat Islam ialah al-Qur`an. Bagi mereka yang melakukan dosa besar
terkeluar dari komuniti mereka.
b) Pendapat
Khawarij ditujukan kepada yang bersifat masyarakat dan bukan kepada perseorangan.
c) Khawarij
menekankan kepada peningkatan karisma dalam komuniti
(Watt, W. Montgomery, 1973: 34-37).
Dari Khawarij berkembang kepada perbahasan yang bersifat
falsafah dengan kelahiran Mu`tazilah, Asy`ariyyah, Maturidiyyah dan lain-lain’
(A.Hanafi, Theology Islam, Jakarta, Bulan Bintang, 1974: 40
– 70).
Dilihat dari segi politik, kenaikan Mu`awiyah membuka ruang
pada perkembalian kepada semangat kabilah dan keturunan zaman Jahililiah. Islam
yang datang meletakkan asas kepimpinan pada kelayakan dan pemilihan berubah
dengan Muawiyah sebagai pengasas dinasti pemerintahan keturunan Umayyah, kata
Hamka,
``Setelah teguh kekuatannya, diubahnyalah dasar pemilihan
Khalifah yang berdasarkan Shura itu, menjadi hak keturunannya, sehingga lebih
layak dinamakan raja daripada khalifah.``
Pemerintahan Kerajaan Umawiyyah kekal memerintah sehingga
satu kurun lamanya (32 – 132H.) yang pemerintah antaranya Yazid, Muawiyah II
Ibn Yazid,, Marwan Ibn Hakam, Abdul Malik bin Marwan, Walid bin Abdul Malik,
Sulaiman Ibn Abdul Malik, `Umar bin Abdul Aziz, Yazid bin Abdul Malik, Hisham Ibn
Abdil Malik, Al-Walid bin Yazid bin Abdul Malik, Yazid bin
Al-Walid bin Abdul Malik, Marwan bin Muhammad bin Marwan bin Hakam.
Kerajaan Umawiyah disifatkan sebagai kerajaan yang
menegakkan nilai dan ciri-ciri budaya Arab yang tidak mementingkan corak
pemerintahan berasaskan Islam. Kedudukan Kerajaan Umawiyyah tidak lepas dari
penentangan. Kaum Khawarij masih menentang kerajaan Umawiyyah. Misalnya pada
peringkat akhir pemerintahan kerajaan Umawiyyah di bawah pemerintahan Marwan
bin Muhammad kaum Khawarij yang diketuai oleh Dihak bin Qais memerangi Kufah
dan menawannya dari Walinya Abdullah bin
Umar bin Abdil Aziz. Dihak juga turut menguasai Mausul. Kaum Khawarij turut
melemahkan pada peringkat akhir pemerintahan Marwan yang kemudian dikalahkan
oleh Abu Muslim al-Khurasani pahlawan yang membantu menaikkan kerajaan
Abbasiyyah pada tahun 132H.
(Hamka, Sejarah Umat Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur,
1965: 157 – 167).
Sebenarnya elemen yang bersifat turunan ini juga berlaku
kepada Sayyiduna Ali bin Abi Talib. Setelah kematiannya dilantik anaknya Hasan
dan kemudian Hussein yang terkorban di Karbala di tangan musuhnya pada zaman
Yazid bin Muawiyah. Kematian Hussain secara tragis ditangisi pendukung yang
melihat bukan saja Hussain teranianya, tetapi melihat bahawa Ali yang berhak
menjadi Khalifah, tetapi dirampas oleh Muawiyah. Pendukung-pendukung Ali dan
turunannya tidak saja berbeza dari segi pendapat tentang kepimpinan politik,
tetapi membentuk satu kefahaman mazhab Shiah di samping Ahlul Sunnah, Wahabi dan
sebagainya, tetapi akhirnya Shiah menjadi satu pegangan yang berlainan sama
sekali yang dilihat pada satu peringkat menyimpang dari Islam. Pendukung Shiah paling utama ialah di Iran,
sebuah Negara utama yang mendukung Shiah, di samping terdapat di Iraq, Syria
dan beberapa Negara yang lain. (Gibb, H.A.R & Kreamers, J.H. Shorter
Encyclopaedia of Islam, E.J. Brill, Leiden, 1974: 534 – 541)
Demikianlah pertikaian politik telah menggoncang tapak binaan
Islam yang diasas dan ditegak oleh Rasulullah s.a.w. dari Makkah membawa ke
Madinah secara lengkap. Prinsip panduan berasaskan al-Qur`an dan huraian
melalui Hadith dan pembawaan baginda diteladani para sahabat. Madinah adalah
Negara yang menjadi model panduan pemerintahan. Namun tercetusnya perbalahan
antara Ali-Muawiyah menyebabkan berlakunya sanggahan, pengolahan, penyimpangan,
penentangan bahkan kelainan.
Di atas prinsip, variasi dan kelainan umat tetap bergerak
yang diharap dapat membina keutuhan dan kesatuan umat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment