February 5, 2010

Mesyuarat Bagi Membina Masjid Tahfiz

Bandar Baru Bangi, 20 Safar = 04 Februari (Khamis):

Tapak bagi sebuah Masjid Bandar Baru Bangi sememangnya telah tersedia di Seksyen Satu sejak dari awal pembangunan Bandar Baru Bangi bermula 1975, tanah adalah seluas 2 ekar bersempadan dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Dewan Orang Ramai, Medan Selera dan perumahan semi D, tetapi masjid ini tidak dibangunkan, walaupun sekelilingnya tumbuh pembangunan seperti Dewan Orang Ramai, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Pasar, Medan Selera dan dua deretan kedai dua tingkat memenuhi keperluan masyarakat setempat. Bagi keperluan ibadat tumbuh muncul surau-surau sepereti Surau al-Umm (sementara), Surau An-Nur, Surau al-Ehsan, Surau Damai, Surau al-Ittihad dan Surau Taman Mutiara. Kelompok surau-surau ini berada di Seksyen satu dan dua. Banyak lagi surau-surau tumbuh dengan pembukaan seksyen-seksyen yang lain. Sejak Bandar Baru Bangi dihuni akhir 1977 sembahyang Jumaat adalah secara menumpang di Kampus (sebelum ada masjid) dan Masjid UKM. Keadaan ini berterusan hinggalah didirikan Masjid Pertama di Bandar Baru Bangi, iaiitu Masjid al-Hasanah yang mula digunakan 2001. Oleh kerana kekurangan tempat setengah surau dibenar mendirikan sembahyang Jumaat.


Keperluan untuk menggunakan tapak masjid di Seksyen Satu bagi menggantikan Surau al-Umm yang menggunakan rumah semi D di Jalan 1/3G atas ihsan PKNS itu telah timbul sejak 1980an lagi. Hasrat pada masa itu setakat mendirikan surau bagi menggantikan Surau al-Umm. Jawatankuasa telah ditubuh dan "Menyimpan Wang" telah dilakukan, tetapi projek mendirikan surau ini sepi. Hasrat untuk mendirikan surau ini hidup kembali dan permohonan dibuat dan kelulusan didapati dari JAIS bagi mendirikan surau sahaja (Surat JAIS (2) dim. JAIS. Sel.9189 3/5/10 bertarikh 30 Ogos 1996. Namun usaha ke arah mendirikan surau ini sepi kembali.

Hasrat bagi mendirikan sebuah Masjid yang mempunyai pengajian Tahfiz diutarakan ADUN Bangi selepas kemenangannya dalam Pilihanraya ke 12 (Mac 2008) dan sebuah Jawatankuasa ditubuhkan dan usaha mendapatkan status terkini tapak masjid dilakukan dari pihak Pejabat Tanah Hulu Langat dan permohonan pewartaan dari pihak JAIS sebagai tapak masjid dipohon. Pihak Pejabat Tanah memberi jawapan ke atas permohonan JAIS bagi maksud tapak masjid iaitu surat Ruj. PTD UL.16/3/5.2008(3) bertarikh 24 Mei 2008. Berikutnya surat dari Pejabat Tanah Hulu Langat bahawa permohonan pewartaan tanah tapak Masjid di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi telah diluluskan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Surat dari Pejabat Tanah Hulu Langat ditujukan kepada JAIS Bil. PTD.UL.16/3/194-2006(9) bertarikh 1 September 2009. Jawapan positif diterima dari pihak JAIS Bil (16) dlm. JAI.SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17hb. November 2009 tiada halangan tapak bagi mendirikan masjid dan pewartaan tanah dipohon.

Hari ini 4 Februari 2010 ADUN menjemput 30 orang mewakili Surau al-Umm, Surau An-Nur, Surau al-Ehsan, Surau Damai, tokoh-tokoh seperti Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan beberapa yang lain bagi membincangkan cadangan Pembinaan Masjid Tahfaz di tapak tanah yang disedia dan diluluskan oleh YAB Dato`Menteri Besar Selangor dan juga kelulusan dari pihak JAIS. Tempat pertemuan ialah di Surau al-Umm, iaitu pada hari Khamis (Petang Jumaat) selepas sembahyang Isyak. Al-Hamdulillah respond terhadap jemputan amat baik dan mesyuarat dijalankan dengan dipengerusikan oleh ADUN sendiri. Mesyuarat yang dijalankan antara jam 9.30 hingga 11.00 malam mengambil beberapa keputusan, iaitu bersetuju mendirikan Masjid Tahfiz di atas tanah yang diluluskan. Peruntukan bagi mendirikan Masjid Tahfiz ini ialah RM10 juta. Konsep Masjid Tahfiz ini, selain dari ianya menjadi pusat pembelajaran, surau-surau kelilingnya iaitu Surau An-Nur, Surau al-Ehsan, Surau Damai, Surau Ittihad dan Surau Taman Mutiara adalah rangkaian pembelajaran berindukkan Masjid Tahfiz. Surau-surau berkenaan merupakan Kuliah-Kuliah (Fakulti-Fakulti) bagi Masjid Tahfiz. Surau-surau tersebut mungkin menawarkan pengajian-pengajian utama. Mungkin antara surau dikenali sebagai Kuliah al-Qur`an dan Ulum al-Qur`an, Kuliah al-Hadith, Kuliah Tafsir, Kuliah Sirah, Kuliah Syariah, Kuliah `Aqidah, Kuliah Ekonomi Islam, Kuliah Sains Islam, Kuliah Siyasah, Kuliah Perubatan Islam, Pengajian Bahasa-Bahasa, Kuliah Umumiyyah dan sebagainya. Pelajar-pelajar kelak akan bergerak antara surau-surau ini mempelajari keilmuan-keilmuan. Masjid Tahfiz merupakan induk bagi pengajian dan pentadbiran. Pelajar-pelajar mungkin bersifat sepenuh masa, separuh masa, sambilan, hujung minggu atau `pengajian tempoh tertentu`. Masjid Tahfiz mungkin akan meningkat kepada taraf Jami`ah Tahfiz (Universiti seperti Jami`ah Azhar dan Qairawan) apabila lengkap dengan infrastruktur, pensayah-pensyarah dan peningkatan mutu kuliah-kuliah yang ditawarkan. Adalah menjadi hasrat Masjid Tahfiz untuk menawarkan kuliah dan pembelajaran secara percuma jika dana dapat dihasilkan. Di dalam hal ini Masjid Tahfiz perlu memiliki aset-aset dan harta-harta waqaf bagi menampung perbelanjaan. Jika hasrat murni ini tidak tercapai, kursus-kursus seboleh-bolehnya ditawarkan secara percuma, manakala yang lain perlu ditanggung oleh pelajar. Tentulah bantuan dari pihak berkuasa adalah diperlukan.

Sebuah Jawatankuasa Induk ditubuhkan dipengerusikan oleh ADUN dengan Timbalan ialah Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas yang merupakan Pengerusi Surau An-Nur dan Setiausaha ialah Tuan Haji Hussain Yunus.

Tiga buah Jawatankuasa Kerja juga ditubuhkan iaitu:

Jawatankuasa Pelan Binaan dan Landscaping diketuai Encik Nasai dengan Setiausaha Tuan Haji Said.

Jawatankuasa Dana diketuai Tuan Haji Mohd Nor – Beliau akan memilih Setiausaha.

Jawatankuasa Pendidikan diketuai Dr. Tajul Ariffin Noordin dengan Setiausahanya Saudara Fahdi Dato' Dr. Faisal. Ketiga-tiga Jawatankuasa ini mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa tersendiri.

Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja diberi tempoh sebulan untuk bermesyuarat mengemukakan cadangan-cadangan untuk dibicangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk seminggu berikutnya. Dengan pasukan kerja yang ditubuhkan ini kita berharap Masjid Tahfiz dapat direalisasikan dalam masa terdekat. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment