February 27, 2010

Berseni Menyambut Maulid Al-Rasul Dikasihi

Council Home, 12 Rabiul Awwal = 26 Februari (Jumaat):

Rasullah diutuskan sebagai rahmat kepada Alam (al-Anbiya': 107) diakui dan tidak dipertikaikan. Dia membawa perutusan akidah tauhid yang kita yakini. Tidak ada satu bidang yang tidak dicakupi dan mempengaruhi dan mendominasi, bahkan menjadi haluan dan panduan penghidupan. Kita adalah ummah Islam yang mengakui Keesaan Tuhan dan Kerasulan Junjungan.


Yang memenuhi jiwa kita sebagai umat baginda ialah kasih sayang kepadanya. Kehadiran Rabiul Awwal, khususnya 12 dari tanggal tersebut sebagai tarikh kelahiran Rasul Junjungan adalah satu cara pendekatan memanifestasikan rasa cinta kepada Rasulullah. Berbagai cara dapat dilakukan sebagai mengexpressikan rasa cinta. Ada yang melahirkan kecintaan sambil memahami sirah baginda ialah melalui forum, sebagaimana di pangkal malam ini di Surau al-Sabah diadakan forum berjudul "Rahmatan li alamin"
Yang ahli panelnya, ialah Ustaz Ikmal Zaid bin Hashim dari KUIS, Ustaz Hasnan Kasan dari UKM. Forum dimoderator oleh Ybhg. Dr. Maimon dari UKM. Atas jemputan Timbalan Pengerusi Surau YBhg. Kernal (B) Abu, ADUN hadir sebahagian dari masa forum, tetapi mmemohon diri jam 9.00 malam kerana menghadiri Sambutan Maulid al-Rasul di Council Home, Bandar Baru Bangi.

Sambutan Maulidul Rasul di Council Home ini adalah sambutan Pas Serdang pada peringkat kawasan dengan kerjasama Pas Cawangan di Council Home dan Persatuan Penduduk di situ. Hadir sama ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Ahli MPKj dan Timbalannya Tuan Haji Sufi Munassir. Sambutan pada malam ini mendapat kerjasama dari pihak MPKj yang menyediakan sebanyak 5 khemah dan 200 buah kerusi dan pihak JKR yang menyediakan pentas, lampu dan kipas. Turut hadir pada malam ini tamu-tamu istimewa dari Kelab Penyokong Pas yang diketuai Saudara Ari dari Pekan Bangi dan Saudara Guna dari Kajang Utama, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang menghubungi ADUN memohon maaf, kerana berhalangan dan tidak dapat datang.


Dari segi pendekatan sambutan Maulid al-Rasul di Council Home pada malam ini adalah mengambil pendekatan secara "Berseni Menyambut Maulid al-Rasul Dikasihi". Menurut ADUN Bqngi dalam ucapan alu-aluannya, pendekatan secara seni ini bukan asing di dalam Sirah al-Rasul, kerana semasa baginda tiba di Madinah dalam rangka Hijrah Baginda ke sana, baginda disambut dengan marhaban ! Puisi marhaban terus diungkapkan hingga hari ini. Begitu juga dari kasih cinta Sayyiduna Ja`far al-Barzanji terhadap Rasulullah, beliau telah mengarang karangan nathar secara berseni memuji Rasulullah yang kemudian dikenali sebagai "Berzanji" yang kini terus popular yang dibaca dan dilagukan di dalam berbagai-bagai upacara keagamaan, khususnya bagi sambutan Maulid al-Rasul, karangan juga disusun oleh al-Busiri. Demikian berikutnya banyaklah nasyid, nazam, puisi dan lagu-lagu yang disusun di dalam memuji Rasulullah dan mendapat sambutan dari masyarakat.


Sebagai melahirkan kecintaan terhadap Rasullah malam ini pendekatan dilakukan dengan Perkesahan Tentang Rasulullah secara prosa berirama yang mengambil gaya dan rentak Barzanji yang disampaikan oleh Zaid Akhbar Pengarah Sambutan, kemudian diikuti dengan lagu Marhaban yang disampaikan oleh kumpulan jemputan dari KUIS. Kumpulan ini dikenali dengan nama Munaadiyul Haqq. Sambutan diteruskan dengan persembahan Teater tentang eposid Kehidupan yang dikaitkan dengan Islam. Teater disampaikan oleh Kumpulan dari Council Home.



Selepas pertunjukan teater Kumpulan Kompang Jamiatul-Widad dari Balakong menyampaikan beberapa nasyid yang antara ungkapan ada mirip gaya barzanji yang gerak geri tangan secara tersusun ditambah dengan pakaian seragam dan pukulan kompang yang rentaknya agak berlainan dari biasa. Persembahan mereka banyak menghidupkan malam sambutan. ADUN Bangi juga diminta membaca dua puisi yang berjudul, Luahan Cinta Terhadap Rasul Junjungan dan Di Masjid Madinah. Persembahan pada malam itu diakhiri dengan salawat beramai-ramai. Sambutan alhamdulillah keseluruhannya mencapai kejayaan dengan jumlah penonton melebihi 300 orang.

No comments:

Post a Comment