February 25, 2010

Seminar Menuju Ke Menara Gading 2010

Sungai Chua, 07 R. Awwal = 21 Februari (Ahad):

Atas kesedaran betapa pentingnya pendidikan di dalam kehidupan insan bagi bekal diri dan kehidupan, maka Pertubuhan Belia Hindu Kajang, Selangor Darul Ehsan mengadakan `Seminar Menuju ke Menara Gading 2010`. Seminar ini bertempat di sebuah Dewan di tepi bangunann Balai Raya di Sungai Chua. Fokus seminar bagi membimbing belia-belia Hindu yang berkelayakan (pelajar Tingkatan Lima dan Enam). Mereka dibekal dengan panduan-panduan bagi menjejaki tangga universiti. ADUN dapati sebahagian dari pimpinan Pertubuhan Belia Hindu Kajang adalah graduan-graduan UKM, bahkan antara penasihatnya adalah dari kalangan Bekas pensyarah UKM. Menurut Pengarah Seminar Menuju Ke Menara Gading 2010, saudara Siveram Marithammuthu seminar diadakan, ``Untuk melahirkan kesedaran peri pentingnya ilmu pendidikan di kalangan pelajar dan persediaan awal kepada pelajar sebelum mereka menjejak kaki ke menara gading.``

Seramai lebih kurang tujuh puluh orang pelajar hadir ke seminar tersebut. ADUN yang hadir pada jam 12.00 tengahari bagi merasmikan seminar, mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Belia Hindu Kajang yang mengambil inisiatif menganjurkan seminar. Dengan seminar dapat memberi panduan memilih mata pelajaran, jabatan dan fakulti yang sesuai dengan kelayakan yang ada pada mereka. Bakal pelajar menara gading juga mendapat panduan bagi mendapat bantuan dan pinjaman. ADUN mengingatkan kepada pelajar dan pembimbing bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatian tentang pelajaran bagi anak-anak negeri Selangor. Setiap pelajar anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti mendapat insentif dari kerajaan negeri sebanyak RM1,000. Bagi yang tidak mendapat bantuan atau pinjaman, maka negeri Selangor juga memperuntukkan skim Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Selangor tanpa bunga. Sekiranya pelajar lulus dengan cemerlang, pinjaman akan ditukar kepada biasiswa.

ADUN mengharapkan ramai belia Hindu berjaya ke Menara Gading dan mengharapkan mereka berjaya pada masa akan datang dan berkhidmat kepada bangsa dan Negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment