February 21, 2010

Desa Surada Menyambut 15 Tahun Surau Didirikan

Desa Surada, 06 Rabiul Awwal = 20 Februari (Sabtu):


Bagi masyarakat Islam, Surau dan Masjid adalah institusi yang penting bagi kegiatan ibadat dan kemasyarakatan. Bila sebuah taman perumahan wujud, pembinaan surau dirasakan amat perlu. Jika pemaju tidak sediakan surau, tetapi menyediakan tapak, atau tidak menyediakan tapak, maka penduduk akan berusaha mendapatkan tapak dan mencari dana mendirikan surau. Demikianlah Desa Surada, Bandar Baru Bangi, sejak mula dihuni tahun-tahun 1980an merasakan perlunya ada sebuah surau di taman tersebut. Usaha mendapatkan surau pada peringkat permulaan ialah dengan menyewa perumahan dan usaha mendirikan surau bermula dari tahun 1995 di atas tapak yang disediakan oleh pemaju. Tarikh ini dikira bermulanya tarikh pembinaan surau, dikuti dengan penggunaannya dan kebenaran mendirikan solat Jumaat pada 10 Syawal 1429 = 10 Oktober 2008.


Sejak mula didirikan Surau yang dinamakan `Surau al-Mujahidin` menjadi pusat ibadat dan berbagai kegiatan kemasyarakatan, sehingga boleh dikatakan surau ini adalah antara surau yang aktif di Bandar Baru Bangi di samping Surau al-Nur, Surau al-Sabah dan beberapa surau yang lain. Antara faktor yang menggerakkan surau ini berdaya maju ialah dengan adanya kepimpinan yang dinamik di surau ini seperti Saudara Mohamad Shukur Atan yang menjadi Pengerusi surau ini dan saff kepimpinannya yang dinamik. Begitu juga dengan adanya penasihat yang banyak pengalaman seperti Y. Bhg. Dato` Dr. Siddiq Fadhil dan Y.Bhg. Dato` Dr. Hailani Mujitahir di samping kepimpinan penduduk di Taman Desa Surada ini amat bekerja sama dan amat responsive kepada apa yang dianjurkan oleh Surau dan juga Persatuan Penduduk, sebab tu segala kegiatan dapat sambutan dan berjalan dengan licin.


Sambutan 15 Tahun Surau al-Mujahidin yang diadakan dua hari berturut-turut dari 5-6 Rabiul Awwal 1431 bersamaan 19-20 Februari 2010 ini merupakan puncak kegiatan yang pernah di adakan yang diisikan dengan berbagai-bagai aktiviti seperti Majlis Forum yang ahli panelnya dua orang tokoh yang berlainan arah perjuangan, iaitu Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka dan Datuk Haji Mohd Nakhai Hj. Ahmad yang dulunya merupakan pimpinan tertinggi Pas, tetapi kini menukar haluannya, Qiyamullail, pameran usahawan, pameran Agensi Dadah, Jabatan Penjara Malaysia, pemeriksaan kesihatan, pertandingan azan, kuiz, pertandingan sukan, sukanika, mewarna menganyam ketupat, bersilat dan sebagainya.


Majlis pada hari ini, iaitu Majlis Perasmian adalah sebagai pelengkap dan formality bagi program yang sudah sebenarnya lengkap. Hadir pada pagi ini Penasihat Jawatankuasa Surau iaitu Dato` Dr. Siddiq Fadhil, En . Rafi`e Penasihat Persatuan Penduduk, Encik Zainal Abidin YDP Persatuan Penduduk Taman Desa Surada, Encik Yusof Bachik Ahli MPKj. Keseluruhan kegiatan berlaku di dalam kawasan Surau dan medan tanah lapang di antara Surau dan Pusat Komuniti Penduduk.


Dalam ucapan perasmiannya ADUN melahirkan kesyukuran dan mengucapkan syabas kepada AJK Surau yang dapat mengadakan Majlis Sambutan 15 tahun yang begitu menarik. Sambutan ini tentulah tercetus dari fikiran dan kreativiti kepimpinan dan AJK. Banyak surau dan masjid melalui tempoh-tempoh sejarah, tapi tidak dimanfaatkan bagi mengadakan kegiatan, tetapi ini diambil kesempatan oleh AJK untuk dijadikan sebagai kegiatan. Sebenarnya kegiatan lebih penting dari tarikh sambutan. Beliau berharap AJK akan terus mengadakan kegiatan keilmuan, bimbingan kepada anak-anak dan kegiatan kemasyarakatan. Pihak Kerajaan memberi galakan dan berharap semua surau dan masjid berjumlah 2,106 buah di Selangor bergiat aktif. Jika ini dapat dipenuhi betapa bersemaraknya perkembangan keislaman di Selangor. Setiap tahun Kerajaan Negeri Selangor memberi peruntukan yang besar bagi perkembangan agama Islam, khususnya kepada surau dan masjid. Beliau berharap melalui kegiatan di surau lebih dapat memajukan masyarakat di Desa Surada dan mengharmonikan penduduknya.


Sebelum dari Majlis Perasmian Saudara Shukor Atan berucap mengalu-ngalukan kehadiran tetamu dan melakarkan sejarah penubuhan surau dan kegiatan yang diadakan hingga kepada kegitan mutakhir dan terkini ini. Kita mendoakan surau ini akan terus aktif dan maju jaya dan di dalam rahmat dan hidayah Allah.



No comments:

Post a Comment