BBB, 07 Rabiul Awwal = 21 Februari (Ahad):
Sekolah Agama Integrasi BBB hari ini mengadakan Mesyuarat Agung bagi kali ke 12 sejak ditubuhkan pada pertengahan 1990an. Mesyuarat yang dihadiri lebih kurang 100 orang ibu bapa ini bertempat di Dewan bangunan empat tingkat yang baru siap dan digunakan mulai Oktober 2009 lepas. Sekolah ini antara Sekolah integrasi terbesar di Hulu Langat dan menampung 1,114 murid dengan 84 orang guru. Waktu persekolahan bermula dari jam 7.30 pagi dan berterusan hingga jam 4.00 petang. Sekolah ini antara sekolah yang mengekalkan pencapaian terbaik peperiksaan UPSR dan PSRA sejak dua tahun yang lepas.
Hadir bersama ke mesyuarat hari ini YDP PIBG Dr. Zainuddin bin Sajuri, Timbalannya Encik Ahmad Said bin Omar dan Guru Besar yang juga selaku Penasihat PIBG Pn. Siti Marijah bt. Sarmidi.
ADUN dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada pihak Sekolah dan PIBG yang bekerja keras bagi memajukan sekolah. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang prihatin terhadap anak-anak. Kerjasama ibu bapa amat penting bagi memajukan anak-anak dan sekolah. Kemajuan sekolah menarik ibu bapa untuk menghantarkan anak-anak mereka belajar di sekolah ini. ADUN mendapat maklumat, sememangnya sekolah ini menjadi rebutan ibu bapa bagi menghantarkan anak-anak. Setiap tahun permohonan yang diterima mengatasi jumlah kekosongan dan terpaksa ditolak.
Sememangnya sekolah agama integrasi sekolah yang ideal yang mengintegrasikan matapelajaran agama dengan mata pelajaran akademik. Murid-murid bukan saja belajar tetapi juga mempraktikkannya contoh mempraktikkan pelajaran ibadat dengan bersembahyang berjamaah di surau yang disediakan. ADUN menekankan bahawa kerajaan Negeri Selangor amat memberi penekanan terhadap pengajian agama dan memperuntukkan bajet kedua terbesar dalam bajet tahunan. Setakat ini kerajaan mendirikan sebanyak 11 buah Sekolah integrasi, manakala Sekolah Rendah agama (SRA) sebanyak 202 buah dan sekolah Agama Menengah sebanyak 23 buah dengan kerjasama kerajaan Pusat. Di Selangor juga kerajaan mendirikan pengajian tinggi agama seperti KUIS di samping UNISAL.
Peluang pelajar-pelajar agama menyambung pengajian agama dari peringkat rendah ke peringkat tertinggi memang terbuka, di samping peluang-peluang ke universiti-universiti Awam Kerajaan Persekutuan dan swasta. ADUN berharap hasrat ibu bapa mahu mendidik anak-anak dengan pendidikan agama diteruskan kepada peringkat tertinggi. Pendidikan sekolah agama juga memberi peluang anak-anak menyambung pengajian ke berbagai bidang pada masa akan datang. Semoga anak-anak kita bukan saja berpelajaran dan berpendidikan dengan nilai agama dan akhlak yang tinggi, tetapi juga membimbing masyarakat dengan nilai-nilai Islam. Berhubung dengan pemilihan hari ini ADUN menekankan perjalanan sekolah cukup baik dan mengharapkan pemilihan yang berlaku akan lebih mantap dan meneruskan kerjasama dengan guru-guru bagi memajukan sekolah.
Terdahulu dari itu Yang Dipertua PIBG Dr. Zainuddin menekankan bahawa konsep pendidikan bukan pada banyaknya mencapai kelulusan A dalam mata pelajaran, tetapi juga pendidikan dari segi syakhsiah dan akhlak hendaklah juga menjadi tujuan pendidikan. Beliau juga meluahkan kekangan yang dihadapi sekolah terutama dari segi kewangan bagi menampung gaji-gaji guru yang ditanggung sekolah, pentadbiran, tukang kebun dan keselamatan. Lebih kurang RM80,000 setahun PIBG keluarkan peruntukan bagi menampung biaya berkenaan. Tetapi dengan kerjasama semua pihak masalah-masalah dapat diatasi.
Guru Besar Puan Siti Marijah dalam ucapan alu-aluan pada permulaan majlis berterima kasih kepada ibu bapa yang meluangkan masa menghadiri dan menjayakan Mesyuarat Agung pada hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bagi menjayakan Mesyuarat Agung. Semoga kita diberi hidayah oleh Allah dan mengurniakan yang terbaik bagi sekolah dan anak-anak kita.
Mesyuarat Agung dijalankan selepasa perasmian oleh YB ADUN Bangi yang terpaksa memohon diri kerana menghadiri program yang lain yang telah dijadualkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment