February 4, 2010

Impian Country Resort, Impian Pak Warno

Hulu Langat: 14 Safar = 30 Januari 2010 (Sabtu):

Selepas menunaikan fardu Asar secara berjemaah saya bersama-sama sahabat berjemaah duduk di anjung surau memandang ke arah pancur sungai yang gemuruh dengan kocokan airnya kerana melanda batu batan di tepian dan batu batan yang sengaja dihalang di pertengahan larian air, sedang anak-anak dengan pengawasan ibu bapa riang mandi manda dan bermain di larian air. Kami bercakap-cakap tentang program retreat dan landscaping resort yang menarik, sedang sebahagian dari peserta retreat mulai melakukan senaman menurut program, jauh di tepi bangunan makan di sana.



Sedang kami bercakap sambil menikmati keindahan alam, tiba-tiba seorang lelaki sebaya usia datang memberi salam dan bertenggek di tepi anjung surau, kami diperkenalkan oleh seorang sahabat yang memang berurusan dengannya sebelum ini bagi menempah resort untuk retreat di sini.
"Inilah Pengusaha resort ini," kata sahabat, sambil kami bersalaman.
"Dr. Hj. Warno bin Katiman, Pak Warno panggilan ringkas," tambah sahabat.


Pak Warno, walaupun usia orang pencen, tetapi kelihatan sihat dengan tubuh gempal dan bertenaga. Berwajah tenang, berdahi lebar dengan rambut bersulah dan tiada sangat kelihatan uban. Dengan kehadirannya dan pengenalan terhadap dirinya, timbul keinginanku untuk berbual dengannya disertai dua lagi sahabat. Saya seperti lupa seharusnya mengikuti program senaman yang dari jauh kelihatan peserta-peserta sedang melakukan gerak badan berpandukan arahan seorang instructor.


"Berapa luas resort ini Pak Warno ?" tanyaku ingin tahu.
"26 ekar," jawabnya ringkas.
"Bagaimana boleh dapat tanah seluas dan seindah ini ?" tanyaku lagi.
"Beli dari tawaran pemilik asal yang tak dapat lunaskan bayaran bank," jawabnya.
"Berapa jumlah bayarannya ?" kataku.
"Seekar harganya RM10,000," jawabnya, "Oh jadi semuanya RM260,000," kataku.
"Begitulah," katanya. "Adakah buat pinjaman bank ?" tanyaku.
"Tidak, dari pinjaman keluarga dan simpanan masa bekerja." "Pak Warno bekerja apa dulu ?" kata sahabat bersamaku yang sebelum ini lebih bersifat mendengar sahaja.
"Panjang. Berbagai-bagai pekerjaan saya lalu selepas keluar dari UKM…" Belum sempat ia meneruskan percakapan, saya menyampuk.
"Oh Pak Warno keluaran UKM, tahun berapa keluar ? tanyaku. "1979," jawabnya.
"Selepas itu saya pernah kerja sebagai Pegawai di Intan, sebagai Pengurus Bank, pernah berkhidmat di MRSM dan di PPD, Kuala Selangor, Pengetua Sekolah Menengah di Seksyen 16 Shah Alam, pensyarah dan Pengetua Kolej di UKM dan sekarang selepas pencen tumpu kepada resort ini untuk jadikan tempat ini benar-benar memberi ketenangan bagi mereka yang datang."
"Tentu perlu modal besar," kata sahabatku.
"Bermula dengan modal RM200,000 bagi membangun tanah yang dibeli pada tahun 1985, tapi baru tahun 2005 menjadi realiti sebuah resort," katanya.
"Itupun selepas menghadapi berbagai-bagai halangan. Contoh, masa mahu bina bangunan resort peringkat awal, kami pergi ke Pahang beli berton-ton kayu, bawa balik dengan lori ke sini seharga RM70,000 dan diletak di tepi tapak ini, tiba-tiba keesokan hari kayu berkenaan habis dicuri. Pernah mendapat ancaman dari jiran tanah, kerana dianggap kami menceroboh. Hingga sekarang kami belum dapat bekalan elektrik, kerana terlampau banyak kerenah dan terpaksa guna generator sendiri. Untuk masuk elektrik perlu RM400,000 untuk bina sub station."
"Tentu kos generator sendiri 24 jam pasang, tinggi" kataku.
"Seliter diesel RM2.80 tanpa subsidi. Tidak 24 jam berjalan, kita kawal menurut keperluan."
"Berapa bangunan semua yang ada sekarang ?,"tanyaku.
"Ada 23 bangunan semuanya, termasuk di atas tanah 1 ½ ekar yang disewa berdekatan surau," katanya.


"Berapa perbelanjaan sebulan dikeluarkan untuk pengurusan ?" tanyaku.
"Lebih kurang RM50,000 sebulan. Ini termasuk maintenance RM10,000, gaji 20 pekerja RM20,000, pentadbiran dan berbagai-bagai RM20,000."
"Tapi pendapatan melebihi daripada itu," kata sahabatku.
"Al-hamdulillah untuk setahun penuh dibooking, tapi kita tidak ambil bayaran mahal. Oleh kerana bayaran amat berpatutan, sebab itu tempahan berterusan," katanya.
"Bagaimanakah dengan publisiti dibuat ?" tanya sahabatku.
"Hanya melalui mulut ke mulut mereka yang datang dan edaran bertulis, saya tak guna internate atau iklan di media cetak atau letronik."
"Bagaimana dengan persediaan makan, bagi yang datang kursus di resort?" tanyaku.
"Semuanya kami sediakan, tak ada yang sub-kontrak. Kami amat mementingkan kebersihan dan halal. Kami juga mementingkan adab dan akhlak," katanya.
Sememangnya perkhidmatan makanan yang disediakan sabagaimana kami alami adalah memuaskan.

Menurut Pak Warno, mereka tidak saja menyediakan makan minum bagi yang menempah kediaman secara pakej, tetapi juga menyediakan pakej kursus yang dikendali dan diuruskan oleh resort. Pihak resort menyediakan 7 modul:
1) Kursus kepimpinan
2) Pembimbing rakan sebaya
3) Perkhemahan unit beruniform
4) Perkhemahan kembara remaja
5) Kem Ibadat
6) Kem motivasi
7) Modul Malam Mencari kekasih


Saya sendiri dibekalkan keesokannya beberapa modul yang pernah dijalankan seperti Kursus /program/perkhemahan sekolah secara pakej yang kos seorang RM45.00 bagi satu hari dua malam dengan makan dan berbagai kemudahan, Program Agama cemerlang, syakhsiah terbilang selama 3 hari dua malam sebanyak RM100.00. Sebarang pertanyaan bagi kursus-kursus yang dianjurkan atau penempahan boleh hubungi Pak Warno di talian: 013 351 6189.
Sekian.

1 comment:

  1. Thanks for your information regards to this resort. Concern about the security at this place. Is it okay? Please share your opinion or experiences. Tq & wslm

    ReplyDelete