Membawa anak-anak dalam perjalanan jauh berkenderaan melangkaui 300 km dan memakan masa enam hingga tujuh jam agak sukar melayan dan mengawal kerenah mereka dalam kenderaan. Sebaik-baik dalam perjalanan mereka tidur. Justeru, tidak menimbulkan masalah, tetapi dengan begitu lama perjalanan, tidak mungkin sepanjang jalan mereka berterusan tidur. Bila mereka sedar dan tidak tidur, kalau mereka bermain bersama atau bercakap, kadang-kadang bersendirian, mungkin tidak bermasalah sangat, tetapi jika mereka berbalah dan merengek kerana kepuasan memerlukan campurtangan dari ibu atau nenek yang berada bersama.
Demikianlah dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur agak sukar melayan anak-anak, selain daripada tidur dan membiarkan mereka bermain dalam kenderaan. Satu lagi cara bagi menyekat mereka dari berbalah dan merengek, ialah dengan bercakap dan membuat soalan-soalan, antaranya menguji kecerdasan agar tumpuan anak-anak ke arah menjawab soalan-soalan. Demikianlah untuk meredakan keadaan anak-anak yang berbalah, seorang nenek mengemukakan kepada salah seorang cucunya soalan-soalan antaranya, kata nenek,
"Lina ada berapa adik beradik ?" (Lina sebenarnya anak ketiga dari lima beradik),
Dengan meluruskan dua jarinya sambil duduk di atas riba neneknya dia menjawab, "Dua orang". Neneknya berkata, "Salah"
Anak kecil berumur 3 tahun itu berhujah dengan menyebut dua nama adiknya, Esah dan Ahmad.
Nenek bertanya, "Mana dua lagi, khadijah dan Abdullah ?"
Jawab Lina, "Itu kakak dan abang, bukan adik!"
Jika direnung hujahnya benar. Adiknya memang dua orang. Adakah kita salah menggunakan bahasa menganggap adik beradik bagi seseorang (bukan anak sulung) adalah semua termasuk kakak dan abang.
Apakah kita masih kekurangan dan perlu kepada istilah khas bagi mencerminkan keseluruhan dari abang, kakak, adik lelaki dan adik perempuan ? Misalnya 'Adika' dan 'Adibang'. Misalnya, "Berapakah adika dan adibang anda ?"
Fikiran anak-anak kadang-kadang lebih tepat hasil dari kemurnian didikan..
No comments:
Post a Comment