May 15, 2011

Tiada Sumpah Penuduh: Tiada Yang Kena Tuduh Diminta Bersumpah - Tidak Shar`i - Profesor Dato` Hashim Yahya

Kediaman Menteri Besar, Shah Alam, 08 Jamadil Akhir = 12 Mei (Khamis):


Pengajian Bulanan di Kediaman Menteri Besar di sini diberitahu oleh Profesor Dato` HashimYahya dari UIAM, bahawa, ` Jika penuduh dibenar bersumpah menuduh orang lain berzina atau liwat, nescaya huruharalah masyarakat, kerana akan ada yang menuduh orang yang bukan-bukan dan dia bersumpah tentang tuduhannya.` Beliau memberi contoh sumpah Dato` T. Sumpah sedemikian tidak syar`I.
Menurut Profesor Hashim lagi, ``Rasulullah tidak pernah meminta sumpah dari orang yang kena tuduh zina dan liwat dan tak patut bersumpah, kerana ianya tidak syar`i.` Jika ada yang memaksa bersumpah menandakan orang sedemikian adalah jahil murakkab.`

Kuliah selepas maghrib pada malam ini tidak menggunakan teks biasa sebagaimana digunakan pada kuliah-kuliah lepas, iaitu Fiqh ad-Daulah. Sebaliknya Profesor Hashim menyatakan, `Kita akan bercakap tentang isu semasa, khususnya mengenai Zina dan Qazaf. Hadir pada malam tersebut ialah Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y.A.D. Dato` Setia Haji Mohd Tamyes Bin Haji Abdul Wahid, S.S.Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali Exco Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam, Y.B. Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam, Y.B.Dr. Rani Osman Adun Meru, Y.B. Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi Adun Sijangkang, Y.B. Dr. Shafie Bin Abu Bakar Adun Bangi, Prof. Dr. Rosti Saruwono Presiden dan Naib Canselor Unisal, pegawai-pegawai Kerajaan, Ahli-Ahli Majlis, pegawai-pegawai Masjid dan sebagainya.


Profesor Hashim Yahya menyatakan, ``Dari segi Maqasid ash-Shariah Islam menekankan penjagaan agama, nyawa, nasab, akal, harta dan muruah. Dalam konteks pembicaraan kita menurutnya, ialah menjaga nasab keturunan. Hanya benih yang baik menghasilkan buah yang baik. Beliau memetik firman Allah bermaksud:

``Dialah Yang Menyediakan kepada kamu muka bumi yang seharusnya kamu memakmurkannya (Hud, 11: 61)

Pentadbir yang baik seharusnya dari keturunan yang baik – iaitu anak yang salih. Islam melarang zina dan liwat kerana keduanya adalah jijik dan merosakkan keturunan. Tuduhan zina dan liwat terhadap seseorang sesuatu yang amat serius dan menjatuhkan maruah yang dituduh. Jika dibuat tuduhan dia mesti membuat ikrar dan membuktikan kebenaran tuduhannya dengan 4 orang saksi, jika tiada bukti penuduh dikenakan sebatan 80 rotan sebagaimana firman Allah:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan (termasuk terhadap lelaki) yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq (An-Nur, 24: 4).

Orang yang menjadi saksi hendaklah seorang Islam, mukallaf, adil dan celik penglihatan. Pada zaman Rasulullah tidak pernah terjadi hukuman terhadap orang berzina yang disaksikan oleh empat saksi. Tetapi pada zaman Rasulullah ada dua pengakuan zina. Seorang lelaki yang mengakui berzina dan dia dihukum rejam, manakala seorang perempuan juga datang membuat pengakuan dihadapan Rasulullah s.a.w. Rasulullah menyuruhnya balik sehingga ia melahirkan anak zina. Bila sekali lagi dia datang bersama anak dengan pengakuan zinanya, Rusulullah memintanya pulang agar menyusui anaknya hingga membesar berumur 2 tahun. Setelah selesai 2 tahun perempuan berkenaan datang lagi dan hukuman dijalankan ke atasnya.

Perempuan berkenaan insaf dan dia bertaubat Nasuha. Bila dia meninggal Rasulullah dan sahabat-sahabat turut sama menyembahyangkannya. Menurut Profesor Hashim Yahya Sumpah Li`an hanya berlaku di kalangan suami isteri. Sebagai contoh suami melihat dan menuduh isterinya berzina, maka hukumnya sebagaimana Firman Allah Ta`ala bermaksud:

`Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu), hanya dirinya sendiri, maka persaksian (yang sah pada syara`), bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar (An-Nur, 24: 6)

Cara sumpah hanya melalui mahkamah dan hukuman ditentukan oleh mahkamah.

Prof Hashim juga menceritakan bahaya fitnah sebagaimana yang berlaku ke atas Aishah r. anha dan Rasulullah s.a.w sebagaimana dikenali sebagai `Hadith al-Ifki – Percakapan Dusta` dalam sejarah. Aishah tidak diminta bersumpah. Perkara ini dimainkan oleh golongan munafiqun. Pada awal Aishah tidak mengetahui fitnah terhadapnya. Dengan fitnah berkenaan menyebabkan Aishah kembali ke rumah orang tuanya – Abu Bakar, hinggalah Allah Ta1ala menjelaskan ketidaksalahan Aishah dan mereka yang menuduh menerima hukuman.

Profesor Hashim juga menyebut tentang tuduhan menggunakan video yang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dijadikan hujah qat`I, kerana ianya sesuatu yang boleh direka. Beliau menyebut yang beliau melihat sebuah majalah yang pada kulit luarnya menunujukkan Presiden Obama berpakaian Arab berjubah sedang menunggang unta di padang pasir bersama-sama dua pengiringnya. Kalau dilihat gambar ini seolah-olah benar (Rujuk, The Economist, April 23RD – 29 TH 2011 – Tajuk Kulit luar `Crunch time in Libya`). Beliau memaksud kepada gambar pemimpin pembangkang berhubung dengan tuduhan tidak bermoral terhadapnya yang gambarnya dipersoalkan. Kalaupun gambar benar, maka individu yang wajahnya tidak jelas boleh dipersoalkan. Kesahihan pendapat sama ada oleh pakar dalam atau luar negera juga boleh dipersoalkan, bahkan motif dan tujuan orang yang membuat cakap juga boleh dipersoalkan, katanya.

Pokoknya Islam amat mementingkan kebersihan turunan . Fitnah dan tuduhan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenang.kerana ianya menjatuhkan maruah seseorang Ianya memerlukan saksi-saksi. Tududuhan palsu akan dikenakan terhadap penuduh palsu 80 sebatan. Sumpah li`an hanya boleh berlaku di kalangan suami isteri. Hukuman dijatuhkan oleh mahkamah. Dalam kuliahnya pada malam itu Profesor Hashim meminta agar apa yang disampaikan pada malam itu dapat diperpanjangkan kepada orang ramai agar kekeliruan dapat diperbetulkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment