Sebaik Adun Bangi menyelesaikan acara penutup Konvensyon Persatuan Penduduk & NGO Bandar Baru Bangi di PKNS BBB, Adun dimaklumkan berita mengejutkan tentang tanah runtuh di Lembah Mazuin, Semongkis, Hulu Langat yang melibatkan ramai kematian. Adun buat keputusan segera ke sana. Setelah menunaikan solat Asar di Musalla PKNS Adun bersama saudara Azizi dan disertai sama Ustaz Shafie Ngah segera bertolak ke Hulu Langat jam 5.30 petang. Perjalanan terganggu oleh kerana sesak, khususnya bila keluar dari highway dan masuk di jalan kampung. Lebih bermasalah lagi bila hujan turun dengan agak lebat. Lampu hazard terpaksa dibuka dan secara mahir saudara Azizi mencelah antara ruang untuk segera ke hadapan. Dalam perjalanan kami berselisih kereta-kereta polis dan ambulans berserin yang membawa mayat dan mereka yang tercedera segera ke Hospital terdekat, antaranya di Ampang dan Serdang.
Selepas lampu isyarat Batu 10 simpang ke Ampang dan Hulu Langat ada konvoi kereta polis dan pasukan penyelamat, saudara Azizi secara thrill mengikut konvoi berkenaan secara laju, tapi tersekat-sekat dengan membuka api hazard. Kami mengikuti terus hingga ke simpang ke Lembah Mazuin. Jika tidak menurut konvoi berkenaan sudah pasti kami terperangkap dan lambat sampai. Adun merasa kali ini kereta pacuan 4 roda jenis Hilux yang kami bawa amat berguna, khususnya bila memasuki jalan kecil yang berlopak, tidak rata lebih-lebih lagi becak. Kemasukan kami tidak disekat oleh polis traffic pengawal, kerana mereka melihat tertera pada kereta kami - "Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi", bahkan sengaja diberi ruang untuk kami lalui dicelah-celah kereta yang masuk-keluar dan yang parking kiri kanan. Kami difahamkan tanah runtuh berlaku sejak jam 2.30 tengahari tadi. Jadi orang ramai yang mendapat maklumat awal lebih awal datang. Dalam perjalanan kami menghubungi pihak-pihak yang kami fikir boleh dapat maklumat. Kami dimaklumi YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor akan turun, juga Dato` Dr. Hasan Ali, tapi sepanjang perjalanan kami, kami tidak ketemui. Memikirkan kami mempunyai agenda terakhir (kesepuluh hari ini) pada malam ini di Pekan Bangi, kami hubungi dan memaklumkan kemungkinan kami akan tiba sedikit lewat, kerana kami terpaksa berkejar ke Hulu Langat.
Perjalanan kami masuk di jalan sempit ke Lembah Mazuin antara kesesakan kereta yang sedia masuk dan parking kiri kanan lebih kurang 10 km. ke dalam dan dari cermin kereta yang basah dan kelabu kami lihat di perlembahan kolam-kolam dan rumah-rumah didirikan di perlembahan dan pinggiran bukit, sama ada rumah chalet atau rumah-rumah rehat persendirian. Di tengah hujan kami sampai ke penghujung yang tak dapat lagi dimasuki dan sedia dipenuhi kereta ambulan, polis, pasukan penyelamat – termasuk kenderaan rangkaian tv. Kami turun berjalan kaki di tengah becak. Payung yang ada hanya satu buah. Kami utamakan keselamatan kamera dan Adun memayungi saudara Azizi dengan alat kamera di bawah payung. Manaka Ustaz Shafie memilih berhujan tanpa payung. Perjalanan kami ke lokasi tidak jauh – hanya lebih kurang suku km sahaja.
Tempat runtuhan tanah bukit yang mengorbankan sembilan anak yatim ialah berlaku kepada bangunan betul-betul di tepi bukit sebelah kanan, manakala sebelah kiri perlembahan yang juga mempunyai bangunan-bangunan, khususnya untuk kunjungan hujung minggu. Bangunan banglo anak yatim bertingkat ini Adun difahamkan didiri dan dikendalikan oleh pihak swasta. Ia boleh dimasuki dari bahagian bawah dari jalan masuk dan sebelah kanannya ada jalan naik ke atas ke bahagian belakang di tepi bukit yang diparas agak steep kedudukannya. Antara belakang bangunan ada ruang medan bagi kegiatan anak-anak yatim. Difahamkan pada jam 2.00 tengahari tadi 25 anak yatim dan guru pembimbing pengajian sedang berlatih di bawah khemah acara marhaban untuk dipersembahkan bagi lawatan dari Finas yang dijangka membuat gambaran filem di sini. Tanah runtuh dari bukit dalam kadar yang besar – tiada hujan masa itu, menimbus kawasan belakang tempat anak-anak yatim berkenaan sedang berlatih.
Adun yang tiba ke lokasi bersama saudara Azizi dibenarkan naik ke atas hingga ke rumah dan berdekatan dengan tanah runtuh. Walau bagaimanapun orang ramai biasa dilarang menaiki ke kawasan ini, kerana pergerakan tanah masih berlaku dan dibimbangi kejadian tanah runtuh berlaku lagi. Difahamkan pada masa ketibaan kami, mangsa-mangsa yang hidup ramai lagi terperangkap. Mereka berusaha menyelamatkan mereka dengan berbagai peralatan dan mennyediakan gas dan menimba air mengalir dari memasuki lubang-lubang yang boleh menyekat udara bagi pernafasan mereka. Difahamkan ada anggota-anggota mangsa kelihatan dan usaha menyelamatkan sedang dilakukan. Adun meminta kebenaran dari pihak pengawal membenarkan saudara Azizi yang memakai Baju Media untuk masuk ke dalam untuk merakamkan gambar-gambar. Alhamdulillah saudara Azizi dibenarkan masuk ke dalam bangunan yang membahayakan itu. Beliau masuk ke dalam lebih kurang 15 minit dan Adun bersama pasukan ke selamatan menunggu di luar. Kami berada di lokasi lebih kurang setengah jam. Antara yang kami temui ialah YB Khasim Adun Lembah Jaya dan Puan Wan Hasrina. Ramai kenalan menegur kami.
Hari mulai gelap dan jam 7.30 petang. Kami buat keputusan untuk keluar. Tidak banyak yang kami dapat buat. Kedatangan kami untuk mendapat gambaran sebenar dan mendapat maklumat `first hand` dan lebih kepada menunjukkan simpati dan pernyataan duka sebagaimana pengunjung-pengunjung yang lain. Jalan keluar kami tidak begitu mudah kerana terpaksa mencelah antara lori dan kenderaan yang terus masuk-keluar dari parking kiri kanan jalan. Walau bagaimana dengan pertolongan traffic kami keluar dengan baik. Dalam perjalanan keluar tiga orang pejalan kaki yang juga mahu keluar meminta izin menumpang dan memanjat Hilux dan berdiri dan duduk di ruang terbuka Hilux. Mereka menumpang hingga hampir ke jalan raya di luar di mana mereka tinggalkan kenderaan mereka. Diperjalanan pulang kami singgah solat maghrib di musalla Petronas di jalan Hulu Langat. Kami menghantar Ustaz Shafie Ngah ke PKNS BBB yang di sini kenderaannya ditinggalkan, kerana mengikuti kami. Adun bersama saudara Azizi terus ke Sekolah Agama Pekan Bangi. Kami hubungi pihak pengurusan bahawa kami jangka akan tiba ke Majlis sekitar jam 8.30 malam, lewat setengah jam dari masa program asal. Syukur walaupun perjalanan kami dalam keadaan tergesa-gesa, hujan dan jalan kurang baik dan mengalami kesesakan. Alhamdulillah semuanya selamat.
Takziah kepada keluarga mangsa Anak Yatim dan yang cedera kita mendoakan mereka segera sembuh. Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh-roh yang meninggal- Amin.
Sekian.
*Mutakhir : Jumlah kematian seramai 16 dan cedera dan dirawat adalah 9. Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat ialah 25.
No comments:
Post a Comment