Adun Bangi tiba ke Sekolah Rendah Agama (SRA), Sasapan Batu Minangkabau, Beranang jam 3.00 petang bertujuan untuk menyertai Hi-Tea dan seterusnya merasmikan Penubuhan Alumni SRA di sini yang Adun kira agak jarang SRA selama ini menubuhkan Alumni sebagaimana dirancang oleh SRA Sasapan Batu Minangkabau. Hadir sama pada petang ini ialah YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Encik Saifuddin Shaari YDP PIBG SRA Sasapan Batu Minangkabau, En. Mohd. Fitri Saruni, Guru Besar, En. Waris bin Muhammad Ketua Kampong, Ustaz Jamaluddin Imam Satu Masjid Raja Alang, Beranang, AJK, ibu bapa dan pelajar-pelajar.
Dalam Majlis Perasmian YDP En. Saifuddin Shaari memaklumkan diadakan majlis pada petang ini ialah bertujuan bagi memungut derma bagi kegiatan Sekolah melalui penjulan kopun dan penubuhan Alumni bagi menghimpunkan maklumat semua bekas pelajar Sekolah ke dalam persatuan alumni, dengan ini dapat menyatupadukan mereka. Adalah diharap mereka dapat membantu dan memajukan Sekolah sebagai ibu kandung yang mendidik mereka, khususnya dalam bidang keagamaan.
En. Saifuddin memaklumkan Sekolah SRA di sini bermula dari bangunan surau yang dikenali sebagai Madrasah al-Kamaliah dibuka sejak 1960an, manakala Sekolah baru sekarang dibuka pada tahun 1970. Tapak surau yang menjadi bangunan Sekolah sebelum ini didirikan surau baru yang indah yang diderma oleh seorang hamba Allah yang kos binaannya mungkin mencecah RM100 ribu ringgit. Kini Sekolah baru mempunyai pelajar adalah berjumlah 330 orang. Bayangkan sejak 50 tahun yang lepas andaikan 100 pelajar belajar satu-satu masa, maka jumlah pelajar sudah melebihi 5,000 orang. Mereka inilah kita nak satukan ke dalam alumni, menurut En. Saifuddin. Kini tenaga pengajar di Sekolah ini berjumlah seramai 14 orang.
Adun Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu mengucap tahniah di atas inisiatif PIBG dan pihak Sekolah mengadakan Hi-Tea dan pertemuan hari ini. Beliau bangga dengan usaha menubuhkan alumni Sekolah. Kewujudan alumni dapat menghimpunkan bekas pelajar-pelajar dan dengan itu banyak faedah dari penubuhannya. Insya Allah mereka akan berusaha bagi memajukan Sekolah, bahkan Majlis Hi-Tea hari ini adalah dari usaha bekas pelajar yang anatarnya ada bapa dan anaknya adalah bekas pelajar Sekolah ini dan mengendalikan majlis hari ini. Tentulah bila ada alumni, usaha bagi menghimpun dana bagi kepentingan Sekolah lebih mudah diadakan. Kata Adun Bangi, ``Saya harap alumni bukan setakat mengadakan majlis seperti hari ini, tetapi memikir dan memberi sumbangan pendapat, bahkan bertindak bagi membentuk generasi muda yang menjadi pewaris kita di sini menjadi generasi yang dinamik yang bukan saja dapat memajukan Sekolah, tetapi masyarakat setenpat di Sasapan Batu Minangkabau, bahkan peranan mereka boleh diluaskan ke Beranang, bahkan Hulu Langat dan negeri Selangor. Adalah menjadi cita-ciuta kerajaan negeri bagi mendidik rakyat negeri Selangor sebagai rakyat yang mementingkan ilmu pengetahuan dan berakhlak dan berbudaya yang baik. Kita patut bersyukur kepada Allah kerana negeri Selangor amat peka dengan pendidikan dan pelajaran agama. Sama-samalah kita membentuk generasi dan turunan kita sebagai generasi yang berusaha menegak kalimah Allah dan di dalam keredaan Allah – Insya Allah.
Pada majlis itu pasukan nasyid dari Sekolah turut menyampaikan beberapa nasyid. Y.B. Dr Che Rusli Che Mat dan Adun Bangi turut membuat cabutan bertuah dan menyampaikan hadiah dan cenderamata kepada pelajar dan alumni.
Semoga usaha yang baik mendapat ganjaran berganda dari Allah. Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment