May 16, 2011

Bantuan Membina Rumah Mak Cik Rubaniah

Sungai Ramal Dalam, 10 Jamadil Akhir = 14 Mei (Sabtu):

Mak Cik Rubaniah bt. Talib (70) adalah ibu tinggal. Beliau tinggal di atas sebidang tanah di Jalan 8/25, Jalan Tok Baba, Bandar Baru Bangi (pinggir Sungai Ramal Luar). Beliau tinggal di sini bersama arwah suaminya En. Othman Ahmad (m. 2006) sejak tahun 1975 bersama anak-anaknya. Apabila tanah yang mereka tinggal diberi milik oleh PKNS dan diberi nama beralamat No. 7, Jalan 8/25 dan pengukuran sempadan dibuat sekitar 1990an, maka didapati sebahagian daripada rumah uzur Mak Cik Rubaniah termasuk di dalam tanah lot orang lain yang berjiran dengannya. Antara lot-lot tanah di sini turut dimiliki ialah Dato` Fathil Ketua Umno Serdang bersebelahan dengan tanah Tuan Haji Salim bin Hussein. Antara pemilik yang lain ialah Tuan Aziz Singgah yang juga orang kuat Umno.
Oleh kerana kemiskinan Mak Cik Rubaniah dan keuzurannya antaranya kencing manis yang memerlukan injek insulin dua kali sehari, maka Mak Cik Rubaniah tak mampu untuk mengalih dan mengubahsuai rumahnya yang agak uzur, tanpa bantuan dari pihak lain. Anak-anaknya tidak berkemampuan dari segi kewangan. Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam Tok Lateb bin Manan telah mendekati Adun Bangi, bagi kemungkinan mendapat bantuan meruntuh sebahagian rumah lama (termasuk dalam kawasan tanah orang) dan didirikan bahagian depan bangunan baru yang lebih sempurna dan terletak di dalam tanah milik Mak Cik Rubaniah. Kayu-kayu dari bahagian rumah lama akan digunakan bagi pembinaan rumah baru. Permohonan Mak Cik Rubaniah melalui Ketua Kg. Sungai Ramal dilulus oleh Adun dan pembelian bahan-bahan binaan telah dibuat.

Hari ini Adun Bangi bersama Tok Lateb, Tuan Syed dan AJK Kebajikan yang terdiri dari saudara Ridhuan, Puan Arbaisyah, Aishah, Lyana, Yushima dan Normin turun menziarah Mak Cik Rubaniah dan juga melihat rangka rumah yang mulai didirikan tiang. Bantuan barang-barang makanan juga turut disampaikan kepada Mak Cik Rubaniah.

Rumah yang sedang dibina dalam bahagian hadapan dari tanah Mak Cik Rubaniah, ialah rumah setingkat dengan mempunyai 3 bilik tidur. Dapur adalah bahagian belakang sebahagian dari bangunan yang sedia ada. Tukang adalah kalangan penduduk setempat dan kerja dilakukan secara sambilan di samping kerja biasa sebagai peniaga. Diharap rumah yang sedang dibina memberi keselesaan dan ketenangan kepada Mak Cik Rubaniah dalam meniti hari-hari tuanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment