Jikalaulah tidak kerana menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan tahun 2011 yang Adun Bangi adalah salah seorang ahlinya, maka Adun sebenarnya tidak mengetahui yang di Shah Alam telah mempunyai sebuah Teater Negeri yang indah dan menarik. Mesyuarat hari ini sebenarnya memanggil Dato` Bandar Shah Alam (MBSA) bagi menerangkan kedudukan bangunan dan masalah-masalah hingga kini belum digunakan. Mesyuarat hari ini juga diikuti berikutnya dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC) yang ada kaitan dengan peruntukan berhubung dengan Teater Negeri Selangor.
Sebelum bermesyuarat ahli-ahli mesyuarat, Dato` Bandar dan mereka yang berkenaan dijemput terus ke Teater sebelum bermesyuarat. Adun Bangi yang tiba jam 9.30 pagi di Shah Alam sebagaimana dikehendaki dalam agenda teracari-cari di mana kedudukan Teater berkenaan. Setelah menghubungi pihak berkenaan dan dimaklumkan berdekatan dengan Hotel Bluewave barulah diketemui bangunan berkenaan. Dato` Bandar (Dato` Jaafar), YB-YB dan pegawai-pegawai sedia berada di lobi bangunan sambil bersarapan pagi. Bangunan yang berfalsafah `Kipas Merafak Sembah` yang terletak di kawasan strategic ini (beredekatan dengan Muzium) kos pembinaan asalnya ialah RM43,838,000/=. Mulai dibina pada tahun 2004 dan siap pada Ogos 2008 dan CF dikeluarkan pada 22 Ogos 2008. Kini dalam tempoh 6 bulan MBSA diberi tanggungjawab menjaga bangunan ini, sesuai ianya terletak di dalam kawasan MBSA. Adun-Adun dari Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan PAC dibawa melihat ke dalam ruang teater. Teater yang pada asalnya dapat memuatkan 1,500 penuntun dikecilkan kepada 800 orang sahaja. Sungguhpun kelihatan siap, tetapi peralatan-peralatan bagi panggung, lighting, sound, curtain, bahkan perabut belum ada. Ianya memerlukan jutaan ringgit untuk menyempurnakannya. Dato` Bandar juga memaklumkan kerosakan-kerosakan yang berlaku, termasuklah akibat vandalisam – konsep bangunan terbuka dan tidak berpagar dan security kurang ketat. Hanya ada dua pengawal yang bertugas di waktu malam sahaja. Pada keseluruhannya sebuah bangunan teater diwujudkan di Ibu Negeri seperti Shah Alam memang sepatutnya di samp[ing wujudnya pusat konvensyen dan kemudahan-kemudahan budaya bertaraf tinggi di ibu negeri.
Setelah meninjau bangunan kami beredar ke Bangunan Dewan Negeri Selangor di bilik mesyuarat di Bangunan Annex. Dalam mesyuarat bermula jam 1030 Dato` Bandar membentangkan peranana MBSA yang lebih khusus melaksanakan amanah menjaga bangunan Teater Negeri. Kebanyakan maklumat yang disampaikan telah diterangkan semasa taklimat di Bangunan Teater. Sebagai tambahan maklumat bahawa projek bangunan teater ini pada asalnya dicadang untuk di dirikan atas tanah seluas 5 ekar beralamat di Jalan Platinum, 7/52, Seksyen 7, tetapi diubah ke tapak kini di Seksyen 14, Shah Alam. Tapak kini asalnya milik Persatuan Bekas Perajurit Cawangan Selangor. Beralamat Jalan 14/1, Seksyen 14, Shah Alam. Reka bentuk bangunan dibuat oleh Tetuan Kembang Serantau Sdn. Bhd. Yang juga sebagai kontrektor binaan.
Apa yang dibentangkan oleh Dato` Bandar adalah berhubung dengan bangunan yang walaupun ada kerosakan dan perlu pembaikan di
Dari penerangan yang dibuat, bahawa pengurusan teater negeri ini sepatutnya berada di bawah Jabatan Kebudayaan negeri dan bahagian kebudayaan ini adalah juga berada di bawah Exco yang bertanggungjawab berhubung dengan kebudayaan. Apa yang difahamkan hingga kini belum ada perancangan bagi mengisi dan menggerakkan operasi yang sepatutnya bagi sebuah teater yang begitu besar dan canggih. Ianya perlu dirancang dengan rapi. Penggerak teater sama ada atas nama Pengarah dan sebagainya belum ada dan sudah tentulah pentadbiran dan perancangan belum berjalan. Tenaga-tenaga pakar yang menghidupkan teater belum ada. Sepatutnya jauh sebelum teater siap sudah ada perancangan memilih dan menghantar `seniman teater` untuk mengikuti kursus bagi menjadikan mereka induk penggerak teater.
Dalam perbincangan dalam mesyuarat Adun Bangi mencadangkan agar pihak yang berkait dengan kebudayaan menjemput pakar-pakar dari Istana Budaya, Iswara, universiti-universiti yang mengendalikan kursus kebudayaan, kesenian, khususnya teater dan tokoh-tokoh perseorangan teater untuk berbincang dan mendapat pandangan bagi menggerakkan kegiatan teater di Selangor sebaik mungkin. Pengarah Teater Selangor hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang pakar dalam bidang teater bahkan aktivis teater.
Satu yang merisaukan, ialah nama `Teater` bagi negeri adalah satu bebanan besar bagi pihak pengarah dan pengurusan teater. Masalah yang dihadapi ialah:
- Setakat ini belum ada Pengarah atau Pengurusan teater yang bermakna tiada apa-apa persediaan bagi menggerakkan operasi dan kegiatan teater.
- Bagaimana dapat di isi persembahan teater dalam jangka panjang dan berterusan. Bagaimanakah penentuan karya, pemilihan dan penggiat teater mau dihidupkan secara berterusan.
- Apakah masyarakat di Shah Alam secara khusus dan Selangor secara umum adalah masyarakat yang sedar, meminati dan mencintai seni teater yang apabila persembahan teater dilakukan akan dipenuhi khalayak pencinta ini akan hadir memenuhi dewan teater, atau kekurangan atau ketiadaan khalayak penuntun.
- Sudah adakah persatuan-persatuan budaya dan teater diperingkat daerah, Bandar dan taman yang akan mendukung, mengisi dan peminat teater yang akan menghidupkan teater pada peringkat negeri ?
- Jangan mengharapkan keuntungan dari kegiatan berteater di Teater Negeri. Kegiatan memerlukan peruntukan yang besar sebagai modal membudaya dan menghaluskan hati nurani masyarakat sebagai keuntungan yang tidak tampak. Sanggupkah Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan tahunan yang mencukupi bagi operasi Teater Negeri.
Sebagai peringatan, bahawa pihak Negara sendiri tidak berani dan tidak mengambil risiko kemampuan bila mengadakan `Panggung Perdana` dan tidak menamakannya sebagai `Istana Teater Negara` kerana kekangan pengisian yang tidak dapat dilakukan secara berterusan. Sebab itu dinamakan `Istana Budaya`. Dengan nama Istana Budaya dapat diadakan pelbagai kegiatan seni dan budaya, termasuklah teater. Al-hamdulillah Istana Budaya berjalan dengan baik di bawah kendalian tokoh-tokoh kepimpinan yang berwibawa. Tetapi apakah Selangor mampu mengendali dan mengisi Teater Selangor sepenuhnya dengan kegiatan teater berterusan ? Inilah yang membimbangkan kita.
Kita mencadangkan nama bangunan teater itu ditukar kepada nama yang lebih terbuka yang dapat dijalankan berbagai kegiatan yang bersifat budaya termasuk teater, sebagaimana terbukanya Istana Budaya bagi berbagai-bagai kegiatan yang bersifat seni.
Antara nama-nama yang sesuai seperti `Alam Seni` `Alam Budaya`, `Istana Seni`, Singgahsana Seni`, Singgahsana Budaya`, Teratak Budaya`, `Teratak Seni`, `Puri Seni`, Puri Budaya` dan sebagainya. Apabila nama diberi bersifat terbuka, maka skop seni yang lebih luas dapat diisi. Ini termasuklah teater, filem, seni suara, seminar keilmuan berkenaan seni dan budaya, pembacaan al-Qur`an, pembacaan puisi, taridera rakyat, berbagai lakonan tradisional dan rakyat, dikir barat, nasyid, marhaban-barzanji, pembicaraan tentang kaligrafi dan pameran, pembicaraan tentang seni architecture, senior hias, seni taman, seni pakaian, seniu tenun, seni tekat, berbagai pameran seni dan lain-lain lagi.
Kita berharap `Singgahsana Seni Selangor` - `SSS` atau `3S` (mengguna satu dari cadangan nama di atas) dapat mengharumkan negeri Selangor dan menjadi sebahagian dari identity Selangor yang dapat menarik pelancong dan khalayak ke Singgahsana Seni Selangor`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment