Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan Majlis Penutup Konvensyen separuh hari di atas yang tamat jam 1.00 Tengahari. Sebelumnya Majlis Perasmian dilakukan oleh YB Dr. Hj. Yaakob Sapari. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asas & Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Selangor. Adun tidak berkesempatan mendengar ucapan YB Dr. Haji Yaakob, tapi sudah pasti berhubung dengan galakan agar masyarakat melestarikan hidup dengan memanfaatkan sumber keliling untuk menjanakan ekonomi – sekurang-kurangnya bersifat tambahan sama ada dalam bidang pertanian, maupun di dalam bidang perusahaan. Bahkan bidang berkenaan adalah di bawah Exco YB Dr. Haji Yaakob, sebenarnya beliau adalah penggerak utama dan Konvensyen hari ini ditaja bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama Kolej Dar al-Hikmah, Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad dan Global Peace Malaysia. Adun dijemput merasmikan penutup kerana tempat konvensyen adalah terletak di bawah DUN Bangi. Objektif konvensyen dijelaskan:
- Menjelaskan tentang konsep kelestarian hidup dan kepentingan kepada masyarakat.
- Menjelaskan konsep usahawan sosial dari perspektif dakwah dan fungsinya dalam masyarakat
- Mengetengahkan isu-isu alam sekitar sebagai medium dakwah dalam menggerakkan masyaraklat ke arah kelestarian hidup.
- Menjelaskan faedah-faedah yang boleh diperolehi kepada masyarakat dari aspek ekonomi, alam sekitar dan dakwah hasil amalan konsep kelestarian hidup yang diterapkan di dalam masyarakat.
Oleh kerana apa yang dikonvensyenkan adalah asing dari bidang dan maklumat Adun, maka Adun sengaja hadir lebih awal dari masa penutup bagi mengikuti dan memahami topik-topik yang diperbincangkan. Selain dari Ucap Utama yang disampaikan oleh YB Dr. Yaakob kertas berjudul Apa itu Kelestarian Hidup ? disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Kamal Mohd Ali – Pakar Perunding Pertanian Organik. Beliau juga adalah Penolong Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Peranan Pendidikan Dalam melahirkan Usahawan Sosial disampaikan oleh Encik Samsuddin Zainal Selaku Pengerusi Koperasi Belia Islam (M) Bhd. Kertas Pertanian Bandar & Teknologi Tepat Guna disampaikan oleh Haji Mohd Asri Abdul Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia. Hadir sama ialah Tuan Haji Md. Fuad Bahari @ Bukhari selaku Penasihat Konvensyen, En. Mohd.
Apa yang Adun dapat fahami dari pembentangan bahawa perlunya setiap kita mengambil peluang menjana pendapatan dari wadah alamiah dan alam sekitar yang ada pada kita dan alam sekeliling kita seperti menanam sayur-sayuran, serai, terung, kacang dan sebagainya. walaupun tak ada ruang, tapi boleh menanam di dalam beg plastic dengan menggunakan baja organic yang diproses sendiri dan mengelak dari baja kimia dan penggunaan racun serangga. Dengan demikian kita dapat menyelamatkan kewangan dari membeli di pasar. Yang lebih penting kita dapat menggunakan sayuran segar yang tidak dicemari racun serangga. Bagi menyedarkan masyarakat agar dapat memanfaat alam sekeliling, perlu kepada kesedaran, bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang mahir. Perlu dihidupkan kesegaran minda, kecenderungan, minat, kreatif dan innovatif. Misalnya melalui kesedaran dan kesesuaian bagi yang mahir dalam bidang automatif, misalnya dapat mendirikan bengkel. Juga misalnya Bangi sebagai Bandar Ilmu, maka darinya dapat diambil kesempatan menjana pendapatan. Misalnya berniaga buku, menerbit buku, mengadakan pameran dan jualan, mengeluarkan sovenier yang berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, seperti cenderamata pena yang terakam Bangi Bandar Ilmu, pemegang kunci Bangi Bandar Ilmu, mug, crest dan baju T Shirt yang terakam Bangi Bandar Ilmu, buku catatan Bangi Bandar Ilmu dan sebagainya. Terpulang kepada kreativiti dan innovasi seseorang usahawan.
Sebelum perasmian penutup konvensyen Pengarah Program saudara Mohd Azlan Md. Arshad membaca resolusi bahawa:
- Manusia yang dianugerah Allah minda dan rasa kemanusiaan hendaklah bersifat amanah dan bertanggungjawab di dalam memeliharakan hutan dan alam sekitar.
- Perlu dilatih dan membentuk masyarakat yang kreatif dan innovatif dan menghasikan keluaran yang menjamin pendapatan lebih.
- Hasil makanan dan pembuatan perlu kepada dikenal dan dipopulakan di tengah masyarakat.
- Perlu penggunaan teknologi sederhana sesuai dengan keadaan setempat dan perusahaan atau pertanian yang diadakan.
Bagi Majlis Penutup bagi Konvensyen Kelestarian Hidup & Pembentukan usahawan sosial, maka Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan pihak panitia konvensyen dan kepercayaan yang diberi. Kehadiran Adun lebih bersifat belajar dari mengajar. Dari perbincangan yang Adun ikuti, jika diamalkan cadangan, sebenarnya kita dapat mengurangkan apa yang dikatakan kemiskinan, jika pun tidak dapat dihapuskan seluruhnya. Modal paling utama ialah diri insan yang mampu menggunakan minda, kreativiti dan inovasi. Inilah peranan usahawan sosial bagi memberi pendidikan dan menyedarkan kalangan yang berpotensi menjadi usahawan atau usahawan sambilan tani dan perusahaan.
Apa yang dibincangkan pada hari ini patut diperluaskan kepada masyarakat, terutama golongan muda yang mempunyai tenaga dan peluang yang lebih. Apa yang dicadang dan diresolusikan oleh sidang secara kebetulan sedikit sebanyak telah Adun usahakan di Bangi. Misalnya mengadakan kursus usahawan kecil kepada ibu tunggal bagi melatih mereka berdikara misalnya membantu mereka dengan mesen jahit untuk mereka berusaha di dalam bidang jahitan, melatih golongan muda berusaha menanam cendawan, bahkan baru-baru ini kita adakan kursus memelihara kambing di Bangi, peringkat Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Hewan Hulu Langat dengan mendapat sambutan hangat, bahkan memberi modal bagi usahawan-usahawan kecil.
Bagi melahirkan usahawan, kini kerajaan negeri menyediakan pinjaman Kredit Luar Bandar dan Kredit Bandar (Mimbar) bagi membantu usahawan tani dan industri kecil. Apa yang dicadangkan di dalam resolusi misalnya memperkenalkan konsep kelestarian hidup, mewujudkan usahawan sosial, konsep pertanian Bandar dan kobsep penggunaan teknologi sederhana akan diangkatkan kepada pihak negeri. Bahkan hal ini telah lebih diketahui oleh YB Dr. Hj.Yaakob Sapari yang memang sedang giatkan dan memperkembangkan konsep pelestarian hidup di tengah masyarakat di negeri Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment