Sebelum Musim Haji, setiap tahun biasanya Masjid dan juga surau-surau tertentu menganjurkan kursus-kursus haji bagi membantu bakal-bakal haji melengkapkan diri dengan keilmuan bagi menyempurnakan ibadat haji dan ibadat-ibadat yang lain yang berkaitan. Bagi tahun 2011 ini kursus-kursus diadakan sejak dari awal tahun 2011 lagi (Muharram 1432) bagi menunaikan haji pada bulan Oktober (Zulhijah) kelak.
Demikianlah di Bandar Baru Bangi masjid-masjid dan beberapa surau terutama yang mendirikan Jumaat mengadakan kursus haji. Antara masjid ada yang menjemput Adun pada peringkat awal pelancaran kursus. Kini tiba pula peringkat akhir kursus dan antaranya Adun juga dijemput bagi merasmikan Majlis Penutup Kursus Haji. Antara masjid terawal yang Adun terima undangan bagi merasmikan Penutup Kursus Haji ialah Masjid As-Salihin, Teras Jernang.
Majlis Penutup Kursus Haji Masjid Teras Jernang berlangsung di Dewan Masjid itu yang agak selesa berkerusi meja dan berhawa dingin. Hadir bersama di Majlis penutup ini ialah Ustaz Bashir bin Alias Nazir Masjid As-Salihin, Tuan Haji Abdul Karim Musa Penyampai Kursus, Imam Kamaruddin Asmawi, Imam Masjid As-Salihin dan Encik Zakaria Deraman yang dilantik sebagai Penghulu peserta-peserta kursus.
Saudara Azman selaku Pengerusi Majlis menjemput Tuan Haji Abdul Karim menyampaikan ucapan tentang kursus yang disampaikan. Tuan Haji Abdul Karim berharap semua peserta dapat memahami kursus dengan baik. Menurutnya bahan-bahan yang dipelajari hendaklah diulang agar tidak lupa. Paling baik perlu dan selalu berbincang sesama peserta kursus dan sesama bakal haji. Jika ada perkara yang tidak faham jangan malu untuk bertanya, `bukan kepada saya sahaja,` kata Tuan Haji Abdul Karim, tetapi kepada guru-guru yang lain dan kepada peserta-peserta yang bakal menunaikan haji. Beliau mendoakan agar semua bakal haji akan mendapat haji yang mabrur.
Encik Zakaria Deraman yang mewakili para peserta kursus mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Abdul Karim di atas ilmu yang disampaikan. `Kalau dulu kami kabur tentang amalan-amalan haji, tetapi selepas mengikuti kursus insya Allah kami dapat lakukan ibadat haji insya Allah dengan sempurna, kata En. Zakaria. Beliau juga berharap melalui kursus haji yang dilalui diharap dapat mengeratkan silaturrahim antara para peserta dengan guru dan pegawai-pegawai masjid, bahkan lebih-lebih lagi antara peserta kursus. Setengah daripada kita mungkin akan bertolak dan menyertai jamaah yang sama atau sekurang-kurangnya dapat menemui sesama kita di tanah Suci. Kita mendoakan semoga Allah mengkabulkan permohonan kita dengan diberi kesihatan yang baik pada musim haji dan insya Allah dikurniai Allah Haji yang mabrur.
Ustaz Bashir selaku Nazir Masjid As-Salihin menyatakan, bahawa kursus haji akan terus dianjurkan pada setiap tahun di Masjid As-Salihin, bukan atas dasar mencari keuntungan, tetapi lebih kepada membantu para jamaah, khususnya ahli kariah Teras Jernang mendapat ilmu dan bimbingan menunaikan fardu haji, tetapi kursus seperti ini terbuka, sebagaimana kursus kali ini bukan saja dari penduduk Teras Jernang, tetapi dari luar Teras Jernang. Ustaz Bashir memaklumkan kursus pada kali ini ialah kali kelima, iaitu bermula dari 22 Januari tahun 2011 dan berterusan ke 21 Mei 2011 - hari ini. Lebih detail kursus berjalan selama 18 minggu dan jam kursus ialah 54 jam. Jumlah peserta yang mendaftar asalnya ialah 110 orang, tetapi yang kekal mengikuti kursus sehingga ke akhir ialah 97 orang. Menurut Ustaz. Bashir, pada kali ini kita menyediakan tempat dengan lebih selesa, berkerusi meja dan berhawa dingin. Walau bagaimana beliau meminta maaf jika berlaku kesilapan dan kekurangan.
Adun Bangi dalam ucapan penutupnya mengucap syukur dan tahniah kepada peserta-peserta yang insya Allah terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Nazir dan jawatankuasa yang mengadakan kursus dan menjadikannya sebagai acara tahunan. Adun juga mengucapkan terima kasih kepada Penyampai Kursus Ustaz Abdul Karim yang dengan gigih dapat melengkapkan penyampaian kursus dari awal hingga ke akhir. Menurut Adun, bagi sebahagian besar dari peserta kursus, bahawa pemergian ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima merupakan pemergian sekali seumur hidup. Sebab itu lakukandia dengan sesempurna yang mungkin. Bagi mencapai kesempurnaan, tidak lain dari keperluan belajar. Sebab itu tamat kursus pada hari ini, bukan bererti tamat dari belajar. Peserta-peserta kursus mempunyai baki masa yang panjang lebih kurang setengah tahun lagi. Sebab itu selepas kursus ini ikuti kursus atau pengajian tempat lain lagi. Bahkan ada lagi kursus ulangkaji, kursus padat dan sebagainya dianjurkan. Pendek kata peserta-peserta hendaklah terus belajar di samping meningkatkan amal ibadat.
Adun berharap peserta-peserta insya Allah sama mendapat rahmat dan syafaat dari doa Nabi Allah Ibrahim yang memohon dari Allah (Al-Baqarah 2: 126 – 128) antaranya:
- Makkah tempat ditunaikan haji dalam keadaan aman sentosa
- Mendapat kemurahan rezeki yang diusahakan secara halal
- Mendapat hidayah keimanan yang sempurna
- Diterima amal dan dimakbulkan doa oleh Allah
- Diterima taubat oleh Allah.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cendera hati.
Sekian.
No comments:
Post a Comment