May 23, 2011

Jalan 4/6 Bandar Baru Bangi Adakan Hari Keluarga

Seksyan 4/6 (A-E), BBB, 18 Jamadil Akhir =22 Mei (Ahad):

Persatuan Penduduk yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Shukor dan Ahli Jawatan kuasa hari ini berjaya mengadakan Hari Keluarga bagi kawasan-kawasan 4/6 (A-E). bertempat di padang permainan kawasan tersebut. Bagi menyempurnakan Hari Keluarga AJK menjemput beberapa pihak berkenaan memberi penerangan kepada penduduk iaitu Adun Bangi, Inspektor Zubir bin Samin Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi dan Dr. Haslina bt. Hassan dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat.

Menurut En. Abdul Shukor tujuan diadakan majlis pada hari ini ialah untuk mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dan mendapat penerangan dari jabatan dan agensi bagi maklumat penduduk. Penduduk pada hari ini bekerjasama menyediakan juadah. Menurut En. Shukor, ``Kami juga memberi perhargaan kepada anak-anak cemerlang di kawasan kami sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dalam pelajaran mereka.`` Menurutnya pada hari ini diadakan juga Pameran Pelastin di samping gerai-gerai jualan.

Inspektor Zubir bercakap tentang keselamatan dan bagaimana mencegah jenayah. Menurut beliau, walaupun statistik menunjukkan kadar jenayah makin menurun termasuk di BBB, tetapi penduduk hendaklah sentiasa waspada. Menurutnya Polis bekerja berdasarkan maklumat yang didapati, oleh itu penduduk hendaklah memberi maklumat kepada polis untuk mereka bertindak. Beliau memaklumkan no. telefon Balai Polis BBB dan telefon perabadi beliau. Polis akan bertindak berdasarkan maklumat tanpa mengira masa, katanya.

Manakala Dr.Haslina bercakap tentang denggi yang statistic di Hulu Langat hingga kini adalah tertinggi di Malaysia. Beliau mengingatkan demam denggi jangan dianggap ringan, kerana ianya boleh mengakibatkan kematian. Denggi berkembang dari persekitaran rumah yang mengabaikan pembasmian tempat-tempat yang boleh membiaknya nyamuk. Tiap orang hendaklah memberi perhatian tentang kebersihan dan tidak membiarkan kawasan rumah menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas jemputan Persatuan Penduduk. Beliau memaklumkan beliau turut datang ke sini pada pagi kelmarin (semalam) ketika penduduk mengadakan gotong royong membersih kawasan sebelum mengadakan hari keluarga pada hari ini. Beliau menerima telefon mengenai aduan parit kawasan tidak dibersihkan. Beliau berterima kasih kepada pihak MPKj yang menyertai gotong royong semalam dan berterima kasih kepada pihak Polis dan Jabatan Kesihatan yang menyertai Hari Keluarga pada hari ini. Adun juga menerangkan kepada penduduk dari segi kedudukan Adun dalam pentadbiran negeri dan penduduk membuat aduan, iaitu melalui Penghulu dan Ketua Kampong bagi pendudk kampong dan melalui Ahli MPKj bagi penduduk di taman-taman perumahan. Beliau juga menerangkan tawaran-tawaran kerajaan kepada rakyat negeri Selangor seperti melalui pendekatan Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor dengan Bantuan Kepada warga Emas, Bantuan Masuk Universiti, Pinjaman Pelajaran/Biasiswa, Air Percuma yang digunakan di bawah 20 kubik meter, pemeriksaan kesihatan percuma payu dara, pinjaman mikro kredit dan Mimbar, meluluskan permohonan tanah kepada mereka yang memohon dan layak dan berbagai-bagai tawaran lagi yang boleh dipohon rakyat yang berkelayakan.

Hari Keluarga berjaya mengeratkan hubungan masyarakat setempat. Hari Keluarga dan sambutan-sambutan seperti hari raya, hari-hari kebesaran wajar disambut antaranya bersifat tempatan, kerana ianya jelas dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment