May 21, 2011

Ibu Satu Anugerah Sangat Tinggi Perlu Dihargai: Wardina

Teras Jernang 15 Jamadil Akhir = 19 Mei (Khamis):


Wardina Safiyya Fadhlullah Welmoth seorang selebriti Tv 3 dan Model Sopan yang patut dicontohi oleh golongan wanita mengungkapkan kata-kata di atas sebagai panel pertama di dalam forum sempena Hari Ibu bertema `Sinergi Kasih Ibu Setiap Detikmu Begitu Berharga`. Forum yang berlangsung selepas Isyak bertempat di dalam Masjid As-Salihin Teras Jernang itu dianjur oleh GAMIS (Gabungan Mahasisaw Islam), SIGMA (Srikandi Gerakan Mahasiswi Islam Muda) dengan kerjasama Masjid As-Salihin. Dua panel lain yang mengambil bahagian ialah YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan dan saudara Rohidzir bin Rais Pengarang dan Pedakwah.


Menurut Wardina, Tugas mendidik anak-anak dan mengurus rumahtangga seharusnya sama dipikul oleh ibu dan juga suami, tetapi menurut Wardina yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi di sebuah pusat Pengajian Tinggi itu, ``Statistik menunjukkan 20% peratus sahaja suami yang membantu isteri yang bekerja sama mengurus rumah tangga, manakala 80% tidak membantu.`` Tambahnya, ``Ini menyebabkan isteri mengalami stress dan murung.``
Wardina yang mempunyai tiga anak yang masih kecil menceritakan pengalamannya di dalam mendidik anak-anak dengan melayan bercakap. Bila melatih anak-anak bersolat, bukan setakat menyuruh solat, tetapi menerangkan mengapa kita kena solat.`` Seorang wanita yang bakal menjadi ibu, kena memahami dalaman diri dan mengapa sesuatu perbuatan betul dan salah. Dengan demikian dapat mengelak dari perbuatan salahlaku contoh membuang bayi dan sebagainya.

Sebelum dari itu Adun Bangi selaku Tuan Rumah diminta menyampaikan ucapan pembukaan. Menurut Adun, ``Pada ibu terhimpun kimia bahagia. Teradun pada wajah lembut dan redup ibu ketenangan, kasih sayang, kecekalan, bahkan kebahagiaan. Berada dibawah lindungan ibu adalah jaminan keselamatan.` Sebab itu kimia bahagia yang ada pada ibu perlu diambil dan dipercikkan ke seluruh jiwa agar jiwa yang kasar menjadi lembut, sifat rakus bertukar kepada rahmat, kebencian menjadi kasih sayang. Pendek kata, jiwa dunia yang kasar jika di percikkan dengan kimia jiwa ibu, nescaya dunia bertukar menjadi rumah bahagia dan kasih sayang. Kata Adun, keluhuran ibu tiada bandingan dan tiada kata dapat diungkapkan.

Saudara Rohidzir bin Rais menafsirkan perintah Allah yang membawa kepada kebahagian kehidupna dari Surah Al-Baqarah ayat 83: Iaitu perlu menjaga 8 perkara: Jangan menyembah selain dari Allah, berbuat baik dengan ibu bapa (Huraian diberi penekanan), buat baik dengan kaum kerabat, menjaga anak-anak yatim, beri perhatian orang miskin, bercakap dan berurusan secara baik dengan manusia, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.

Jika semua perkara ini diberi perhatian, maka masyarakat berbahagia, sebagaimana bahagianya kita dengan mentaati ibu bapa.

Ucapan puncak bagi forum ini ialah dari YB Dr. Halimah Ali yang menyebut semua manusia mempunyai ibu, jika kasih sayang dan harapan dari ibu dibawa sebagai bekalan hidup, sesungguhnya tidak berlaku banyak gejala sosial sebagaimana banyaknya berlaku pada hari ini yang menimbulkan keresahan masyarakat. Menurut Dr. Halimah Kerajaan negeri Selangor memberi perhatian bagi menangani gejala sosial dan masalah masyarakat. Menurutnya kalau pada zaman Selangor di bawah BN, peruntukan bagi mengatasi gejala sosial secara nominal hanya RM10.00, tetapi pada zaman kerajaan Pakatan Rakyat peruntukan dinaikkan kepada RM1 juta.

Dr. Halimah melihat, seorang ibu dalam keadaan normal, tidak mungkin membuang anak, tetapi gejala ini makin meningkat. Ini merupakan sebahagian dari anggota masyarakat sakit. Kita perlu atasi kesakitan masyarakat dengan pendidikan, khususnya pendidikan keagamaan. Agar mereka bukan saja faham, tetapi insaf dan patuh pada suruhan agama. Tugas ini sebenarnya bukan saja pada kerajaan, tetapi juga pada masyarakat dan keluarga.

Dr. Halimah berharap dengan sifat kasih sayang ibu, dapat dibahagikan kepasa semua terutama bagi yang bermasalah, kerana mereka sebahagian dari anak-anak ibu dan berhak mendapat rawatan.

(Apa yang dibicarakan di atas merupakan forum bagi round pertama. Round seterusnya dan soal jawab tidak dapat diikuti, kerana terpaksa beredar ke program yang lain).

Sekian.

No comments:

Post a Comment