Persediaan bagi menghadapi mati tidak lain dari beramal saleh, mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan dan meningkatkan diri dengan amal ibadat. Tetapi bagaimana dengan pengurusan kematian ? Maksudnya bukan sekadar membawa kembali jenazah ke rumah, jika sekiranya meninggal di hospital atau di mana-mana, tetapi mengurusnya dari segi kifayah.
Bagi memahami pengurusan jenazah dan memprktikkannya, khususnya bagi waris terdekat - Anak yang menguruskan jenazah ibu dan bapanya lebih aula dari orang lain, maka Adun Bangi memberi sponser kepada Jawatankuasa Khairat Kematian Surau al-Umm - Surau tertua di BBB, untuk mengadakan Kursus Pengendalian Jenazah. Ini adalah merupakan Kursus Kedua diadakan di surau di atas selepas kursus pertama diadakan pada tahun lepas, khusus untuk muslimat/wanita dan Pengendali juga adalah wanita.
Kursus pada hari ini disertai lebih kurang 30 orang ahli jamaah surau al-Umm. Termasuk Profesor Dato` Dr. Wahid Pengerusi Surau, Tuan Haji Hussein Bendahari dan AJK. Beberapa bapa datang mengikuti kursus dengan anak muda lelaki mereka. Mungkin niat ayah, kalau mati, tentulah merasa sejuk dan tenteram jika jenazah dikendalikan oleh anak sendiri (termasuk mengimami sembahyang jenazah). Pada pagi ini kursus dikendalikan oleh Ybhg. Tuan Haji Imam Supaat, Imam Surau Al-Umm yang juga Imam Masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Acara ringkas dilakukan sebelum kursus disampaikan dengan Tuan Haji Abdul Rahman Daud Pengerusi Jawatankuasa Khairat Kematian mengalu-ngalukan Tuan Imam Supaat dan Adun yang hadir dan peserta-peserta yang mengambil Bahagian. Adun juga dalam ucapan ringkas, mengucapkan selamat mengikuti kursus sebagai persediaan bagi kita menyempurnakan tuntutan kifayah. Adun memaklumkan bersedia bekerjasama sebarang projek surau yang mahu diadakan.
Peserta-peserta bukan saja berpeluang mengikuti kursus pengurusan dari Imam Supaat yang amat berpengalaman, tetapi juga dibekalkan dengan `Buku Kertas Kerja Panduan`dan juga buku kecil `Cara Pengurusan Jenazah Islam`yang dikeluarkan oleh Jawi. Peralatan-peralatan yang diperlukan untuk praktikal seperti kain kafan turut disediakan.
Pengurusan berlaku selepas kepastian kematian dan diungkapkan Inna lillah wa inna ilaihi rajiun, maka dilakukan terhadap mayat menukar pakaian yang bersih, merapatkan kedua belah matanya, letakkan tangannya sebagaimana dalam sembahyang, rapatkan mulut, ikatkan dagunya dan simpul di atas ubunnya, luruskan kakinya, ikatkan kedua-dua ibu jari kakinya, letakkan di atas tempat yang tinggi, , hadapkan ke Qiblat dengan kakinya menghadap Qiblat. Tutup seluruh anggota dengan kain bersih. Berdoa dan banyakkan membaca ayat-ayat Qur`an.
Orang yang berhak dan lebih afdal menguruskan jenazah adalah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya anaknya sendiri. Bagi memandikan mayat perlu disediakan peralatan keperluan dari papan, kain mandi,, kain lap jenazah, baldi, gayung, lidi, sabun, sarung tangan, kapur barus dan sugi.
Seterusnya Mandi dengan niat dan kaedah yang melibatkan berpuluh-puluh item dan amalan seperti letak mayat pada bilik yang lapang dan berdekatan punca air, pengurusan sebaiknya oleh 5 orang, sediakan air sabun, air kapur barus, air daun bidara dan air bersih, angkat kepala jenazah hingga ke paras pinggang dan istinjakan jenazah, bersihkan dubur, bersihkan kuku jenazah, gosok gigi jenazah, bersihkan lubang hidung, telinga, celah jari, pusat, celah ketiak, mata, rambut dan wudukkan mayat dengan meniatkan jenazah, memandikan seluruh badan dengan mengiringkan ke kiri, kanan, telentang, membilas dengan telentang semula, bersugi, tukar kain, berwudhu` dan siram dengan air sembilan (9 kali) – doakan setiap kali siraman, lap badan, sikat rambut, cawatkan, angkat.
Manakala untuk mengkafankan perlu ukur panjang jenazah, bentangkan tikar, bentangkan kain putih sebagai kafan, koyakkan tepi kain untuk buat tali pengikat, sediakan bantal yang diperbuat dari daun pandan dan diletakkan di bahagian kepala jenazah,, sediakan gunting dan kapas 3 – 4 gulung bagi menutupi jenazah, tumbuk cendana halus-halus dan taburkan di atas kapas, tumbuk kapur barus halus-halus dan taburkan juga di atas kapas bersama cendana, memotong kain – 6 keping dicantum menjadi tiga keping, baju (gamis) hanya digunting bahagian leher sahaja dan sunat memakaikan serban/telekung sama ada si mati itu haji atau tidak.
Mengkafankan perlu tali pengikat pada hujung kaki, lutut, punggung, dada dan di hujung kepala di atas tikar sebelum letakkan kain kafan yang telah dipotong. Letakkan kain kafan lapisan pertama di atas tali selapis demi selapis hingga tiga lapis, letakkan baju pada atas lapisan kain kafan yang ketiga dan gulung bahagian atas kepala dan taburkan kapur barus dan cendana. Letakkan jenazah perlahan-lahan di atas kain kafan. Tutup semua anggota badan dengan kapas yang telah ditabur dengan serbuk cendana dan kapur barus. Tutup semua lubang dan sendi-sendi jenazah dengan kapas dan tinggalkan dahulu bahagian mukanya. Masukkan kepala jenazah perlahan-lahan ke dalam lubang baju. Bagi jenazah muslimat dipakaikan kain terlebih dahulu. Setelah sudah memakai baju dipakaikan serban bagi lelaki dan telekung bagi muslimat.
Mulakan kafan dari kiri ke kanan, tarik hingga bertemu hujung kain kiri dan kanan. Bahagian muka jangan dibalut lagi. Kemudian dikafan bahagian kedua dan ketiga. Bahagian muka belum ditutup untuk membolehkan waris memberi penghormatan. Ikatlah jenazah yang telah dikafan dan bersedia untuk disembahyangkan dan mengkebumikannya di perkuburan. Menguruskan jenazah sesungguhnya kifayah dan menguruskan sendiri jenazah keluarga adalah lebih baik sebagai khidmat anak atau waris terhadap jenazah keluarga secara mesra dan kasih sayang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment