Hari ini genap 65 tahun usia Umno. Jika individu sudah melewati usia emas, tetapi bagi sebuah organisasi parti baru melangkah separuh cycle normal keruntuhan bagi satu-satu organisasi dan pemerintahan. Sebagai sebuah organisasi parti yang memerintah bagaimana dengan Umno ? Tidak siapa menafikan jasa Umno dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan, tetapi akhir-akhir ini memperlihatkan Umno bagaikan tidak dapat menyembunyikan dalaman diri, ketara makin gelabah, bahkan tidak keruan. Jatuh bangun, kuat lemahnya sesuatu parti yang memerintah adalah sesuatu yang lumrah, tetapi kejatuhan dan kelemahan perlu diatasi dengan hikmah dan bijaksana, tetapi Umno hari ini memilih pendekatan yang tidak bijaksana, misalnya jika pada tahun 1960an para guru dengan ikhlas dan bermati-matian berjuang meningkatkan pendidikan anak bangsa, tetapi hari ini pendidikan menjadi sebagai saluran perniagaan yang mengikat pelajar-pelajar dengan hutang di samping mengikat mereka dengan akta-akta yang menghalang kebebasan. Dalam perjuangan menegak maruah bangsa adalah menjadi cita-cita bangsa melahirkan kepimpinan dan negarawan ulung di persada dunia, tetapi pada hari ini api hasad menyala membakar lawan dan mencari segala kemungkinan memusnahkan kepimpinan yang ada potensi dengan kaedah paling jijik, iaitu menggunakan fitnah melewati batas. Tanpa segan silu perkara ini dijaja kepada anak muda, masyarakat bahkan dunia, pada hakikatnya kita bukan menjaja seteru semata, tetapi wajah wajah Negara dan warga kita kepada dunia tentang jijiknya minda dan jiwa kepimpinan masyarakat kita. Kita bukan bercakap kepada dunia tentang bagaimana kita berjaya berada di kalangan Negara maju dan berjaya membentuk warga muda kita dengan semangat tinggi memperbaiki diri dengan pendidikan dan memancarkan diri dengan akhlak mulia pelapis di masa muka yang bukan saja menjadi kemegahan kita, tetapi menjadi contoh dunia. Sebaliknya anak muda kita berdepan dengan beribu masalah sosial dan moral yang begitu parah akibat tidak pekanya orang tua dan pemimpin Negara.
Lantaran sedemikian kita tidak berjaya membentuk masyarakat beramanah dan berhemah. Rasuah tetap melingkari masyarakat, keadilan dipersoalkan dan ketelusan dikesampingkan.
65 tahun usia Umno dan dalam keadaan parti itu menghadapi kehakisan kepercayaan, bukan pendekatan unggul diambil bagi memulihkan keyakinan masyarakat, tetapi bagaikan tidak percaya. Misalnya kerana melihat DAP mendapat dokongan masyarakat Cina, maka dengan tidak segan silu BN – termasuk Umno menawarkan kerjasama dengan DAP bagi menguasai pemerintahan. Kita bertanya dimanakah maruah BN-Umno membuat penawaran sedemikian, sedang pada masa yang sama menempelak kegagalan MCA dalam menarik sokongan masyarakat Cina secara terang-terang. Walau bagaimana MCA ada sedikit maruah dengan berjanji jika dalam pilihanraya ke 13 akan datang mereka kehilangan sokongan mereka tidak akan menyertai kabinet. Tetapi sifat talam dua muka tentu meruntuhkan keyakinan baik dari masyarakat Melayu, bahkan masyarakat Malaysia terhadap kepimpinan Umno. Sememangnya Umno sedar mereka kehilangan pengaruh dan makin menggelabah. Umno menyedari yang mampu menyelamatkannya hanya orang Melayu dan dengan pemikiran pendek dan juga dari perhitungan pendek, mereka berpendapat dengan penggemblingan usaha mendapat sokongan orang Melayu yang majoriti 60% rakyat, mereka menjangka akan kekal memerintah dengan tambahan sokongan bukan Melayu. Dengan perhitungan pendek dan tidak bermaruah, bahkan disifatkan sebagai `gila tolak` Umno membuat tawaran supaya Pas bersatu dengan Umno bagi mengekalkan kuasa Melayu secara rasis. Kita merasa hairan tindakan yang kontradik yang dilakukan Umno yang dari segi luaran dengan lantang melaungkan satu Malaysia. Pada hakikat tiada makna, lantaran praktisnya tiada, bahkan bercanggahan. Kita kasihan melihat pegawai-pegawai mengusung no. 1 di dada ke sana ke mari yang pada hakikatnya tiada makna bahkan bertentangan.
Lebih dahsyat dan di luar dari jangkaan, Umno melalui akhbar dokongan sanggup memainkan api perkauman dan isu keagamaan yang konon paderi-paderi Kristian membincangkan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Negara yang dinafikan oleh mereka. Apakah Umno sanggup menyalakan api persengkitaan, supaya orang Islam bersatu menentang usaha-usaha paderi berkenaan dan menyokong Umno ?
Kita berpendapat rakyat Malaysia, walaupun dimabukkan dengan berbagai-bagai isu yang setengahnya sengaja diada-adakan mereka masih tetap rakyat yang rasional dan dapat membezakan antara yang kaca dan intan. Mereka lebih rasional dari setengah kepimpinan Umno.
Kita berharap 65 tahun usia Umno menjadikan mereka lebih matang bukannya makin tidak keruan. Usia Umno 65 tahun diharap bukan sebagai usia warga emas individu yang menunggu masa pengakhiran untuk dikafankan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment