May 30, 2011

Hari Kesihatan Di Rumah Pangsa Seksyen 16, BBB

Seksyen 16, BBB, 25 Jamadil Akhir = 29 Mei (Ahad):

Adun Bangi pada pagi ini menganjurkan Hari Kesihatan di Seksyen 16 bertempat di Sekolah Kafa Integrasi Surau Istiqamah di sini. Hari Kesihatan ini adalah dengan kerjasama, Fakulti Perubatan UPM yang diketuai oleh Profesor Dr. Fatimah, Hospital Pakar An-Nur yang diketuai oleh Puan Marzita, Master Skill yang diketuai oleh Cik Shanti dan kerjasama dengan Surau Al-Istiqamah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Nur Thani Ujud. Hadir sama ialah saudara Harunurrashid Pengarah Program, Puan Arbaishah, saudara Faisal, Shahrum Abdullah dan Amir Osman. Pemeriksaan kesihatan melibatkan tekanan darah, pengesanan penyakit, ujian gula, kanser terutama payu dara dan obesity. Pemeriksaan dilakukan oleh tenaga-tenaga sukarela dari ketiga-tiga institusi perubatan yang disebutkan. Perkhidmatan yang diberi adalah percuma.

Dalam ucapannya Profesor Dr. Fatimah dari UPM berterima kasih di atas kerjasama pihak Adun Bangi sejak dari awal, apabila rancangan Hari Kesihatan dikemukakan kepada Adun Bangi, dan terus mendapat penerimaan yang baik. Di samping memberi khidmat pemeriksaan secara percuma, pihak institusi kesihatan mempunyai objektif tertentu dari pemeriksaan seperti menghimpun data maklumat bagi kegunaan pihak institusi dan pelajar-pelajar, Profesor Dr. Fatimah berpuashati di atas kerjasama dan kehadiran penduduk bagi mendapatkan rawatan.

Saudara Harunurrashid memaklumkan, ini adalah Hari Kesihatan kedua selepas pelancaran pertama pada 2007 di bangunan lama Sekolah Kafa Integrasi, Seksyen 16. Hari ini di Bangunan Sekolah Kafa Integrasi yang baru yang banyak memberi kemudahan bagi pihak penganjur, institusi-insatitusi kesihatan dan penduduk yang datang membuat pemeriksaan. Menurutnya fokus pemeriksaan kesihatan ditujukan kepada 944 buah unit rumah pangsa di Seksyen 16 yang jumlah penduduknya melebihi 4,500 orang. Pemeriksaan percuma juga ditujukan kepada penduduk di Council Home, terutama bagi 200 unit di dua buah rumah pangsa Council Home. `Kita telah edarkan maklumat dari pintu ke pintu termasuklah iklan melalui poster-postar, katanya. Tambahnya, ` Terima kasih kerana kehadiran adalah memuaskan.` Orang ramai berbaris di tempat pendaftaran dan tempat-tempat pemeriksaan. Pemeriksaan dihentikan sekejap bagi majlis pembukaan yang dijalankan.

Adun Bangi ketika bercakap bagi majlis perasmian mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak UPM, Hospital Pakar An-Nur dan Master Skill dan terima kasih kepada Surau Al-Istiqamah kerana membenarkan dewan Sekolah Kafa Integrasi digunakan bagi Hari Kesihatan. Adun mengingatkan kepada penduduk yang hadir perlu beri perhatian kepada kesihatan diri. Antaranya melalui permakanan sihat, selalu bersenam dan memeriksa kesihatan seperti hari ini. Jangan abaikan kesihatan, kerana jika kita sakit akan terganggu segala program, tidak boleh kerja, terganggu ibadat dan jika anak-anak yang sakit tidak dapat ke Sekolah. Jika sakit memerlukan rawatan dan rawatan memerlukan kewangan dan juga masa. Sebaik-baiknya ialah dengan mencegah sebelum sakit. Menurut Adun selain dari sakit biasa kini rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan makmur risau dari penyakit obesity yang diakibatkan oleh permakanan. Kawal permakanan dengan demikian dapat mencegah dari penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Sebab itu sebelum penyakit-penyakit menyerang diri jaga dan kawal permakanan dan selalu bersenam.

Adun Bangi juga melahirkan kerisauan, kerana ramainya mereka yang mengalami saklit barah dan meninggal. Kematian diakibatkan oleh penyakit ini agak tinggi di kawasan Bangi. Namun ini berdasarkan penelitian kasar. Kita bertanya adakah dengan adanya Pusat Penyelidikan Atom di Bangi atau ramainya mereka yang bekerja di institusi penyelidikan dan makmal yang terdedah kepada radio aktif. Adun berharap jika institusi penyelidikan terutama dari universiti-universiti membuat kajian, adakah ianya berasaskan fakta atau sangkaan yang tidak bersandarkan hujah akademik. Kita harap ada usaha ke arah sedemikian. Pemeriksaan pada hari ini dijalankan serentak di tiga meja pemeriksaan dan berlangsung dari 8.30 pagi hingga jam 1.00 tengahari.

Adun Bangi merasmikan Hari Kesihatan Dun Bangi dan kemudian membuat lawatan dan turut membuat pemeriksaan bagi tekanan darah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment