May 2, 2011

Menghangatkan Kecintaan Tak Pernah Padam

Bandar Baru Bangi, 27 Jamadil Awal = 01 Mei (Ahad):

Pada hari pekerja ini aku berazam menghangatkan dan terus meningkatkan kecintaanku terhadap bidang penulisan. Sesayup jauh kuletakkan batu tanda permulaan azamku pada penulisan sejak tahun 1960, iaitu ketika aku bersekolah menengah Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu. Pada masa itu aku pernah hasilkan novelette yang berjudul NORMAN dan menghantarkannya ke Penerbit Sinaran Brothers, Pulau Pinang. Novel pendek ini dipulang kembali kepadaku secara baik dengan nasihat dan memberi semangat kepadaku meneruskan penulisan. Aku pernah menghantar cerpen-cerpen bertulis tangan memasuki peraduan cerita kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi tidak pernah mendapat kemenangan. Apabila aku menjadi guru sementara di Sekolah Arab Al-Ma`arif, Kg. Raja Besut setelah lulus Sijil Thanawi (9), cita-cita untuk menjadi penulis berterusan. Aku menghantar puisi-puisi ke penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti Majalah Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat juga kepada akhbar-akhbar harian terutama akhbar-akhbar Mingguan Berita Minggu, Utusan Zaman dan kemudian Mingguan Malaysia. Tiap hantaran ke penerbitan-penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat jawapan `Dalam Perhatian`, tapi tak pernah mendapat tempat, tiada sebarang jawapan dari akhbar-akhbar. Pada masa itu aku membeli semua penerbitan-penerbitan Dewan Bahasa dan akhbar-akhbar – terutama hari minggu, bukan saja bagi mengikuti berita semasa, tetapi bertujuan memperbaiki bahasa, kerana pada masa itu , bahkan sebelum dari itu aku belajar malam dan persendirian di Besut mengambil peperiksaan dari LCE, SRP, SPM dan seterusnya STPM. Aku bercita-cita ke Universiti serentak dengan cita-cita menjadi penulis.

Penerimaan aku ke UKM sebagai Pelajar Sulung (18 Mei 1970), ketika aku berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Al-Maarif (kali kedua setelah bertukar ke Dungan (1963-1965) dan ditukar kembali ke Sekolah Al-Maarif setelah beristeri) adalah sejarah penting bagi diri dan keluargaku. Setelah ke universiti (Isteriku memohon tukar ke Sekolah Khairiah, Kuala Terengganu. Tinggal di rumah kami di Padang Midin berempat beranak – berhampiran rumah bapa dan mertuaku).

Kemasukanku ke UKM adalah `breakthrough` bagi bidang penulisanku dan juga akademik. Bila di universiti aku tidak sekadar mengikuti kuliah di Fakulti Sastera semata-mata, tetapi bergiat membimbing Grupemuisi UKM, sama mengisi ruang akhbar mahasiswa Gema Siswa dan menghadiri aktiviti persatuan-persatuan penulis seperti Pena dan Gapena dan persatuan-persatuan penulis negeri dan pertemuan-pertemuan penulis seperti Hari Puisi dan seminar-seminar sastera. Puisi pertamaku diberi tempat terus di dalam majalah berwibawa dan berprestej dari segi penerbitan iaitu di Majalah Dewan Bahasa Mac 1971 berjudul Asas Pribadi (hlm. 135). Selepas itu puisi-puisiku mulai lahir di Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Utusan Zaman, Berita Minggu dan diterbit di dalam berbagai antologi dan penerbitan-penerbitan yang lain. Puncak kejayaan dalam berpuisi (Setelah menjadi Pensyarah) apabila aku memenangi hadiah sastera Malaysia dalam bidang puisi pada tahun-tahun 1975,1976 dan 1985. Selepas itu aku tidak lagi memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Sastera Perdana kerana aku dilantik menganggotai Panel Penilai Hadiah Sastera 1986-1999.

Satu perkembangan penting bagi bidang penulisanku, ialah apabila aku dijemput oleh pihak DBP menyertai Bengkel Teori Sastera. Pembimbing ialah A. Samad Ismail Pngarang Terkenal, Nordin Sofie Ketua Pengarang NST dan Baha Zain Pengkritik dari DPB. Dalam bengkel tersebut aku membentang kertas kerja bertajuk, Sastera, Metodologi dan Penetapan Teori berlangsung di Port Dickson dari 29 – 31 Oktober 1992. Ini permulaan bagiku memperkenalkan Teori Sastera Islam yang dalam pembentangan di tempat-tempat lain selanjutnya menghasilkan Teori Takmilah. Teori ini diterima baik dalam kalangan ahli akademik terutama di UPM, UM dan UPSI (dikembangkan oleh pelajar-pelajarku di universiti-universiti tersebut). Dua buah tesis Ph. D dihasilkan menggunakan teori ini bagi mengkaji puisi dan cereka. Salah satunya aku menjadi Penyelia dan sebuah lagi selaku Pemeriksa Luar. Terdapat kajian-kajian menggunakan teori Takmilah pada peringkat sarjana. Pendek kata Teori Takmilah menjadi salah satu teori sastera tanahair.

Satu perkembangan lanjutan ialah melengkapkan teori persuratan yang Takmilah lebih mencakupi bidang kreatif, manakala bagi penulisan ilmu dan akademik masih kosong, lantaran itu aku menampilkan pada pertemuan pada 7 Januari 2006 Konsep Persuratan Islam yang dikenali dengan PESURAT (Persuratan Adab dan Tamadun). Termasuk di bawah Pesurat ialah segala jenis persuratan yang bersifat ilmu dan berperanan membina budaya, peradaban dan tamadun ummah.

Bagiku menulis bukan sekadar menulis dan bukan main mainan, tetapi sesuatu yang serius dan melibatkan ilmu dan kreativiti. Aku menulis lantaran mempunyai misi dan visi. Bagi kegiatan kreatif penulisanku di bawah rangka Teori Takmalih, manakala penulisan di bawah bidang ilmu adalah di bawah rangka PESURAT dan pengalaman harian –SEMASA` adalah ruang bagi menimba pengalaman dan mengambil keputusan. Di bawah dua teori dan pendekatan Takmilah dan PESURAT inilah menjadi panduan, rangka pendekatan dan arah tuju bagi penulisanku bergerak dan berkembang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment