


Bila tiba ke sana jelas kedapatan lori bomba sebuah berada di luar dan beberapa buah di bahagian dalam. Adun segera ke kawasan perumahan dan disambut oleh Haji Yusof Ketua kampong dan penduduk yang sedang berada di lokasi. Selepas bersalam dengan Ketua kampong dan penduduk serta beberapa pegawai bomba yang bertugas, Adun dibawa melihat rumah-rumah terbakar yang pekerja-pekerja bomba masih lagi aktif memancut air dan antara mereka sedang memecahkan siling bagi memastikan api tidak lagi menyala dan padam. Lokasi kejadian tepat ialah rumah no.27, 28 dan 29 Jalan Rakyat Satu, Taman Khoo Kay Boh. Rumah intermediate (tengah). Rumah no. 28 paling teruk dan dijangka api bermula dari rumah ini dan rumah kiri kanan turut terbakar yang juga rosak teruk. Pemilik rumah ialah:

1) Rumah No. 27 Pemiliknya ialah Tuan Haji Zainal Arifin, Bekas Nazir Masjid, Masjid Haji Mat Saman dan pemimpin Umno di Kg. Sungai Ramal Luar. Kini dihuni keluarganya. Mereka suami isteri bekerja dan belum pulang.
2) Rumah No. 28 Pemiliknya ialah Puan Raja Takyah bt. Raja Abdullah (80). Rumah ini paling teruk terbakar. Bumbung dan bahagian atas runtuh.
3) Rumah No. 29 pemiliknya Tuan Haji Mohd Nor bin Moin (78). Pesara dan ahli jamaah dan AJK masjid Haji Mat Saman yang Adun sering bertemu bila berkunjung ke Masjid Haji Mat Saman dan Surau At-Talabiyah.

Sementara itu Adun menyampaikan bantuan kepada Tuan Haji Mohd Nor bin Moin sejumlah wang untuk keperluan segera. Kemudian Adun bersama Ketua Kampong dan Penghulu dibawa oleh penduduk menemui Raja Takyah yang telah dibawa ke rumah jiran di Jalan Rakyat 2, bagi mententeramkan dirinya. Sementara sampai ke rumah kami bersalam dengan pegawai bomba yang bertugas di bahagian belakang – Jalan Rakyat Dua. Ada dua buah kereta bomba di belakang menjadikan semua kereta bomba 4 buah. Adun bertanya Pegawai Bomba ditemui, dari mana lori-lori bomba yang tiba. Menurut Pegawai Bomba bertugas, dua buah dari Bomba Bandar Baru Bangi (termasuk sebuah yang besar yang membawa air), sebuah dari Kajang dan sebuah lagi dari Cyber Jaya. Kami mengucapkan terima kasih di atas tindakan segera dan bertugas secara cekap dan efficient.
Kami di bawa ke sebuah rumah di Jalan Rakyat Dua dan dipertemukan dengan Raja Takyah yang terauma dan bagai tak sedarkan diri, sambil menyebut semua barang-barang hilang termasuk kad pengenalan dan buku akaun turut hilang. Kami dan beberapa yang lain mententeramkan Raja Takyah dan minta bersabar. Beliau agak reda selepas menerima sumbangan dari kami. Adapun bagi penghuni rumah yang belum pulang, kami amanahkan kepada Ketua kampong Tuan Haji Yusof untuk menyampaikan bantuan.
Kami keluar dan petugas-petugas bomba mulai menyimpan barang-barang selepas berpuashati api tidak ada lagi dan Adun Bangi juga mohon meminta diri.
Firman Allah: Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ``Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali` (Maksud Surah Al-Baqarah 2:155-156).
Sekian.
No comments:
Post a Comment