May 24, 2011

Menghargai Jasa Guru

Balakong, 18 Jamadil Akhir = 22 Mei (Ahad):

Guru adalah profesyen mulia. Peranannya mendidik generasi dengan ilmu pengetahuan dan akhlak; Tiada kepimpinan tanpa didikan guru. Sebarang kejayaan, maka di belakangnya ada guru. Guru sama peranannya dengan ibu. Guru mendidik minda dan jiwa, sedang ibu mendidik fizikal dan segala. Kejayaan individu oleh guru dan kejayaan masyarakat juga adalah oleh guru. Besarnya peranan guru, tiada kata sepadan untuk diungkapkan jasa guru. Sebagai ingatan dan kenangan, maka antaranya diadakan Hari Guru. Sebagai memperingati dan mengenang jasa guru, maka Pusat Pemantapan Akademik dan Sahsiah Islam (PAKSI) dipengerusikan oleh Puan Muhibah bt. Haj Nor menganjur bersama Pejabat ADUN Bangi Sambutan Hari Guru 2011. Sambutan diadakan di Dewan Orang Ramai, Balakong, Serdang. Antara objektif program sambutan ialah:

  • Memberi penghargaan kepada para guru di atas sumbangan mereka mendidik anak bangsa serta membantu membentuk kecemerlangan pelajar melalui sifat mereka yang penuh berdedikasi, amanah dan bertanggungjawab.
  • Menyuntik semangat dan keyakinan para guru untuk terus menyumbang kepada perkembangan masyarakat yang berteraskan nilai-nilai hidup yang positif, mapan serta mempunyai jati diri yang teguh dalam menghadapi era globalisasi yang mencabar melalui slot motivasi diri.
  • Meningkatkan tahap kesedaran guru mengenai peranan mereka yang tidak harus tertumpu kepada pencapaian akademik pelajar semata-mata, bahkan perlu juga menitikberatkan aspek-aspek kerohanian dan perkembangan syakhsiah yang mantap melalui keseimbangan rohani, fizikal dan jasmani.

Antara program yang diisi pada hari ini ialah:

Ceramah Motivasi oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri, Pensyarah UKM yang juga sebagai Presiden Persatuan Intelek Malaysia, Majlis Pembukaan, Tayangan Montaj dan Penyampaian Cenderamata.
Dalam Majlis Perasmian Puan Norhabibah menyampaikan ucapan alu-aluan dan mengucapkan terima kasih kepada Adun kerana sudi hadir dan terima kasih kepada Prof. Madya Dato` Dr. Tamuri yang menyampaiak motivasi kepada hadirin, manakala Tuan Haji Shahrul Nizam selaku Pengerusi Pasti Kawasan Serdang menyebut tentang kewajipan mewujudkan pendidikan bagi mendidik generasi sebagai tuntutan Islam. Beliau menyebut di Serdang kini mempunyai 23 pasti dengan 1,788 murid. Serdang adalah merupakan antara tempat terbaik perkembangan Pasti bermula dari 1984 dan terus berkembang hingga 2011. Kini perbelanjaan bagi seluruh Negara untuk gaji bulanan guru sebanyak RM1.2 juta sebulan dan RM14 juta setahun yang secara tidak langsung memberi bantuan kepada Negara dari segi pekerjaan – terutama bagi 3.000 guru di seluruh Negara.

Adun Bangi dalam ucapan perasmian memuji pihak Pasti yang mengadakan Hari Guru. Ini adalah selari dengan Dun Bangi yang menekankan keilmuan dan memprojekkan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Dalam sejarah perjuangan Islam mutakhir dua pendekatan terkenal diambil, iaitu pendekatan politik seperti yang dipelopori oleh Jalaluddin al-Afghani akhir abad ke 19 dan Muhammad Abduh awal abad 20 dan di Negara kita seperti yang dipelopori oleh Abu Bakar al-Baqir pemimpin Hizbul Muslimin pada akhir1940an dan diteruskan oleh Pas dari 1951 hingga kini. Satu lagi pendekatan ialah melalui pendidikan seperti yang dipelopori oleh Muhammad Rashid Reda pada 1930an dan dalam Pas seperti oleh Zulkifli Muhammad dan Pasti. Adun Bangi berpendapat kita hendaklah mengambil kedua-dua pendekatan secara serentak – Politik dan pendidikan. Dalam Pas sendiri, selain dari politik kini menekankan juga pendidikan sebagaimana tertubuhnya Universiti Zulkifli Muhammad. Pas Serdang dan Dun Bangi memang menekankan dari segi pendidikan dan memberi insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang setiap tahun di samping mengadakan kelas Tuisyen Rakyat bagi pelajar-pelajar miskin.. Adun berharap pihak Pasti dan Pas memberi perhatian di dalam merangka ko-korikulum pendidikan bersifat keislaman secara holistic bagi setiap peringkat.

Majlis Sambutan Hari Guru ini diakhiri dengan penyampaian anugerah, cenderamata dan sumbangan kepada guru-guru (Tidak berkesempatan mengikuti ceramah motivasi oleh Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri sebelumnya).

Sekian.

No comments:

Post a Comment