May 5, 2011

SRA Sungai Pelek Mengadakan `Hari Kantin` Cari Sumber Kewangan

Sungai Pelek, 26 Jamadil Awal = 30 April (Sabtu):

Berbagai cara mencari sumber kewangan bagi mengisi tabung Sekolah. Ada Sekolah mengadakan karnival yang antara kegiatan ialah jualan, pertandingan, sukan, nasyid dan sebagainya. Hari ini Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Pelek mengadakan `Hari Kantin` yang mungkin pada tanggapan kita dipenuhi dengan kegiatan jual-jualan makanan, tetapi kegiatan sebenarnya adalah berbagai-bagai. Menurut aturcara Hari Kantin terdiri dari kegiatan keagamaan seperti Solat Sunat Duha, Bacaan al-Ma`thurat dan doa pagi, kegiatan sukan seperti pertandingan Indoor Game, paintball, pertandingan mewarna, motivasi interaktif, persembahan Nasyid Kumpulan, Cabutan Barakah Hadiah Utama, penyampaian hadiah. Di samping diadakan Pemereksaan Kesihatan Percuma, pembukaan Gerai Aneka juadah & jualan. Juga terdapat kaunter penerangan Tabung Haji.

Adun Bangi dijemput merasmikan Hari Kantin SRA Sungai Pelek - sebagai Kawasan Angkat. Perjalanan dari Bangi Ke Sungai Pelek memakan masa lebih kurang sejam. Upacara pembukaan dijalankan selepas kesampaian. Majlis dihadiri Tuan Haji Abdul Halim Mat Isa Pegawai Tadbir Pejabat Hal Ehwal Agama Islam Sepang, Tuan Haji Bahri Bin Mahat Ketua PIBG Sekolah, Puan Azriah Guru Besar, En. Wong Chuang Haw Wakil YB Cik Jenice, Encik Ibrahim bin Abdullah, Ketua Kampung, Imam Jazam, ibu bapa dan para pengunjung gerai-gerai yang turut menyertai majlis.


Menurut maklumat Hari Kantin ini mendapat kerjasama yang erat dari Iwanis dan Biro Wanita Masjid Sungai Pelek. SRA Sungai Pelek yang mula dibuka pada tahun 1987 mempunyai 333 orang murid. Pihak sekolah berharap dengan berlangsungnya Hari Kantin diharap dapat menjana dana bagi Sekolah. Tuan Haji Bahri dalam ucapannya berterima kasih terutama kepada badan NGO, Awanis & Biro Wanita Masjid yang bekerja bertungkus lumus bagi menjayakan Majlis .Beliau juga berterima kasih kepada mereka yang membuat kunjungan dan membeli barang-barang.

Objektif Hari Kantin disebutkan bagi membiayai pembelian peralatan fotostat, komputer riba dan LCD Projector. membiayai program Sekolah dan aktiviti pelajar, mengadakan kem motivasi bagi menghadapi peperiksaan, merapatkan hubungan warga Sekolah dengan PIBG dan NGO dan melatih pelajar berniaga dan berusaha.

Adun Bangi dalam ucapan perasmian bergembira bahawa pihak SRA juga berdikari dengan berbagai usaha untuk mendapat keuntungan. Ini tidak bererti kerajaan negeri abaikan SRA dari segi peruntukan. Adun memberitahu bahawa pihak Kerajaan negeri begitu prihatin terhadap Sekolah, bahkan sejumlah besar peruntukan kewangan digunakan bagi keagamaann dan pendidikan . Kerajaan tidak mampu menyediakan semua keperluan, sebab itu amat wajar SRA mengadakan kegiatan Hari Kantin. Diharap PIBG dan masyarakat setempat dapat memberi kerjasama memajukan Sekolah. Sekolah sebagai rumah kedua anak-anak kita yang membekalkan ilmu dan akhlak mulia kepada mereka.

Selepas menyampaikan ucapan Perasmian Penutup, Adun berkesempatan mencabut dua nombor Barakah yang melayakkan seorang guru menerima sebuah basikal dan seorang pelajar sebuah yang lain. Adun tidak dapat berlamaan dan terpaksa meninggalkan majlis untuk diteruskan dan berkejar pulang ke BBB kerana mempunyai program-program di sana.


Sekian.

No comments: