Setiap taman atau kampung yang berpenduduk Islam merasa tidak sempurna, jika tidak ada masjid atau surau di tempat masing-masing, kerana masjid atau surau bukan semata-mata tempat ibadat, tetapi sebagai pusat kegiatan pendidikan dan kegiatan sosial. Lantaran itu selagi tiada surau atau masjid, maka penduduk akan berusaha bagi mendapatkan surau atau masjid. Menyedari perlunya surau dan masjid bagi masyarakat Islam , maka diwajibkan bagi pemaju taman perumahan berpenduduk Islam mesti menyediakan tapak masjid atau surau, di samping tapak bagi Dewan Komuniti, padang permainan dan rekreasi. Namun jika tiada tapak pun masyarakat Islam akan berusaha mencari tapak. Buat sementara disewa bangunan-bangunan sebelum mendapat tapak surau atau masjid tetap.
Usaha bagi menyedia dan menyiapkan surau, khususnya setelah ada tapak memerlukan masa dan dana, tapi jika jawatankuasa bersungguh dan bekerja keras bagi memungut derma, maka ada surau yang dapat disiapkan dalam masa dua bulan contoh Surau Al-Mustaqim di Seksyen 8 Tambahan di Bandar Baru Bangi, ada yang dapat menyiapkan dalam masa 5 bulan contoh Surau Al-Ikhwan Seksyen 5, Bandar Baru Bangi yang kosnya RM750/= ribu ringgit. Seperti hasrat penduduk di taman-taman lain, maka demikianlah penduduk di Taman Tun Perak, Balakong berhasrat mendapat surau yang sempurna, setelah begitu lama menggunakan surau yang kecil di bawah bangunan rumah pangsa. Tapak surau memang disediakan oleh pihak pemaju.
Bagi mendirikan Surau di sini yang dikenali dengan Surau Al-Faizin, maka pada Ogos 2008 Adun telah merasmikan pecah tanah bagi surau di sini dan sebuah Jawatankuasa pelaksana juga dilantik, Pelan tapak telah disiapkan dan kebenaran memungut derma juga diluluskan. Malangnya usaha bagi mendirikan Surau Al-Faizin semacam terbengkalai.Oleh kerana usaha mendirikan surau ini tertangguh begitu lama, maka dalam lawatan Adun ke Taman Tun Perak, terutama atas kapasiti selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam Adun telah membangkitkan perkara ini, bahkan pertemuan khusus berhubung dengan surau telah diadakan sebanyak tiga kali yang keputusan diambil bagi menggerakkan kembali usaha bagi mendirikan Surau Al-Faizin berhampiran Sekolah Agama yang dijangka siap pada tahun hadapan.
Hari ini merupakan usaha menggerak kali kedua setelah Jawatakuasa Pembinaan di bawah AJK surau ditubuhkan pada mesyuarat 11 Mei 2011 yang Adun sendiri mempengerusikan mesyuarat dan sedikit peruntukan permulaan diberi bagi kerja-kerja persiapan. Pada hari pelancaran kali kedua ini hadir selain dari Adun Bangi ialah Ustaz Durabi yang mewakili Pegawai Tadbir Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, En. Mohd Azziedin bin Misran selaku Pengerusi Persatuan Penduduk, Dato` Hisham Ahli MPKj, En. Abdul Halim Setiausaha Surau Al-Faizin (Lama), Ustaz Ridhuan, Ustazah Mashitah, Tuan Haji Huzainizam (Kontraktor), para jemputan dan penduduk setempat yang tidak begitu ramai turun.
Dalam majlis itu En. Mohd Azziedin selaku mewakili penduduk berterima kasih kepada para jemputan yang hadir dan berharap usaha mendirikan Surau Al-Faizin dapat dijayakan. Dato` Hisham turut dijemput bercakap berhubung dengan keperluan teknikal terutama berkait dengan MPKj, walau bagaimana beliau bersyukur urusan plan sudah siap. Ustaz Durabi yang mewakili Tuan Pegawai Pentadbir Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat menyebut tentang keperluan memohon pembaharuan izin memungut derma dari pihak JAIS yang telah luput tarikh. Beliau menyebut ada peruntukan dari pihak JAIS dan boleh dipohon setelah pembinaan separuh siap.
Adun Bangi di dalam ucapan mengharapkan tidak akan ada lagi pelancaran kali ketiga bagi pembinaan Surau Al-Faizin dan mengharapkan AJK yang telah dipilih berazam bagi mendapatkan dana bagi menyiapkan Surau Al-Faizin, kalau boleh sama dengan siapnya Sekolah pada Mac tahun 2012. Beliau mengingatkan kepada AJK dan orang ramai bahawa kerja membina surau adalah kerja kebajikan, sebab itu berlumba-lumbalah berusaha bagi menyempurnakan pembinaan surau. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran bagi orang yang melakukan kebajikan.
Seterusnya Adun memuji kontraktor yang memulakan pembinaan secara berani dan sanggup menerima tugas membina, walaupun dana yang ada paling minimum. Adun percaya komitmen yang diambil oleh Syarikat Hj. Wan Huzainizam atas dasar kerja kebajikan dan diharap penduduk menghargai komitmen syarikat dengan memberi derma bagi pembinaan Surau Al-Faizin.
Selepas majlis ucapan, acara perasmian kerja dilakukan dengan pemotongan reben dan menarik penutup plan pembangunan dan reka bentuk Surau Al- Faizin oleh Adun dan disertai sama tetamu-tetamu yang hadir. Berikutnya Adun menyampaikan beg-beg peralatan derma kepada 10 orang Ketua Pemungut Derma yang dilantik dan mengharapkan mereka bekerja bersungguh-sungguh agar dana bagi kerja pembinaan tidak tertangguh dan pembinaan surau Al-Faizin dapat disiapkan dalam tempoh yang ditentukan. Sebagaimana doa pada permulaan dipanjatkan, demikianlah pada pengakhiran
Sekian.
No comments:
Post a Comment