BBB, 15 Muharram 1437 = 28 Oktober 2015
(Rabu):
Hampir tiada rasul dibangkitkan tidak menerima
ujian dan penentangan dari kaum yang dibangkitkan ke tengahnya. Bahkan itulah
antara fungsi rasul-rasul yang dibangkitkan bagi dakwah dan menyampaikan
perutusan kepada mereka – memberi khabar gembira kepada mereka jika mereka
beriman dan sebaliknya balasan siksa jika mereka kufur dan menentang.
Al-Hijr ialah nama satu tempat wadi (lembah)
di antara Madinah dan Sham. Penduduknya dinamakan `Ashab al-Hijr`. Mereka
adalah dari kaum `Thamud`. Mereka mendustakan Nabi Salih a.s. yang dibangkitkan
di kalangan mereka.
Manakala `Al-Aykah, asalnya nama bagi
pohon-pohon rimbun yang dahan-dahannya melampai dan menyentuh antara satu sama
lain. Pohon-pohon ini tumbuh subur di perpantaian antara Laut Merah dan Madyan. Mereka adalah kaum
zaman Nabi Shuayb. Mereka bersifat zalim dan mendustakan Nabi Shuayb dan kufur
terhadap Allah Yang Maha Tunggal.
Satu lagi kaum yang disebut di dalam Surah
al-Hijr ini ialah Kaum Lut, iaitu penduduk yang terkenal dengan kejijikan amal
seksual songsang mereka dan menentang dakwah Nabi Lut.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Dar al-Fikr, Damshiq,
Suriah, 1431H. 267).
Al-Qur`an menyebut tentang sifat-sifat keji
dan durhaka mereka terhadap rasu-rasul yang dibangkitkan kepada mereka yang
akibat dan implikasinya membawa kemusnahan kepada mereka. Kepada Rasulullah
s.a.w. merupakan maklumat dan peringatan dalam dakwah baginda terhadap penduduk
Makkah dengan menyebut kepada mereka tentang maklumat-maklumat yang sebelum itu
tidak diketahui mereka. Dengan maklumat dan implikasi dari pendurhakaan dan
kekufuran mereka terhadap dakwah yang disampaikan kepada mereka diharap memberi
pengajaran terhadap penduduk Makkah dan maklumat juga bersesuaian dimaklum
kepada semua untuk dijadikan contoh tauladan.
Nabi Salih anak Ubaid bin Jabir bin Thamud.
Kaumnya bernama thamud nisbah kepada turunan Thamud tersebut. Keturunan lanjut
bagi Thamud bin `Amir bin Iram bin Sam bin Nuh, iaitu keturunan Nabi Nuh a.s.
Kaum Thamud tinggal di kawasan gunung-ganang dan bukit bukau antara Hijaz dan
Sham, iaitu di sebelah tenggara bagi Madyan. Mereka menebuk batu-batu dan gua di pergunungan dan perbukitan bagi
menjadikannya kediaman mereka. (15.52). Sebagaimana kaum `Aad, demikian dengan
penduduk Thamud mereka adalah penyembah berhala. Nabi Allah Salih menyeru
mereka supaya menyembah Allah Tuhan sebenar yang selayak disembah. Firman Allah
bermaksud:
``Kami telah mengutus kepada Thamud, seorang
saudaranya bernama Salih, seraya berkata, ``Hai kaumku sembahlah Allah, tiada
kamu berTuhan selain daripadaNya. Dia yang menjadikan kamu dan bumi serta
memakmurkannya, sebab itu minta ampunlah kamu, serta bertaubat kepadaNya.
Sesungguhnya Tuhan dekat, lagi memperkenankan doa.`` (Hud: 61).
Tetapi mereka menentang cadangan Nabi Salih
yang dianggap cuba merubah budaya yang mereka amalkan selama ini (Hud: 62).
Nabi Salih mengingatkan tentang nikmat akan dibalas jika mereka beriman, dan jika
tidak tiada merugikan Nabi Salih, tetapi merugikan mereka (Hud: 63). Walaupun
dakwah terus disampaikan oleh Nabi Salih, tetapi mereka tetap enggan
(Al-Shu`ara`: 141-152). Mereka juga mengganggu unta yang dilarang mengganggunya
bahkan menyembelihnya, menyebabkan mereka binasa diakibatkan oleh gempa.
Demikianlah balasan dikenakan terhadap kaum Nabi Salih oleh kerana keangkuhan
dan kesombongan mereka.
Adapun Ashab al-Aykah adalah kaum pada zaman
Nabi Shuayb yang tinggal diperpantaian Laut Merah dan Madyan. Nabi Shuayb
adalah berketurunan dari Nabi Lut dari sebelah anak perempuannya. Kaumnya
disifatkan sejahat-jahat kaum, suka mengambil harta dengan jalan haram, menipu
dari segi timbangan dan tukar menukar barangan. Nabi Shuayb berdakwah kepada
mereka menurut jalan Allah, tetapi seruan Nabi Shuayb ini dijawab oleh pembesar-pembesar
kaum, bahkan memberi amaran sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Berkata pembesar-pembesar yang sombong di
antara kaumnya, ``Demi kami akan mengeluarkan engkau wahai Shuayb bersama-sama
orang beriman dengan engkau dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama
kami.`` (Al-A`raf: 89).
Dengan kesombongan itu Allah menurunkan bala
ke atas mereka, sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Tengah mereka berkata yang demikian itu,
tiba-tiba datanglah gempa bumi yang hebat, maka matilah mereka itu semasa di
dalam rumah dengan merengkok kerana tertimpa runtuhan rumah mereka. (Al-A`raf:
91). Nabi Shuayb kemudian telah berpindah bersama-sama pengikutnya ke tempat
yang lain. (Al-A`raf: 93).
Mereka berpindah ke negeri Al-Aykah. Di sini
Nabi Shuayb berdepan dengan golongan peniaga yang menipu dari segi timbangan.
Dakwah Nabi Shu`ayb tidak juga diterima, bahkan mereka menuduhnya sebagai tukang
sihir dan menganggap Nabi Shuayb tidak lebih dari mereka dan menganggapnya
sebagai dusta. (Alo-Shu`ra`: 176-186). Mereka diturunkan bala ke atas mereka.
Contoh umat yang derhaka lagi ialah umat Nabi
Lut. Beliau adalah anak saudara lelaki bagi Nabi Ibrahim a.s. Beliau turut sama
berhijrah bersama Nabi Ibrahim dari negeri Babil (Babylion) ke Sham. Nabi Lut
diutus Allah ke negeri Sadum, iaitu satu negeri yang umatnya menderhaka kepada
Allah. Budi pekerti mereka amat rendah dan hina. Lelaki-lelakinya tidak mau
berkahwin dengan perempuan dan cenderung kepada sama sejenis. Nabi Lut
mengingatkan kaumnya terhadap perbuatan keji dan terkutuk itu dengan firman
Allah bermaksud:
``Kami utus nabi Lut, iaitu ketika ia berkata
kepada kaumnya,``Sesungguhnya kamu memperbuat suatu yang keji (jahat) yang
belum pernah diperbuat oleh seorang juga di antara isi alam ini. Sesungguhnya
kamu bersetubuh dengan laki-laki dan menyamun di tengah jalan raya serta kamu
memperbuat barang yang munkar (haram) di tempat perhimpunan kamu``. Maka tak
ada jawaban kaumnya selain berkata, ``Datangkanlah siksaan Allah itu jika kamu
benar.`` (Al-`Ankabut: 28-29).
Namun Nabi Lut masih berdoa kepada Allah agar
menyelamatkan kaumnya dari perbuatan fasik itu.
Namun Nabi Lut diberitahu sebagai balasan
terhadap kaumnya sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Tatkala datang utusan kami (malaikat) kepada
Ibrahim dengan membawa khabar suka akan beroleh anak, lalu malaikat itu
berkata, ``Kami akan merosakkan negeri itu (Negeri Lut), kerana penduduknya
orang-orang durhaka.`` (Al-`Ankabut: 31).
Hukuman yang dikenakan sebagaimana maksud
Al-Qur`an:
``Tatkala datang perintah Kami, Kami jadikan yang
tinggi menjadi rendah (tunggang balik) dan Kami jadikan batu dari tanah yang
keras atasnya berturut-turut (menimbusi). Lagi diberi tanda pada sisi Tuhan
engkau. Dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang zalim itu.``(Hud: 82-83).
Demikianlah contoh-contoh balasan yang
dikenakan terhadap mereka yang bertabiat buruk, zalim dan kufur sebagaimana
terakam di dalam Surah Al-Hijr.
Sekian.
No comments:
Post a Comment