Salah sebuah dari firqah Shi`ah ialah aliran
Shi`ah Zaidiyyah. Aliran ini dianggap
mempunyai pendekatan sederhana dan paling dekat dengan aliran Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah berbanding dengan aliran-aliran Shi`ah yang lain.
Sebagaimana nama aliran ini Zaidiyyah, maka
aliran Zaidiyyah dinisbahkan kepada Zaid bin `Ali bin Zainal Abidin – turunan Rasulullah
s.a.w. Keberadaannya ialah pada zaman Khalifah Umawiyyah – Hisham bin Abdul
Malik (105-125H.). Zaid dikatakan seorang yang sentiasa di dalam jama`ah Islam. Dia adalah
mencintai ilmu pengetahuan, mendalami banyak bidang keilmuan dan rapat dengan
ulama`-ulama` pada zamannya. Bahkan tergolong sebagai ulama`. Menurut Prof. Dr.
Imam Muhammad Abu Zahrah, antara yang berguru dengannya ialah Wasil bin `Ata`
Pengasas Mu`tazilah dan juga Abu Hanifah yang dikatakan Abu Hanifah simpati dan
berpihak kepadanya. Zaid lebih mendalam di dalam bidang fiqh dan ilmu al-kalam.
Di dalam bidang fiqh beliau mempunyai karangannya sendiri iaitu berjudul `Al-Majmu`.
Di atas ketokohan ini beliau dilihat layak
sebagai Imam Shi`ah yang kemudian dinisbahkan kepadanya. Seteru utamanya tidak
lain dari pemerintah Umawiyyah dan beliau terlibat di dalam
peperangan-peperangan bagi menegakkan aliran Shi`ahnya. Ironinya di samping menghadapi
musuh utama dari kerajaan Umawiyyah, kepimpinannya ditentang oleh saudaranya
sendiri iaitu Muhammad al-Baqir yang menganggap Zaid masih tidak berkelayakan.
Keterlibatannya dengan banyak bidang keilmuan
membentuk pandangannya yang sederhana. Antara pendiriannya:
1) Imam Tidak Ditentu Nabi
Zaidiyyah menganggap Imam tidak ditentu dan
ditunjuk Nabi secara langsung, tetapi diberi tentang sifat-sifat. Namun dengan
sifat-sifat yang dicirikan, `Ali adalah
bertepatan dan mencukupi syarat.
2) Menerima Perlantikan Abu Bakar Dan `Umar
Zaidiyyah menerima perlantikan Abu Bakar dan `Umar
sebagai khalifah yang dilantik secara al-Hallu wa al-`aqd dengan mengutamakan
maslahah umat.
3) Tidak Mengkafirkan Para Sahabat
Zaidiyyah tidak mengkafirkan para sahabat
sebagai pendirian banyak dari aliran Shi`ah.
4) Perlantikan Imam Tidak Semestinya Dari Kalangan Terbaik
Boleh dilantik bila mencukupi syarat dan
terpilih
5) Boleh Dilantik Lebih Imam Di Tempat Berlainan
Pada dasarnya hanya satu imam pada suatu masa.
Namun dengan pendirian sederhana Zaidiyyah
yang dekat dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan percanggahan-percanggahan pendapatnya dari
kebiasaan dari satu pihak mengundang musuh menentangnya. Pendapatnya bahawa
perlantikan `Imam` tidak semestinya dari kalangan terbaik dari pemimpin, boleh
dari kalangan yang ssedikit kurang baik. Pendapat ini memakan dirinya yang
dilihat oleh musuh-musuhnya tidak mencukupi syarat sebagai imam. Toleransi
Zaidiyyah terhadap perlantikan Abu Bakar dan `Umar tidak disetujui Shi`ah
banyak. Pendapat Zaidiyyah yang mempunyai kemiripan dengan aliran Mu`tazilah,
lantaran Wasil bin Ata` berguru dengannya. Dan Zaidiyyah selari dengan pendapat
Mu`tazilah bahawa yang berdosa besar kekal di dalam nereka. Oleh kerana ada
hubungan keilmuan antara Zaid dan Wasil bin `Ata`, maka banyak persoalan akidah
Zaidiyyah bersamaan dengan Mu`tazilah dan tidak bersesuaian dengan Ash`ariyyah
dan Maturidiyyah. Faktor ini juga menyebabkan beliau tidak disenangi.
Juga pendapat boleh disifat ganjil dan
bertentang dengan prinsip imamiah, bahawa boleh dilantik imam pada daerah yang
lain yang tidak menimbulkan konflik dengan imam yang ada. Ini kemungkinan untuk
memberi ruang kepada perlantikan beliau kepada
tahap Imam ? Imam seharusnya
seorang pada satu masa.
Pendirian Zaidiyyah yang dengan sifat
sederhana, mungkin dilihat sebagai baik dan tidak ekstrim bagi yang mau melihat
keserasiannya dengan aliran-aliran yang lain, khususnya dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Tetapi dari
satu segi dilihat oleh kalangan Shi`ah terutama yang bersifat ekstrim sebagai
pendirian yang lemah dan menggugat Shi`ah itu sendiri, sebab itu Zaidiyyah dan
pengikut-pengikutnya menempah seteru dalam masa pengikutnya makin berkurangan
kerana protes terhadap pendiriannya yang bercanggah dengan prinsip dan faham
Shi`ah yang boleh disifatkan sebagai ekstrim yang menimbulkan keadaan tidak puas hati di kalangan
pengikut-pengikut.
Pada akhirnya Zaidiyyah terpaksa menentang
saudaranya sendiri Muhammad al-Baqir yang tidak menyetujuinya, juga menentang
Pimpinan Yusuf ibn Amru al-Thaqafi dan
lebih dari itu ancaman berterusan dari pihak pemerintah Khalifah Hisham bin
Abdul Malik Khalifah kerajaan Umawiyyah pada zamannya. Akhirnya di tangan
pemerintah inilah Zaid gugur. Pimpinannya digantikan oleh Yahya, tetapi dalam
masa terdekat Yahya turut terbunuh di dalam peperangan pihak tentera pemerintah
Umawiyyah. Kemudian kepimpinan diambil alih dan diteruskan oleh Muhammad
al-Imam dan Ibrahim yang kedua-duanya ialah anak Abdullah bin al-Hasan yang
juga menjadi guru bagi Imam Abu Hanifah. Dikatakan dari hubungan keilmuan dan peribadi ini akibat peperangan yang
dipimpin Ibrahim di Iraq menyebabkan Imam Abu Hanifah yang bertempat di sana
disiksa oleh pemerintah Umawiyyah sedang Muhammad yang memimpin pasukan
peperangan di Madinah menyebabkan Imam Malik yang rapat dengannya turut
diseksa, lantaran dengan adanya perhubungan berkenaan mereka dituduh memberi sokongan dan galakan..
Oleh kerana masalah dalaman Zaidiyyah yang
bercanggah dengan aliran Shiah yang ektrim dan kepimpinan yang berganti makin
lemah, maka aliran Zaidiyyah sendiri berpecah kepada dua firqah, iaitu satu ialah
berpihak kepada Aliran Zaidiyyah lama yang diasaskan oleh Zaid dan kedua Aliran
Zaidiyyah Baru (Kemudian) yang mengubah pendirian dan mengambil sikap ekstrim
dengan tujuan untuk menselarikan aliran Zaidiyyah dengan aliran-aliran Shi`ah
yang lain. Aliran Zaidiyyah masih berterusan walaupun tidak popular dan bukan
sebagai aliran utama Shi`ah. Adalah dikatakan Aliran Zaidiyyah yang ada di
Yaman pada masa ini adalah berpegang pada aliran Zaidiyyah lama.
Demikianlah akibat dari pergolakan politik
dalaman dan luaran Zaidiyyah lemah dan berpecah kepada yang masih lagi bersifat
sederhana, di samping lahir aliran Zaidiyyah ekstrim.
Sekian.
No comments:
Post a Comment