MEMARTABATKAN
KEWARGENEGARAAN: MENTAL – PEPERIKSAAN SPM
(Fikrah
Bangi: 870),
BBB: 10 Rejab 1442H. = 22 Februari 2021M. (Isnin).
Tugas
memartabatkan mental seseorang selepas kelahiran adalah menjadi tanggungjawab
ibu bapa dan pihak pemerintah. Dengan lahirnya seorang anak adalah menjadi
tanggungjawab ibu bapa,bukan saja membesarkannya dari segi fizikal dengan makan
minum,menyediakan pakaian dan hidup dalam kediaman dan alam sekitar yang
bersesuaian, tetapi ibu bapa yang diamanahkan Allah dengan kurniaan zuriat
adalah mendidik anak sejak dari bayi dengan asuhan keluarga, menghantar belajar
tadika, sekolah rendah, menengah dan hingga ke universiti, jika anak
berkelayakan.
Sebenarnya
bagi ibu bapa yang penyayang dan bertanggungjawab adalah menaruh harapan yang
tinggi terhadap anak agar maju dari segi pelajaran. Pihak kerajaan menyediakan
saluran pengajian dengan bangunan pengajian seperti sekolah dan pengajian yang
lebih tinggi bersama dengan guru-guru dan tenaga-tenaga pengajar pada peringkat
yang lebih tinggi.
Bagi
ibu bapa yang berkesedaran dengan pelajaran, perjuangan bagi menjadikan anak
mendapat pelajaran yang baik adalah perjuangan keluarga. Keluarga menghantar
anak-anak bukan saja ke sekolah, tetapi juga ada yang menghantar anak-anak ke
kelas-kelas tuisyen bagi memungkinkan anak-anak berjaya dan mendapat keputusan
yang baik di dalam pelajaran. Dengan keputusan yang baik, lebih berpeluang
anak-anak untuk menyambung pengajian kepada peringkat yang lebih tinggi.
Gangguan
pelajaran pada musim Covid-19, adalah gangguan yang dihadapi bukan saja
pelajar, tetapi ibu bapa, guru dan pihak sekolah dan kerajaan. Orang ramai juga
prihatin terhadap pelajaran. Pada tahun ini setahun pelajar-pelajar tidak dapat
menghadapi pelajaran dengan baik. Berbagai kaedah digunakan bagi menampung
pengajian,. Antaranya pengajian melalui talian. Pihak pelajar yang menghadapi
peperiksaan SPM, STPM, SPVM, STAM paling terganggu dan tidak mendapat pengajian
yang sempurna. Mereka menghadapi berbagai-bagai perubahan. Setelah lama tak
bersemuka dengan guru dalam pengajian, maka sekolah yang ditutup setengah tahun
itu dibuka 24 Jun 2020, tetapi kemudian semua sekolah ditutup mulai 9.11.2020
hingga hujung tahun dan peperiksaan SPM dan STPM dan yang setara dengannya
ditangguhkan kepada bulan Februari 2021. Peperiksaan ini sepatutya dijalankan pada bulan November 2020.
Bagi
memberi peluang pelajar yang menghadapi peperiksaan berdepan dengan guru, maka pada
20 Januari 2021 pelajar kembali ke sekolah, tetapi selepas selama hampir
sebulan dibuka, maka sekolah-sekolah berkenaan kembali ditutup dua minggu
sebelum peperiksaan.
Setelah
menghadapi suasana pembelajaran berubah-rubah, secara atas talian, kembali ke
kelas, PdPR, Saluran DIDIK TV, KPM, maka hari ini – Isnin 22 Februari 2021,
seramai 401,105 calon SPM di 3,310 pusat
peperiksaan mulai menghadapi peperiksaan, setelah tertangguh hampir empat
bulan.
Tentulah
suasana yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan berada
di dalam suasana yang berbeza dan tidak menyenangkan. Mereka bukan saja
menunggu musim peperiksaan dalam jangka yang panjang, tidak mendapat bimbingan
sepenuhnya seperti keadaan normal, terpaksa berdepan dengan norma pembelajaran
yang baru dan norma baru di dalam peperiksaan dan di luar dari peperiksaan.
Mereka tentulah berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan diri dalam keadaan
yang sihat. Takdirnya mereka mempunyai jangkitan Covid-19, maka mereka tidak
dibenarkan memasuki peperiksaan dan akan menghadapi peperiksaan menurut jadual
yang lain. Selama lebih kurang sebulan pelajar-pelajar ini terpaksa di dalam
kewaspadaan. Sudah tentulah suasana kewaspadaan ini sama dihadapi oleh ibu
bapa, guru-guru dan pihak-pihak yang berhubung dengan peperiksaan.
Kita
berharap kepayahan dan berbagai-bagai ujian yang dihadapi pelajar-pelajar dan
berbagai pihak berkenaan, khususnya pelajar menjadikan kepayahan ini sebagai
ujian kewajaan semangat di dalam menghadapi pelajaran. Adalah difahamkan,walau
apa perubahan yang terpaksa dihadapi oleh pihak pelajar KPM,
tidak mengubah dari segi format peperiksaan sebagaimana yang dihadapi
oleh pelajar-pelajar dalam musim normal.
Adalah
diharapkan semua permasalahan yang dihadapi, bukan saja dihadapi oleh pelajar-pelajar
yang menghadapi peperiksaan, tetapi juga dihadapi oleh pelajar-pelajar
pengajian tinggi. Semua ini adalah pengalaman yang dihadapi oleh sektor
pendidikan di samping sektor-sektor yang
lain.
Kita
berharap kepada pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan berada di
dalam keadaan tenang dan tabah dan dapat menjawab semua kertas-kertas
peperiksaan dengan baik dan insya Allah akan mendapat keputusan yang baik dan
mendepani masa depan dengan cemerlang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment