BBB,
16 Ramadhan 1437 =
21 Jun 2016 (Selasa):
Mengambil ta`rif tasawuf oleh Al-Junayd
tokoh sufi Sunni, bahawa,
``Tasawuf ialah mengamalkan segala nilai akhlak yang tinggi dan meninggalkan
segala akhlak yang keji.`` Ditambah lagi dengan pendapat, ``Tasawuf
semuanya akhlak, maka barang siapa
bertambah dengan akhlak, maka bertambahlah ketasawufan.`` Manakala Shaykh Abu
al-Hasan al-Shadhili berpendapat, ``Tasawuf ialah mendidik diri dengan
ubudiyyah menurut hukum-hukum Rububiyyah.`` (`Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq an al-Tasawwuf, 1390/1970: 14).
Dari ta`rif di atas terbayang pada mata
lahir dan mata fikir kita tentang watak seorang sufi yang diorientasikan dengan
keilmuan tasawuf bahawa watak berkenaan.
1) Seorang yang kuat beribadat
2) Seorang berilmu, termasuk dalam bidang rohani
3) Seorang yang berakhlak tinggi - jujur dan taqwa.
Dan dapat ditambah lagi dengan ciri-ciri
perwatakannya. Kesufian bukan terhad pada pembawa peribadi seseorang sufi
semata-mata, tetapi pandangan dan orientasi kesufian juga memberi kesan dan
termanifestasi pada hasil-hasil yang dilakukan, khususnya di dalam bidang seni
lantaran kesufian dengan kehalusan dan kelembutan jiwa bisa mengalir bersama
dengan kehalusan seni bersatu dan termanifestasi di dalam kerja-kerja
seni. Kata Iqbal:
`` Islam memberi kesan kepada jiwa sufi
dari segi keindahan dan kesempurnaan, termanifestasi pada jiwanya rasa
keinsanan yang tinggi dan persaudaraan global (alamiyyah). Ciri pada
ketasawufan ini tidak terdapat pada kalangan fuqaha` dan mutakallimun.`` (Abu
Nasr al-Sarraj al-Tusi, Al-Luma`, 1380/1960: 9-Pengantar).
Tasawuf dikaitkan dengan Muhammad Iqbal relevennya lantaran Iqbal seorang tokoh ilmuan (Pakistan) yang
mengkaji bidang metafizik Islam (tasawuf) dan seorang penyair terkenal dunia,
maka pengaruh tasawuf ketara mengalir dan termanifestasi di dalam
puisi-puisinya, khususnya puisi Asrar Khudi Iqbal, bersama dengan unsur tasawuf
berbaur dengan nafas perjuangannya bagi menegakkan negara Pakistan. Dalam
menggerakkan cita-cita mendirikan negara Pakistan, Iqbal mau masyarakat umat
Islam di India (sebelum wujud Pakistan) bergerak bersatu dengan kekuatan
sendiri menuntut sebuah negara Pakistan diwujudkan, kata Iqbal:
`Mengapa tidak mengalir sungai hatimu ?
Dan kenapa peribadimu tidak terpancar Muslim
hakiki ?
Apa gunanya bermuram durja dan mengeluh
takdir Ilahi ?
Mengapa tidak kau sendiri menjadi Pencipta
takdirmu ?
(Iqbal Asrar Khudi, Terjemahan Rangkuti, 1976: 33).
Iqbal tidak sempat melihat kelahiran negera
Pakistan. Beliau menghembus nafas terakhir (1947) sebelum kelahiran Pakistan
(1948), tetapi beliau mengharapkan perjuangannya diteruskan oleh
pejuang-pejuang yang lain, kata Iqbal:
``Melodi selamat tinggal akan menggema atau
tidak
Naferi akan berbunyi dari Hijaz atau tidak
Hari faqir ini telah sampai pada batasannya
Pujangga yang lain akan datang atau
tidak.``
(Asrar Khudi: 110).
Pakistan akhirnya lahir sebagai sebuah
negara merdeka.
Puisi Iqbal di atas adalah tebal dengan
jiwa keislaman, seni sufi dan seni sastera yang meningkatkan mutu perpuisiannya
(seperti rangka Teori Takmilah) yang
bukan saja dianggap sebagai penyair Islam, tetapi Penyair Dunia.
Di kalangan penyair Melayu Nusantara Amir
Hamzah adalah seorang penyair yang mensublimasikan cinta kasih pada seorang
perempuan yang dikasihinya kepada Cinta Ilahi bernada tasawuf di dalam banyak
puisi yang dihasilkan seperti Kumpulan Buah Rindu, Nyanyi Sunyi dan Setanggi
Timur. Contoh puisinya yang bernada Ketuhanan dan Ketasawufan:
PADAMU JUA
Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padaMu
Seperti dahulu.
Kaulah Kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu.
Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa.
.... (Nyanyi Sunyi, 1963: 5).
Tema ketasawufan juga diungkapkan oleh
Hamka, seorang tokoh sufi yang mengarang karya-karya tasawuf dan juga seorang
sasterawan terkenal. Beliau mengarang novel, cerpen, bahkan puisi:
Novel
ringkasnya `Di Bawah Lindungan Ka`abah` indah bertemakan cinta suci antara dua kekasih
Hamid dan Zainab yang tak kesampaian dan Hamid
membawa diri ke Makkah. Cerita - berlatarbelakangkan tanah Suci Makkah. Hamid
meninggal dunia di Makkah. Ceritanya begitu indah dan menyayat hati mengingat dan mengisaffkan kita tentang
kekuasaan Ilahi. Tema-tema cinta suci juga terdapat di dalam novel Hamka
seperti Tenggelamnya Kapal Ven der wik.
Assimilasi antara unsur tasawuf yang
merupakan seni rohani bersama dengan seni sastera dan kreativiti penulis mentakmilahkan
hasil sastera sebagai hasil sastera yang bermutu tinggi dan dikagumi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment