BBB,
17 Ramadhan 1437
= 22 Jun
2016 (Rabu):
Seni budaya dan seni rohani yang berada di
dalam diri mampu mengalir dan menghasilkan sesuatu hasil
kerja yang dipengaruhi oleh orientasi
seni dalaman diri. Betapa seni yang subjektif ini menjadi sebagai benih atau prototype atau data asal yang tersimpan dalam
jiwa dan bila sesuatu hasil seni dihasilkan maka keaslian ini turun mewarnai sesuatu hasil kreativiti
yang dihasilkan. Kadang-kadang elemen yang
tersimpan bersifat dalaman bersifat
kelompok yang menjadikannya sebagai budaya yang mengidentitikan kelompok
berkenaan. Sebagai contoh persoalan imej yang menjadi identiti budaya bagi
kelompok atau lebih besar bagi masyarakat seperti dalam pembinaan rumah bagi
katakan masyarakat di Negeri Sembilan terkenal dengan bumbung berbentu tanduk
kerbau, negeri Melaka dengan tangga rumah yang kukuh dan menarik, Terengganu
dengan berbentuk limas dan berbuah butung dan sebagainya.
Bagi jiwa kesufian yang mempunyai rasa kelembutan
dan kekudusan juga mampu mengalir kepada kehalusan dan kekudusan seni bina
melalui rekacipta seni bina yang kreatif dan bersifat kudus. Contoh yang dekat
dengan kehalusan rasa dan kekudusan cipta ialah seni bina masjid. Seni bina
masjid adalah lebih halus lantaran ianya merupakan senibina yang bersifat
kejiwaan dalam mengagungkan Allah dan bertambah dengan kekudusan dari jiwa yang
tunduk dan khuduk kepada Allah dengan ditambah dengan perasaan kasih cinta.
Seni bina masjid ini sudah menjadi imej
dan identiti umum yang terhimpun pada rekabentuk dan kehalusannya adalah himpunan
tanggapan berbagai arkitek terhadap bentuk seni bina masjid sehingga umumnya
ianya menjadi imej dan identiti dominan
bagi masjid, kecuali ada yang benar-benar mampu menyimpang dari imej dan identiti
dominan, tetapi tetap dikenali sebagai masjid.
Dari manakah rumusan imej dan identiti bagi
nasjid terhimpun sehingga ianya menjadi
imej dan identiti sebuah masjid. Ianya ditimba dari jiwa dan alamiah dan berlaku di dalam masa yang
panjang dan mungkin berlaku pengaruh dan pertindihan imej dan identiti yang menjadikannya
berasimilasi dan diterima sebagai
kesatuan yang mengharmonikan. Sumber dalaman tidak lain dari rasa jiwa
kudus dan taabbudiyyah hamba terhadap
Pencipta Yang Maha Agung, Maha Perkasa, bahkan Maha Indah dan Sempurna dan juga
dari bentuk dan imej alamiah yang disifatkan sebagai indah, kudus dan
mengharukan. Sebagai contoh bentuk bulat yang dianggap paling perfect dan
lambang kesempurnaan yang ada pada bumi dan bulan dan apa saja yang berbentuk
bulat, bentuk memanjang memanjang pada
jalan dan berbagai garisan yang panjang, bentuk semi bulat yang ada pada jenis
buah-buahan seperti apple, limau dan berbagai-bagai lagi yang semi bulat,
bentuk berombak pada sesuatu objek seperti ombak dan rumpun padi ditiup
angin dalam relung-relung padi,
bentuk lonlong seperti pada sarang tempua, bentuk rendang
atau tinggi melempai pada bentuk pokok, bentuk bengkang bengkok dengan sesuatu
yang berlari di dalamnya seperti bentuk sungai yang mengalir deras atau
perlahan bagi air sungai tersebut, bentuk
tinggi rendah bersifat bongkok seperti pada bukit bukau dan gunung ganang dan
berbagai-bagai lagi bentuk dan rupa yang dapat dihayati dari segala rupa dan
bentuk alamiah. Penghayatan terhadap bentuk-bentuk dan kejadian-kejadian yang
menarik dan indah berkenaan bukan setakat indah dan menarik tetapi kagum,
luhur, halus, seni dan kudus terhadap
ciptaan tabi`i Ilahi berkenaan. Bagi seniman-sufi yang mempunyai jiwa seni
rohani segala ciptaan Allah yang seni dan rohani ini ditiru dan dipindah secara
kreatif pada seni bina masjid lantas dapat dilihat objek-objek seni yang kudus
dan murni.
Dengan tidak mengambil satu masjid khusus,
tetap ianya ada pada masjid-masjid yang
menjadi identiti masjid. Masjid biasanya mengambil tapak yang lebih
tinggi dan berada di tengah-tengah kawasan kependudukan bagi memudah untuk di
datangi dan kelihatan dari mana arah sebagai identiti setempat. Bagi masjid misalnya
bentuk bulat bujur yang menyerupai misalnya bentuk bebewang atau telur terdapat
elemen sedemikian pada kubah masjid yang menjadi objek terindah masjid.
Bentuk panjang menegak meluru ke atas bagi
mau melumcur ke ruang tiada tepi diambil dari bentuk batang dan sebagainya bentuk ini digunakan bagi
menara atau menara-menara yang juga menjadi identiti domionan bagi masjid.
Ianya juga melambangkan perjalanan rohani kejiwaan di dalam mi`raj kepada Yang
Maha Tinggi. Bentuk bulat juga digunakan bagi tiang-tiang masjid yang mengambil
bentuk yang sempurna.
Bentuk dominan bagi masjid juga ialah
bentuk semi bulat (lengkung) yang kelihatan seperti bujur tunduk yang asalnya
dari bentuk bulat. Bentuk ini banyak digunakan sebagai bentuk pintu-pintu
tingkap dan berbagai lengkung bagi
dinding dan ruang dalam masjid. Ianya mencerminkan sifat khusyuk, tunduk,
hormat sesuai dengan jiwa jamaah yang beribadat di masjid yang melahirkan
ketaatan, kepatuhan dan kesetiaan terhadap Allah. Bentuk semi bulat dan
lengkung ini juga digunakan bagi mihrab dan ruang-ruang-lengkung yang mana sesuai untuk masjid.
Ruang yang paling dominan dan tumpuan utama
yang mengambil bentuk padang ialah ruang utama masjid tempat terhimpun para
jamaah bagi menunaikan solah atau berada di dalam majlis ilmu. Bentuk terbuka
dan bebas untuk dihuni dan memilih tempat seperti pada saf yang memang
digalakkan memenuhinya lebi awal mencerminkan sifat jamaah dalam Islam dan juga
demokrasi bagi mereka bagi mengambil tempat dan hak bagi diri mereka.
Di dalam konsep ruang terbuka yang bersifat
kemasyarakatan, maka di dalam ruang masjid ada bahagian hadapan yang
dikhususkan bagi imam memimpin solat. Ini mencerminkan konsep dan falsafah
kehidupan kemasyarakatan di dalam Islam perlu ada kepimpinan yang memimpin
jamaah. Segala apa yang dilakukan oleh Imam menurut peraturan hendaklah diikuti
dan dipatuhi oleh jamaah yang mencerminkan kemasyarakatan di dalam Islam.
Konsep kepimpinan ini bukan sahaja pada ibadat solat tetapi juga dengan khutbah-khutbah yang disampaikan oleh
khatib yang kadang-kadang merangkap Imam perlu dipatuhi kepada arahan dan
nasihat-nasihat. Pada bahagian hadapan dan mengepalai jamaah ialah guru-guru
yang mengajar yang biasanya mengambil ruang hadapan dan berada pada tempat yang
lebih sedikit tinggi untuk memudahkan kelihatan yang melkambangkan kepimpinan
guru dan ulama yang mempunyai keilmuan dan mampu menyampaikan pengajaran
terhadap orang ramai.
Di dalam masjid juga ada pengajaran aturan
dan adab, misalnya ruang bagi wudhu`
berada pada bahagian belakang – permuklaan masuk kiri dan kanan bagi memudahkan mengambil wudhu` yang
melambangkan syarat perlu bersih diri dan jiwa bagi beribadat dan juga bila
berada pada tempat ibadat. Begitu juga bagi melambangkan kebersihan, bahagian
ruang toilet hendaklah berada jauh sedikit dari kawasan binaan utama masjid dan
biasanya erpisah sedikit bagi menjamin kebersihan dan bau yang tidak
menyenangkan.
Dari segi adab dan kesusilaan bahawa
bahagian muslimat biasanya berasingan , umpamanya pada tingkat yang lebih atas
atau dibataskan dengan screen pada bahagian di belakang.
Masjid sebagai identiti umat dan masyarakat
dan menjadi tempat tumpuan kunjungan menyediakan keperluan yang bersifat
fizikal untuk bersolat dan berjamaah. Ianya menyediakan berbagai keperluan
pendidikan dari segi kerohanian dari segi bentuk secara tidak langsung dan
pendidikan secara langsung. Ianya merupakan tempat ibadat, pendidikan dan
keheningan jiwa dan mental.
Pada masjid terhimpun elemen ketaabbudiyyah, kekudusan dan kemasyarakatan.
Lambang-lambang baginya dapat dihayati dari seni binanya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment