KERJA DIARY DAN JAM DIRI
(Fikrah Bangi: 211),
BBB,
25 Sha`ban 1440H. = 01 Mei 2019M. (Rabu).
Kerja adalah diary berterusan dan identiti
kehidupan. Bagi setiap yang dilahir telah dibekalkan dengan jam diri yang
berdetik dari sejak kehidupan dan akan berakhir dengan berakhirnya kehidupan.
Setiap orang perlu bekerja, kerana
itulah erti kehidupan, selain daripada itu adalah kematian.
Cuma diary kehidupan ini berbeza antara
seorang dengan seorang yang lain adalah bergantung pada plan pengisian yang dilakukan, baik dan buruk.
Dari kecil tugas ibu bapa adalah merangka plan kehidupan anaknya. Ibu bapa
berusaha agar anak mereka sihat dan membesar secara normal dengan membekalkan
pelajaran secukup bagi panduan hidup.
Diary kehidupan lebih menarik atau tidak
bergantung pada kesedaran pendidikan yang diberi. Jika dari peringkat persekolahan anak dapat
disedarkan tentang matlamat unggul yang
ditanamkan, maka sang anak dengan kesedaran yang ada padanya menyalakan ubur
perjuangan kehidupan, terutamanya melalui kecemerlangan pendidikan yang
diterima. Kejayaan yang dicapai menolaknya ke depan. Watak super kehidupan
adalah bergerak dengan kemahuan dan cita-cita yang ada pada dirinya. Ia
menunggang kehidupan yang menjadi alat baginya mencapai cita-cita. Peristiwa-peristiwa yang dilaluinya adalah
cetusan-cetusan yang mendorong kepada mencapai cita-cita. Berbagai-bagai bidang
yang diteroka oleh mereka yang mempunyai kesedaran tinggi kehidupan. Mereka
dianggap mereka yang berjaya.
Kumpulan genius dan elit kehidupan tidak
mudah dilahirkan oleh masyarakat. Yang ketara adalah kumpulam manusia biasa. Mereka adalah `Kumpulan Utama Kehidupan`.
Mereka adalah pemburu pasaran utama kehidupan . Diary harian adalah memikirkan
bagaimana dengan kelayakan yang ada bagi mendapat pekerjaan bagi jaminan survival
keluarga. Setengahnya dengan kemampuan minda yang ada memenuhi diari harian
dengan bekerja sebagai golongan menengah yang belum tentu terjamin dari segi
kehidupan. Mereka berjuang untuk hidup bagi mendapat perlindungan yang agak
selesa bagi keluarga dan hidup secara normal.
Manakala kumpulan banyak adalah kumpulan marhain
yang dilambangkan oleh para pekerja yang membanting tulang. Kehidupan mereka
tidak terjamin dan mengharapkan pembelaan. Mereka adalah golongan banyak yang
sukar untuk dibangkitkan secara keseluruhan. Mereka mengharapkan agar dapat
diselamatkan mereka dari cengkaman kemiskinan. Mengharapkan bantuan pendapatan dan mendapat bantuan
perlindungan.
Kesemua mereka adalah watak-watak yang
memenuhi arus masa. Mereka bekerja bagi memenuhi tuntutan kehidupan, tetapi
menurut kadar masing-masing. Bagi elit kerja adalah mekanisme bagi mencapai
cita-cita. Bagi golongan menengah kerja adalah status kehidupan bagi mereka,
nanakala golongan marhain mereka struggle untuk kerja. Semuanya bekerja, tetapi
hasil dan matlamat berbeza. Kerja adalah identiti mereka. Mereka bekerja memenuhi
kotak waktu diri sebelum jam diri terhenti.
Kerja adalah identiti dan fungsi diri dan
berhak mendapat ganjaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment