August 31, 2015

Kekukuhan Tradisi Islam - Nabi Ibrahim Membina Ka`bah, Pusat Ibadat - Kemakmuran Makkah


BBB, 15 Zulkaedah 1436 = 30 Ogos 2015 (Ahad):



Satu kekukuhan dari segi pegangan, bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad bukanlah agama baharu, tetapi adalah agama yang telah didukung oleh rasul-rasul dan nabi-nabi sebelumnya. Pengikutnya dikategorikan sebagai `Ahlu al-Kitab`. Sepatutnya Bani Isra`il tidak bersifat -  melihat nabi-nabi seperti Musa, Ishaq, Ya`kub hinggalah kepada Yusuf sebagai  Nabi-Nabi Bani Isra`il semata-mata, lantaran mereka adalah penegak agama Islam (2: 132). Mereka adalah nabi-nabi bagi umat Islam, bahkan mereka melanjutkan agama yang didukung oleh Nabi Ibrahim a.s. Bukankah Nabi Ibrahim yang disebut oleh Al-Qur`an sebagai `Imam` adalah Nabi yang terkehadapan dari yang lain. Pada Ibrahim menemukan tradisi purba umat dari zaman tamadun Babiliyon dengan tradisi purba Mesir (Isteri Ibrahim, Hajar berasal dari Mesir). Darinya melanjutkan turunan baik-baik kepada Ishak dari isterinya Sarah membawa kepada Ya`kob yang dimegahkan oleh turunan Bani Isra`il. Bukankah melalui Ismail yang berkahwin dengan perempuan dari Bani Jurhum yang melahirkan turunan Ismail membawa kepada Adnan sebagai turunan yang dimegahkan oleh orang Arab ?
Islam yang diteruskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. membawa pertalian dan tradisi yang kukuh dari segi akidah. Pertalian ini dikukuhkan lagi dari segi sejarah bahawa Nabi Allah Ibrahim Pengasas Ka`bah mempunyai visi yang jauh pandangan dengan meletakkan turunannya Ismail melalui Hajar menghuni Makkah dengan penemuan matair Zamzam. Sumber air ini telah menarik suku Jurhum Arab menghuni Makkah dan menjadi tempat persinggahan peniaga-peniaga dari Sham, Mesir dan Yaman. Maka Makkah mengorak maju. Ibrahim dengan visinya yang luas membina bersama anaknya Ismail Ka`bah sebagai pusat ibadat (2: 125). Dengan visinya yang luas dan sebagai Pemimpin (Imam), pengasas bagi kemakmuran Makkah Ibrahim menyediakan infra-struktur pembangunan dan melihat sambil berdoa, bahawa semoga Makkah menjadi negara aman yang mempunyai rezeki yang melempah ruah. Doa Nabi Allah Ibrahim yang menjadi kenyataan sesungguhnya menjadi kekuatan tradisi bagi turunan Arab, khususnya Nabi Muhammad yang didoakan oleh Nabi Allah Ibrahim bagi kelahirannya sebagai Rasul (2: 126-129). Kekuatan dari segi tradisi dan pengukuhan yang diberi oleh Al-Qur`an adalah aset dan kekukuhan bagi Nabi Muhammad berdepan dengan seterunya dari kaum Quraisy yang menyeleweng dan tidak tahu menilai tentang kekukuhan tradisi dan budaya yang mereka miliki, bahkan lebih dari menentang kelahiran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., juga berdepan dengan kemegahan Bani Isra`il dengan kelebihan dan turunan yang ada pada mereka dari nabi-nabi dan Rasul, meskipun sesungguhnya mereka juga sebagaimana kafir Quraisy tidak menyedari aset dan kelebihan yang ada pada mereka, sebaliknya bersikap menentang terhadap apa yang dibawa oleh Rasul-Rasul dari kalangan mereka seperti sebagaimana mereka lakukan terhadap Nabi Musa dan Isa dan nabi-nabi yang lain.
Mengenai apa yang digalurkan oleh Al-Qur`an (2. 122-141), Abdullah Yusuf Ali merumuskan pandangannya:
K.48 (2. 122 -141) adalah sebagaimana berikut:
Kalaulah golongan  Ahlil-kitab itu berpegang
Kepada Nabi Allah Ibrahim. Hendaklah mereka meneliti
Sejarah hidupnya, zuriatnya termasuklah
Kedua-dua Isra`il dan Isma`il. Nabi Ibrahim
Adalah seorang salih. Nabi lantikan Tuhan.
Seorang Muslim, demikian pula anak cucunya
Nabi Ibrahim dan Isma`il membinakan
Ka`bah sebagai Rumah Allah.
Dan mensucikannya’ untuk menjadi pusat
Ibadat bagi seluruh dunia
Kerana Allah adalah Tuhan bagi semua bangsa manusia.
(Al-Qur`nu`l-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil 1: 61).
Fakta-fakta yang dibawa oleh Al-Qur`an al-Karim adalah fakta-fakta sejarah secara padat dan ringkas mengenai sejarah wujud manusia sejak Nabi Allah Adam a.s., bahkan sebagai tapak bagi kewujudan manusia ini juga banyak disentuh Al-Qur`an dari kejadian langit dan bumi, cakerawala, planet dan bintang-bintang sebagai kawasan pergerakan manusia dalam kewujudan fizikal mereka. Apa yang diperkatakan adalah fakta-fakta yang merupakan cabaran bagi manusia mengolah dan menghuraikannya.
Apa yang kita nampak selama ini pihak yang melihat Al-Qur`an adalah dengan mata `Agama` yang sempit. Perbalahan yang mengekang kelahiran agama `Islam` terus menjadi tema utama di dalam perbahasan dan berterusan. Al-Qur`an adalah kitab bagi `Keseluruhan` Sepatutnya pertikaian tentang `Kebenaran`  sudah berlalu, kerana terbukti tentang kebenaran. Dokumen berharga dan segala pernyataan di dalamnya diterima dan bukan setakat diamalkan secara agama sahaja, tetapi hendaklah dikaji. Sebagai contoh dilihat dari sudut sejarah, amat banyak fakta-fakta yang dikemukakan oleh Al-Qur`an, tetapi kebenaran yang diterima bersifat permukaan dan selapis. Amat banyak fakta-fakta yang bersifat sejarah ini perlu dikaji dan dihurai.
Sebagai kitab bagi keseluruhan bidang, maka selain dari dapat dikaji dari aspek sejarah, sudah tentulah terbuka untuk dikaji bidang-bidang keilmuan yang lain seperti sains kejadian langit dan bumi, astronomi, bidang klimet dan cuaca, kehidupn dan kepupusan, aspek tenaga, lautan dan khazanah, permakanan dan kesihatan dan berbagai-bagai bidang lagi yang semuanya dapat memperkukuhkan kebenaran Islam dan memperkukuhkan dari segi akidah pegangan. Semua kajian dan dapatan tidak lain dari memberi manfaat kepada keilmuan dan kemajuan manusia itu sendiri.
Kita semua mempunyai satu tradisi mantap yang kita warisi. Iaitu `Tradisi Kebenaran` yang menyatukan yang harus kita pegang.

Sekian.

August 30, 2015

Menghayati Rumusan Dari Al-Qur`an - Bongkaknya Bani Isra`il - Surah Al-Baqarah


BBB,  14 Zulhijjah 1436 = 29 Ogos 2015 (Sabtu):



Telah disebutkan bahawa Abdullah Yusuf Ali memecahkan persoalan utama di dalam Surah Al-Baqarah yang diberi rumusan secara puisi kepada 10 pecahan. Pecahan pertama mengenai `Keimanan` dan pecahan kedua mengenai `ke Khalifah-an`.
Bagi pecahan bagi kumpulan ketiga ialah ayat Surah Al-Baqarah (2. 40 – 86). Dalam ayat-ayat berkenaan adalah mengenai kaum Bani Isra`i yang menyembunyikan kebenaran dan menegakkan kebatilan. Mereka kufur dengan nikmat dan kelebihan yang diberi Allah kepada mereka seperti selamat dari kekejaman Fir`aun serta menyelamatkan mereka dari kebuluran di pasang pasir. Mereka bongkak, mensyirik Allah dan menumpahkan darah. Mereka akan menerima azab di hari kiamat dengan sepedih-pedih azab.
Rumusan yang dibuat Abdullah Yusuf Ali terhadap ayat-ayat  K 46 (2. 40-86):
Di kalangan bangsa manusia bangsa manakah  yang
 Mempunyai peluang-peluang yang tertinggi
Di dalam bidang rohani daripada Bani Isra`il ?
Tetapi berkali-kali mereka mengalami kegagalan
Dalam bidang Rohani
Mereka memberontak melawan Nabi Musa a.s. dan
Mereka merungut-rungut dalam belantara.
Dan para Nabi mereka bunuhkan
Dan ayat-ayat Tuhan mereka tolaknya: Mereka palsukan
Kitab Suci dan berpaling belakang kepada kebajikan.
(Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian, Jil. 1: hlm. 30).
Manakala pecahan empat, iaitu dari ayat (87-121) adalah mengenai:
Sikap angkuh dan kufur Bani  Isra`il terhadap Nabi Musa. Mereka menganggap mereka berhak masuk syurga, kalau disiksa hanya dalam tempoh yang pendek. Mereka menegah Rasulullah dan orang Islam dari beribadat di masjid. Sesungguhnya mereka tidak reda dengan orang Islam dan maukan orang Islam mengikut mereka (Yahudi dan Nasrani).
Di dalam hal ini kata Abdullah Yusuf Ali: K 47 (2. 87 – 121):
Umat Nabi Musa dan umat Nabi Isa
Telah dikurniakan wahyu: tetapi sayang !
Mereka tidak setia kepada cahaya ajaran mereka sendiri
Dan dalam mengikuti keinginan maka mereka, menjadikan
Sempit:
Ajaran Tuhan yang bersifat sarwajagat. Pada mereka
Nampaknya tidak munasabah bahawa Cahaya-Nya
Akan menerang Semenanjung Arab dan memperbaiki
Alam ini. Tetapi Sunnahnya adalah menghairankan
Dan ianya jelas bagi mereka yang beriman.
(Al-Qur`anu`l-Karim. Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 1, hlm. 58).
Sebagaimana pernah dibicarakan, sekiranya seorang mempelajari sirah dan sejarah, maka orang bermaklumat sirah dan sejarah lebih faham mengenai apa yang terkandung di dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah sebagaimana di bicarakan di atas. Surah Al-Baqarah ini adalah diturunkan di Madinah selepas Hijrah al-Rasul s.a.w.  Ia adalah realiti sejarah yang dihadapi Rasulullah s.a.w.  dan merupakan siri tentangan musuh-musuh Islam terhadap Islam. Jika di Makkah, maka Rasulullah s.a.w. menghadapai kafir Quraysy yang tercabar dari dakwah Rasulullah s.a.w. dan merasa tradisi budaya Jahaliyyah yang mereka amalkan selama ini tergugat. Mereka angkuh dan dari segi psikologi ego mereka tercabar, mereka bukan mengambil kira benar atau salah pegangan mereka, mereka mau pertahankan kewibawaan mereka dan menentang dakwah Rasulullah s.a.w. sehingga mereka berjaya `menyingkirkan` Rasulullah dari bumi Makkah, sedangkan bagi orang Islam ia adalah merupakan strategi dari segi dakwah.
Tetapi apabila Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut berhijrah ke Madinah dan mendapat sambutan penduduk, di samping menyatukan orang Muhajirin dan Ansar, maka orang-orang Islam  menghadapi keangkuhan orang-orang Yahudi yang berperanan penting dari segi penguasaan ekonomi masyarakat. Mereka ego dan bermegah dengan kedudukan, lantaran Kaum Bani Isra`il mempunyai tradisi kenabian yang dibangkitkan dari kalangan kaum mereka. Mereka memandang rendah dan tidak mau mengiktiraf apa lagi mengikut Rasulullah s.a.w. Sebaliknya mau orang Islam mengikut mereka  atas agama Yahudi atau Nasrani. Allah menempelak mereka dan mendedahkan sikap mereka yang menentang Nabi Musa dan sikap mereka yang angkuh. Cabaran orang Yahudi terhadap Islam ini di atasi oleh Rasulullah dengan mengkesampingkan mereka dari masyarakat umat lantaran mereka menentang Islam dan menjadi duri dalam daging bagi umat Islam di Madinah, akhirnya mereka diusir dari bumi Madinah, lantaran mereka mengkhianati Rasulullah dan umat Islam.
Apa yang digambarkan oleh Al-Qur`an, terutama tentang sikap orang Yahudi, adalah realiti sejarah yang dilalui orang-orang Yahudi. Mereka, walaupun bermegah mempunyai siri nabi-nabi, tetapi mereka bukan dari kalangan mereka yang setia. Dalam sejarah, sebagaimana didedahkan oleh Al-Qur`an mereka tidak henti-henti bermasalah dengan dakwah dengan nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Apa lagi apabila  Rasul terakhir bukan dari kalangan, seperti yang diharap kebangkitan Rasul akhir zaman dari kalangan keturunan Yahudi, tetapi bukan dari turunan Yahudi, sebaliknya adalah dari keturunan Arab. Ini menambahkan dendam kesumat mereka terhadap Rasulullah dan orang-orang Islam.

Sekian.

August 29, 2015

Memahami Keunikan Tafsir Oleh Abdullah Yusuf Ali - Surah Al-Baqarah


BBB,  13 Zulkaedah 1436 = 28 Ogos 2015 (Jumaat):



Tanggapan awal Penulis terhadap `The Holy Qur`an, Text Translation & Commentary = Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud` adalah sebagimana tafsir biasa yang menterjemahkan teks Al-Qur`an diikuti dengan tafsiran yang diisi dalam tafsiran berbagai keterangan dan pendapat. Tetapi semakin Penulis meneliti dan mengkaji, sememangnya bermula dari kurang faham dan tanggapan yang kurang tepat, makin menyerlahkan bahawa Tafsir Abdullah Yusuf Ali dan terjemahan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady (Abu Salah) mempunyai pendekatan yang unik dan tersendiri. Beberapa keunikan dapat disenaraikan di bawah berdasarkan Surah Al-Baqarah:
1)      Terjemahan melalui bahasa Inggeris ke bahasa Melayu
2)      Huraian diberi pada bahagian bawah kepada istilah atau maklumat dalam teks menjadikannya sebagai catatan kaki.
3)      Huraian diberi terhadap kandungan satu-satu surah pada bahagian permulaan surah, sebelum bermulanya tafsiran.
4)      Pemacahan kandungan Surah Al-Baqarah kepada 40 bahagian (tema/perkara/persoalan)
5)      Pentafsir (Abdullah Yusuf Ali) memecahkan kandungan Surah Al-Baqarah kepada 10 pecahan yang setiap permulaan bagi pecahan dibuat rumusan dalam bentuk puisi. Ini bererti bagi Surah Al-Baqarah terdapat 10 rumusan puisi.
Berhubung dengan perkara 1 – 3 telah  dibicarakan. Adapun pecahan-ayat dalam Surah Al-Baqarah kepada 40 bahagian, hanya disebut pecahan dalam tafsiran, tetapi tidak diberi judul bagi satu-satu tafsiran dan tiada rumusan kandungan. Pemecahan kepada bahagian-bahagian dimaksudkan seperti di bawah:.
1)      Pecahan  Satu            Ayat  1 -  7
2)      Pecahan  Dua            Ayat   8 – 20
3)      Pecahan  Tiga           Ayat   21- 29
4)      Pecahan  Empat      Ayat    30 -39
5)      Pecahan  Lima         Ayat   40 – 46
6)      Pecahan  Enam        Ayat   47 -   ?    (Tidak disebut dalam versi English dan Melayu)
7)      Pecahan  Tujuh       Ayat     ?  -  61
8)      Pecahan  Lapan       Ayat   62-   71
9)      Pecahan Sembilan  Ayat   72 -  82
10)   Pecahan Sepuluh    Ayat   83 – 86
11)   Pecahan Sebelas     Ayat   87 – 96
12)   Pecahan Duabelas  Ayat   97 – 103
13)   Pecahan Tigabelas Ayat   104 – 112
14)   Pecahan Empatbelas Ayat 113-121
15)   Pecahan Limabelas Ayat   122- 129
16)   Pecahan Enambelas Ayat 130 -141
17)   Pecahan Tujukbelas Ayat    142 – 147
18)   Pecahan Lapanbelas Ayat    148 – (Tiada Disebut)
19)   Pecahan Sembilanbelas Ayat 00 -163
20)   Pecahan Duapuluh  Ayat      164- 167
21)   Pecahan Duapuluh Satu Ayat 168-182
22)   Pecahan Duapuluh Dua Ayat  (Tiada Disebut)
23)   Pecahan Duapuluh Tiga Ayat   183 -188
24)   Pecahan Duapuluh Empat Ayat 189 -196
25)   Pecahan Duapuluh lima Ayat  197-   (Tiada)
26)   Pecahan Duapuluh Enam     Tiada – 216
27)   Pecahan Duapuluh Tujuh  Ayat  217 – 221
28)   Pecahan Duapuluh Lapan  Ayat 222 – 228
29)   Pecahan Duapuluh Sembilan Ayat 229 -231
30)   Pecahan Tiga puluh  Ayat            232 – 235
31)   Pecahan Tigapuluh Satu  Ayat    236 – 242
32)   Pecahan Tigapuluh Dua   Ayat    243 – 248
33)   Pecahan Tigapuluh Tiga  Ayat     249 – 253
34)   Pecahan Tigapuluh Empat Ayat  254 – 257
35)   Pecahan Tigapuluh Lima  Ayat    258 – 260
36)   Pecahan Tigapuluh Enam  Ayat   261-  266
37)   Pecahan Tigapuluh Tujuh  Ayat   267 – 273
38)   Pecahan Tigapuluh Lapan  Ayat   274 -  Tiada
39)   Pecahan Tigapuluh Sembilan Ayat Tiada -283
40)   Pecahan Empat Puluh   Ayat         284 – 286.
(Terdapat kesilapan pemecahan bahagian-bahagian yang mungkin berlaku pada peringkat penaipan).
Pentafsir tidak memberi rumusan kandungan, pengaji boleh membaca ayat-ayat di dalam satu-satu pecahan dan membuat rumusan. Misalnya:
Pecahan 10 ayat 83 – 86, mengenai membuat baik dengan ibu bapa, warith terdekat, anak yatim dan orang miskin dan jangan menumpah darah.
 pecahan 30 ayat 232 – 235 ialah mengenai `Talaq, penyusuan anak, tempoh suci bagi perempuan yang kematian suami dan cara meminang`. Demikiaanlah dapat dibaca dan dirumuskan dari pecahan-pecahan yang dibuat.
Satu lagi pemecahan ayat-ayat di dalam Surah Al-Baqarah ialah pemecahan kepada kelompok ayat-ayat yang lebih banyak yang pengelompokan sebanyak 10 kelompok (1) 1 – 29 (2) 30-39 (3) 40-86 (4) 87-121 (5) 122-141 (6) 142-167 (7) 168-242 (8) 243-255 (9) 256 -283 (10) 284-286.
Bagi setiap kelompok ini diberi rumusan dalam bentuk puisi sebagaimana contoh bagi kelompok satu sudah diperturunkan pada tulisan yang lepas. Contoh bagi kelompok (2) ayat 30-39 dirumuskan di dalam bentuk puisi sebagaimana berikut (Tentang Kekhalifahan Adam):
K.45 (2.30-39) bermaksud Couplet/Kaplet/Kumpulan (Surah 2 ayat 30 -39):
Kemudian Insan alangkah ajibnya nasib anda!
Diciptakan untuk menjadi Khalifah Tuhan di bumi
Lebih tinggi daripada para malaikat !
Tapi ditipu oleh Kejahatan ! Diasingkan buat satu musim
Di bumi ini dalam percubaan dan ujian
Untuk menyucikan kotoran pada diri anda, dengan Janji
Akan dikurniakan Bimbingan dan Harapan dari Yang Maha Tinggi
Dari Tuhan Maha Menerima Taubat hambaNya, Maha Mengasihani
Adakah anda akan memilih yang benar dan mencapai semula
Ketinggian Darjat anda di sisi Tuhan ?
Sebenarnya pemecahan kepada sepuluh kelompok ini lebih menarik, kerana pentafsir membuat rumusan bagi setiap bahagian di dalam bentuk puisi yang dapat dihayati dan dinilai pandangan yang dibuat. Kita persoal,  apakah lebih baik pecahan kepada 40 bahagian itu ditiadakan sahaja ?

Sekian.

August 28, 2015

Rumusan Pandangan Abdullah Yusuf Ali Tentang Kandungan Al-Qur`an - Surah Al-Baqarah


BBB, 12 Zulkaedah 1436 = 27 Ogos 2015 (Khamis):



Adalah sukar dan memerlukan ruang yang panjang bagi merumuskan keseluruhan kandungan menurut pandangan Abdullah Yusuf Ali. Kita melihat antara tema utama dalam Surah al-Baqarah, iaitu surah terpanjang yang melangkaui lebih daripada dua juz` (286 ayat):
1)      Kitab Al-Qur`an panduan keimanan dan amalan keislaman
2)      Insan merupakan Khalifah di Alam bermula dari Adam berperanan  memakmurkannya.
3)      Pengiktirafan terhadap perutusan rasul-rasul seperti Nabi Musa, Isa, Sulaiman,
4)      Soal nasakh dan mansukh ayat Al-Qur`an dan hukum-hukum
5)      Menekankan tugas mendirikan solat dan mengeluarkan zakat
6)      Kepentingan masjid bagi masyarakat umat Islam
7)      Peranan Nabi Allah Ibrahim dan keluarganya dalam memakmurkan Makkah dan doanya bagi kelahiran Rasul dari turunannya
8)      Penukaran Kiblat dari Masjid Al-Aqsa kepada Masjid Al-Haram
9)      Penekanan dan kepentingan ibadat Haji
10)   Pengukuhan akidah tentang keesaan Allah.
11)   Penekanan pada perkara-perkara yang halal lagi baik
12)   Mereka yang berhak mendapat pertolongan dan pembelaan
13)   Hukum perundangan yang berhubung dengan qisas
14)   Persoalan mengenai harta pusaka - wirathah. Menjaga harta dan kebajikan anak yatim
15)   Kewajipan menunaikan ibadat puasa
16)   Kewajipan berjihad bagi mempertahankan negara dan umat
17)   Larangan meminum arak
18)   Soal rumah tangga pemilihan wanita bagi perkahwinan dan talaq
19)    Galakan bernafkah, sedekah dan membuat kebajikan
20)   Aturan hutang piutang.
Secara kasar terdapat 20 persoalan utama yang  terkandung di dalam Surah Al-Baqarah. Secara perbandingan dapat dilihat penekanan persoalan yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali secara yang lebih teratur dengan melihat kandungan dari jumlah ayat ( dari ayat pertama) kepada jumlah ayat terakhir (286). Ada rumusan dalam bentuk puisi yang dibuat, tapi tidak mewakili kandungan secara lengkap. Yang lebih lengkap ialah rumusan menurut seturut nombor, iaitu:
(Ayat 01 – 29)
Aspek kerohanian dan penciptaan insan.
Ayat 30 – 39)
Kedudukan tinggi insan sebagai khalifah Allah di bumi Nya
(Ayat 40 -86)
Kisah Bani Israil yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan mereka menyalahgunakan kedudukan mereka.
( Ayat 87 -121)
Perjuangan Nabi Musa dan Isa dalam menghadapi kebiadaban kaum Bani Isra`il. Dengan keangkuhan mereka menolak kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.
(Ayat 122-141)
Mereka bermegah dan mengaku turunan Nabi Ibrahim, sedang Rasulullah adalah dari turunan yang sama melalui Nabi Allah Ismail yang dengan bapanya Ibrahim membina Ka`bah di Baitillah al-Haram.
(Ayat 142- 167))
Ka`bah menjadi Pusat Ibadat dan lambang perpaduan umat Islam.
( Ayat 168- 242)
Perpaduan umat dikukuhkan dengan hukum hakam dan perundangan Islam. Kekukuhan dengan menjaga kebersihan dari segi makanan yang halal dan kekukuhan rohani dengan ibadat seperti solat dan puasa, haji,  pembinaan akhlak, kekukuhan rumahtangga dan jihad.
(Ayat 243 – 253)
Contoh-contoh jihad seperti kisah Talut, Jalut dan Nabi Daniel.
(Ayat 254 – 255)
Perlu membuat kebaikan kepada orang lain dan meyedari keagungan Allah
(Ayat  256- 283) – Tidak dirumuskan
Galakan bersedekah dari hasil terbaik kepada mereka yang layak menerima sedekah dan penolakan dari amalan riba. Aturan berhutang piutang
(Ayat 284 – 286)
Tentang keimanan dan permohonan keampunan di atas kesalahan.
Kalau dilihat rumusn dalam puisi Abdullh Yusuf Ali sebaik akhiran bagi Pendahuluan bagi Surah Al-Baqarah, tidaklah mencerminkan kandungan surah berkenaan secara rumusan. Puisi berkenaan ialah;
( K. 44 lebih khusus bagi (Ayat 1 -29) – (Terutama dari ayat 14 – 20  Al-Baqarah – P) ianya sebagai pembukaan bagi tafsiran selanjutnya:
``Ajaran dari Tuhan adalah suatu panduan yang tepat
Bagi mereka yang mencari Cahaya dari Nya Tapi mereka
Yang menolak keimanan adalah buta hati mereka.
Dicapkan. Kebinasaanlah bagi sekalian mereka yang munafik,
Yang tertipu diri sendiri dan menipu orang lain pula,
Dengan kata-kata sindiran pada bibir mulut mereka dan
Rancangan jahat
Dalam hati mereka, dan ketakutan; maka awan
Yang membawa hujan yang menyuburkan kepada orng lain
Bagi mereka membawa kebisingan guruh yang mentulikan telinga
Dan pancaran kilat yang membutakan pndangan mata mereka.`` (Jil. 1, Terjemahan, hlm. 6 – 7).
Sudah tentulah rumusan yang dibuat tidak lengkap sebagaimana persoalan sepenuhnya di dalam Surah Al-Baqarah, tetapi adalah diharapkan antara keduanya lengkap melengkapi dan bagi kandungan sempurna hendaklah kembali kepada kandungan Al-Qur`an dan tafsiran terhadapnya.

Sekian.

August 27, 2015

Pendekatan Tafsir Abdullah Yusuf Ali


BBB,  11 Zulkaedah 1436 – 26 Ogos 2015 ():
Sebagaimana telah dibicarakan ada berbagai-bagai pendekatan format dan tafsiran yang dibuat terhadap kandungan Al-Qur`an. Ada yang mengambil sejumlah ayat, diterjemah dan ditafsirkan secara panjang lebar seperti yang dilakukan oleh seperti Ibn Kathir dengan Tafsir Ibn Kathir atau Hamka dengan Tafsir Al-Azharnya. Ada yang menurunkan sejumlah ayat Al-Qur`an dalam satu muka dan diberi tasiran bahagian tepi secukup ruang bagi ayat-ayat diperturunkan di dalam satu halaman seperti yang dilakukan oleh  Wahbah Al-Zuhaily di dalam tafsir Al-Wajiznya. Ada yang menurunkan ayat diikuti dengan terjemahan dan tafsiran secara terus menerus sebagaimana dilakukan oleh Haji Muhammad Said bin Umar Kadhi Jitra Kedah dengan Tafsir Nur al-Ihsan dan ada yang menurunkan sejumlah ayat Al-Qur`an pada bahagian kanan dan terjemahan pada bahagian kiri dengan memberi tafsiran pada bahagian bawah sebagai catatan kaki, sebagaimana dilakukan oleh Abdullah Basmih dengan Tafsir Al-Rahman.


Tafsir Abdullah Yusuf Ali yang diberi judul `The Holy Qur`an Text Translation & Commentary` adalah dengan meletakkan ayat Qur`an pada bahagian kanan dan terjemahannya pada bahagian kiri dengan bahagian bawah ialah catatan penerangan sebagai huraian bagi istilah atau  konsep yang terkandung  di dalam ayat pada bahagian atas. Ia seolah-olah sebagai catatan kaki sebagai huraian bagi teks. Catatan bawah ini biasanya jauh lebih panjang dari teks. Sifat dan ciri ini melayakkan teks dan huraian ini sebagai tafsir.
 Format dan tafsiran yang dilakukan oleh Abdullah Yusuf Ali:
Sebagaimana kebanyakan tafsir, bagi awal setiap surah pentafsir memberi penerangan bagi satu-satu surah sebelum masuk mentafsirkannya. Keadaan yang sama dilakukan oleh Abdullah Yusuf Ali bagi tafsirannya. Penerangan adalah diberi dalam bentuk prosa. Cuma istimewa dan berlainan dari surah-surah lain, bahawa bagi Surah Al-Fatihah diberi penerangan dengan bentuk puisi, manakala bagi surah-surah yang lain diberi penerangan di dalam bentuk prosa, manakala pada hujung penerangan dipersembahkan potongan puisi yang mengaprisiasi surah dan kandungan. Semua puisi-puisi ini adalah merupakan sambungan puisi yang lepas. Contoh puisi terakhir bagi latar Rasulullah s.a.w. adalah bilangan 41, maka puisi yang memperkenalkan tentang Surah Al-Fatihah adalah dikira  C – 42 (Couplet 42) dan seterusnya bagi  puisi yang disertakan selepas penerangan surah secara prosa, maka diikuti rumusan pembicaraan dalam bentuk puisi ringkas dengan bilangan C – 43. Jadi seolah-olah akhirnya ada rumusan berpuisi bagi seluruh surah sebagai pandangan Pentafsir bagi semua kandungan surah-surah Al-Qur`an. Dalam erti kata lain semua puisi berkenaan dapat diasing dan menjadi sebuah Kumpulan puisi berkenaan Al-Qur`an. Dalam erti kata lain juga kedudukan puisi begitu diberi perhatian oleh Abdullah Yusuf Ali, bukan setakat pengenalan bagi Al-Qur`an tetapi sebagai rumusan bagi surah-surah yang lain yang dapat diasing dan dihimpunkan di dalam buku yang berlainan. Dengan ini Penulis tidaklah begitu bias terhadap elemen puisi, lantaran penggunaan puisi agak banyak dan terdapat bagi setiap surah.
Bagi pengenalan terhadap Surah yang diperturunkan secara puisi yang dikira sebagai couplet /kumpulan 42, diperturunkan teks dalam bahasa Inggeris:
Introduction To Sura 1 (Fatiha)
C – 42 – First comes that beautiful Sura
The Opening Chapter of Seven Verses
Rightly called the Essence of the Book
It teaches  us the perfect Prayer
For it we can pray aright, it means
That we have some knowledge of God
And His attributes, of His relations
To us and His creation which includes
Ourselves; that we glimpse the source
From which we come, and that final goal
Which is our spiritul destiny
Under God`s true judgment: then
We offer ourselves to God and seek His Light.
C- 43 – Prayer is the heart of Religion and Faith
But how shall we pray ! What words shall convey
The yearnings of our miserable ignorant hearts
To the Knower of all ? Is it worthy of Him
Or of our spritual nature to ask
For varities, or even for such physical needs
As our daily bread ?   That inspired One
Taught us a Prayer that sums up our fa                                                                                                                                                    ith,
Our hope, and our aspiration in things that matter
We think in devotion of God`s name and His nature;
We praise Him for His Creation and His cherishing care;
We call the mind the Realities seen and unseen;
We offer Him worship and ask for His guidance
And we know the straight from the crooked path
By the light of His grace that illumines the righteous.
(The Holy Qur`an, Text, Translation & Commentary, Vol. I, Sh. Muhammad Ashraf, Kashmiri Bazar,
Lahore, Pakistan, 1977: 13).
Berikutnya diikuti dengan terjemahan Surah Al-Fatihah:
Sura Fatiha, or The Opening Chapter
1.       In the name of Allah, Most Gracious Most Merciful
2.       Praise be to Allah. The Cherisher and Sustainer of the  W                                                                                                        orlds
3.       Most Gracious, Most Merciful
4.       Master of the Day of Judgment
5.       Thee do we worship And thine aid wee seek
6.       Show us the straight way
7.       The way of those on whom
Thou hast bestowed Thy Grace,,
Those whose (portion)
Is not wrath,
And who go not astray.
Terdapat 6 huraian yang diberi terhadap istilah-istilah dalam Surah Al-Fatihah yang huraian memenuhi satu setengah halaman, iaitu terhadap istilah-istilah: Opening Chapter, Most Gracious and Merciful, Cherisher and Sustainer, We worship, Show us the straight way, and go not astray.
Pendekatan format dan huraian sedemikian dilakukan oleh  Muhammad `Uthman El-Muhammady dalam versi terjemahan dalam bahasa Melayunya dengan cara yang begitu teliti.
(Al-Qur`anu `l-Karim Terjemahan Dan Huraian, Jil. 1, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992: lxxiv-4).

Sekian.

August 26, 2015

Pentingnya Memahami Sirah Dan Sejarah


BBB, 10 Zulkaedah 1436 = 25 Ogos 2015 (Selasa):

Membaca Al-Qur`an dengan tartil dengan menjaga makhraj dan tajwid, bersuara lembut dan tenang, khusyuk dan terang, demikian dengan mendengar orang lain membaca, sudah cukup memberi rasa mesra dan tenang, terharu dan terkesan memberi rasa khusyuk dan keinsafan; biarpun tanpa mengetahui makna dan latar belakang mengenai ayat-ayat yang dibacakan.



Tetapi kesan dari pembacaan seperti di atas atau secara pendengaran lebih lagi memberi impak positif, sekiranya ayat-ayat yang dibaca difahami, lebih-lebih lagi jika ayat-ayat yang dibaca diketahui latar dan peristiwa.
Sebagai contoh seorang mendapat kesan dari ayat Al-Qur`an, katakan dari Surah Al-Baqarah dari ayat (Al-Baqarah 124-140) sebelum masuk  juz` Sayaqul`. Dengan memahami makna dapat kita mengetahui sejarah pembinaan Ka`bah oleh Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail `alayhima al-Salam, bahkan sejarah semasa Nabi Allah Ismail bersama ibunya Saydatina Hajar menghuni Makkah dan peristiwa menemui air zam-zam. Kita juga mengetahui peristiwa yang membawa kepada tradisi qurban yang berlaku di antara Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Ismail. Kita juga mengetahui tentang susur galur turunan Arab dari turunan Nabi Allah Ismail yang berkahwin dengan suku Arab  Jurhum yang menghasilkan turunan dari Nabi Ismail membawalah turunan ini kepada Nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga kita ketahui berkat dari do`a Nabi Allah Ibrahim Makkah yang berada di tengah padang pasir yang cuma mempunyai mataair zam-zam menjadi kota yang aman makmur hingga kini. Dengan memahami ayat dan memahami sirah yang berhubung dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan nabi-nabi yang lain, khususnya berhubung dengan sejarah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail lebih memberi kejelasan tentang Rasulullah, tentang keturunannya dan tentang kebangkitannya menjadi Rasul yang pernah didoakan oleh Nabi Allah Ibrahim. Aspek-aspek berkenaan lebih lagi dapat difahami melalui pembelajaran tafsir terhadap ayat-ayat yang berkenaan yang dari segi ilmu tafsir tidak saja diberi terjemahan maksud, tapi tafsiran termasuk dengan ayat-ayat Al-Qur`an, Hadith, pendapat sahabat tabi`in dan pendapat-pendapat ulama serta sebab-sebab nuzul (diturunkan ayat-ayat).
Sebagai contoh kedua berhubung dengan ayat dari awal  juz` `Sayaqul` (Al-Baqarah: 124-150), tanpa mengetahui dari segi maksud, sebagaimana telah dikatakan, ianya dapat dihayati sebagaimana ayat-ayat Al-Qur`an yang lain sebagaimana telah disebutkan, tetapi jika diketahui makna dan sejarah yang berhubungan dengannya, ianya lebih memberi kedekatan dan kefahaman kepada kita, lantaran persoalan yang dibawa di dalam ayat-ayat di atas ialah berhubung dengan `Pemalingan dan Perubahan` menghadap di dalam ibadat solat dari Masjid l-Aqsa kepada Masjid Al-Haram. Dengan memahami makna dan sejarah dapat difahami tetang Masjid Al-Aqsa dan Masjid al-Haram, mengapa sebelum daripadanya solat menghadap ke Masjid Al-Aqsa dan bagaimana `Pemalingan dan Perubahan` Kiblat dari Masjid Al-Aqsa bertukar kepada Masjid Al-Haram yang telah dibina oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Nabi Allah Ismail. Juga apakah significantnya dengan pemalingan Kiblat dan hubungan dengan sikap orang Yahudi dan munafik yang mempermainkan orang Islam, kononnya mengikut kiblat mereka,  dan bagaimana sikap mereka selepas pemalingan kiblat dai Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram. Sebenarnya kefahaman seharusnya lebih luas daripada itu, bahawa Kiblat ke Masjidil Haram bukan setakat melibatkan ibadat solat sahaja, tetapi juga melibatkan amalan-amalan yang lain seperti Haji dan arah bagi amalan ibadat yang lain.
Bahkan Haji boleh dilihat selain daripada ibadat yang merupakan rukun Islam kelima, tetapi dari satu pihak dapat dilihat bahawa Haji dari satu sudut merupakan amalan yang secara tidak langsung agar menyedari sirah dan sejarah. Mempercayai tentang Rasul adalah merupakan rukun iman, sememangnya dengan percya dengan begitu sahaja sudah cukup dari segi keimanan, tetapi dengan kita menunaikan rukun Islam kelima iaitu Haji, kita dapat melihat dan menyaksi dengan mata kepala sendiri, tanah Makkah yang lahirnya di situ Rasulullah dan dapat menyaksikan tempat di mana Rasulullah menerima wahyu dan dibangkitkan menjadi Rasul, dapat menyaksikan tempat Rasulullah s.a.w. berdakwah dan menerima penentangan dari kuffar Makkah, di Makkah juga dapat menyaksikan Ka`bah yang dari segi sejarahnya dibina oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anakya Ismail dan dapat memahami sejarah di mana Sadatina Hajar bersama anaknya Ismail di dalam kerisauan mencari air yang kemudian mengalirnya air zamzam yang dapat dinikmati hingga hari ini dan hasil dari adanya air menjadikannya tempat tumpuan kafilah yang datang tinggal di Makkah yang akhirnya menjadi tempat yang maju. Dengan mendirikan Haji dapat melihat kesan sejarah tempat bertemunya Nabi Allah Adam  dengan Isterinya Hawwa` yang dari mereka berdua membiaknya turunan manusia di muka bumi ini.
Dengan memahami sirah dan sejarah kita dapat memahami penurunan Al-Qur`an yang  setengahnya berkaitan dengan sebab dan tempat Nuzul. Demikian juga dengan memahami sirah kita mengetahui tentang peristiwa Hijratul Rasul s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Dengan menunaikan Haji, kita dapat lihat dan melawat Madinah yang menjadi tempat Hijratul Rasul dan menyaksikan kawasan perjalanan Nabi dalam penghijrahan ke Madinah. Di Madinah dapat disaksikan masjid Quba` dan Masjid Madinah yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. dan dapat sama beribadat di masjid-masajid berkenaan. Demikian juga dengan ziarah ke Madinah dapat disaksikan banyak tempat sejarah berhubung dengan Nabi s.a.w. seperti tempat-tempat berlakunya peperangan-peperangan. Bahkan dapat mengaitkan peristiwa-peristiwa Nabi dan sahabat-sahabat. Pendek kata dengan menunaikan Haji dan menziarah dapat mengenal tempat-tempat bersejarah, khususnya berkaitan dengan Rasulullah s.a.w.  sama ada di Makkah atau Madinah.
Lebih dari itu dengan memahami sejarah lebih luas, misalnya sejarah tamadun manusia dapat dilihat kedudukan umat Islam dalam peta sejarah tamadun dan peradaban berkenaan. Sejarah bukan saja dilihat dari kemajuan fizikal yang dibawa oleh sesuatu bangsa, tetapi juga dapat dilihat dari segi ketamadunan dan peradaban yang bersifat mental dan fikiran dan dapat dilihat di mana kedudukan umat Islam yang pernah membawa tamadun dan peradaban keilmuan yang besar. Melalui sejarah juga dapat dilihat ke belakang dan memandang ke hadapan apakah kebaikan dan keburukan yang pernah berlaku atau dilakukan oleh umat yang memaju dan memundurkan mereka dan apakah langkah-langkah yang seharusnya diambil jika mundur bagi mengembalikan kemajuan tamadun dan peradaban umat.
Sesungguhnya dengan sirah menjadikan kita lebih mengenali realiti sejarah kerasulan Rasulullah s.a.w.dan kaitan dengan kandungan Al-Qur`an  dan dengan sejarah membolehkan kita menilai diri dan membuat kepastian kedudukan kita dari segi maju dan mundur dan mencari jalan bagi menggerakkan diri dan umat bagi mencapai kemajuan – tamadun dan peradaban dan keselamatan – dunia dan akhirat.

Sekian.

August 25, 2015

Iqra` Permulaan Wahyu Bermulalah Risalah Itu


BBB, 09 Zulkaedah 1436 = 24 Ogos 2015 (Isnin):



Pada bahagian akhir daripada puisi Abdullah Yusuf Ali, iaitu pecahan 30 – 41 adalah tertumpu kepada tema penerimaan wahyu –Iqra` yang menandakan permulaan wahyu dan bermulalah Risalah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah. Tema ini begitu ditekan oleh Abdullah Yusuf Ali, bahkan merupakan klimeks bagi perkembangan tema yang dibicarakan. Pada bahagian permulaan bagi pecahan 30 Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan:
Iqra` ! yang bila ditafsirkan boleh bermaksud
``Bacalah`` atau ``Isytiharkanlah`` atau ``Katakanlah``
Nabi yang ummi itu kehairanan:
Dan Baginda tidak boleh membaca nampaknya Malaikat
Itu mendakapnya ke dadanya dalam dakapan yang kemas.
Dan seruan ``Iqra`` bergema jelas
Dan berlakulah peristiwa itu tiga kali, sehingga
Pengalaman yang menguasainya pertama kali itu diikuti
Oleh tanggapan tentang kumpulan kalimat-kalimat yang menjelaskan
Risalahnya, Puncanya, Tuhan Yang Maha Mencipta. (Sebahagian dari pecahan 30).
Dengan Iqra` itu disiftkan oleh Abdullah Yusuf Ali sebagai permulaan bagi pembukaan hijab bagi wahyu dan kerasulan. Ianya juga sebagai `Nur` dari Allah, lantaran itu Bukit Hira` yang menjadi tempat permulaan wahyu itu dikenali sebagai `Jabal Nur`  - `Bukit Cahaya`. (Pecahan: 31). Peristiwa penting yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. itu dibawa oleh Baginda maklumat kepada Khadijah isterinya yang kemudian mereka berdua merujuk kepada Waraqah bin Naufal sepupu khadijah yang mengamalkan syariat Nabi Allah Isa a.s. yang menyatakan, apa yang dialami Nabi Muhammad s.a.w. adalah pertanda `Perutusan Allah` (Pecahan: 32). Nabi Muhammad mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari Saydatuna Khadijah, bahkan beliau merupakan orang terawal menerima dakwah Rasulullah (Pecahan: 33 -34).
Seterusnya perkembangan berikut yang diolah oleh pengarang ialah pertembungan yang dihadapi Rasulullah s.a.w. dari kaumnya – Quraisy dan kemungkinan-kemungkinan yang diimaginasi pengarang.(Pecahan: 35-39).
Pada penghujungan bagi puisinya, Abdullah Yusuf Ali semacam  mengambil keputusan untuk memendekkan puisinya, tanpa memberi gambaran yang jelas bagaimana penerimaan masyarakat Quraisy, terhadap wahyu dan dakwah pertama yang sepatutnya digambarkan pertemuan pertama yang dibuat Nabi menyatakan tentang kerasulannya dan respond yang diterima dari mereka, mungkin dapat difahami bahawa tujuan Abdullah Yusuf Ali mau menghadkan tema puisinya kepada puncak, iaitu penerimaan wahyu yang merupakan penerimaan ayat Al-Qur`an yang pertama, lantas bersambung dengan tafsir bermula dari surah pertama (Al-Fatihah) dan seterusnya.
 Namun dari satu segi, apa yang hendak ditafsirkan adalah keseluruhan Al-Qur`an adalah wajar bagi Abdullah Yusuf Ali meluaskan pembicaraan dan penerimaan Al-Qur`an selama tiga belas tahun di Makkah dan selama sepuluh tahun di Madinah. Kita mengharapkan ada gambaran peristiwa kegetiran sekatan selama berdakwah di Makkah. Dan satu peristiwa penting dalam Sirah Rasulullah s.a.w. adalah mengenai Hijratul Rasul ke Madinah. Sewajarnya digambarkan garis kasar kewahyuan Al-Qur`an di Makkah dan apakah tema-tema dominan dari segi kewahyuan pada zaman Makkah, demikian juga tema-tema dominan dari segi kewahyuan semasa sedekad di Madinah. Mungkin dapat digambarkan episod penting berkaiatan dengan wahyu di Madinah, contoh siri peperangan yang berlaku. Bahkan kita mengharapkan jika tumpuan diberi kepada permulaan menerima wahyu yang bererti permulaan menerima Al-Qur`an wajar juga diberi gambaran hingga ke peringkat akhir dari segi kesempurnaan penerimaan wahyu – (Al-Ma`dah: 3) pada Hajjatul Wada`.
Apa yang diharapkan itu dirumus ringkas oleh Abdullah Yusuf Ali dengan puisinya:
``Selama tiga dan dua puluh tahun, dengan sabar,
Pertembungan, harapan dan kejayaan akhir
Maka lelaki pejuang jalan Tuhan itu menerima
Dan mengajarkan risalah dari Tuhan Yang Maha Tinggi ... (Pecahan: 40).
Berhubung dengan wahyu sebagai penutup puisinya Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan:
``Dalam keadaan yang berlainan dan tempat yang berlainan:
Baginda membacakan kepada mereka, dan ayat-ayat itu dicatatkan
Dengan pena: itu semua termaktub di atas kalbunya
Dan fikirannya, dan dalam ingatan
Para sahabatnya yang mengasihinya; bilamana kandungan
Kitab Suci itu bertambah, ianya disusunkan
Bagi tujuan sembahyang jama`ah dan pembacaan:
Inilah Kitab, atau bacaan atau pun Al-Qur`an.  (Pecahan: 41).
Jadi jelas dari penutup bagi puisi berkenaan, sebagai mengisyarat bagi permulaan terjemahan dan tafsiran terhadap kandungan Al-Qur`an.
Walau apa pun latar Sirah Rasulullah s.a.w. yang disertakan oleh Abdullah Yusuf Ali sebelum dari memulakan terjemahan, tafsir atau huraian dapat memberi gambaran sepintas lalu tentang Rasulullah s.a.w. – Penerima Wahyu bagi Al-Qur`an bakal diterjemah, dihurai dan ditafsirkan itu.

Sekian.

August 24, 2015

Sirah Kelahiran Rasulullah Hingga Pra-Kebangkitan


BBB,  08 Zulkaedah 1436 = 23 Ogos 2015 (Ahad):
 Merujuk kembali kepada puisi Abdullah Yusuf Ali bagi permulaan tafsirnya yang berjudul, ``The Holy Qur`an: Text, Translations & Commentary, yang diterjemahkan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady – Al-Qur`anu`l-Karim – Terjemahan Dan Huraian Maksud yang mengandungi 41 pecahan itu, maka selepas daripada 15 pecahan daripada 41 pecahan sebagaimana telah dibicarakan, iaitu sebagai pengenalan dan latar belakang bagi puisinya yang kita namakan `Insan Khalifah, Rasulullah Dan Dakwah`, maka mulai daripada pecahan ke 16, maka isinya ialah fokus kepada Sirah Rasulullah s.a.w.  – Lebih khusus ialah Keputeraan Baginda Dan Penerimaan Wahyu – Iaitu Al-Qur`an.


Mulai pecahan ke 16 Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan:
`` Lihatlah dilahirkan ke dalam alam pancaindera ini
Rasul yang ummi, anak nan comel
Mulia keturunannya, bahkan lebih lagi mulia
Dalam kesempurnaan dan kebijaksanaan kasih manusiawi
Dan kearifan tentang keadaan manusiawi: dikurniakan dengan kunci
Yang membukakan baginya Istana Alam Tabii
Nan menakjubkan: dipilih untuk menerima –
Untuk menerima dan menyeru dengan kata-kata membakar
Kebenaran rohani dan risalah  dari Tuham Yang Maha Tinggi. (Pecahan: 16).
Bagi memberi gambaran yang kontras Abdullah Yusuf Ali menggambarkan situasi masyarakat sebelumnya:
``Yang lain sebelumnya telah dilahirkan
Dalam kegelapan, tak terjangkau
Oleh suluhan sejarah; yang lain lagi dengan Kehendak Tuhan
Dihantar sebagai Rasul, yang menyeru, berjuang
Dalam zaman senja sejarah yang tidak nyata.
Dalam mana manusia membentuk dongeng-dongeng
Mengikut perasaan hati mereka. Dan mencari dalam kekaburan
Cahaya dari jauh, jauh daripada kehidupan
Hina dan kotor, sebagaimana yang mereka alami.. (Pecahan: 17).
Sebagai kontras Abdullah Yusuf menjelaskan:
``Tetapi Muhammad s.a.w. datang dalam suluhan cahaya Sejarah
Yang paling terang; dengan wahyu baginda memalukan
Kebijaksanaan mereka yang alim; dengan kaum pengembala unta
Baginda hidup dan berjuang, dan mendapat kasih mereka; di bukit-bukit
Dan lembah-lembah, gua-gua dan padang pasir, baginda mengembara
Tetapi tidak pernah kehilangan jalan kepada kebenaran dan kebaikan;
Dan hatinya nan bersih murni, para malaikat membasuh
Bersih debu-debu nan berterbangan di sekitarnya; melalui jalan-jalan hidup
Penduduk kota yang bengkok perangainya, baginda berjalan benar dan betul
Dan memenangi dari mereka nama yang dikurniakan dengan suka hati
`Lelaki Yang Dipercayai`` yang tidak pernah mungkir janji.`` (Pecahan: 18).
Demikianlah latar yang digambarkan oleh Abdullah Yusuf Ali dari zaman kelahiran Muhammad yang lahir di tengah kegelapan dunia dan kejahilan kaumnya, sehingga beliau remaja dan terkenal dengan kemuliaan akhlak dan peribadinya sehingga digelarkan `Al-Amin`. Demikianlah Muhammad membawa mesej murni dengan peribadi mulia di tengah kota Makkah.


Abdullah Yusuf Ali tidak memaparkan sirah Muhammad secara kronologi, mulai kelahiran  (Pecahan: 16) beliau digambarkan membesar secara peribadi mulia hingga digelar sebagai `Al-Amin` dan bergerak membela mereka yang malang dengan penuh keinsafan (pecahan: 19). Kemudian mulai (Pecahan: 20) beliau membuat `flashback` kembali kepada peringkat awal kelahiran Muhammad disusui (Thuaybah al-Aslamiyyah & Halimah al-Sa`diyah), dipelihara oleh Datuknya Abdul Muttalib dan Abu Talib selepas kematian Abdul Muttalib. Baginda berniaga bersama bapa saudaranya ke Sham dan kemudian berniaga dengan barang dagangan Siti Khadijah yang dari sifat amanahnya Khadijah meminang Muhammad untuk menjadi suaminya (Pecahan: 19-25). Kata Abdullah Yusuf Ali:
``Waktu berumur dua puluh lima tahun baginda dicantumkan dalam percantuman yang suci
Dalam perkahwinan dengan Khadijah al-Kubra, wanita mulia.`` (Pecahan: 26).
Dalam masa bersama dengan Khadijah inilah baginda pada usianya yang paling matang cenderung kepada `pengasingan diri` merenung kejadian, mencari hikmat kewujudan` yang membawa Baginda ber ibadat di Gua Hira`. Kata  Abdullah Yusuf Ali:
``Ada terdapat sebuah gua pada lambung Gua Hira`
Lebih kurang tiga batu ke utara Kota Makkah`` (Pecahan: 27).
Dan seterusnya;
``Nabi yang terpilih itu berada di Gua Hira`
Selama dua tahun lebih Baginda sembahyang beribadat di sana ...`` (Pecahan: 28-29).
Demikianlah Abdullah Yusuf Ali menggalurkan Sirah Rasulullah sejak dari lahirnya kepada kecenderungan Baginda beribadat di Gua Hira` sebagai persediaan menerima wahyu yang menandakan bermulanya era kerasulan Baginda.

Sekian.

August 23, 2015

Penggaluran Kekhalifahan Hingga Kepada Kebangkitan Rasulullah S.A.W.


BBB, 07 Zulkaedah 1436 = 22 Ogos 2015 (Sabtu):


Abdullah Yusof Ali mengolah selanjutnya pandangan berdasarkan rangka fikiran bahawa `Insan Pilihan Khalifah Di Alam`. Dalam mengatur idea dalam jalinan puisinya dilihat manusia sedang berjuang dalam memenuhi tuntutan keperluan dan mencari kebenaran tidak terlepas dari kesasar kepada penyelewengan (pecahan 6) dan ini bukan berlaku bagi satu golongan dari satu zaman, tetapi sering berulang, maka di atas Rahmat dan Rahimnya Tuhan, dihantarnya siri perutusan rasul-rasul. Kata Abdullah Yusuf Ali:
``Dan demikianlah cahaya keesaan nan kekal abadi ini
Telah memancar dalam semua zaman dan di kalangan semua bangsa
Melalui Rasul-rasul pilihan Tuhan yang telah datang``    (Pecahan: 7)
Rasul-rasul membawa risalah kepada kaum-kaum menurut kesesuaian dan keperluan. Namun dalam penerusan dan perubahan zaman lahir berbagai kepercayaan yang menyimpang, di samping lahirnya failasuf, penyair dan pemikir zaman, tetapi penyelewengan tetap timbul dan berterusan. (pecahan 8 – 10).
Pecahan (11) adalah merupakan mesej yang mau disampaikan oleh Abdullah Yusuf Ali dalam puisinya. Beliau menyatakan:
``Akhirnya tibalah masanya bila Suara Tauhid
Akan berbicara dan mengisytiharkan kepada Manusia
Tanpa keperluan kepada golongan rahib atau kerahiban`` (Pecahan: 11).
Dalam pecahan selanjutnya 12 – 13, Abdullah Yusuf Ali membincangkan latar persediaan bagi menerima perutusan yang membawa Tauhid. Beliau menyanjung tinggi kelahiran pemikir-pemikir seperti Thales, Socrates, Plato dan Aristotle dan keunggulan peradaban Rum dengan perundangan yang canggih mengatur kehidupan dan pentadbiran, juga dengan kelahiran pemikir-pemikir timur seperti di Cina. Tetapi pemikiran mereka tenggelam dalam arus zaman dan penyelewengan. Kata Abdullah Yusuf Ali:
``Kerana Kegemilangan Yunani Purba, kebebasan dan kebijaksanaan telah pergi
Susunan undang-undang Rum yang agung, aturan kehidupan, dan kewarganegaraannya yang menyeluruh
Sudah tenggelam ke dalam lumpur, susunan dan tertib kosong hidup kaum Gereja
Dan kepercayaan ikut-ikutan, serta sifat takabur yang sempit.
Abdullah Yusuf Ali juga melihat penyelewengan pegangan di Parsi sebagai penyembah kemewahan sedang di India berlaku kalau bilau dalam sistem sosial dan wujudnya kasta-kasta, begitu juga penyelewengan pengajaran Budhdhisme di Cina dan Jepun. (pecahan 14).
Di atas penyelewengan dan kesesatan inilah Allah Subhanahu wa Ta`ala membangkitkan perutusan bagi membetulkan akidah. Kata Abdullah Yusuf Ali:
Kemudian, dalam kota suci di negeri Arab yang musyrik,
Memancar satu cahaya menyuluhi semua penjuru
Ianya terletk di tengah-tengah batasan kawasan bumi
Dari negeri-negeri kediaman manusia di Asia, Eropah dan Afrika.
Ia menjadikan orang-orang Arab bangsa memimpin terkedepan
Dalam budaya dan ilmu.
Dalam usaha kehidupan yang tersusun rapi, hukum, dan sastera.
Dengan keghairahan untuk mengetahui alam Tabii dan rahsia-rahsianya.
(Pecahan 15).
Hingga ke sini kita dapat menanggapi persepsi dan pandangan Abdullah Yusuf Ali yang dapat kita katakan sebagai rasional dan praktikal. Dia tidak membawa pembaca melihat kedatangan  Nabi Muhammad s.a.w. dari perspektif Islam semata-mata, tetapi kesejagatan. Apa yang dibincangkan adalah atas pemikiran logik dan rasional. Ia bertolak sebagaimana telah disebutkan, bahawa insan adalah makhluk pilihan di muka bumi bahkan di alam ini. Insan diberi kedudukan istimewa sebagai khalifah di muka bumi dan alam ini. Dalam perjalanan mencari kesempurnaan dan erti hidup mereka melalui berbagai-bagai  episod penghidupan, tetapi tidak jarang, bahkan kerap kesasar dan berada di dalam penyelewengan, bahkan kesesatan. Lantaran itu muncul atau dibangkitkan di dalam siri perjalanan insan adalah perutusan-perutusan. Ini ialah yang dikenali di dalam kepercayaan Islam adalah para rasul. Mereka tidak dibangkitkan secara serentak, tetapi secara bersiri, khususnya bila berlaku penyelewengan-penyelewangan di dalam kalangan umat dan masyarakat manusia.

Di dalam kosep kepimpinan ini, walaupun tidak dapat dikategorikan semunya sebagai khalifah, Abdullah Yusuf Ali adalah mengiktiraf sebarang tamadun dan peradaban yang timbul di dalam perjalanan dan kehidupan  masyarakat manusia, bahawa lahir dari pada mereka itu tamadun yang dicapai manusia seperti tamadun Greek, Mesir, Parsi dan Rom. Abdullah Yusuf Ali juga mengiktiraf tokoh-tpkph falsafah, pemikir, seniman dan sasterawan yang telah berjasa kepada tamadun dan peradaban manusia seperti dari Greek contoh  Socrates, Thales, Plato dan aristotle, bahkan mengiktiraf tamadun yang dicapai Babylon, Mesir, Rum, Parsi, India dan Cina. Mereka adalah rantai tamadun dan peradaban yang memartabtkan manusia sebagai ciptaan sempurna yang tidak saja berkhidmat bagi diri atau masyarakat sendiri, bahkan bagi manusia sejagat. Cuma dalam konteks perjalanan zaman ada penyelewengan dan kegelapan seperti yang dilalui manusia pada abad ke 7M. yang memerlukan kepada perutusan Rasul bagi membimbing manusia kepada jalan yang benar.

Sekian.

August 22, 2015

Falsafah Dan Pemikiran Abdullah Yusuf Ali Dalam Puisinya


BBB,  06 Zulkaedah 1436 = 21 Ogos 2015 (Jumaat):


Sebagaimana telah dibicarakan bahawa Abdullah Yusuf Ali meggubah puisi yang judulnya sesuai diberi, ``Insan Khalifah, Rasulullah Dan Dakwah` yang kita kira dari puisi ini dapat kita menyelami falsafah fikiran dan sudut pandangan Abdullah Yusuf Ali berhubung dengan persoalan-persoalan yang dibicarakan. Persoalan yang berhubung dengan insan sebagai kejadian terpilih dan istimewa dan menjadi pemimpin atau khalifah adalah persoalan falsafah yang semua pemikir bersetuju insan adalah  ciptaan Allah paling sempurna dan Islam meletakkan insan (Adam sebagai insan pertama yang dinisbahkan sebagai khalifah) sebagai `khalifah` bagi memakmurkan alam ini (Al-Baqarah: 30) dan Nabi Muhammad sebagai `Insan Kamil`.
Kata Abdullah Yusuf Ali::
 ``Kepada insan itu Ia kurniakan kedudukan istimewa dalam kejadianNya
Ia muliakan Insan untuk menjadi sebagai  KhalifahNya.`` (Pecahan:  1).
Dan yang melayakkan insan menjadi khalifah tidak lain dari akal dan rohnya. Akal dapat meneroka ilmu dan maklumat dan menukarkan permukaan bumi yang sunyi dan kontang kepada penghuni yang mengusahakan kemajuan. Satu aspek falsafah yang dibicarakan oleh Abdullah Yusuf Ali ialah konsep `Kehendak` yang menggerak dan membuat pilihan dalam membina masa depannya, kata Abdullah Yusuf Ali:
``Bagi menjayakan amanah nan agung ini
Insan, tambahan lagi dikurniakan dengan `Kehendak`.
Supaya dengan itu perbuatan-perbuatannya membayangkan
Kehendak dan membayangkan Hukum Tuhan Yang Semesta
Dan akalnya membuat pilihan dengan bebasnya. (Pecahan: 2)
Persoalan yang sama dibicarakan oleh Iqbal. Menurut Iqbal,  insan adalah digerak oleh `Kehendak (Kemahuan)`. Dengan kuat kemahuan dan ikhtiar insan dapat mencapai apa yang dicita-citakan. Dalam hal mengenai kehendak ini, Iqbal mengungkapkan dalam Asrar Khudinya secara alegori: 
``Bangunkanlah peribadimu demikian hebat dan jayanya sehingga sebelum Tuhan menentukan takdirnya bagimu, sudilah DIA bermesyuarat dengan kau dulu, apakah kehendakmu sebenarnya.``
(Muhammad Iqbal, Asrar Khudi – Rahsia-Rahsia  Pribadi, Huraian Bahrum Rangkuti, Bulan Bintang, Jakarta, 1976: 33).
 Sungguhpun Allah menentukan segla kehendakNya, manusia yang bergantung pada kemahuan dan doa, seolah-olah  dengan kemahuannya berpeluang memohon dari Allah mengkabul dan menyesuaikan dengan kehendak hamba.
Falsafah `Kehendak` ini penting dalam menggerakkan keras  kemahuan. Iqbal yang melihat umat Islam di India (sebelum wujudnya Pakistan) yang lesu dan keciwa, kerana dari segi logiknya tidak mempunyai peluang untuk menguasai politik pemerintahan yang majoritinya adalah orang-orang India yang beragama Hindu. Iqbal meniup falsafah Kehendak kepada umat Islam di India yang baginya tidak mustahil umat Islam dapat mempunyai negara Islam dan memerintah secara merdeka. Beliau mengusul pendapatnya dalam tulisan, forum dan kegiatan politik agar diwujudkan di Benua Kecil India, sebuah negara Islam Pakistan. Cita-citanya ini dihidupkan berterusan, antara ungkapannya,
``Kenapakah sungai hatimu tidak banjir melimpah
Dan kenapa khudimu tidak penjelmaan Muslim sejati.
Apa gunanya berkeluh kesah tentang takdir Yang Maha Kuasa
Jadilah sendiri hai ummat, pencipta takdirmu !
(Muhammad Iqbal, 1976: 42).
Iqbal meninggal sebelum dapat melihat realiti cita-citanya terlaksana, tetapi negara Pakistan yang secara rasminya lahir pada tahun 1947 yang dipimpin Perdana Menterinya yang pertama iaitu Muhammad Ali Jinnah.  Dalam kata lain hasrat dan cita-citanya bersama umat Islam di India terkabul.


Satu pancang yang paling kukuh yang menegakkan kekuatan individu Islam dan ummat ialah kekuatan akidah tauhid yang menyatukan umat tidak kira dari apa bangsa dan keturunan. Tauhidlah benteng yang mengukuhkan kekuatan umat yang tidak mampu dicabar oleh sebarang ideologi dan fahaman. Menurut Abdullah Yusuf Ali kegelinciran dari akidah tauhid dan terperangkap dengan nafsu boleh meggelincirkan umat dan terjebak dalam kerosakan akhlak. Kata Abdullah Yusuf Ali:
`Insan terjatuh daripada `Tauhid` bilakehendaknya terpesong`. Menurutnya
``Kerana Kebenaran dan Hakikat Tauhid,
Telah pun menghilang daripada kalbu mereka.``
(Pecahan 3 & 4).
Iqbal juga mengungkapkan tentang kekuatan dan hikmat Tauhid, katanya dalam puisinya;
``Apa yang menyatukan orang seorang
Ialah rahsia dari rahsia tauhid
Agama, hikmah dan undang-undang ialah semua penjelmaannya
Kuasa, tenaga dan keunggulan berasal dari padanya
Pengaruhnya meninggikan martabat hamba-sahaya
Dan akhirnya menciptakan generasi baru dan merdeka
Yang tak ada takut dan gentar, lagi hidup roh mereka
Dan matapun melihat intisari rahsia alam semesta !
(Muhammad Iqbal. 1976: 55).
Abdullah Yusuf Ali melihat penyelewengan-peyelewengan membuat manusia terpesong dari jalan yang benar. Mereka perlu dibebaskan dari ranjau kesesatan. Tugas kesejagatan perlu memandu mereka kepada hidayah dan kebenaran (Pecahan 5).
Falsafah dan pemikiran Abdullah Yusuf Ali semacam ada mirip dan persamaan dengan Iqbal yang sama dalam era perjuangan meningkatkan maruah umat Islam di India dengan wawasan besar – mewujudkan Negara Pakistan.

Sekian.