February 29, 2012

Surau Al-Iman, Taman Putera Budiman, Balakong Bermula Membaiki Atap Bocor Kepada Pembesaran Bangunan

Balakong, 26 Rabiul Akhir 1433 = 19 Februari 2012 (Ahad):

Bermula dari kawasan setinggan dan berumah kongsi pada akhir tahun 1990an bertukar kepada bangunan-bangunan rumah pangsa dan dihuni sekitar awal 2003. Pembeli rumah menggantikan rumah setinggan di sini sebahagian besar adalah Melayu, di samping penghuni India dan Cina.Bagi penduduk Islam, sebaik mereka tinggal di sini timbul keperluan kepada sebuah surau bagi kepentingan ibadat, kegiatan pendididkan dan kemasyarakatan. Menurut Tuan Haji Zakaria bin Mamat Pengerusi Surau Sekarang, ``Usaha membangun surau terawal dilakukan secara gotong-royong dengan menggunakan kayu-kayu pembinaan rumah pangsa. Hasilnya terbina Surau Al-Iman yang amat sederhana dengan cost sebanyak RM3.000.`` Surau ini menurut Tuan Haji Zakaria mulai digunakan sempena dengan kehadiran bulan Ramadhan 2004. Dalam beberapa ziarah Adun Bangi ke surau ini Adun ditunjukkan bumbung yang bocor yang terpaksa ditadah bekas untuk mengelak basah. Timbul juga kebimbangan berlaku keruntuhan, kerana kayu lama yang digunakan begitu reput.

Setelah berkali-kali datang dan berkali-kali menerima aduan, Adun Bangi bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan Adun sebanyak RM5,000 ringgit bagi memperbaiki tempat bocor berkenaan dan kerja-kerja untuk memperbaiki bermula dari Jun 2011. Tetapi apabila hendak dibaiki, didapati kayu-kayu bumbung reput dan hampir runtuh, sebab itu bahagian atas perlu kepada penggantian semua kayu. Apabila hendak diganti difikirkan wajar diperbesarkan ruang surau, maka dibuat dan diperbesarkan bahagian belakang dengan tiang-tiang tinggi-besar terlebih dahulu, apabila bahagian belakang siap sebagai surau sementara, maka bahagian depan pula dipasang tiang-tiang bersaiz besar dengan berkubah di atas melibatkan keluasan ruang sebanyak 2,450 kaki persegi.yang bukan dari perancangan awal ini maka kos meningkat dari asalnya RM5,000 menjadi RM15,000 dengan memohon dari peruntukan Adun Balakong YB Yap RM10,000. Oleh kerana pertambahan besar dan luas maka memerlukan pertambahan kewangan. Usaha mencari derma kami lakukan melalui derma pengajaran di surau, derma langsung dari individu-individu melibatkan duit tunai sejumlah RM40,000. Dengan naiknya bangunan orang ramai turut menderma yang setenganya menghantar barang-barang seperti pasir, semin, kayu dan berbagai-bagai bantuan material dan kewangan. Kita juga meminta AJK menulis surat kepada pemimpin-pemimpin setempat memohon derma untuk pembinaan surau. Respond yang baik dari setengah penderma didapati seperti:

1) Tuan Haji Harun Pemilik Kilang

2) Tuan Haji Zamlan

3) Tuan Haji Ahmad Syasli

4) Encik Ahmad Sufi

5) Encik Bakri

Dan individu-individu penderma yang lain.Hasilnya surau yang dibaiki/dibina di atas tapak surau lama, tetapi lebih besar kelihatan tersergam begitu indah. Sebahagian lantai dipasan tile, sebahagian dipasang carpet dilengkapkan bahagian atas dengan siling berhias. Struktur tiang begitu besar dan kelihatan begitu kuat dan kini boleh memuatkan para jamaah antara 400-500 orang. Dari segi perbelanjaan meningkat kepada jumlah RM150,000 hasil dari derma dari berbagai pihak.Dengan siapnya Surau Al-Iman, maka pada hari ini diadakan majlis kesyukuran dan pemakmuran di anjung surau. Mereka yang hadir antaranya ialah Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang (Hari ini turut sampaikan derma), Tuan Haji Zakaria Mamat Pengerusi Surau, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Dun Bangi, Imam Mahmud bin Hj. Badaruddin Imam Satu, Mohd. Khairuddin bin Rais Imam Dua, Encik Amiruddin bin Terrio Setiausaha, Encik Hamdan bin Mohd. Hashim Bendahari, Ajk-Ajk yang lain, ibubapa dan para hadirin. Majlis dimulai dengan bacaan al-Qur`an diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Haji Zakaria yang berterima kasih di atas kehadiran, walaupun tidak ramai sekadar dalam jumlah 50 orang sahaja. Beliau juga berterima kasih kepada semua hadirin. Kemudian Y.B.Teo Nie Ching bergembira kerana surau yang dibina selama ini sudah siap digunakan. Beliau berharap surau digunakan sebaiknya bagi tempat ibadat, kegiatan pelajaran dan kemasyarakatan.

Adun Bangi yang merasmikan penggunaan kembali bangunan mengimbau sejarah bagi surau berkenaan. Dan bersyukur walaupun di luar dari rancangan, maka surau dapat diperbesarkan. Ini adalah hasil kerjasama dari berbagai pihak. Beliau berharap surau digunakan sebaik mungkin, selain dari tempat ibadat hendaklah diisi dengan pengajaran dan digunakan bagi kegiatan masyarakat. Beliau juga berterima kasih kepada semua penderma-penderma baik yang diketahui atau yang tidak diketahui. Hanya Allah jua membalas ganjaran kebajikan.Selepas perasmian para hadirin dijemput meninjau sekitar bangunan yang berada di dalam kawasan kurang dari setengah ekar itu. Dengan penambahan bangunan, kawasan hadapan kelihatan agak sempit. Pihak AJK bercadang untuk meluaskan kawasan ke bahagian hadapan. Ini bermakna pagar yang begitu baik terpaksa dipecahkan. Tetapi persoalan yang lebih penting ialah status tanah yang hendak diperluaskan itu adakah termasuk kawasan surau atau sebaliknya. Sebenarnya kawasan begitu penuh sebelah kiri bangunan didirikan bilik air, di samping untuk kemudahan wudhu` bagi muslimat, manakala pada bahagian kanan terdapat bangunan serbaguna. Di sini boleh digunakan sebagai tempat memasak sebagaimana jamuan yang disediakan pada hari ini. Di bawah anjung bangunan ini disediakan meja dan bangku. Apabila keramaian diadakan, maka makan minum diadakan di bawah bangunan seperti warung ini. Baiknya ianya tidak mengganggu tempat ibadat dari makan minum dan boleh mengelak dari kotor. Pada sebelah bangunan seperti warung ini adalah bilik air bagi lelaki. Sedikit ruang kosong ialah bahagian hadapan surau ini – di tepi mihrab terdapat satu kawasan kosong yang dibina court badminton atau sepak takraw yang digunakan oleh anak-anak muda untuk bermain terutama pada petang atau malam. Terdapat api limpah di pasang.

Walau apa pun, pembesaran Surau Al-Iman tanpa dirancang dan perluasan adalah cabaran kepada Adun Bangi dan juga AJK mencari dana. Al-Hamdulillah segalanya berjalan dengan baik dan hari ini surau ini dapat digunakan secara sempurna.

Al-Hamdulillah. Sekian.

February 28, 2012

Zalimnya Peragut: Si Ibu Masih Pengsan, Enam Anak Dahagakan Kasih Sayang

Tuhanku aku mengadu
Betapa zalimnya peragut
Hilang kemanusiaan
Aku yang datang bersama anak bongsuku
Menjemput anak sulungku dari Sekolah
Tiba-tiba diragut pencopet jalang
Dari motorsikalku jalan perlahan
Disangkanya aku mempunyai wang
Demi mempertahankan dua anakku
Aku rangkul kedua mereka beri lindungan
Sedang aku jatuh terhentak ke batu pengsan
Dengan tempurung kepalaku pecah
Terpaksa dibedah dan diasingkan
Setelah dihantar ke Hospital Selayang
Sepurnama aku masih tidak sedarkan diri
Berterusan di katil pembaringan
Kini dibawa pulang ke rumah ibuku
Dijaga ibu dan adik kandungku.

Tuhanku aku merayu
Betapa tiadanya pertimbangan peragut
Dia tidak saja meragut sedikit wang
Tetapi meragut dari kami kasih sayang
Betapa resahnya enam anakku
Dibebani sedih bimbang sepanjang
Tidak jemu-jemu berada di pinggirku
Membelai ibu pengsan
Dengan doa kasih sayang
Agar aku pulih kebiasaan.

Tuhanku rintih hatiku
Di manakah hati perut peragut
Mengganggu kami dalam kebahagiaan
Meskipun suamiku seorang OKU
Amat terhad pergerakan
Tapi mempunyai kerja tetap atas ehsan
Cukup bagi kami meneruskan kehidupan.

Tuhanku luah hatiku
Siapakah yang kuntum kasih sayangnya
Tak pernah luntur
Selain dari ibu tersayang ?
Menyebabkan aku kembali
Di bawah lindungannya
Di Kg. Bangi ini tempat kelahiran
Tempat insya Allah meneruskan kehidupan.

Tuhanku aku pasrah
Doaku, doa anak-anaku
Doa sekalian yang sayang
Pulihlah kesihatanku
Untukku kembali menatap
Wajah comel anak-anakku
Membimbing mereka membaca Quran
Dan menyemak mata pelajaran.

Tuhanku harapanku
Aku tidak mungkin selamanya mengharapkan
Dari keluarga ehsan dan simpati yang datang
Aku mahu kembali berdikari
Memelihara anak-anakku
Dalam suasana kasih sayang
Dalam gubuk kecil sewaan
Biarpun suamiku OKU
Tapi mampu melimpah kasih sayang
Kepadaku kepada anak-anakku
Biarlah kami dalam damai
Berulam kesusahan.


Shafie Abu Bakar,
Kampong Bangi,
03 Rabiul Akhir 1433
25 Februari 2012.

February 27, 2012

Jalan Tak Diselenggara Adun Bangi Bersama Persatuan Penduduk Atasi Masalah

Impian Putera-Jalan Ke Pekan Bangi, 03 Rabiul Akhir = 25 Februari (Sabtu):

Telah lama aduan sampai kepada Adun Bangi, bahawa Jalan Impian Putera yang masih di bawah tanggungjawab pemajunya tumbuh dan dinaiki semak samun dan jalan melalui jambatan ke Pekan Bangi rosak dan berlopak terutama selepas jambatan ke Pekan Bangi. Aduan telah disampaikan kepada pihak MPKj dan JKR, bahawa jalan yang banyak digunakan penduduk dikedua belah pihak ini patut dibaiki. Adun sendiri telah turun meninjau di kedua belah pihak jambatan, beberapa minggu sebelum ini bagi mempastikan keadaan.

Jalan Impian Putera yang naik semak samun, ialah akibat dari pemajunya yang tidak memberi perhatian pada membersih jalan-jalan berkenaan. Akibatnya lalang dan semak samun tumbuh tinggi, menghalang pandangan dan boleh membahayakan. Manakala jalan dari jambatan ke Pekan Bangi, didakwa jalan ini sebagai ``Land of no man` - Jalan berkenaan bukan di bawah selenggaraan MPKj atau JKR. Jalan ini pada peringkat awal membangunkan Taman Impian Putera, pihak Pemaju dari Anak Syarikat Perangsang memohon membuat jalan sementara untuk dilalui kenderaan Syarikat bagi membawa bahan-bahan binaan bagi membina rumah di Impian Putera. Syarikat berkenaan membina jambatan bagi kemudahan penghantaran barang-barang.

Walau bagaimana jalan yang awalnya untuk membawa barang-barang pembinaan ini menjadi popular dan jalan pintas yang selesa bagi pergi dan datang. Tapi jalan selepas jambatan ke Pekan Bangi ini adalah melalui tanah milik persendirian yang membenarkan penggunaan secara sementara. Oleh kerana jalan menggunakan tanah pemilik orang, maka pihak MPKj dan JKR tidak bertanggungjawab bagi membaiki jalan berkenaan.

Oleh kerana aduan berterusan diterima, maka Adun bersama Persatuan Penduduk yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad bin Yusof juga Ungku Faisal dan yang lain berjumlah 20 orang turun pagi ini turun bergotong royong menebas dan membersih kawasan dari semak samun. Adun juga mengeluarkan peruntukan bagi mengetar dan menurapkan jalan yang rosak. Perjalanan gotong royong berjalan dengan baik sehingga jalan yang penuh semak samun bertukar menjadi bersih dan mengurangkan bahaya tidak nampak bagi yang berkenderaan. Sampah-sampah diangkut oleh lori yang disewa khas bagi membuang sampah.ke tempat pembuangan sampah

Maka untuk membaiki jalan pihak persatuan penduduk berurus dengan Syarikat saudara Nathan di jalan Reko bagi membeli dan membawa minyak tar ke sini. Adun turut bersama melihat gotong royong dan kerja menurap jalan yang dilakukan oleh Syarikat saudara Nathan. Menurut saudara Ungku Faisal, ``Lebih kurang 17 tempat yang perlu kepada penurapan.`` Adun meminta pihak persatuan memastikan penurapan berjalan dengan betul dan bermutu. Gotong royong dapat disiapkan pada tengahari jam 12.00, manakala bagi penurapan berterusan hingga ke petang.

Persoalan yang penting untuk kali ini Adun dan Persatuan Penduduk bergotong royong membersih dan menurap jalan. Bagaimana dengan masa depan, apakah bergantung pada Adun dan Persatuan Penduduk mengambil perhatian. Pihak Pemaju dan Berkuasa Tempatan perlu mengambil inisiatif bagi menyelenggarakan pembersihan sampah dan pembaikan jalan yang rosak berkenaan. Apa lagi dimaklumkan bahawa apabila jalan flyover dari jalan Bangi-Semenyih akan merentangi jalan lama, maka sebelum jalan itu siap, maka jalan ini satu-satunya akan digunakan bagi perjalanan dari Pekan Bangi ke Impian Putera dan Bandar Seri Putera, maka jika jalan ini tidak diselenggarakan dengan baik, khususnya digunakan oleh lori-lori, maka dijangka akan segera rosak. Bahkan jika jalan flyover dari jalan Pekan Bangi-Semenyih ke Bandar Seri Putera siap, maka jalan ini tetap digunakan, sekurang-kurangnya bagi kawasan Pekan Bangi ke Impian Putera dan sebaliknya, sebab itu jalan ini seharusnya diselenggara secara berterusan dan status penukaran pemilikan tanah menjadikan ianya jalan awam hendaklah diatasi.

Sekian.

February 26, 2012

Melancarkan Pertandingan Mengarang Sempena Maulidur-Rasul Di Hulu Bernam

Perpustakaan Desa, Hulu Bernam, 03 Rabiul Akhir 1433 = 25 Februari 2012 (Sabtu):


Selepas solat zohor Adun Bangi bertolak bersama saudara Azizi ke Hulu Bernam dan tiba jam 3.30 petang di Perpustakaan Hulu Bernam. Adun Bangi ke Hulu Bernam dijemput atas kapasiti Pembantu Exco Agama bagi melancarkan Pertandingan Mengarang Cerpen dan Puisi (Sajak) Berunsur Islam anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Bernam sempena Maulidur-Rasul s.a.w. 1433/2012. Hadir di dalam majlis ialah Tn. Haji Abdul Wahid bin Basri selaku Pengarah Pertandingan, Puan Suziliana Mewakili Pengarah Perpustakaan Negeri Selangor, Cikgu Mustafa Ketua Cabang PKR, Hulu Bernam, saudara Naharuddin bin Abdul Rashid Setiausaha Pertandingan, saudara Fauzi bin Mohd Zain Bendahari, En. Zahir dari Perpustakaan Awam Negeri Selangor, En. Zali dan Puan Fadhilah dari Perpustakaan Hulu Bernam dan para jemputan.

Berucap mengalu-ngalukan para hadirin, Tuan Haji Abdul Wahid menyatakan, ``PKM DUN Hulu Bernam & JKKK Felda Gugusan Sg. Dusun bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) menganjurkan Pertandingan Menulis Cerpen dan Puisi ialah bagi mencungkil bakat dan idea bernas dari penulis-penulis yang berpotensi dalam masyarakat Madani dan karya-karya terbaik memberi impak kepada masyarakat baik di Selangor dan Negara seluruhnya,`` Menurutnya ,``Berlaku tawaqquf dari segi kesuburan penulisan, khususnya yang bersifat keislaman.``

Tambah Tuan Haji Abdul Wahid, ``Pertandingan yang dianjurkan adalah salah satu manifestasi kelahiran rasa cinta kita terhadap Rasulullah s.a.w. Pertandingan ini terbuka kepada Warga Muslim – Remaja dan Pelajar Menengah Atas, Dewasa & IPT. Pertandingan terbuka kepada anak Selangor atau yang bermastautin di Selangor. Penulisan hendaklah di dalam bahasa Malaysia.`` Menurut Tuan Haji Abdul Wahid, ``Antara syarat-syarat Cerpen Remaja panjang antara 1000 – 1,200 perkataan dan IPT antara 2,000 hingga 2,500 perkataan, manakala dalam bidang puisi (tiada had usia), Sajak ialah antara 20 hingga 30 baris perkataan, seorang peserta dibenarkan menghantarkan satu karya bagi satu genre. Hendaklah disertakan dengan karya biodata diri dan dialamatkan kepada:

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Bernam,

Balairaya Jalan Besar Hulu Bernam,

35,900 Hulu Bernam.

Atau melalui – e-mail: Sastera_rakyat@yahoo.com

Tarikh tutup penyertaan ialah 6hb. April 2012 (Hadiah tertinggi RM1,000).

Tuan Haji Abdul Wahid mengharapkan pertandingan mendapat respond yang baik dari peserta-peserta.

Puan Suziliana di dalam ucapannya mengalu-ngalukan pertandingan yang diambil inisiatif oleh PKM, Hulu Bernam. Menurutnya, ``Remaja kini lebih terpengaruh dengan media baru – internet. Penganjuran dapat menarik mereka mengasah bakat dalam penulisan dan mendekati diri mereka dengan penulisan yang bercirikan Islam. Mereka boleh gunakan media IT di dalam menghasilkan karya dan menghantarkan melalui IT.`` Menurut Puan Suziliana, ``Beberapa dekat lepas memang ada pertandingan karya yang berunsur Islam sama ada dianjur oleh YADIM, DBP dan Kerajaan Negeri yang melahirkan karya-karya seperti Angin Madinah, Embun Hidayah, Antara Safa dan Marwah, Virus Jihad dan sebagainya.`` Puan Suziliana berharap dengan penganjuran pertandingan menulis Cerpen dan Puisi adalah merupakan usaha permulaan bagi mengembalikan minat penulis dan masyarakat kepada penulisan bertemakan Islam. Pihak Perpustakaan akan memberi kerjasama yang erat bagi menjayakan pertandingan.``

Menyampaikan ucapan perasmian, Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengucap tahniah di atas inisiatif pihak JKM Hulu Bernama yang menganjurkan peraduan cerpen dan puisi. Di dalam konteks menyambut Maulidur-Rasul, sesungguhnya berbagai cara dan pendekatan bagi menyambaut Maulidur-Rasul berkenaan. Ada secara ceramah, forum, ada cara perarakan, membaca barzanji, salawat dan sebagainya. Peraduan menulis adalah satu cara pendekatan di dalam melahirkan rasa kasih sayang kita pada Rasulullah s.a.w. Ianya melibatkan daya intelektual dan kreatif

Peraduan ini juga merupakan usaha bagi memulihkan wadah penulisan kreatif yang kini makin malap. Kalau dulu ada anjuran pertandingan penulisan seperti yang dianjurkan oleh YADIM, DBP, Kerajaan Negeri, NGO dan badan-badan penulis, kini semuanya sepi. Kirta berharap ini akan mengembalikan era kegemilangan persuratan dari tahun-tahun 1970 – 2000. Inisiatif ini sepatutnya dihidupkan kembali oleh institusi-institusi di atas. Pertandinagn ini juga secara tidak langsung menyegarkan kembali bahasa Melayuyang ternyata makin diabaikan. Kita berharap Perpustakaan dan institusi-Institusi bahasa terutama DBP dan persatuan-persatuan penulis mengambil inisiatif bagi memulih dan memperkembangkan bahasa Melayu. Mengembangkan daya kreatif dan kemanusiaan sebenarnya memperkembangkan daya kreasi dan kehalusan jiwa manusia yang bersifat lembut dan santun. Dengan ini membentuk manusia yang halus jiwa, berbudi dan bersifat ehsan. Didikan yang melupakan kemanusiaan dan mementingkan sains dan teknogi adalah membentuk jiwa masusia yang keras, kurang berbudi dan hidup cara kasar dan kurang adab. Inilah yang dialami sebahagian besar dari generasi muda yang keras dan kehilangan rasa kemanusiaan. Kalau jiwa manusia dapat dibentuk dengan rasa keagamaan dan kemanusiaan dapat menyumbangkan kepada masyarakat harmoni, beradab dan kemanusiaan. Seharusnya kurikulum pendidikan kita tidak memisahkan antara agama, sains dan kemanusiaan, sebaik-sebaiknya semua pihak menerima pendidikan yang integrated dari segi agama, keagamaan dan kemanusiaan. Kita berharap semua pihak menyedari kepincangan pendidikan ini dan semua pihak membaiki. Peraduan yang diadakan sekurang-kurang memberi saham dalam membentuk jiwa cintakan agama, semarak dengan kemanusiaan disamping menguasai sains dan teknologi. Sesungguh penulisan dan pertandingan yang diadakan dapat memupuk kemanusiaan, keagamaan dan peradaban.


Sekian. Terima kasih.

February 25, 2012

Rasmi Kelas Jahitan Dan Sampaikan 6 Mesen Jahit Kepada Kelas Jahitan Sungai Ramal Luar

Baitul Imtiyaz, Sungai Ramal Luar, 26 Rabiul Awal 1433 = 19 Februari 2012 (Ahad):

Seawal jam 8.30 pagi Adun Bangi tiba di hadapan Bangunan Baytul Imtiyaz Perpustakaan, Sungai Ramal Luar bagi menyaksikan kegiatan yang berhubung dengan jahitan dan menyerahkan 6 buah mesen jahit Singer Jenis Portable kepada Pengurus Kelas Jahitan di Sini – Puan Norlela.

Hadir sama pada pagi ini ialah Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, Nazir Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, Puan Noraini Hussein, Timbalan Ketua Muslimat Pas Negeri Selangor, Wakil Syarikat Singer, saudara Fuad AJK Masjid, 20 orang pelajar Kemahiran Shah Alam didatangkan dengan sebuah bas bagi memeriahkan majlis diadakan serta peserta dan penduduk setempat. Sempena dengan majlis ini diadakan pertandingan menjahit, melukis bagi kanak-kanak, urut, potong rambut dan pemeriksaan kuku – khas untuk wanita dan percuma. Demonstrasi jahitan oleh pihak Singar juga diadakan.

Majlis bermula dengan Al-Fatihah dan Ucapan Perasmian dari Adun. Beliau mengucapkan tahniah kepada Muslimat Sungai Ramal Luar kerana berjaya mengadakan Kelas Jahitan diusahakan terutama oleh Puan Lela Mahat dan AJK. Kelas ini telah berjalan sejak sebulan yang lepas dan mendapat sambutan yang baik. Kelas jahitan dan masakan pernah dijalankan di Pejabat Adun, tetapi tidak berkekalan, kerana kesukaran mendapat tenaga guru. Usaha mengadakan Kelas Jahitan di Baytul Imtiyaz ini adalah terbesar dan teratur. Kita berharap ianya lebih berjaya. Kelas ini diadakan ialah bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mempelajari jahitan secara sambilan atau kemungkinan menjadikannya sebagai bidang mata pencarian. Setakat ini Adun difahamkan latihan memotong dan menjahit baju kurung, baju blous dan jubah dan akan diperluaskan kepada jahitan-jahitan yang lain. Latihan buat masa ini disertai oleh wanita dan mungkin diperluaskan kepada lelaki pada masa akan datang.

Atas kesungguhan pihak Penganjur, pihak Adun memperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi melaksanakan kursus Kelas Jahitan di sini. Antaranya membeli 6 mesin jahit jenis portable yang mudah alih. Adun berharap bila pelajar-pelajar dapat mencapai mutu jahitan yang standard, kempen dibuat dikalangan kita dan orang ramai bagi menempah jahitan dan Adun berharap kelas ini akan berjalan secara baik dan maju. Adun juga menyebut bahawa, pihak penganjur Kelas Jahitan ini juga memohon peruntukan `Selangorku` bagi meluaskan kelas Jahitan dan Juga Memasak. Kita berharap pihak kerajaan dapat memberi peruntukan bagi meluaskan kelas ini ke kawasan-kawasan yang lain di Dun Bangi.

Selepas merasmikan Kelas Jahitan Baytul Imtiyaz Adun menyerahkan mesin-mesin jahit kepada Puan Norlela dan mengikuti Demonstrasi menmggunakan mesin jahit canggih yang diformatkan secara digital dan Adun sendiri turut melakukan jahitan secara digital berkenaan.

Selepas itu Adun melawat dan melihat jahitan-jahitan yang dipertandingkan, menyaksikan pertandingan melukis di kalangan kanak-kanak dan melihat dari luar perkhidmatan mengurut, membersih muka, memotong rambut dan membersih kuku yang khusus bagi wanita.

Sekian.

February 24, 2012

Dari Anjung Muzium Shah Alam Ku Kagum

Kulemparkan pandangan
Ke hijau pohon kelilingan
Bayangannya turun bersatu
Di permukaan tasik tenang
Memantulkan murni ilham
Mengalir dari kolam hati
Abjad keindahan.
Dari tempat kuberdiri
Kuhayati wajah indah Shah Alam
Pertama begitu berdekatan
Kubah biru Masjid Negeri tersergam
Antara terbesar seluruh alam
Empat menara mengacah bintang
Tengadah tiang gerbang menyelamat datang
Di kejauhan tiga serangkai bangunan
Melengkap sempurnanya imej Islam
Bersama Yayasan Restu berdekatan
Sesungguhnya zon di sini
Kaya berseni estetika Islam
Kudus halus mengkagumkan.

Di Kejauhan
Menara kompleks Pentadbiran Kerajaan
Bersama Dewan Undangan Negeri
Membawa imej senibina Roman
Mengungguli bangunan MBSA, Perangsang
Diikuti Bangunan SUK 2 dan kehakiman
Membawa imej seni bina moden
Manakala PKNS, Convention Centre
Pejabat-pejabat pusat-pusat perniagaan
Di kejauhan institusi-institusi pendidikan
Ketara menyempurnakan imej Shah Alam
Namun di sini sukar mendapati
Seni bina tradisi kecuali Istana Sultan
Dan Muzium khazanah warisan.

Dari anjung Muzium
Kuhayati wajah Shah Alam
Ibu Negeri Selangor Darul Ehsan
Berimej Islamik Bandar Islam
Lambang sebuah negeri maju
Terkedepan ekonomi dan pentadbiran
Berkembang industri dan pendidikan
Namun tetap kekalkan keaslian
Bandar maju di tengah kehijauan
Sama mengutamakan kerohanian.

Berdiri di anjung Muzium
Merenung harapan masa depan
Shah Alam Ibu negeri Selangor
Makin gemerlap kemajuan
Makin meningkat keilmuan
Makin tergilat kerohanian
Menarik para pengunjung datang.


Shafie Abu Bakar,
Muzium, Shah Alam,
01 Rabiul Akhir 1433
23 Februari 2012.

February 23, 2012

Menyampaikan Sumbangan Kepada Surau Al-Ittihadiyyah Seksyen 7 BBB & Al-Hidayah Green Villa, Sungai Tangkas

Kajang Impian, Bangi, 25-26 Rabiul Awal 1433 = 18-19 Februari 2012 (Sabtu-Ahad):

Kajang Impian adalah taman perumahan baru bersempadan dengan Seksyen 7 dan bersebelahan dengan tol SILK dan juga bersempadan dengan Kajang Mewah. Sejak dihuni beberapa tahun lalu penduduk merasa perlu kepada sebuah surau yang bukan saja menjadi pusat kegiatan ibadat, tetapi juga bagi kegiatan pendidikan dan juga kemasyarakatan. Walaupun belum ada surau penduduk mendirikan khemah misalnya bagi sembahyang tarawih, sambutan perayaan dan sebagainya. Hampir tiap kegiatan yang dilakukan Adun dijemput menyertai dan akan pergi jika ada masa.

Bagi pelancaran menentukan tapak dan membina surau, Adun turut bersama. Pada malam ini Adun dijemput oleh Pengerusi Persatuan Penduduk dan Pengerusi Pembangunan Surau Encik Azli Yusof untuk turut sama menyertai Sambutan Maulidur-Rasul yang diadakan di bawah khemah yang didirikan atas tapak court badminton tidak jauh dari surau yang dinamakan dengan Surau Al-Ittifaqiyyah. Adun hadir bersama saudara Azizi mulai dari maghrib dan mengikuti ceramah Maulidur-Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Ibarhim bin Harun dari IPG. Sejak pagi difahamkan oleh saudara Azli penduduk bergotong royong menyediakan tempat dan memasak makanan untuk jamuan sempena sambutan Maulidur-Rasul.

Sempena kehadiran Adun menyampaikan peruntukan Adun bagi membina surau sebanyak RM5,000. Adun berkesempatan mengikuti Ceramah Maulidur-Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim sebahagian, tetapi memohon diri selepas itu, kerana terpaksa menghadiri Maulidur-Rasul yang lain di Seri Putra. Sayang tidak berkesempatan menikmati jamuan yang diadakan selepas ceramah dan solat Isyak. Pada malam ini Adun berhasrat untuk melihat progres bangunan surau yang telah mempunyai tiang dan lantai pada tingkat atas. Tetapi oleh kerana gelap dan keadaan becak, kerana hujan pada petangnya, maka Adun sengaja datang pada tengahari (Ahad 19 Februari) bersma saudara Azizi bagi merakam gambar surau Al-Ittifaqiyyah berkenaan.

Sementara itu pada malam hari Ahad 19 Februari Adun hadir ke Majlis Maulidur-Rasul Surau Al-Hidayah Green Villa, Sungai Tangkas. Adun juga diminta merasmikan Pemakmuran surau berkenaan. Meraikan kedatangan Adun ialah Encik Rashidi Pengerusi Surau, Encik Sham Pengerusi Persatuan Penduduk bagi dua blok apartment yang dihuni hampir seribu penduduk. Mereka tinggal di sini sejak 2009. Majlis pada malam ini bermula dengan pembacaan Al-Qur`an, ucapan dari Adun yang berterima kasih kerana dijemput dan sukacita melihat penduduk berkerja sama menjayakan berbagai kegiatan termasuk mengadakan perayaan Maulidur-Rasul. Pada majlis ini juga Adun merasmikan Majlis Memakmurkan Surau dan menyampaikan cek berjumlah RM2,500 bagi membeli keperluan surau. Berikut dari itu solawat dan marhaban diadakan.

Kemudian Ceramah Maulidur-Rasul disampaikan oleh Penceramah Khas, iaitu Ustaz Sabil. Selepas Isya` diadakan jamuan dan bersurai.

Sekian.

February 22, 2012

Gelombang Kesedaran Rakyat: 10 Ribu Membanjiri Kompleks Sukan Bangi

Kompleks Sukan BBB, 28 Rabiul Awal 1433 = 21 Februari 2011 (Selasa):

Di tengah Kerajaan BN menabur duit kepada rakyat dengan apa yang dinamakan BRIM – Bantuan Rakyat 1 Malaysia – RM500 bagi setiap orang yang disogok bagi mematikan pengaruh Pakatan Rakyat, tiba-tiba rakyat menonjolkan diri menunjukkan kekuatan kepada BN, bahawa usaha BN itu tidak sedikitpun menggugat keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Mereka hadir dengan jumlah luar dugaaan melebihi 10 ribu membanjiri ruang Kompleks Sukan BBB. Majlis perhimpunan serampang dua mata itu bermula dari Solat Maghrib Berjamaah & Solat Hajat di Kompleks Sukan di sini di bawah pimpinan Dato` Dr. Harun Din. Di dalam tazkirahnya yang banyak berasaskan kepada ayat-ayat al-Qur`an itu beliau menegaskan tentang Islam yang membawa kebenaran dan kesejahteraan dan tidak membawa sebarang unsur kebatialn, tetapi menurutnya kejahilan manusia membawa mereka kepada kesesatan dan penyelewengan. Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din menyentuh tentang usaha terdesak kerajaan BN menabur wang melalui BRIM RM500 itu adalah merupakan penyelewengan wang rakyat. Bahkan beliau menyifatkannya sebagai perbuatan rasuah. Beliau membaca Hadith Rasulullah yang bermaksud, ``Bahawa Yang memberi rasuah, yang menerima rasuah dan pengantara antara keduanya adalah di dalam neraka !``

Beliau juga mengecam tindakan Dato` Seri Najib yang ke Kuil yang sebelumnya telah berkali-kali diperingatkan agar tidak melalkukannya, kerana boleh mencemarkan akidah. Beliau juga mengecam tindakan Mufti Perak yang mempermainkan fatwa yang pada peringkat awal menentang dan kemudian menarik balik dan mengiakan ! Pada akhir tazkirahnya beliau melancarkan Derma Bagi Menyiapkan Sekolah Agama Rakyat yang sedang dalam pembinaan dan memerlukan dana bagi menyiapkannya.

Untuk siri kedua, selepas Solat Isya` diadakan ceramah penerangan situasi politik semasa yang diadakan di ruang terbuka di luar dari bangunan Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi. Jika siri pertama tertumpu di dalam bangunan Kompleks Sukan yang melimpah ruah ke luar dewan, bagi siri kedua ini mereka yang datang membanjiri segala ruang. Ceramah Penerangan Politik ini dibarisi Ustaz Shafie Ngah selaku Tuan Rumah, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar selaku Adun Bangi, Y.B. Teo Nie Ching selaku Ahli Parlimen Serdang mewakili DAP, saudara Shamsul Iskandar mewakili PKR dan puncaknya Ceramah Penerangan oleh Y.B. Dato` Nik Ammar bin Abdullah yang mewakili Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sepatutnya datang, tetapi kerana mempunyai tugas yang tidak dapat dielakkan, maka Dato` Nik Ammar mengambil tempat mewakilinya. Saudara Shukor Atan menjadi Pengerusi Majlis. Turut di atas pentas saudara Hamidi Ketua Cabang PKR Serdang.

Ustaz Shafie Ngah bercakap tentang sabotaj sampah oleh pihak yang memonopoli kontrek melalui Alam Flora. Mereka dari BN dan mau terus tender secara tertutup bagi mereka. Kita mau pecahkan monopoli mereka. Mereka mensabotaj, tidak memungut dan menghalang pihak yang dilantik memungut sampah. Tetapi kini keadaan dapat dikawal dan pungutan kembali berjalan dengan baik.Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar menarik perhatian hadirin bahawa pada Mac hampir tiga minggu lagi (18 Mac), Kerajaan Pakatan Rakyat genap 4 tahun memerintah. Dulu ada yang membuat spekulasi selepas beberapa bulan mererintah, kerajaan negari, khususnya di Selangor akan runtuh. Tetapi reality sebenar makin kukuh. Beliau menyebut tentang bajet Kerajaan Negeri Selangor makin bertambah (RM1.7 bilion), simpanan tetap pada masa BN hanya RM500 juta, tapi kini masa Pakatan sebanyak RM1.9 bilion. Simpanan Yayasan Selangor masa BN RM20 juta kini meningkat kepada RM51 juta. Skim Selangor diwujudkan sebanyak RM300 juta dan peruntukan tahunan Adun ditambah. Bantuan Sekolah Rakyat diwujudkan dengan peruntukan tahunan RM16 juta. Hasil pasir meningkat dari zaman BN RM 4 juta, kini meningkat kepada RM16 juta dan sasaran hasil RM40 juta. Skim Merakyatkan Ekonomi Selangor berjumlah RM500 juta setahun termasuklah skim warga emas, Tawas, Air percuma, bantuan masuk universiti, tuisyen percuma dan berbagai-bagai lagi. Beliau meminta rakyat membandingkan 4 tahun kemajuan yang dibawa Pakatan Rakyat dengan 50 tahun apa yang dilakukan oleh BN.

Y.B. Teo Nie Ching menggesa rakyat, terutama golongan muda yang belum mendaftar agar mnendaftar mengundi, jangan dibiarkan kuasa memilih diambil orang lain, gunakan hak dan kuasa kita. Beliau mengecam pemberian BN sebanyak RM500 secara terpilih. Orang yang senang dan kroni dapat, sedangkan rakyat miskin tidak dapat. Beliau juga mengkritik BN yang mau menggunakan wang EPF bagi membina rumah yang kemungkinan tidak dapat pulangan dari penggunaan wang berkenaan dan merugikan wang rakyat. Beliau juga menyindir tentang Fidlot sejumlah RM250 juta yang diberi kepada keluarga Shahrizat dan membelanjakannya secara sewenang-wenang, bahkan menurutnya kedudukan lembu fidlot lebih istimewa dari seorang rakyat biasa. Beliau menyebut janji-janji Pakatan Rakyat jika diberi mandate perintah Persekutuan antaranya menmghapuskan tol dan memberi bantuan RM1,000 tahunan kepada warga emas.

Saudara Shamsul Iskandar memfokuskan pembicaraan kepada tiga perkara iaitu penggunaan wang zakat bagi perbelanjaan guaman bagi Jamil Khir, kedua usaha menyekat dari membawa qazaf oleh Dato` Seri Anwar ke Mahkamah Syariah dan Kes Tuduhan Dato` Seri Anwar kononnya menyokong Israil . Mereka sengaja selewengkan kenyataan dan tidak memahami istilah `Contingent` yang mensyaratkan jaminan hak dan keselamatan Palestin bagi jaminan keselamatan yang lain.

Puncak dari Ceramah Penerangan pada malam ini disampaikan oleh Y.B. Dato` Nik Ammar selaku Exco Kerajaan negeri Kelantan yang mewakili Dato` Nik Aziz. Beliau banyak menerangkan tentang kejayaan Kelantan menerapkan pemerintahan secara Islam yang menekankan dari segi amanah dan diberi kepercayaan memerintah hingga kini selama 22 tahun berturut-turut. Tiada kes rasuah di kalangan Wakil Rakyat Pas. Kelantan berjaya melunaskan hutang kerajaan Pusat berjumlah RM600 juta. Secara bergurau beliau berkata, minda rakyat Kelantan bertambah kuat dengan memakan budu dan keropok, kerana kedua-duanya mengandungi protin yang tinggi. Menurutnya apa yang dilakukan di Kelantan diikuti oleh kerajaan Persekutuan seperti cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin. Di Kelantan rakyat hidup dalam keadaan harmoni, tiada tumpah darah masa 13 Mei. Di Kelantan ada 3 patung Buddha, yang berbaring, yang duduk dan yang berdiri. Kita tidak ganggu. Yang berbaring kita tak suruh bangun, yang duduk kita tak suruh bangkit dan yang berdiri, kita tak suruh berlari. Kita biarkan dengan keadaan masing-masing. Secara bergurau beliau berkata, di Kelantan banyak sami-sami Siam, tapi mereka tidak menimbulkan masalah sebagai ada satu Samy di Negara kita menyebabkan kita bermasalah dari segi tol. Menurut Dato` Nik Ammar kita perlu menjadikan diri kita contoh yang baik untuk dinilai dan diikuti, tetapi kita tidak paksa. Namun dari kejayaan-kejayaan yang kita lakukan, beliau mau rakyat menilai dan memberi kesempatan kita memerintah, bukan saja pada peringkat negeri, tetapi pada peringkat Persekutuan berpusat di Putera Jaya. Insya Allah - Allahu Akbar.


Sekian.

February 21, 2012

Maulidur-Rasul Peringkat Kawasan Puncak Rangkaian Semarak Hijau

Bangi, 25 Rabiul Awal 1433 = 18 Februari 2012 (Sabtu):

Mulai malam tadi sehingga dua hari berikutnya (Sabtu-Ahad), semua program disatukan di bawah Program Semarak Hijau DUN Bangi yang melibatkan kepimpinan pada peringkat negeri dan tempatan. Malam Sabtu (Hari Jumaat) adalah program pelancaran yang lebih melibatkan golongan muda – Kumpulan Remaja Bermotosikal Kuasa Tinggi (RC) disertai dengan persembahan oleh saudara Sham Kamikaze dan saudara Zulkifli Ahmad bertempat di Laman Komuniti, Seksyen 7, BBB. Sememangnya memenuhi laman tersebut golongan muda. Hadir pemimpin dari peringkat negeri ialah YB Shaari Sungib Ketua Penerangan Negeri dan Ustazah Mariam Ketua Kebajikan di samping pemimpin-pemimpin tempatan.

Hari Sabtu bermula dengan Jom Shopping di Econsave dalam mana 130 warga emas dijemput untuk berjom shopping – jumlah paling ramai dijemput. Jom Shopping memakan masa 3 jam. Program-program yang lain ialah berziarah, menyampaikan bantuan kebajikan, edar bahan maklumat, pemeriksaan kesihatan, dialog dan menziarah pemimpin. Puncak dari program pada hari ini ialah Sambutan Maulidur-Rasul s.a.w. yang diadakan di Padang Awam, Bandar Seri Putra bermula jam 9.00 malam. Hadir dari peringkat negeri ialah Puan Hajah Wan Hasrina, Ketua Muslimat Negeri Selangor. Meraikannya ialah Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP, Puan Zuryati Yassin, Ketua Muslimat Serdang, Saudara Adram Musa Ketua Pemuda Serdang dan Tuan Haji Ahmad Yusof YDP Persatuan Penduduk Bandar Seri Putera. Pada petang hari tadi hujan agak lebat dan berterusan ke petang, walaupun tidak selebat tengahari. Adalah menjadi kebimbangan jika hujan ke malam. Al-hamdulillah cuaca mulai baik dan hadirin memenuhi padang.

Program utama pada malam itu ialah Forum Maulidur-Rasul yang terdiri dari dua panel jemputan, iaitu Ybhg. Ustaz Fadhlullah Suaib Pensyarah Kanan UITM, Jelebu dan Ustaz Nur Azam dan moderatornya ialah Ustaz Nushi. Berbagai aspek berhubung dengan maulidur-Rasul dibincang dan dituntut menjadi amalan. Para pendengar dihibur dengan nasyid dan turut bersalawat dan marhaban beramai-ramai. Tetamu jemputan dan orang ramai dihidangkan dengan sop power di samping menderma.

Program pada hari Ahad hampir bersamaan dengan hari Sabtu yang terdiri dari program menziarah, mengedar risalah, menyampaikan bantuan kebajikan di beberapa tempat seperti di Councill Home, di Taman Zamrud, program wanita dan Solat Hajat Perdana sebagai penutup program.

Sekian.

February 20, 2012

Jom Shopping Kelapan Bawa Kelainan: Melawat Warga Emas Di Taman Melor

BBB, 25 Rabiul Awal 1433 = 18 Februari 2012 (Sabtu):

Format Jom Shopping kali kelapan ini sedikit berlainan berbanding dengan jom-jom shopping yang lepas. Persediaan awal dengan jemputan memang dibuat seminggu sebelumnya. Pada kebiasaannya peserta-peserta warga emas dijemput datang ke Pejabat Adun Bangi pada sebelah pagi hari Jom Shopping. Mereka dikehendaki mendaftar terlebih dahulu d Pejabat Adun Bangi, diberi kad tanda diri. Kemudian semua diminta mengikuti taklimat dan kaedah-kaedah membeli di pasaraya di pejabat. Kemudian mereka dibawa dengan bas atau pergi sendiri dengan kereta masing-masing, di sana mereka disambut oleh warga kerja Pejabat Adun Bangi di kompleks membeli belah (Econsave Jalan Reko) dan membeli di sana sejumlah RM100 sebagaimana diperuntukkan.

Prosedur kali ini sedikit berlainan bahawa semua peserta warga emas yang terpilih pada kali ini dikehendaki datang terus ke kompleks Econsave, Jalan Reko dan mereka disambut oleh warga kerja pejabat Adun dan mendaftar di sana. Taklimat dibuat di ruang kosong bersebelahan dengan jalan keluar bagi yang membeli di Econsave. Kerusi-kerusi plastic dan meja terpaksa diangkut dari pejabat. Kali ini menurut saudari Nabilah, tenaga kerja di Pejabat, jemputan teramai dibuat, iaitu sejumlah 130 orang dan yang hadir dijangka dalam jumlah 100 orang sahaja. Memangnya dilihat kepada hadirin adalah ramai, mereka memenuhi ruang tempat taklimat.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Adun Bangi, beliau mengucap tahniah kepada semua warga emas yang terpilih menyertai Jom Shopping kali kelapan ini.

``Kali ini kita jemput tuan-tuan dan puan-puan warga emas terus datang mendaftar di kompleks Econsave bagi memudahkan tuan-tuan dan puan-puan datang.`` Tambah Adun, ``Terima kasih kerana datang dan berharap tuan-tuan dan puan bergembira dan berpuashati serta memilih dan membeli barang-barang yang dikehendaki.``

Adun menyebut, ``Ini merupakan sebahagian kecil dari sumbangan kerajaan negeri Selangor terhadap warga-warga emas.`` Tambah Adun, ``Pihak Kerajaan Negeri memikirkan bagi menambahbaik sumbangan kepada warga-warga Emas, misalnya dengan menambahkan peruntukan yang dapat digunakan oleh warga emas sebanyak RM1,000 semasa hayat mereka.`` Kata Adun, ``Ini dapat kita lakukan, kerana prestasi ekonomi negeri Selangor bertambah baik. Pada tahun 2011 kerajaan menambah peruntukan untuk kepentingan rakyat di bawah Skim Selangorku sebanyak RM300 juta ringgit. Baru-baru ini pihak Kerajaan Selangor mengumumkan simpanan tetap negeri Selangor berjumlah RM1.9 bilion. Ini menunjukkan kecekapan kerajaan negeri mentadbir ekonomi negeri Selangor. Kita percaya jika mandate terus diberi kepada kerajaan Pakatan Rakyat, maka hasil negeri dan simpanan tetap akan bertambah untuk kepentingan rakyat. Menurut Adun Bangi, ``Kerajaan negeri Selangor amat berhemat di dalam mentadbir ekonomi dan membelanjakan peruntukan kepada rakyat yang benar-benar layak dan perlu, tetapi kerajaan BN mengamalkan sifat pembaziran dan menggunakan wang rakyat sewenang-wenang, contoh melalui BRIM, pada hal kerajaan senantiasa deficit dalam perbelanjaan. Jika amalan sedemikian diteruskan kerajaan boleh terjerumus didalam bankrupsi. Duit yang digunakan beribu juta sepatutnya digunakan untuk kepentingan pelajaran dengan menambahkan bangunan Sekolah, memberi biasiswa dan pinjaman, mewujudkan pekerjaan kepada golongan muda yang memerlukan pekerjaan. Kata Adun, ``Cara membeli undi secara terang-terang dengan wang ini adalah mempunyai unsur rasuah, kita berharap perkara ini dapat dibawa kepada badan perundangan dan kehakiman. Perbuatan membeli undi secara jelas perlu disekat dan basmi, kerana duit yang digunakan bukan duit parti BN, tetapi duit rakyat dan duit kita semua yang sepatutnya digunakan secara berhemah dan berfaedah. Kita berharap ada pihak yang membawanya ke neraca pengadilan.`

Urusan membeli warga emas pada hari ini berterusan dari pagi jam 10.00 hingga 1.00 tengahari dan Adun Bangi berkesempatan bersama warga emas dan menyampaikan hadiah kepada sebahagian besar daripada mereka. Manakala sebahagian yang lain dibantu oleh Ketua Kampung seperti Tuan Haji Yusof, Tuan Haji Zakaria, AJK Kebajikan dan warga kerja dari pejabat Adun.

Sementara itu pada tengahari ini juga Adun bersama AJK Kebajikan berkesempatan menziarah beberapa warga emas yang uzur di Taman Melor dekat sini. Antara yang Adun ziarah ialah Encik Munusamy (71) yang mengalami masalah kesihatan (stroke). Menurut isterinya, mendapat tahu Adun mau menziarahinya, dia begitu gembira dan tak dapat tidur pada malam tadi. En. Munusamy begitu gembira menerima kedatangan kami dan menyatakan sokongan terhadap kami.

Kami juga menziarah Encik Saiful Azlan yang mengalami sakit buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis sebanyak 3 kali seminggu. Beliau adalah bekas pekerja PLUS dan mendapat pencen Ilat di bawah Perkeso. Beliau mengalami penyakit kencing manis sejak 8 tahun yang lepas.

Seorang lagi yang sempat kami ziarah ialah Puan Saroja yang merupakan Pengerusi Kuil di sini. Beliau mengalami stroke. Tugas Pengerusi Kuil di sini menurut Puan Saroja diambil alih oleh Mr. Karu. Beliau terharu di atas kunjungan kami ke rumah mereka.

Sekian.