February 22, 2012

Gelombang Kesedaran Rakyat: 10 Ribu Membanjiri Kompleks Sukan Bangi

Kompleks Sukan BBB, 28 Rabiul Awal 1433 = 21 Februari 2011 (Selasa):

Di tengah Kerajaan BN menabur duit kepada rakyat dengan apa yang dinamakan BRIM – Bantuan Rakyat 1 Malaysia – RM500 bagi setiap orang yang disogok bagi mematikan pengaruh Pakatan Rakyat, tiba-tiba rakyat menonjolkan diri menunjukkan kekuatan kepada BN, bahawa usaha BN itu tidak sedikitpun menggugat keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Mereka hadir dengan jumlah luar dugaaan melebihi 10 ribu membanjiri ruang Kompleks Sukan BBB. Majlis perhimpunan serampang dua mata itu bermula dari Solat Maghrib Berjamaah & Solat Hajat di Kompleks Sukan di sini di bawah pimpinan Dato` Dr. Harun Din. Di dalam tazkirahnya yang banyak berasaskan kepada ayat-ayat al-Qur`an itu beliau menegaskan tentang Islam yang membawa kebenaran dan kesejahteraan dan tidak membawa sebarang unsur kebatialn, tetapi menurutnya kejahilan manusia membawa mereka kepada kesesatan dan penyelewengan. Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din menyentuh tentang usaha terdesak kerajaan BN menabur wang melalui BRIM RM500 itu adalah merupakan penyelewengan wang rakyat. Bahkan beliau menyifatkannya sebagai perbuatan rasuah. Beliau membaca Hadith Rasulullah yang bermaksud, ``Bahawa Yang memberi rasuah, yang menerima rasuah dan pengantara antara keduanya adalah di dalam neraka !``

Beliau juga mengecam tindakan Dato` Seri Najib yang ke Kuil yang sebelumnya telah berkali-kali diperingatkan agar tidak melalkukannya, kerana boleh mencemarkan akidah. Beliau juga mengecam tindakan Mufti Perak yang mempermainkan fatwa yang pada peringkat awal menentang dan kemudian menarik balik dan mengiakan ! Pada akhir tazkirahnya beliau melancarkan Derma Bagi Menyiapkan Sekolah Agama Rakyat yang sedang dalam pembinaan dan memerlukan dana bagi menyiapkannya.

Untuk siri kedua, selepas Solat Isya` diadakan ceramah penerangan situasi politik semasa yang diadakan di ruang terbuka di luar dari bangunan Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi. Jika siri pertama tertumpu di dalam bangunan Kompleks Sukan yang melimpah ruah ke luar dewan, bagi siri kedua ini mereka yang datang membanjiri segala ruang. Ceramah Penerangan Politik ini dibarisi Ustaz Shafie Ngah selaku Tuan Rumah, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar selaku Adun Bangi, Y.B. Teo Nie Ching selaku Ahli Parlimen Serdang mewakili DAP, saudara Shamsul Iskandar mewakili PKR dan puncaknya Ceramah Penerangan oleh Y.B. Dato` Nik Ammar bin Abdullah yang mewakili Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sepatutnya datang, tetapi kerana mempunyai tugas yang tidak dapat dielakkan, maka Dato` Nik Ammar mengambil tempat mewakilinya. Saudara Shukor Atan menjadi Pengerusi Majlis. Turut di atas pentas saudara Hamidi Ketua Cabang PKR Serdang.

Ustaz Shafie Ngah bercakap tentang sabotaj sampah oleh pihak yang memonopoli kontrek melalui Alam Flora. Mereka dari BN dan mau terus tender secara tertutup bagi mereka. Kita mau pecahkan monopoli mereka. Mereka mensabotaj, tidak memungut dan menghalang pihak yang dilantik memungut sampah. Tetapi kini keadaan dapat dikawal dan pungutan kembali berjalan dengan baik.Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar menarik perhatian hadirin bahawa pada Mac hampir tiga minggu lagi (18 Mac), Kerajaan Pakatan Rakyat genap 4 tahun memerintah. Dulu ada yang membuat spekulasi selepas beberapa bulan mererintah, kerajaan negari, khususnya di Selangor akan runtuh. Tetapi reality sebenar makin kukuh. Beliau menyebut tentang bajet Kerajaan Negeri Selangor makin bertambah (RM1.7 bilion), simpanan tetap pada masa BN hanya RM500 juta, tapi kini masa Pakatan sebanyak RM1.9 bilion. Simpanan Yayasan Selangor masa BN RM20 juta kini meningkat kepada RM51 juta. Skim Selangor diwujudkan sebanyak RM300 juta dan peruntukan tahunan Adun ditambah. Bantuan Sekolah Rakyat diwujudkan dengan peruntukan tahunan RM16 juta. Hasil pasir meningkat dari zaman BN RM 4 juta, kini meningkat kepada RM16 juta dan sasaran hasil RM40 juta. Skim Merakyatkan Ekonomi Selangor berjumlah RM500 juta setahun termasuklah skim warga emas, Tawas, Air percuma, bantuan masuk universiti, tuisyen percuma dan berbagai-bagai lagi. Beliau meminta rakyat membandingkan 4 tahun kemajuan yang dibawa Pakatan Rakyat dengan 50 tahun apa yang dilakukan oleh BN.

Y.B. Teo Nie Ching menggesa rakyat, terutama golongan muda yang belum mendaftar agar mnendaftar mengundi, jangan dibiarkan kuasa memilih diambil orang lain, gunakan hak dan kuasa kita. Beliau mengecam pemberian BN sebanyak RM500 secara terpilih. Orang yang senang dan kroni dapat, sedangkan rakyat miskin tidak dapat. Beliau juga mengkritik BN yang mau menggunakan wang EPF bagi membina rumah yang kemungkinan tidak dapat pulangan dari penggunaan wang berkenaan dan merugikan wang rakyat. Beliau juga menyindir tentang Fidlot sejumlah RM250 juta yang diberi kepada keluarga Shahrizat dan membelanjakannya secara sewenang-wenang, bahkan menurutnya kedudukan lembu fidlot lebih istimewa dari seorang rakyat biasa. Beliau menyebut janji-janji Pakatan Rakyat jika diberi mandate perintah Persekutuan antaranya menmghapuskan tol dan memberi bantuan RM1,000 tahunan kepada warga emas.

Saudara Shamsul Iskandar memfokuskan pembicaraan kepada tiga perkara iaitu penggunaan wang zakat bagi perbelanjaan guaman bagi Jamil Khir, kedua usaha menyekat dari membawa qazaf oleh Dato` Seri Anwar ke Mahkamah Syariah dan Kes Tuduhan Dato` Seri Anwar kononnya menyokong Israil . Mereka sengaja selewengkan kenyataan dan tidak memahami istilah `Contingent` yang mensyaratkan jaminan hak dan keselamatan Palestin bagi jaminan keselamatan yang lain.

Puncak dari Ceramah Penerangan pada malam ini disampaikan oleh Y.B. Dato` Nik Ammar selaku Exco Kerajaan negeri Kelantan yang mewakili Dato` Nik Aziz. Beliau banyak menerangkan tentang kejayaan Kelantan menerapkan pemerintahan secara Islam yang menekankan dari segi amanah dan diberi kepercayaan memerintah hingga kini selama 22 tahun berturut-turut. Tiada kes rasuah di kalangan Wakil Rakyat Pas. Kelantan berjaya melunaskan hutang kerajaan Pusat berjumlah RM600 juta. Secara bergurau beliau berkata, minda rakyat Kelantan bertambah kuat dengan memakan budu dan keropok, kerana kedua-duanya mengandungi protin yang tinggi. Menurutnya apa yang dilakukan di Kelantan diikuti oleh kerajaan Persekutuan seperti cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin. Di Kelantan rakyat hidup dalam keadaan harmoni, tiada tumpah darah masa 13 Mei. Di Kelantan ada 3 patung Buddha, yang berbaring, yang duduk dan yang berdiri. Kita tidak ganggu. Yang berbaring kita tak suruh bangun, yang duduk kita tak suruh bangkit dan yang berdiri, kita tak suruh berlari. Kita biarkan dengan keadaan masing-masing. Secara bergurau beliau berkata, di Kelantan banyak sami-sami Siam, tapi mereka tidak menimbulkan masalah sebagai ada satu Samy di Negara kita menyebabkan kita bermasalah dari segi tol. Menurut Dato` Nik Ammar kita perlu menjadikan diri kita contoh yang baik untuk dinilai dan diikuti, tetapi kita tidak paksa. Namun dari kejayaan-kejayaan yang kita lakukan, beliau mau rakyat menilai dan memberi kesempatan kita memerintah, bukan saja pada peringkat negeri, tetapi pada peringkat Persekutuan berpusat di Putera Jaya. Insya Allah - Allahu Akbar.


Sekian.

No comments:

Post a Comment