BBB, 21 Rajab 1437 = 29 April 2016 (Jumaat):
Dalam bukunya berjudul `Perbandingan Akidah
Dan Fahaman Umat Islam` yang setebal 630 halaman tumpuan utama perbincangan
oleh Pengarangnya Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim ialah tentang Shi`ah bermula
dari Fasal 2 (hlm. 22) hingga Fasal 8 (hlm. 226). Ini bererti satu pertiga
daripada kandungan buku Tuan Haji Said ini membicarakan tentang Shi`ah.
Berbanding dengan buku I`tiqad Ahlussunnah Wal-Jamaah karangan K.H. Sirajuddin
Abbas yang mempunyai topik-topik yang sama hanya memperuntukkan persoalan
mengenai Shi`ah ialah mulai pecahan IV –V (hlm. 77-136) daripada jumlah halaman
buku (356hlm.). Ini bererti tumpuan utama yang diberi perhatian oleh Tuan Haji
Said bin Haji Ibrahim ialah tentang Shi`ah.
Mengapa tumpuan diberi terhadap Shi`ah ?
Antara faktor-faktor mengapa persoalan Shi`ah
menjadi tumpuan pembicaraan antaranya:
1) Faktor Sejarah Perlantikan Khalifah
Tidak seperti setengah-setangah faham yang
lain yang antaranya bersifat cetusan
persoalan seperti mushabbihah
yang akibat dari sumber dan interpretasi terhadap ayat Al-Qur`an menyebabkan
timbulnya fahaman berkenaan, tetapi Shi`ah adalah timbul dari faktor sejarah dan pergolakan di
dalam kalangan umat Islam seperti kaitan Sayyidina Ali k.w. dengan perlantikan
khalifah yang dianggap oleh golongan Shi`ah sepatutnya menjadi khalifah pertama –
dengan bukti Hadith yang dipegangi oleh pihak Shi`ah, walaupun pada hakikatnya
Sayyiduna Ali tidak terlibat dengan perlantikan, bahkan pada perlantikan
khalifah-kahlaifah kedua dan ketiga tidak menunjukkan Sayyiduna Ali berminat
dengan jawatan berkenaan. Di dalam pemilihan beliau tidak terpilih dan tidak
menjadi persoalan baginya. Namun faktor tidak terpilihnya beliau dari peringkat
awal dijadikan hujah tidak puas hati oleh kalangan Shi`ah yang terbentuk
kemudian tentang tidak terlantiknya Sayyiduna Ali.
2) Perebutan Pengaruh Antara Turunan
Pada satu pihak keengganan pembesar-pembesar
Quraisy terutama Abu Sufyan dari Bani Hashim pada peringkat awal tidak menerima
Islam, kerana Nabi Muhammad yang dari turunan Abdul Muttalib membawa Islam
mencabar tradisi dan budaya yang dipegangi mereka, bukan dari segi salah dan
benar. Pertikaian antara Muawiyah bin Abi Sufyan dan Sayyiduna Ali ada unsur
asabiyyah turunan Abi Sufyan yang mau mengembalikan kepimpinan mereka dalam
masyarakat melalui perebutan Khalifah oleh Muawiyah dari Sayyiduna Ali. Faktor
ini menyemarakkan pertentangan antara dua keturunan.
3) Sentimen Terhadap Sayyiduna Ali
Sayyiduna Ali seorang yang amat rapat dengan
Rasulullah s.a.w. Beliau bukan saja sepupu Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah
kalangan anak yang terawal menerima Islam. Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak
berlepas untuk hijrah ke Madinah, Sayyiduna Ali adalah orang yang mengambil risiko mengambil tempat tidur nabi
menggantikan Nabi yang keluar ke Madinah. Tindakan Sayyiduna Ali mengambil
risiko bagi keselamatan Nabi menunjukkan pengorbanan Sayyiduna Ali kepada Nabi.
4. Menantu Nabi
Sayyiduna Ali adalah menjadi menantu Nabi.
Sayyiduna Ali mengahwini puteri Nabi iaitu Sayyidatina Fatimah Al-Zahra`,
puteri Nabi yang amat dikasihi oleh Rasulullah s.a.w.
5. Jalur Keturunan Nabi
Melalui Sayyiduna Ali dan Fatimah
al-Zahra` jalur keturunan Nabi Muhammad
s.a.w. Melalui mereka lahirnya turunan Nabi s.a.w., iaitu Sayyidina Hassan dan
Hussain. Anak-anak Rasulullah s.a.w. yang lain sama ada meninggal awal atau
tidak mewariskan turunan. Hassan dan Hussein adalah permata kesayangan
Rasulullah s.a.w.
6. Kedukaan Dan Simpati
Bagi pendukung-pendukung Shi`ah dan yang
menjadi faktor kelahiran Shi`ah dan firqah
seperti Khawarij, bahawa peperangan Siffin antara Sayyiduna Ali dan pendukung-pendukungnya
dan disebelah pihak lawan, iaitu Muawiyah dan pendukung-pendukung yang membawa
kepada pereistiwa Tahkim, yang menyebabkan kekalahan dari segi diplomasi antara
pihakj Sayyiduna Ali yang diwakili oleh Abu Musa Ash`ari yang kurang dari
tektik berunding dan diplomasi dengan
Amru Ibn al-`As yang mewakili pihak Mu`awiyah yang membawa kepada
kemenangan diplomasi bagi pihak Mu`awiyah memberi kesan dan kekeciwaan yang
mendalam terhadap peristiwa berkenaan. Ianya dari satu pihak menambahkan simpati dan sokongan terhadap
Sayyidua Ali.
7. Peristiwa Kerbala`
Adalah titik hitam di dalam sejarah umat Islam
dalam mana Sayyiduna Hussein terbunuh angkara Yazid bin Mu`awiyah. Ianya ditangisi
oleh penyokong kepada keluarga Sayyiduna
Ali dan memberi kesan dari segi sentimen dan penentangan yang mengukuh Shi`ah.
8. Pembelaan Terhadap Al-Bayt
Rentetan peristiwa-peristiwa di atas amat memberi
kesan dan simpati terhadap keluarga Nabi yang dikenali sebagai Aal al-Bayt.
Berbagai peristiwa memupuk golongan yang membelanya yang dikenali dengan Shi`ah.
Pembentukan golongan Shi`ah ini lebih besar
kesannya berbanding dengan cetusan-cetusan pandangan yang melahirkan aliran-aliran tertentu di
dalam akidah. Tetapi Shiah melibatkan lahirnya faham Shiah yang melibatkan
politik yang melahirkan pemerintahan-pemerintahan seperti Iran dan pengaruhnya
di negara-negara lain. Lebih dari itu membentuk padangan akidah yang berlainan
dari akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Pembentukan akidah tersendiri sebagai
akidah Shiah lebih parah dari perpecahan politik semata-mata, lantaran dengan
akidah akan menjauh dari penyatuan di kalangan umat
dan lebih menyukarkan untuk mengembalikan kepada penyatuan sebagaimana
di alami sekarang antara faham Sunni dengan faham Shi`ah. Kelainan faham akidah
ini menjadi faktor perseteruan bahkan peperangan sebagaimana dialami di
negara-negara Islam di Asia Barat sekarang seperti Iraq, Syria dan Yaman dan
begitu sukar pula untuk mencari perdamaian.
Sekian.