July 31, 2013

Tenaga Pengajar Di UKM Pada Peringkat Permulaan (Memoir)

-->
BBB, 21 Ramadhan 1434 = 30 Julai 2013 (Selasa):


Di dalam menulis Memoir Penulis semasa di UKM pada peringkat permulaan UKM dibuka (18 Mei 1970), Penulis lebih banyak menulis berhubung dengan kegiatan mahasiswa. Ini tidaklah menghairankan pada masa itu Penulis juga adalah kalangan mahasiswa generasi sulung dan terlibat dengan Persatuan Mahasiswa - PMUKM. Rasanya tidaklah lengkap pembicaraan jika maklumat berhubung dengan tenaga pengajar yang menjadi faktor penting di samping mahasiswa di sesebuah universiti tidak dibicarakan – termasuklah tenaga pentadbir di universiti.


Canselor bagi UKM pada peringkat permulaan ialah Perdana Menteri Malaysia, iaitu Y.A.B.Tun Haji Abdul Razak bin Hussein yang menjadi kemegahan bagi UKM dan tidak ada setakat ini Perdana Menteri Di Malaysia menjadi Canselor kepada mana-mana universiti selepas itu. Manakala Pro-Canselor pula ialah Y.B.Tun Tan Siew Sin yang merupakan Menteri Kewangan Malaysia dan Y.B. Tan Sri Nik Ahmad Kamil. Manakala Lembaga Pengurus dipengerusikan oleh Datuk Sheikh Hussein bin Sheikh Mohamed dan Ahli-Ahli terdiri dari:


Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Mohd. Zain
Datuk Dr. Haji Abdul Majid bin Ismail
Tan Sri Syed Nasir bin Ismail
Datuk Abdullah bin Ayob
Datuk Dr. Ariffin bin Hj. Ngah Marzuki
Dr. Agoes Salim.

Manakala Jawatankuasa Perjawatan Dan Kewangan dipengerusikan oleh Dr. Agoes dengan Ahli-Ahlinya:


Tan Sri Syed Nasir bin Ismail
Datuk Dr. Ariffin bin Hj. Ngah Marzuki
Abdul Rahim bin Jalal
Megat Abdul Rahman bin Megat Ahmad


Manakala Jawatankuasa Akademik dipengerusikan oleh Naib Canselor
(Datuk Dr. Ariffin bin Ngah Marzuki menggantikan Dr. Rushdan Baba)

Dekan Fakulti Pengajian Islam
(Tan Sri Prof. Abdul Jalil bin Hj. Hassan)
Dekan Fakulti Pengajian Sains
(Dr. Mohd. Ghazali bin Haji Abdul Rahman)
Dekan Fakulti Pengajian Sastera
(Prof. Dr. Syed Mohd. Naquib al-Attas)

Profesor-Profesor ialah:
Prof. Tan Sri Abdul Jalil bin Hj. Hassan
Prof. Dr. Syed  Mohd. Naquib al-Attas
Prof. Zainal Abidin bin Abdul Wahid

Manakala Wakil Akademik dari setiap Fakulti ialah:

Haji Muhammad bin Haji Abu Bakar (Fakulti Islam)
Dr. Noramly bin Muslim (Fakulti Sains)
Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail (Fakulti Sastera)

Ketua Pustakawan
Hj. Abdul Aziz bin Sheikh Mydin
Manakala Pendaftar (Abdul Rahim bin Jalal).

UKM pada peringkat permulaan mempunyai tiga fakulti, iaitu Fakulti Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera. Tidak semua tenaga pengajar merupakan warganegara, oleh kerana bagi mendapat tenaga pensyarah sukar terutama bagi Fakulti Sains dan terpaksa dipinjam dari luar – terutama dari Indonesia (agak ramai), manakala bagi Fakulti Islam seorang dua dari Mesir dan beberapa orang bagi Fakulti Sastera juga dari Indonesia. Tenaga-tenaga pengajar juga antaranya adalah secara sambilan yang merupakan pensyarah di Fakulti Sastera dari UM.

Tenaga-tenaga pensyarah dari Fakulti Islam ialah:
Tan Sri Profesor Abdul Jalil bin Haji Hassan (Dekan)
Dr. Ahmad Ghoneim (Mesir)
Hassan bin Haji Salleh
Haji Muhammad bin Haji Abu Bakar
Haji Abdul Fatah Harun bin Hj. Ibrahim
Haji Ibrahim bin Hj. Yassin
Muhammad Bayyumi Muhd. Ibrahim (Mesir)
Osman bin Haji Khalid
Ramli bin Ismail
Razali bin Hj. Nawawi

Tenaga pengajar di Fakulti Sains hampir kesemuanya Indonesia, kecuali beberapa orang adalah  warga Negara Malaysia. Tenaga Warganegara ialah:
Dr. Mohd. Ghazali bin Haji Abdul Rahman (Dekan)
Dr. Noramly Muslim
Mohd. Yusoff bin Abdul Hamid
Mokhtar Bidin
Najib Mahmood Rafee

Manakala yang lain ialah pinjaman dari Indonesia, iaitu:
Prof. Dr. Achmad Amiruddin, Prof. Dr. Sartono, Drs. Bachtiar Syarif,  Drs. Hidayat S. Hardjasasmita, Ir. M.S. Tupamahu, Dr. Soewondo D. Soebagio, Dr. Chia Hong Djin, Drs. Waloejoe Loeksmanto, Drs. B.D. Djonoputro, Dr. Kardinal Kusnaeny, Drs. Mochamad Bunjamin, Dr. M. Ansjar, Drs. Muslim, Drs. Praptono, Dr. Roehajat E. Soeriamandja, Drs. Soejoto dan Drs. Soesilo.

Manakala bagi Fakulti Sastera kebanyakannya warganegara Malaysia dengan seorang dua dari Indonesia dan beberapa tenaga sambilan adalah pensyrah dari Universiti Malaya. Mereka ialah:
Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas (Dekan)
Prof. Zainal Abidin bin Abdul Wahid
Dr. Teuku Iskandar Alibasyah
Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail
Dr. J. Chandran
Dr. Mohd. Amin Sweeney
Siti Hawa bt. Salleh
Drs. Soerastopo Hadisoemarno (Indonesia)
Drs. Teuku Ibrahim Alfian (Indonesia)
Abdul Halim bin Othman
Abdul Hamid bin Abdullah
Abdul Rahman bin Haji Embong
Abdul Samad bin Hj. Abdul Hadi
Abu Hassan bin Othman
Basil Wijasuriya
Drs. Eric Otto Van Eijn (Holland)
Farid bin Onn
Hairi bin Abdullah
Drs. Isma N. Karim (Indonesia)
K. Kaloo (Holland)
Mohd. Amin bin Hassan
Mohd. Aris bin Haji Othman
Mohd. Sham bin Mohd. Sani
Mohd. Sheffie bin Abu Bakar
Rajmah binti Abdul Samad
Sanusi bin Osman
Sharifah Zainab bt. Syed Mohd. Khalid
Supian bin Haji Ali
Wan Mohammad Rafaei bin Hj. Wan Abdul Rahman
Yohani bt. Hj. Mohd Yusof
Zakaria bin Hj. Awang Soh

Manakala pensyarah-pensyarah yang datang mengajar secara sambilan ialah
Prof Khoo Kay Kim (UM)
Dr. Ongkili               (UM)
Shahrum Yob           (Muzium Negara)
Nasir Lonjong          (ITM)

Bendahari Universiti ialah Megat Abdul Rahman bin Megat Ahmad.
Kebanyakan tenaga pengajar UKM – terutama warganegara Malaysia. Belum mempunyai  Ijazah Ph. D. Sebahagian besar daripada mereka dihantar ke universiti luar Negara, manakala sebahagian membuat Ijazah Lanjutan di universiti tempatan.
                                                                                                                                                                                                                                              
Mereka semua berperanan membina tradisi keilmuan UKM sebagai asas perkembangan pada masa hadapan.

Sekian.

July 30, 2013

Dilema Sejarah Permuziuman Negeri Selangor: Sambutan Satu Suku Abad Lebih Tepat

-->
BBB, 20 Ramadhan 1434 = 29 Julai 2013 (Isnin):

Pada setiap tahun pada tanggal 18 Mei adalah Hari Muzium Antarabangsa (Museum In A Changing World, 2012: 7). Maka pada setiap tahun Negara kita – Muzium Negara dan juga muzium negeri-negeri menyambut Hari Muzium Antarabangsa ini. Pada tahun hadapan 18 Mei 2014 negeri Selangor akan menjadi Tuan Rumah bagi sambutan Hari Muzium Antarabangsa, selepas tahun ini 2013 disambut di Sarawak dan pada tahun lepas di Pahang.

                                         Muzium Pekan Pahang

Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa di Selangor oleh Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang Muzium Negeri Selangor termasuk dibawahnya dijangka akan menyambut Jubli Perak Muzium Negeri Selangor. Ada beberapa persoalan mengenai, jika menyambut Jubli Perak Muzium Negeri Selangor ini mau dilakukan.

                                          Muzium Serawak

Adakah tepat dikatakan Sambutan Jubli Perak bagi Muzium Negeri Selangor pada tahun hadapan ?

Tarikh ini dikira dari tarikh perasmian bangunan Muzium Sultan Alam Shah sekarang oleh Al-Marhum Duli yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 September 1989. Dengan tarikh ini, maka pada tarikh sambutan Hari Muzium Antarabangsa (18 Mei),  usia bagi tarikh Muzium Sultan Alam Shah dibuka adalah 24 tahun lapan bulan dan 16 hari, tetapi jika hendak menepati 25 tahun, ialah pada 2 September 2014. Tetapi sambutan bagi 25 tahun (Jubli Perak) tidak semestinya tepat pada 2 September 2014.

Tetapi dipersoalkan, benarkah usia permuziuman di negeri Selangor begitu muda – lebih muda dari usia permuziuman negeri Terengganu dikira dari 1 November 1977 (Perayaan Jubli Perak Muzium Negeri Terengganu, 2003: VIII). Adakah tarikh 25 tahun dikira dari tarikh perasmian bangunan (2 September 1989) atau seharusnya dikira dari tarikh penubuhan Lembaga Muzium negeri Selangor (27 Disember 1975) sebagaimana tarikh dikira 25 tahun bagi Muzium Negeri Terengganu selepas Penubuhan  Lembaga pada 1 November 1977. Jika dikira dari penubuhan Lembaga Muzium (27 Disember 1975), maka usia permuziuman negeri Selangor tidaklah sebenarnya 25 tahun, tetapi melangkaui (berdasarkan 18 Mei), maka usia permuziuman negeri Selangor adalah 36 tahun 4 bulan 21 hari. Ini bererti apa yang dimaksudkan dengan Sambutan Jubli Perak itu tidaklah tepat !  Mengenai sambutan Jubli Perak ini seingat Penulis masih tidak dibawa di dalam perbincangan Lembaga.

                                          Muzium Negwri Sembilan

Hakikat sebenarnya permuziuman Negeri Selangor adalah salah satu permuziuman tertua di Malaysia. Muzium tertua di Malaysia ialah Muzium Taiping Perak yang mula dibina pada bulan Januari 1883 dan mula beroperasi sebagai muzium ialah pada tahun 1886. Bagi negeri Selangor, maka pengasasan muziumnya adalah sebagaimana maklumat berikut:

                                         Muzium Taiping

``Pengasas penubuhan Muzium Selangor ialah H.C.Syers, dimana pembinaan ini telah dimulakan pada tahun 1888 dan siap sepenuhnya pada tahun 1904. Usaha-usaha mengumpulkan artifek-artifek zaman pra-sejarah untuk dipamerkan di muzium tersebut telah bermula sejak tahun 1894 lagi di mana J.P.Rodger telah menghadiahkan beberapa kapak dan beliung yang dikenali sebagai `Batu Lintar` pada masa itu kepada muzium tersebut.``
(Ahmad Kamal Muhamad & Mohd. Zainudin Haji Abdullah, Sejarah Dan Perkembangan Muzium Selangor Sehingga Terbinanya Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam (1887-2002), Seri Alam, Jurnal Lembaga Muzium Selangor Darul Ehsan, Bil. 7, 2002/2003, hlm. 130).

                                         Muzium Negara

Bagi penulis tarikh sejarah permuziuman negeri Selangor sebagai negeri kedua tertua mewujudkan muzium di negeri Selangor hendaklah dikira dari 1887 (persetujuan) sebelum memulakan pembinaan. Ini bererti usia permuziuman negeri Selangor ialah sudah 127 tahun. Satu sejarah permuziuman yang membanggakan. Adapun perubahan-perubahan pensejarahan yang berlaku tidak menjejaskan hakikat usia tersebut. Ini seperti penyatuan dengan Muzium Perak (1910), kemudian diasingkan (1932), kemudian disatukan kembali (1938), penutupan Muzium Negeri Selangor bila Jepun memerintah (8 Disember 1941) dan British tinggalkan Muzium Selangor pada 9 Januari 1942, 10 Mac 1945 Muzium Negeri Selangor musnah kena bom tersasar oleh tentera Amerika dan pembinaan bangunan di atas tapak Muzium Negara sekarang secara sementara siap dan dirasmikan pada 1953 dan dibina secara kekal seperti sekarang ini dan dirasmikan pada 31 Ogos 1963. Sehingga 1 Februari 1974 muzium di Kuala Lumpur itu kekal sebagai Muzium Negeri Selangor sehingga pada tarikh tersebut dirasmikan termasuk di bawah Wilayah Persekutuan.


Bagi Penulis, sejarah Permuziuman Negeri Selangor yang berwarna warna dan berpelbagai dan menarik sejak 1887 adalah Sejarah sebenar Permuziuman negeri Selangor dan tak dapat dipisahkan, bahkan segala warisan dan artifak yang terhasilkan sejak zaman kerajaan negeri Selangor adalah tetap sejarah permuziuman negeri Selangor sebagai contoh Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor – Bangunan Sultan Abdul Samad adalah warisan sejarah negeri Selangor. Begitulah dengan berbagai-bagai warisan yang lain. Kerajaan Persekurtuan atau Kementerian Wilayah boleh mendakwa sebagai sejarah dan permuziuman baginya selepas bahan-bahan diwujudkan slepas  1 Februari 1974. Kedua belah pihak perlu bersefahaman dan bekerjasama.

Bagi Penulis ungkapan Sambutan Satu Suku Abad Muzium Negeri Selangor sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2014 lebih baik dan tepat dari memperkecilkan diri dengan Sambutan Jubli Perak Muzium Negeri Selangor.

Sekian.

July 29, 2013

Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang (Misbaha) Tokoh Sejarah & Muzium Negeri Terengganu

-->
BBB, 17 Ramadhan 1434 = 28 Julai 2013 (Ahad):


Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) adalah salah seorang penulis lulusan Madrasah Sultan Zainal Abidin, Ladang Kuala Terengganu peringkat awal (Sekolah dibuka 1925). Misbaha dilahirkan pada 13hb. Jun 1917 di Kuala Terngganu. Meminati bidang penulisan dan menulis di akhbar-akhbar, dan majalah-majalah sejak 1930an lagi. Beliau juga menghasilkan beberapa buah buku. Menjadi guru Sekolah agama di negeri Terengganu sejak 1937 dan pernah menjadi Pemeriksa Hal Ehwal Agama Islam Terengganu sehingga bersara pada 31 Mei 1971.

Dengan kegiatan Misbaha menulis mendorong beliau meminati bidang sejarah, terutama sejarah yang berhubung dengan negeri Terengganu. Beliau telah menulis buku:

1)      Mengkaji Sejarah Terngganu (1960an) dua jilid
2)      Negara Nabi-Nabi (1960an)
3)      Terengganu Dari Bentuk Sejarah (1978)

Dari kegiatan menulis sejarahnya, apabila Persatuan Sejarah Terengganu ditubuhkan beliau dilantik YDP Persatuan Sejarah Terengganu (1970an). Bidang yang diminatinya ialah mengkaji tentang Batu Bersurat Terengganu. Memimpin ekspedisi dan penyelidikan
Seperti ke Gua Batu Tok Bidan di kaki Gunung Bewah Hulu Terengganu pada tahun 1975 yang menemui kapak batu dan bahan tembikar dan pada tahun 1976 yang membawa kepada penemuan rangka manusia yang membuktikan bahawa sejak 2.000 hingga 300 S.M. Hulu Terengganu telah dihuni dan pada tahun 1980an membawa kepada penempatan lebih awal di Gunung Taat berhampiran dengan Gunung Bewah. Artifek dan rangka manusia yang dijumpai menunujukkan adanya penempatan manusia di kawasan itu sejak zaman mesolitik.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 4 Rajab 702H. = 22 Februari 1303 di Kampung Buluh, Kuala Berang pada 1902 dan usaha mengkajinya dilakukan sejak 1922 dan penemuan artifek-artifek di kaki Gunung Bewah dan Taat di Hulu Terengganu mencetus kesedaran kepada keperluan diwujdkan muzium di negeri Terengganu. Oleh kerana ketiadaan muzium, maka Batu Bersurat yang diketemui di Hulu Terengganu itu, maka Dulu Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Barul Alam Shah berkenan supaya Batu Bersurat itu disimpan di Muzium Gambar Raffles di Singapura.

Pada tahun 1955 Menteri Besar Terengganu Dato` Kamaruddin bin Haji Idris menubuhkan AJK bagi menghimpun barang-barang bersejarah. AJK yang dilantik ialah:

1)      Engku Pengiran Anom
2)      Haji Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha)
3)      Muhammad Akil bin Atan
4)      Haji Wan Endut bin Othman
Jawatankuasa ini dipertingkatkan sebagai Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Negeri Terangganu melalui mesyuarat 14 Januari 1960 dengan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Dato` Andika Indera Ishak bin Mohd. Isa. AJK terdiri dari:
1)      Dato` Setia Wangsa
2)      Dato` Sangsura Pahlawan
3)      Dato` Purba
4)      Dato` Indera Pahlawan
5)      Dato` Balai Mohd. Anuar bin Lub Abdul Shukur
6)      Ahmad bin Anuar
7)      Haji Endut bin Othman
8)      Kamaruddin bin Ibrahim
9)      Mubin Sheppard
10)  Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang
11)  Mohd Akil bin Atan

Jawatankuasa ini bergiat mulai 1960 mengumpul Bahan Lama dan Bersejarah. Barang-barang yang dihimpun ini pada peringkat permulaan disimpan pada satu sudut khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu. Sebuah AJK lagi kemudian dibentuk pada 3 Februari 1974 dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Dato` Wira Jaya. Akhirnya Akta Penubuhan Lembaga Muzium Negeri Terengganu dibawa kepada Dewan Negeri dan diluluskan menurut (Enakmen Bil. 9/1976 pada 28 Disember 1976. Enakmen ini berkuatkuasa pada 1 November 1977. Maka tarikh 1 Novemver 1977 ini dikira sebagai tarikh awal penubuhan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Kita melihat sepanjang perkembangan dan perlantikan AJK ke arah penubuhan Muzium Negeri Terengganu, maka nama Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha) terus wujud sebagai AJK. Ini ialah kerana peranannya di dalam Persatuan Sejarah dan kegiatan-kegiatan yang memperlihatkan keterlibatan beliau dengan bidang yang ada hubungan dengan muzium.

Dalam buku Perayaan Jubli Perak Muzium Negeri Terengganu tercatat sedemikian:

``Antara tokoh yang memainkan peranan di dalam penubuhan Muzium ini ialah Dato` Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang dan Cikgu Haji Othman bin Haji Ali. Kedua-duanya banyak menyumbang tenaga dan pandangan sebagai Ahli Lembaga dari mula Lembaga Muzium dibentuk sehingga meninggal dunia pada tahun 1992. Begitu juga dengan Cikgu Haji Othman bin Haji Ali masih memberi sumbangan sebagai Ahli Lembaga Muzeum hingga ke hari ini.

(Perayaan Jubli Perak, Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 2003: X.

Sumbangan Misbaha tidak saja di dalam bidang sejarah dan permuziuman di negeri Terengganu, tetapi beliau juga melakukan kerja-kerja kebajikan hingga beliau diberi amanah;

1)      Yang Dipertua Persatuan Sejarah Malaysia Caw. Trg. – Pertengahan 1970an.
2)      Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu (1977-1992)
3)      YDP Persatuan Kebajikan Islam (PERKASA) Darul Falah
4)      YDP PIBG Sekolah Mrnrngsh Padang Midin, Kuala Terengganu.
5)      Penasihat Persatuan Penulis Terengganu (PELITA)
6)      AJK Penasihat Urusan Kebajikan Haji
7)      Ahli Lembaga Yayasan Islam Terengganu.
8)      Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu.

(Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: Kulit Luar – Belakang).
 Demikianlah peranan Misbaha di dalam bidang Sejarah dan permuziuman negeri Terengganu.

Sekian.

July 28, 2013

Peluang Menderma Sempena Ramadhan Bagi Membina Masjid Al-Umm

-->
BBB, 18 Ramadhan 1436 = 27 Julai 2013 (Sabtu):

Sekali lagi saya selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm di Seksyen Satu BBB bersama Ahli Jawatankuasa menyeru kepada semua pihak untuk merebut pahala berganda bulan Ramadhan dengan menghulurkan derma bagi pembinaan Masjid Al-Umm tersebut.


Sebagai laporan mutakhir pada hari ini pemasangan pagar mulai dilakukan oleh pihak kontrektor `Tekad Nusantara` keliling kawasan tapak masjid:

                     Gambar pekerja-pekerja sedang memasang tiang pagar

Pemagaran ini berikutan kerja-kerja membersih tapak dari pokok-pokok dan tunggul-tunggul dilakukan oleh pihak Kontrektor di atas sejak awal Ramadhan dan kerja-kerja pembersihan dijangka siap dalam beberapa hari ini. Pihak kontrektor juga akan memasang papantanda projek berikutan dari pembersihan tersebut.

               Gambar Buldozer dan lori-lori sedang giat melakukan pembersihan


Selepas daripada itu pada awal Syawal/pertengahan Ogos pihak AJK Pembinaan akan mengeluarkan makluman menjual Dokumen Tender kepada kontrektor-kontrektor dan adalah dijangka pada pertengahan September keputusan pemilihan dan pengurniaan pemilihan kontrektor akan diumumkan dan berikutnya pembinaan Masjid al-Umm akan bermula.

                              Gambar Masjid Al-Umm

Untuk makluman setakat ini pihak AJK telah berjaya memungut sebanyak RM2 juta daripada RM6 juta yang menjadi target pemungutan. Dengan jumlah ini melayakkan pihak AJK membuat tuntutan kepada pihak kerajaan Negeri Selangor yang menjanjikan akan memberi peruntukan berdasarkan dolar to dolar. Saya dan AJK menyeru kepada dermawan sekalian agar dapat menampung kekurangan yang kami masih hadapi.

Kami percaya dengan pelancaran pembinaan dan kerja-kerja bermula dapat memberi keyakinan kepada penderma-penderma untuk terus menderma. Di atas kepercayaan derma akan terus disalurkan kepada kami sebab itu kami telah mulai menjalankan pembangunan masjid al-Umm.


Untuk makluman kepada semua, Masjid al-Umm dibina di atas tanah seluas dua ekar:

Gambar Tapak Masjid al-Umm

Masjid ini menurut plan didirikan  tiga tingkat:

Gambar plan bagi tiga tingkat berkenaan. Pembinaan secara tiga tingkat ini memandangkan tanah terhad dan bagi menggunakan ruang semaksimum yang boleh

Gambar Pelan bagi tingkat-tingkat


Bila siap kelak, kemudahan yang disediakan seperti berikut:

  1. Ruang Solat Utama Kapasiti 3,000 jamaah serentak
  2. Ruang lempah
  3. Bilik pengurusan jenazah
  4. Bilik mesyuarat
  5. Bilik pentadbiran
  6. Tadika
  7. Ruang solat wanita (Tingkat Atas)
  8. Bilik Seminar
  9. Bilik IT
  10. Kelas Tahfiz

Bagi Tingkat Bawah:

  1. Bilik Serbaguna
  2. Bilik akad nikah
  3. Dapur
  4. Bilik persediaan kenduri
  5. Bilik peralatan.

Masjid akan dilengkapkan dengan hawa dingin secara split leval. Lift disediakan hanya untuk OKU dan bagi menaikkan barang-barang.

Saya dan AJK menyeru kepada penderma-penderma bermurah hati untuk menderma bagi pembinaan Masjid al-Umm.

Derma boleh dimasukkan terus ke:

Maybank  Islamic:   No Akaun  5628-3460-7208

Sebarang pertanyaan hubungi:

1.  Dr. Shafie Abu Bakar   0193874002 & 0192737566     Pengerusi
2. Tuan Haji Mohd. Nor Haji Mohd Yasin 0192383944    Bendahari
3. Tuan Haji Husin Yunus                           0196677501    Setiausaha

Sekian.

July 27, 2013

`Puisi Siswa` Antologi Pertama Mahasiswa UKM Diterbitkan

BBB, 14 Ramadhan 1434 = 23 Julai 2013 (Selasa):

Sejak penubuhan UKM pada 18 Mei 1970 di Kampus Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur, kalangan mahasiswa ada yang terlibat di dalam kegiatan sastera. Mereka menubuhkan Studi Kelab Sastera UKM pada 23 Julai 1970, iaitu Persatuan Sastera terbuka bagi semua mahasiswa UKM, manakala Mahasiswa Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) menubuhkan persatuan Penulis IBKKM secara khas bagi mahasiswa IBKKM. Antara mereka sudah berjinak-jinak di dalam bidang penulisan seperti Shafie Abu Bakar, Awang Sariyan, Wan Bakar Wan Dagang, Rahman Shaari dan Zainuddin Ayip. Antara Mahasiswa menjadi pengarang dan penulis Gemasiswa, akhbar bulanan yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM). Baik Grupemuisi UKM, maupun Persatuan Penulis IBKKM, mereka amat rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah Institusi yang memajukan bahasa dan sastera tanahair. Kegiatan-kegiatan yang diadakan misalnya penubuhan Studi Kelab sastera UKM, mengadakan Malam Irama Sastera dan sebagainya diadakan dengan penyertaan mereka yang dari DBP. Sesudah lima tahun bergiat dalam penulisan dan bersastera, melalui sokongan Dr. Muhammad Haji Salleh Pensyarah dan Penasihat Studi Kelab Sastera UKM usaha dilakukan bagi menerbitkan sebuah antologi Puisi Siswa UKM. Tugas diberi kepada saudara Zainuddin Ayip mengetuai pengumpulan puisi. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka memberi kerjasama menerbitkan antologi yang diberi judul `Puisi Siswa`, iaitu antologi puisi pertama mahasiswa UKM yang diterbitkan (1976) oleh penerbit terkenal Dewan bahasa dan Pustaka.

`Puisi Siswa` bersaiz kecil 18 x 11 sm. (43 halaman) ini memuat puisi seramai 13 orang siswa dengan 37 buah puisi. Seorang diberi ruang antara satu hingga lima buah puisi. Mereka yang mendapat ruang dalam antologi ini ialah:

1)      Abd. Ghani Ibrahim  (4)

a) Berdiri di sini  b) Ekotaip   c) Rambut ini gugur  d) Gigiku

2)      Arrifin Mohammad  (2)

a)      Menunggu  b)  Tengkujuh

3)      Awang Sariyan  (1)

a)      Ruang-Ruang Empat Penjuru

4)      Bakar Wan Dagang  (3)

a)      Menanti Jawaban  b) Itulah Aku, Setelah Puas Kauderanya c) Di atasnya Kau Bernafas Senang Jua

5)      Faridah Yahya  (2)

a)   Kalau  b) Sepanjang Mata yang Tertawa

6)      Khadri Haji Ahmad  (2)

a)  Mencari   b) Jauh

7)      Mohammad Adam (3)

a)  Koma   b)  Hujan  c)  Tapak-Tapak

8)      Mokhtar Kamaruddin Daud  (2)

a)      Pengembara  b)  Kata-Kata

9)      Muda Daud Yusof  (2)

a)      Anjing-Anjing  b)  Pertemuan dan Harapan

10)   Nordin Jaafar  (2)

a)      Kegelisahan  b)  Diri

11)   Rahman Shaari  (4)

a)      Pencarian  b) Masa  c) Di Tempat Tidur  d) Hari-Hari Tak Pernah Panjang

12)   Shafie Abu Bakar  (5)

a)      Di Suatu Persimpangan b) Hutan-Hutan Batu  c) Jalanan Hidup d) Hidup Yang Diburu  e)  Pencari

13)    Zainuddin Ayip  (5)

a)      Bunga Lalang  b) Suatu Saat Namamu Akan Kuucapkan Juga  c) Tepi Jalan Ini
d)     Mengganggu  e)  Lihatlah Aku dan Anakmu Ini.

Antologi ini diberi pengenalan oleh Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengingatkan perlunya kematangan di dalam menulis, kata Muhammad,

``Yang amat diperlukan oleh kesusasteraan Malaysia dewasa ini adalah kematangan fikiran dan seni.`` Menurut Muhammad,
``Tidak ada jalan pendek.`` katanya, Penulis memerlukan sepuluh tahun untuk mencipta gaya dan pendekatan sendiri dan dua puluh tahun pula untuk membina suatu perbendaharaan kata yang bersih, tulen dan mudah dilentur.

Menurut Muhammad sudah tentulah banyak kelemahan pada peringkat permulaan menulis, tapi beliau berpendapat ada kejujuran di dalam Puisi Siswa yang menampilkan pengalama peribadi dan tidak terikat dengan pengucapan tradisi, ada keseriusan di dalam memilih tema-tema, style-style dan keberanian mengekspresikan sesuatu yang belum dipuisikan. Muhammad merasa optimis bakat-bakat yang ada mempunyai ruang dan peluang menjanjikan.

Sebenarnya daripada 13 penulis ini beberapa orang daripada mereka menunjukkan bakat. Rahman Shaari selaku penulis muda sudah menunjukkan kematangan berekspresi dengan tema yang berat dan intelektual dengan bahasa yang padat dan tidak sengaja dibunga-bungakan.

Pencarian

Pertemuan di Masjid Negara
Mata bercanggah dengan akal
Aku tak pantas mentafsir
Penglihatan begini
Jelas dan kontras
Sampai aku kehilangan diri.

Aku tau,
Benar berlawanan dengan salah
Kadang-kadang salah keduanya
Tapi tak mungkin kedunya benar
Dan kebenaran itu
Tersepit dan terhimpit
Di celah kesalahan.

Belum berhujung pencarianku
Dan aku belum menentu
Belum menghukum
Cuma belajar menghakimkan.

(Puisi Siswa, 1976: 27).

Rahman melontar persoalan menggunakan elemen kontradiksi, persoalan kontras dengan  bahasa yang jelas. Gaya berpuisi sedemikian menjadi identiti perpuisian Rahman.


Awang Sariyan yang kelak lebih terkenal sebagai Pakar Bahasa turut berpuisi mengenai realiti yang dihadapi di alam mahasiswa. Fragmen dari puisinya:

Ruang-Ruang Empat Penjuru

……
Di ruang empat penjuru ini
Aku berbicara
Melepaskan kongkongan sekitar
Melarikan mata dari empat penjuru
Yang sempit
Ke kertas menghidupkan kata-kata.

….
Kini hidupku terasa
Semakin singkat
Kerana siangnya
Sebahagian besar
Di bilik-bilik kuliah
Dan malamnya
Sebahagian besar
Di librari.
 (Puisi Siswa, hlm. 7).

Demikian luahan Awang Sariyan setelah menjadi mahasiswa dengan beban kursus yang dihadapi. Bahasa yang digunakan agak prosaik.

Antara yang berbakat ialah saudara Bakar Wan Dagang – Mahasiswa dari Fakulti Islam yang sebelum ini pernah menulis – termasuk berpuisi. Contoh puisinya yang berjudul

Menanti Jawaban
…..
Berdiri bisu di sini
Melihat dan memikir
Tanpa jawaban
Tanpa keberanian
Bukan ertinya
Suatu kemenangan
Dan kepuasan
Sedang persoalan
Kian mendsak jawaban.

(Puisi Siswa, hlm. 9).

Wan Bakar menampilkan persoalan mistri yang menuntut jawaban yang masih tidak berjawab.

Juga expresi Zainuddin Ayip di dalam:

Lihatlah Aku dan Anakmu ini.

….

Dan sekarang lihat ini
Tanpa bandingan
Anakmu menangis di tepi jalan
Terbatuk-batuk di malam yang basi
Tangannya menekan perutnya yang lapar
Dan tertidur melengkung di kaki lima

(Puisi Siswa: 40).

Demikianlah rasa kemanusiaan Zainuddin Ayip terhadap pengemis yang terbiar dan terabai.

Shafie Abu Bakar yang diberi ruang untuk lima buah puisinya. Antaranya  menggambarkan tentang kesesakan Kuala Lumpur yang didepaninya. Kata Shafie,

Hutan-Hutan Batu

Di Kota ini
Lembah dan pamahnya penuh terisi
Kini bukit-bukit bertukar menjadi
Batang-batang mati gelempang di bumi
Memutih tumbuh cendawan-cendawan
Hutan-hutan batu
Tegak meluru.

(Puisi Siswa, hlm. 32).

Demikian beberapa contoh petikan ungkapan dari penyair-penyair muda yang kita kira menjanjikan. Sememangnya beberapa dari mereka muncul sebagaipenyir mapan – contohnya saudara Rahman Shaari.

`Puisi Siswa` meletakkan asas awal bagi beberapa penyair di UKM muncul sebagai penyair berbakat dan mapan bersama-sama dengan kafilah penyair tanahair.

Sekian.

July 26, 2013

Peradaban Dan Tamadun Islam: Pertahan Keaslian Dan Kemurnian

-->

BBB, 16 Ramadhan 1434 = 25 Julai 2013 (Khamis):

(Sempena Malam Nuzul al-Qur`an)


 `Sesungguhnya Agama di sisi Allah ialah Agama Islam` (Aali Imran: 19).

Bila membicarakan tentang Peradaban dan Tamadun Islam, maka tiga paksi utama menjadi asas perbincangan, iaitu zaman Kerajaan Umawiyyah, Abbasiyyah dan Andalusiyyah membawa kepada perkembangan-perkembangan yang lain. Satu kecenderungan yang menjadi budaya pembicaraan tentang Peradaban dan Tamadun ini ialah tentang sentuhan budaya antara Islam dengan yang luar dari Islam. Sentuhan memang berlaku, misalnya melalui kegiatan terjemahan yang pada zaman kerajaan Abbasiyyah dan perluasan Islam ke Barat hingga ke Sepanyol. Bila membicarakan tentang budaya fikiran dan ilmu, kadang-kadang ada semacam ketidakadilan yang melihat pengaruh luar menjadi dominan di dalam pemikiran Islam. Contoh pemikiran Yunani dari Socrates, Plato, Aristotle dan Plutonisme Baru dilihat mendominasi keaslian pemikiran Islam. Ini dilihat misalnya berlaku di dalam Ilmu al Kalam Islam dan Tasawuf Falsafah. Pengagungan ketara terhadap filsafat Yunani. Contoh diperturunkan pendapat Oemar Amin dari bukunya `Filsafat Islam`:

``Pada masa pembangunan kota Baghdad ini, ilmu yang dinamakan filsafat atau filasafat, belumlah muncul, akan tetapi ia muncul kemudian dalam masa tenggang setengah abad sesudah itu, maka nyatalah kepada kita, bahawa mendahului ilmu filsafat itu dalam Islam, adalah kedoktoran, geometri, astronomi dan kimia.`` (Oemar Amin Hoesin, Filsafat Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1975: 15).

Saudara Hairudin Harun dalam bukunya  Daripada `Sains Yunani Kepada Sains Islam` menyatakan, ``Sains Yunani, iaitu budaya Ilmu yang mempunyai hubungan terus dengan perkembangan sains Islam.` (Hairudin Harun, Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1992: 9).

Kita bertanya begitu banyak ayat-ayat al-Qur`an berhubung dengan konsep kewujudan, ketuhanan, ciptaan langit dan bumi dan banyak lagi persoalan yang lain, bukankah bidang-bidang berkenaan menyentuh soal falsafah ? Sesungguhnya minda umum terarah kepada yang sudah sedia diperkatakan dan lebih bersifat menurut dari usaha untuk membuat kajian. Maka kesimpulan dibuat sebagaimana kesimpulan umum yang lebih dahulu.

Barangkali pendekatan yang seumpama ini tidak boleh dipersalahkan, kerana ianya merupakan pendekatan lumrah bagi para orientalis, pengikut atau penerima bila membicarakan tentang falsafah Islam, mereka meletakkan Islam sebagai penerima warisan keilmuan Greek-Yunani. Islam dilihat sebagai sungai yang menjadi laluan bahan-bahan dari hulu ke muara. Tokoh-tokoh seperti Socrates, Plato, Aristotle dan Plotinus dilihat mempengaruhi pemikiran Islam. Ini diperlihatkan di dalam aliran seperti Mu`tazilah, wahdatul wujud dan sebagainya. Kehadiran pengaruh luar yang bukan asli di dalam Islam, memang berlaku dan memaslahkan Islam. Ianya hendaklah dilihat bukan dominan tetapi sampingan. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas:

``The Western Culture and civilization, which includes Christianity as an integral part of it, has been assuming the posture of confrontation against Islam there can be no doubt.``
(Syed Muhammad al-Naquib al-Attas, Islam And Secularism, ABIM, Kuala Lumpur, 1978: 92).

Islam hendaklah dilihat sebagai penjana ilmu pengetahuan yang membina peradaban dan tamadunnya sendiri. Hakikatnya memang begitu. Berasaskan al-Qur`an tumbuh dan berkembang dari rahim peradaban dan tamadun Islam ilmu-ilmu seperti tafsir, Hadith, aqidah, falsafah akhlah, tasawuf Islam dan fiqh. Sebagai contoh Ilmu Usul al-Fiqh & al-Qawa`id al Fiqhiyyah merupakah bidang sepenuhnya tumbuh dan berkembang di dalam Islam (Haji Hassan bin Haji Ahmad &Haji Muhammad Salleh bin Haji Ahmad, Usul al-Fiqh & Al-Qawa`id al-Fiqhiyyah, Pustaka Haji Abdul Majid, Kuala Lumpur, 1998: 663hlm.

Penjanaan Ilmu dan Pendekatan haruslah menurut perspektif Islam tanpa menafikan berlakunya pertembungan dengan dengan budaya, tetapi dianggap sampingan dari segi pendekatan. Islam bukan dilihat sebagai sungai yang menjadi laluan bahan-bahan sekadar menyampaikannya ke kuala, tetapi sebagai sumber yang menurunkan air dari langit rahmat ke atas puncak-puncak gunung dan permukaan tanah yang membawanya ke sungai dan ke laut keilmuan. Islam berkembang bukan di dalam masa yang singkat dan sempit, tetapi memakan masa yang panjang yang menumbuhkan peradaban dan tamadunya sendiri. Kata H.A.R, Gibb intelektual British yang membuat kata pengantar kepada buku Seyyed Hossein Nasr:

``The third and fourth centuries were the ``Golden Age`` of Islamic culture, when literature and science wide out in every direction, and economic prosperity also reached its climax.`` (Gibb, H.A.R, Preface dlm. Seyyed Hossein Nasr, Islamic Cosmological Doctrines, Thames And Hudson, London, 1978: xiii).

Bukan tidak ada sarjana-sarjana bukan Islam melihat dan mengkaji dengan jujur terhadap
Bidang-bidang keislaman. Sebagai contoh Dr. Murice Bucaille Sarjana dari Perancis menafsirkan tentang asal usul manusia menurut al-Qur`an. Mengenai buku ini:

``What is the Origin of Man ? ia a work of mature reflection written with the aim of exposing outmoded antagonisms between science and religion, and showing that far from standing in opposition, the two are perfectly compatible. Whatever the reader`s personal belief, he will find here many concrete facts that are all to often overlooked when the subject of man`s origins is raised. Thus the reader will be better equipped to take a fresh look at the contribution made by genuine scientific discoveries – free from all ideology – and by the new light that has been cast on the Holy Scriptures.``

(Dr. Maurice Bucaille, What Is The Origin Of Man ?, A.S. Noordeen, Kuala Lumpur, 1982, Kulit Luar – Belakang).

Sebagai contoh lagi seorang sarjana dari Jepun  yang mengajar Islamic Study di Keio University (1954-1968) dan di McGill University Canada juga di Royal Institute of The Study of Philosophy (Iran) mengkaji dengan teliti tentang terminology di dalam al-Qur`an bagi memahami konsep Iman dan Islam yang ditulis dalam bukunya , ``The Concept of Belief in Islamic Theology: Berhubung dengan kajiannya:

``Belief was historically that first and the most important of all the theological concepts in Islam, and it raised in the first few centuries of Islamic culture a number of problems of real significance. Some of them were literally problems of life and death to the growing muslim community as they are still today.  By methodically analyzing  these problems and the major concepts underlying them, this study throws light upon one of the most interesting phases of the history of Islamic thought. The danger of of the free practice of takfir, `the relation between iman and Islam, `belief and knowledge`, `belief and work` are some of the key concepts explored by the author in death and analyzed in the light of earlier studies, such as the works of Imam Ghazali and Imam Ibn Taymiyyah.``
(Toshihiko Izutsu. The Concept of Belief In Islamic Theology, Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993: Kulit Belakang).

Islam tidak kurang dari bidang dan tokoh-tokoh sains tulin, tetapi tidak bermasalah dari segi akidah.
Ada baiknya pendapat luar yang memberi pendapat yang jujur, dengannya kita dapat melihat dan menilai kebenaran pada diri, tetapi pengawasan perlu terus dilakukan agar keaslian dan kemurnian Islam dapat dipertahankan.

Sekian.