BBB, 21 Sya`ban 1434 = 30 Jun 2013 (Ahad):
Diskusi tajuk di atas diadakan satu jam (jam 9.00 pagi)
sebelum Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk BBB (jam 10.00 pagi) oleh
YB. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, bertempat di Kompleks
Pendidikan Islam Bangi oleh kerana beliau mempunyai program di tempat lain
sebelum jam 10.00 pagi.
Dalam tempoh satu jam masa diisi dengan Diskusi Status
Pemilikan Tanah di BBB. Dua orang ahli panel dijemput mengisi slot perbincangan
selama satu jam. Mereka ialah:
1) Puan
Ayu Norlizawati binti Mohd Ghazali – Timbalan Pengarah Syarikat Komunikasi
Multi Media (SKMM), Peguambela Peguamcara. Bekas Pegawai Tanah di Pejabat Daerah
Hulu Langat 2002 – 2007.
2) Tuan
Haji Abdul Razak Muhidin – Peguam Shar`I dan Sivil – 21 tahun pengalaman.
3) Moderator
– Saudara Shaari Chin Pegawai di Sime Darby.
Saudara Shaari Chin memperkenalkan kedua ahli panel
sebagaimana maklumat di atas.
Puan Ayu memulakan diskusi mengenai latarbelakang Enakman
berhubung dengan tanah yang mula diasaskan sejak British campurtangan dalam
pentadbiran di Tanah Melayu 1879. Enakmen
Tanah diperkenalkan pada tahun 1911 dan pada tahun 1926 Kanun Tanah (Cap 138)
diperkenalkan dengan pemilikan tanah selama 999 tahun dan 99 Tahun. Selepas
Suruhanjaya Reid 1965 ada kategori-kategori tanah yang berdaftar di bawah
(H.S.B.) dan (H.M.S.).
Seterusnya Puan Norlizawati menerangkan perbezaan kategori
tanah:
Freehold: Adalah mempunyai nilaian lebih tinggi dan tidak
mempunyai had tempoh dan bersifat selama-lamanya. Jenis ini tidak banyak dan
makin mengurang.
Pegangan Bebas: Tidak ada sekatan, tetapi statusnya tidak
setinggi nilai Freehold
Tanah Tol, mulai dari tahun ini status tanah ini ditiadakan
di Selangor.
Pajakan: Dari selama 99 tahun, 60 tahun dan 30 tahun. Bila
tamat tempoh perlu diperbaharui jika pemilik asal mau memperbaharui dengan
jumlah bayaran bergantung kepada nilai harga pasaran tanah. Kerajaan berhak
mengambilbalik tanah pajakan, jika kerajaan mempunyai kepentingan tertentu
terhadap tanah tersebut.
Tuan Haji Abdul Razak Mohidin membicarakan.
Timbulnya status berbeza oleh kerana adanya kategori tanah
yang dimajukan oleh Syarikat Besar yang mempunyai tanah yang luas yang merupakan
ladang-ladang pertanian getah atau kelapa sawit seperti Syarikat Guthrie, Sime
Darby, Ma Sing dan sebagainya. Mereka menukarkan status tanah daripada
pertanian kepada perumahan dan memecahkannya kepada lot-lot dengan menawarkan
lot-lot freehold seperti di Seri Putra dan Bukit Mahkota, sedangkan
agensi-agensi kerajaan seperti PKNS mempunyai jumlah tanah yang lebih kecil
terikat dengan peraturan yang terpaksa menawarkan pemilikan hartanah yang
dijual secara pajakan seperti di Bandar Baru Bangi dan Cyber Jaya. Pajakan
kebiasaan adalah selama 99 tahun (tak adil, mengapa dibezakan status berbanding
dengan yang di bawah syarikat besar ?). Kelulusan keizinan pemilikan pula ada
beberapa kategori:
Pusat Bandar: Perlu keizinan dari pihak kerajaan Negeri di
Shah Alam
Tanah-tanah di bawah agensi kerajaan adalah terletak di
bawah blueprint menyeluruh dan jangka panjang. Bila habis tempoh dan diperlukan
kerajaan boleh mengambil baik tanah-tanah yang dipajakkan – termasuk juga geran
kekal, seperti bagi pembinaan jalan MRT,
Sekolah dan hospital bagi kepentingan awam.
Dalam hubungan tanah di Bandar Baru Bangi juga boleh di
sambung apabila dekat hampir cukup tempoh – tak perlu tunggu 99 tahun. Boleh
dibuat permohonan perlanjutan sepuluh dan 20 tahun sebelumnya.
Menurut Tuan Haji Abdul Razak, untuk merubah status hartanah
dari Pajakan kepada Freehold adalah bergantung pada `political will`. Menurut
Tuan Haji Abdul Razak, sebelum majlis ini, ``Saya berbincang dengan Mantan Adun
Bangi, bahawa beliau telah membawa perkara ini ke dewan Undangan Negeri dan
juga membuat soalan Dewan Negeri, tetapi tidak mendapat respond untuk menukar
status tanah di Bangi yang jika ditukar akan diikuti tempat lain, jika dibenarkan,
kerana ia bertentang dengan polisi tanah kerajaan negeri.``
Menurut Tuan Haji Abdul Razak, ada satu cara untuk
menukarkan status tanah pajakan di Bandar Baru Bangi, ialah dengan menyerah
balik pemilikan tanah kepada pihak kerajaan dan agensi untuk diproses bagi
mendapat status freehold, tetapi ada risikonya. Antaranya kehilangan tanah,
tanah makin mengecil bila disusun kembali perumahan dan pemilikan dan pemilik
tidak mampu untuk membayar kembali premium harga tanah yang dinilai menurut
pasaran semasa.
Buat masa ini amalan biasa ialah membaharui permohonan
pajakan secara lebih awal. Pada masa ini Mantan Adun Bangi bangun menyampaikan
maklumat, ``Permohonan secara kelompok – beramai-ramai lebih mudah diluluskan,
pengalaman beliau mengurus penyambungan pajakan tanah Kampung Baru Semenyih di
bawah Dun Kajang yang tamat tempoh tahun 2000 mudah dan cepat diluluskan,
bahkan mana yang pajakannya 30 tahun diberi option untuk menyambung kepada 60,
dan 99 tahun.``
Beberapa peserta turut bertanya dan membuat cadangan dan
meminta agar dipermudahkan urusan. Namun peserta juga diingatkan bahawa
pertukaran status dalam keadaan sekarang ada risikonya, kerana penilaian
kembali tanah dengan harga pasaran terlampau tinggi, kemungkinan di luar
kemampuan pemilik untuk membayar premium. Jika pun digunakan kaedah bayaran
RM1,000 bagi kelulusan, tanah tak boleh dicagar dan dijual selagi tidak dibayar
nilai premium semasa.
Kesimpulan, diskusi lebih bersifat untuk memahami status
tanah, khususnya di negeri Selangor. Kerajaan mempunyai polisi tentang tanah
negeri dan juga Kanun Tanah Negara. Secara individu untuk kepentingan diri,
tentulah pemilikan tanah secara tetap dan selama-lamanya lebih baik bagi diri
kita, tetapi kepentingan negeri dan Negara untuk jangka panjang lebih dan perlu
diutamakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment