April 13, 2010

KESINAMBUNGAN SEKOLAH AGAMA

Daripada 8 pelajar yang cemerlang hanya seorang sahaja berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh). Demikian dijelaskan oleh ADUN Bangi, Dr. Shafie Bakar semasa menyerahkan bantuan kerusi meja bernilai lima ribu ringgit kepada SRA Al-Hidayah, West Country.

“Saya akan mencadangkan kepada sidang DUN nanti agar pelajar yang cemerlang dalam UPSRA ditempatkan dalam satu sekolah khas sebagai satu kesinambungan kecemerlangan pendidikan Islam.”

Tambahnya lagi, “Jika dulu kita ‘bersuara’ menaikkan tangga gaji guru agama dari RM 500 ke RM 1000 sebagai satu usaha membendung masalah kekurangan guru agama. Kini secara berterusan kita akan membela nasib sekolah agama. Secara peribadi saya terkesan dengan nasib guru agama sekarang kerana dulu saya pernah menjadi guru agama dengan gaji RM 150 sebulan,”

Ini adalah bantuan kedua yang dihulurkan dimana pada tahun 2008 bantuan yang sama turut diberikan.


Sebelum itu taklimat disampaikan oleh Guru Besar sekolah tersebut Ust. Zuklipli Mat Seh mengenai latarbelakang sekolah .Selain dari West Country SRA Al-Hidayah menerima pelajar-pelajar dari taman perumahan berhampiran seperti di Taman Langat Jaya, Taman 5C dan 5D. Mempunyai bilangan pelajar seramai 320 orang tetapi hanya mempunyai 10 orang guru sahaja. Masalah timbul jika salah seorang guru itu cuti sakit atau bersalin.

Sekolah itu yang mengenakan yuran sebanyak RM 15 setiap pelajar ternyata tidak mampu mengadakan infrastruktur yang sempurna. Beliau amat berterima kasih kepada YB ADUN kerana sentiasa prihatin dan mengambil berat akan perkembangan sekolah tersebut. Dari segi akademik keputusan yang dicapai adalah lebih baik berbanding pada tahun lepas. 82.5% pelajar telah lulus berbanding 72% sebelum ini.


Menjawab aduan mengenai sumbangan dana kepada sekolah agama peruntukkan ADUN amat terhad. Terpaksa dibahagi-bahagikan pada banyak tempat. Bangi sendiri mempunyai 10 buah sekolah agama. Namun kerajaan negeri Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM 10 juta melalui Exconya iaitu YB Dr. Halimah Ali. Permohonan boleh dibuat dengan menyertakan kertas kerja pembangunan sekolah tersebut, ADUN Bangi akan membantu mengusulkan cadangan tersebut.

No comments:

Post a Comment