June 17, 2010

"Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati"

Kajang Mewah, 30 J. Akhir = 13 Jun (Ahad):


Demikianlah pepatah mengibaratkan, sesudah musibah dialami, maka baru keinsafan mendatangi. Berikut dari berlakunya kematian anak salah seorang penghuni di Flat Kajang Mewah beberapa minggu lepas, maka pada hari ini penduduk keluar bergotong royong bagi membasmikan denggi di kawasan tersebut.


Gotong royong hari ini diperluaskan meliputi, selain dari flat ialah rumah teres, rumah 2 tingkat dan semi D. Gotong royong dianjurkan oleh MPKj, Kementerian Kesihatan, Alam Flora dan penduduk. ADNS Bangi dimaklumkan oleh Ahli MPKj Zon 20 En. Narayanan A/L Perumal. Pada dasarnya penduduk di kawasan masing-masing diminta keluar membersih kawasan perumahan masing-masing, namun tumpuan utama ialah kawasan Flat yang berlaku kematian.


ADNS Bangi melawat kawasan utama. Hadir di sini En. Narayanan, En Zahari dan petugas-petugas lain dari MPKj, 7 orang dari kakitangan Pejabat Kesihatan Hulu Langat yang diketuai oleh En. Harawi bin Harun. Antara kakitangannya ialah Puan Ila Sabrina, En. Jaafar bin Maulud dan Wan Mohd Farid bersama juga adalah pekerja-pekerja dari Alam Flora yang menyertai penduduk setempat bergotong royong.

Kesampaian ADNS Bangi disambut oleh kakitangan pejabat kesihatan. Sejak satu jam setengah pihak pekerja – termasuk anak-anak yang turut serta menemui jejentik nyamuk dari bekas-bekas takungan, menurut Puan Ila sudah 13 botol bekas nyamuk di dapati dari kawasan flat Blok A, B dan C.


Kita dimaklumkan demam denggi yang berlaku melalui gigitan nyamuk aedes tiada ubat khusus, kecuali dengan pencegahan tempat pembiakan nyamuk aedes, iaitu menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes, segera mendapat rawatan jika demam dan lakukan semburan kabus (fogging).

Nyamuk aedes berbelang hitam dan putih di badan dan kakinya, biasanya menggigit pada awal pagi dan senja, membiak di dalam takungan air jernih dan kitaran hidup nyamuk aedes mengambil masa seminggu.


Untuk mengelak dari berlaku pembiakan nyamuk aedes amalkan dengan mengambil masa 10 minit setiap minggu mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes sama ada di dalam atau di luar rumah. Lakukan gotong royong di kawasan persekitaran rumah memusnah tempat pembiakan dan beri kerjasama dengan pihak kesihatan yang datang untuk membasmikan tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Selain dari memberi perhatian pada penerangan ADNS Bangi juga bergerak ke kawasan keliling rumah dan melihat tempat-tempat kemungkinan membiak nyamuk dan mencadang membersihkannya. Penduduk juga meminta agar kawasan semak berdepan perumahan dibersih. ADNS Bangi cadang supaya persatuan penduduk mengambil inisiatif mengatur gotong royong yang lain yang melibatkan pihak MPKj dan penduduk setempat. Malangnya penduduk 3 buah flat berkenaan tidak mempunyai sebarang persatuan. Selama ini tiada siapa mau ke depan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk. Masing-masing membawa hal diri masing-masing. Kalau tidak berlaku kematian, maka tidak ada pertemuan dan gotong royong yang melibatkan penduduk seperti hari ini. ADNS Bangi menemui beberapa orang yang diharap dapat mengepalai pertemuan bagi membentuk persatuan, iaitu En. Jamal (0173239563), En Krishnan (0163231217) dan En. Lim (03-87340924). ADNS Bangi mengharap dapat diatur pertemuan dan bersedia turun menyertai penubuhan persatuan. Dengan adanya persatuan banyak masalah-masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Persatuan juga menjadi tempat rujukan dan saluran komunikasi berhubung dengan kepentingan penduduk.


Selepas memberi tumpuan lawatan ke kawasan flat,ADNS Bangi juga bergerak melawat kawasan-kawasan rumah teres, rumah 2 tingkat dan semi D, ada beberapa tempat di mana pemilik-pemilik rumah membersih kawasan rumah mereka. ADNS Bangi juga singgah di tempat pertemuan kedua - berkhemah. Kehadiran ADNS Bangi disertai beberapa penduduk dan beberapa ahli Rukun Tetangga yang pejabatnya berhadapan dengan Surau al-Islah. Menurut Haji Jamali Selaku Pengerusi Persatuan Penduduk bagi kawasan Perumahan Dua Tingkat, bahawa respond dari kawasan perumahan rumah teres, dua tingkat dan semi – D agak kurang. Mungkin tidak berlaku kematian di kawasan mereka.

Namun pihak Rukun Tetangga mengadakan kegiatan, termasuk rondaan malam dan menerima adu-aduan. ADNS Bangi berharap Tuan Haji Jamali dapat menghubungi ADNS Bangi bagi mengadakan kegiatan atau sebarang cadangan. Adalah diharap melalui gotong royong pada hari ini merapatkan hubungan antara penduduk dan juga ADNS Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment