Menjelang Ramadhan berbagai persiapan dilakukan bagi menyambut Ramadhan al-Mubarak berkenaan. Setiausaha Surau misalnya mengatur jadual giliran imam-imam dan bilal-bilal tarawih. Setengahnya menjemput imam-imam hafiz bagi sembahyang isyak dan tarawaih atau dari kalangan imam-imam biasa di surau. Kalau tidak imam-imam berkenaan menyampaikan tazkirah pada pertengahan atau penghujung tarawih, maka dijemput ustaz-ustaz yang menyampaikan tazkirah (biasanya penyampai tazkirahlah juga menjadi imam). Perancangan juga diatur kumpulan-kumpulan tadarrus, sambutan Nuzulul Quran dan qiyamullail – penceramah dan pembimbing. Ada surau mengatur partisipasi anak-anak muda bertadarrus bagi mendekatkan mereka dengan masjid dan surau. Di samping itu diatur juga giliran atau secara sukarela sesiapa yang bersedia menyediakan bahan-bahan bagi persediaan berbuka dan juga moreh.
Keperluan kepada penggunaan kewangan pada bulan Ramadhan biasanya lebih tinggi daripada bulan-bulan biasa. Tetapi sebenarnya tak perlu dibimbang dan tiada masalah bagi mendapat sumber kewangan, kerana pada bulan Ramadhan ramai yang bersedekah. Pada bulan ini pihak surau mendapat derma yang agak banyak dari dermawan-dermawan yang memang bermurah hati dan suka menderma pada bulan Ramadhan. Ada surau-surau yang mendapat derma dari jamaah dan orang luar pada bulan Ramadhan, cukup untuk perbelanjaan setahun – sehingga ke Ramadhan tahun hadapan.
Seperti persiapan yang disebutkan di atas, maka demikianlah persiapan yang diatur bagi kegiatan Ramadhan bagi Surau al-Umm, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi. Pengerusi Surau Profesor Dato' Dr. Abdul Wahid dan AJK yang dilantik telah menyusun program-program Ramadhan sebagaimana disebutkan di atas. Selain dari program di atas, Ramadhan sebagai bulan ibadat, bulan bagi mensucikan diri, fizikal, rohani, mensucikan juga harta yang didapati dengan berzakat dan bersadakah, maka adalah wajar juga tempat kita menjalankan ibadah di surau dan masjid disucibersihkan. Lantaran itu – walaupuan agak awal, hari ini diaturkan gotong royong bagi membersihkan surau al-Umm dan kawasannya. Hal ini telah diwar-warkan sebelum ini, terutama pada malam Jumaat yang biasanya lebih ramai dihadiri jamaah, di samping maklumat juga di tulis pada papan putih yang disediakan.
Pagi ini lebih kurang dua puluh orang penghuni seksyen satu BBB ini keluar bergotong royong di surau yang paling tua di BBB. Surau ini masih kekal dengan bentuk asalnya dengan menggunakan rumah berkembar dua tingkat dengan menambahkan kawasan beratap – dulunya berlantai papan berlapis, kemudian berlantai semen dan akhir berlantai bertail. Kerja tumpuan hari ini ialah membersih bahagian atas dari sarang-sarang labah-labah, kotoran dan habuk, mengelap cermin dan dinding, membersih kipas, membasuh dan membersih tempat mengambil wuduk dan juga bilik air dan tempat qadha hajat. Selepas dibersih bahagian atas, maka disedut sampah-sampah dengan mesin penyedut dan kerja-kerja mengelap lantai dilakukan. Sebahagian pekerja menumpukan kerja pada bahagian belakang, tempat berbuka dan tempat makan minum terutama selepas baca Yasin bagi membasahkan tekak. Sebahagian yang lain memotong rumput, membaiki pokok-pokok bunga dan membersih jalan dan ruang. Dengan bergotong royong, walaupun matlamatnya membersih surau, tetapi secara tidak langsung dapat mempereratkan ukhuwwah dikalangan penduduk di taman setempat. Kerja-kerja bergotong royong berterusan dari 8.30 pagi ke jam 12.00 tengahari.
Sekian.
No comments:
Post a Comment