March 23, 2012

Ucapan Pra-Perasmian Muzium Insitu Jugra, Bukit Jugra, Kuala Langat
Sungai Langat tenang mengalir
Hanyut bersama sampah sarat
Selamat diucap sekalian yang hadir
Sama mengungguli sejarah setempat.
Mudik ke hulu menjala sepat
Dapat seekor si anak tapah
Muzium Insitu di Kuala Langat
Jejak sejarah Sultan memerintah
Ke Puncak Jugra mari memanjat
Melihat darinya indah pandangan
Semadi di sini Sultan Abdul Samad
Transisi Melawati, Jugra ke Kelang.
Terima kasih kepada Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim kerana sudi meluangkan masa merasmikan Muzium Insitu Jugra.

Walaupun terpencil kedudukan adalah laksana permata terpendam, baru diketemui dan perlu digilap agar kilat cahayanya memancar di persada negeri dan Negara.
Muzium adalah menjambatani antara silam ke kinian. Muzium Insitu Jugra adalah salah satu jambatan kekinian menulusuri ke kesilaman yang menjadi salah satu fakta yang mengukuh sejarah dan identiti Selangor.
Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat adalah penemuan melalui ekskivasi archeology runtuhan di kaki Bukit Jugra yang bangunan ini pernah dijadikan `Rumah Pasung` atau Balai Polis yang kini dijadikan Muzium Insitu Jugra yang merupakan salah satu Muzium Daerah. Fungsi `Rumah Pasung` ini bukan setakat rumah kawalan, tetapi juga sebagai penjara dan mahkamah mini.
Rumah Pasung yang dijadikan Muzium ini dibina pada tahun 1878 oleh Kapten Harry Charles Shers, Pegawai Polis British dalam bentuk 2 tingkat. Bahan binaan adalah dari batu granit 4 segi pada bahagian bawah dan kayu pada bahagian atas.
Bangunan `Rumah Pasung` ini bukanlah secara terasing, tetapi kewujudannya bersama wujudnya Istana, Pejabat Daerah, rumah-rumah pemerintah, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja. Ternyata pada pertengahan abad ke 19 lokasi di sini adalah sebagai Pusat Pemerintahan Kesultanan Melayu Selangor, selepas Kuala Selangor, khususnya di bawah pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad dan mempunyai sistem pentadbiran yang teratur. Pemerintahan di sini (Kuala Langat) berterusan hingga pemerintahan berpindah ke Kelang pada tahun 1882.
Muzium Insitu Kuala Langat sebagai Balai Polis dan sebagai lokap digunakan hingga apabila Penjara Pudu dibina (1890). Fungsinya sebagai Balai Polis Kuala Langat berterusan hinggalah Balai Polis Baru dibuka di Teluk Datuk pada tahun 1929.

Dari segi lokasi bangunan berdasarkan penyelidikan dibuat 2001-2002 . kedudukan adalah 43 meter dari Sungai Langat, keluasannya ialah 20,000 kaki persegi, bangunannya adalah dua tingkat dengan bahan binaan pada tingkat bawah adalah dari batu granit yang dipotong berbentuk empat persegi. Bangunan dipulihara yang sebelumnya adalah tertimbus. Semasa kerja ekskavasi turut ditemui artifact dari logam dan seramik jubin (tiles) di dalam timbusan sedalam 20 sm.
Konservasi bangunan mulai dilakukan pada bulan Februari 2002. Konservasi adalah mengikut:
Venice Charter (1964)
Australian Burra Charter (1979)
Icomos Burra Charter (1980).Prinsip dan objektif:

a) Baikpulih seni bangunan mengikut yang asal
b) Membaikpulih monument dengan menggunakan bahan di masa asal
c) Memelihara fungsi dan bangunan lama berdasarkan pada garis panduan yang telah ditetapkan

Penemuan bangunan Balai Polis yang asal membuka ruang bagi mengkaji kawasan sekitar Bukit Jugra, bahkan Kuala Langat sebagai lokasi pemerintahan. Sebenarnya kajian dapat dibuat merangkumi pemerintahan di Kuala Selangor dengan artifac-artifac yang ada di sana dan kemudian ke Kelang. Kajian juga dapat dibuat mengapa berlakunya perpindahan pusat-pusat pemerintahan dari Melawati ke Jugra, Kelang, Kuala Lumpur dan Shah Alam Bahawa melalui artifact-artifact diketemui dapat membina bukti-bukti sebahagian dari pemerintahan di Negeri Selangor.


Selepas kajian dibuat terhadap Muzium yang berasal dari Bangunan Balai Polis ini, kajian-kajian yang lain akan diteruskan misalnya membaikpulih rumah tradisional di Kuala Selangor, membuka Muzium Sukan, kemungkinan membuka Muzium Seni Islam Selangor dan sebagainya.Warisan Tradisi Mengukuhkan Jati Diri.

Sekian.

Y.B. Dr.Shafie Abu Bakar,
Adun Bangi, Selangor.

Kuala Langat,
01 Jamadil Awal 1433
24 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment