December 22, 2012

Sumbangan Kepada NGO

-->
BBB, 06 Safar 1434 = 20 Disember 2012 (Khamis):

Sebagaimana telah diperkatakan Bangi menjadi tempat yang subur bagi NGO-NGO bergiat. Antara badan-badan ini begitu terkenal pada peringkat nasional seperti Abim, Ikram, Amal Palestin, Haluan, Muslim Care dan sebagainya. Tiap-tiap NGO ini mempunyai kecenderungan, kegiatan dan identiti tersendiri yang boleh dikaji dan diperbincang secara lanjut.

Pada minggu ini Adun berinteraksi dan memberi sumbangan kepada dua buah NGO. Salah satu daripadanya ialah dikenali sebagai PEWARIS. NGO ini dapat disifatkan sebagai sebuah NGO yang kecil yang menumpukan kegiatan pada melakukan kebajikan, menggalak dan memotivasi pelajar, juga menolong masyarakat miskin, sakit dan susah. PEWARIS adalah NGO yang ditubuh oleh mantan pelajar UKM dan lebih banyak bergerak di sekitar Serdang. Semaklum Adun, PEWARIS tidak mempunyai cawangan.

Sebagai sebuah NGO yang lahir dan bergiat terutama di DUN Bangi, NGO ini juga memohon peruntukan dari Adun, bahkan turut menyertai kegiatan kebajikan Adun. Badan NGO ini juga melibatkan diri di dalam memberi kursus dan penerangan. Mutakhir NGO ini memohon peruntukan bagi membeli peralatan untuk kursus dan penerangan. Pada hari  ini Adun menyerahkan peralatan seperti Layar & LCD Projector yang bernilai RM1,500. Barang-barang ini disampaikan melalui saudara Hassan Fikri bin Safar di Pejabat Adun Bangi.


Sementara itu sebuah lagi NGO yang juga sering membuat hubungan dan memohon peruntukan dari Pejabat Adun ialah badan dikenali dengan JERIT kependekan dari `Jeritan Rakyat Tertindas`. Dari nama JERIT itu sendiri dapat dijangkakan kecenderungan NGO ini yang menumpukan perjuangan membela rakyat tertindas, menegakkan keadilan dan agak kiri sifatnya. JERIT sebenarnya sudah lama membuat hubungan dengan Adun. Adun sering menerima risalah-risalah JERIT yang dihantar kepada Adun, pada masa itu Pusatnya ialah di West Country. Hubungan ini berterusan hingga kini. Selain dari memaklumkan kegiatan NGO ini sering memohon peruntukan bagi kegiatan-kegiatannya. Projek terakhirnya yang agak besar yang dilaksanakan pada bulan Disember ini ialah `Pengayuh Perubahan`. Ia merupakan Kempen Rakyat. Bagi projek ini JERIT juga memohon peeuntukan dari Adun. Menurut saudari Sivaranjani Manickam selaku Penyelaras JERIT, bahawa:


Pengayuh Perubahan, ialah kempen penerangan yang akan dilakukan ke setiap buah negeri. Tetapi buat permulaan kempen penerangan bagi perubahan ini bermula di Negeri Sembilan, iaitu pergerakan secara berkonvoi berbasikal diketuai kumpulan berjumlah 20 orang, diikuti pasukan berjumlah 40 orang. Turut sama dalam konvoi ialah peserta satu bas, 1 lori dan 3 kereta. Mereka bergerak ke 23 tempat dalam masa empat hari. Menurut saudari Sivaranjani, ``Setiap tempat yang kami singgah disambut dan disediakan tempat oleh orang-orang Pas. Ini ialah kerana Pas mempunyai struktur pimpinan yang baik dan mempunyai markas dan sukarelawan.`` tambah saudari Sivaranjani, ``Terima kasih di atas kerjasama petugas-petugas dari Pas yang memberi kerjasama yang baik selama kami berkonvoi membuat kunjungan.`` Semasa berkunjung dari satu tempat ke satu tempat ini, konvoi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa dan masalah-masalah dihadapi rakyat. Mereka melawat ladang dan memperkatakan mengenai penindasan terhadap pekerja, harga kediaman dan perumahan yang terlalu mahal yang tidak dapat dikejar oleh rakyat yang berhasrat membeli rumah. Masalah cukai pintu, bahkan mereka pergi ke rancangan Felda dan memperkatakan masalah mereka yang perlu kepada pembelaan. Menurut saudari Sivranjani kos yang ditanggung bagi kempen terlampau tinggi. Sebab itu JERIT turut memohon peruntukan kepada Adun. Pihak Adun telah meluluskan permohonan dengan memberi sumbangan RM600/= kepada JERIT melalui saudarai Sivaranjani.

Sekian.

No comments:

Post a Comment