February 15, 2013

Wifi Selangorku, Dato` Menteri Besar Rasmikannya Di Bandar Baru, Salak Tinggi. Bangi Juga Mempunyai Wifi Di Pejabat Adun

-->
Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, 04 Rabiul Akhir 1434 =  14 Februari 2013 (Khamis):


Komunikasi moden melalui internet adalah satu keperluan. Selangor Negeri Maju bergerak maju dari segi penggunaan internet. Sejak 2009 Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan Wifi Percuma dan perasmian hari ini oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang adalah merupakan fasa ke 4 berkelajuan 2 mate berkeluasan 200 meter.


Bagi merasmikan Wifi Selangorku ini, YAB tiba bersama isterinya Datin Sri Salbiah di Taman Seroja jam 10.15 disambut antaranya oleh Datin Sri Wan Azizah Pengerusi Program Selangorku, Y.B. Puan Hajah Rodziah binti Ismail Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi yang juga Pengerusi PADAT, Dato` Sayuti Abu Bakar YDP Majlis Perbandaran Sepang, Dato` Wahilman Siwar Pengarah ICT, pegawai-pegawai dan orang ramai. Ketibaan YAB Dato` Menteri Besar disambut dengan silat dari Kumpulan Naga Sari, Sepang.


Dalam ucapannya YAB Dato` Menteri Besar memaklumkan bahawa peruntukan Wifi percuma adalah antaranya dari kutipan hutang sejumlah RM390 juta ringgit yang pada zaman BN tidak berusaha mendapatkan balik hutang berkenaan. Dalam kata lain duit tersebut adalah duit rakyat, sebab itu kita kembalikan kepada rakyat. Daripada duit itu juga kita gunakan juga untuk memperbaiki jalanraya, membina padang futsal, menggunakan Projek Wanita Berdaya. Dengan menggunakan Wifi banyak urusan dan pekerjaan dapat diselesaikan dengan cepat. Bahkan berbagai-bagai maklumat berhubung dengan keilmuan dan pengetahuan dapat dicapai melalui sentuhan jari. Dengan penggunaan internet kita dapat simpan data dengan ringkas dan padat. Misalnya kita di negeri Selangor mempunyai 6 juta fail berhubung dengan tanah. Selama ini fail sedemikian banyak memerlukan ruang dan sukar untuk mendapat fail berkenaan. Kita telah menjalankan projek mengkomputeraiskan semua maklumat berkenaan tanah melalui chip – Data Bagi Bank Tanah dan maklumat ini terkandung di dalam komputer yang boleh dibawa ke mana-mana. Pejabat Daerah boleh turun ke kawasan-kawasan menjalankan urusan mengenai cukai tanah dengan mendapat maklumat dari komputer yang dibawa bersama-sama kemana-mana.


Sebelum daripada itu Y.B. Puan Rodziah Ismail mengucap terima kasih kepada semua yang menjayakan Majlis pada hari ini. Menurut Y.B. Rodziah, Wifi adalah keperluan sama dengan kita perlukan air, letrik dan telefon. Menurutnya, ``Kita memasang internet jalur lebar dengan nisbah 6 di Bandar 2 bagi luar Bandar. Antaranya mendapat private funding. Hari ini kita masuk fasa ke 4 dengan perbelanjaan berjumlah RM2.7 juta. Sekarang cara terbaik bagi memasarkan barangan perdagangan ialah melalui internet. YB Rodziah memberi contoh melalui Kegiatan Wanita Berdaya, seorang Mak Cik yang selama ini menjual hasil Sambal Goreng Tempeh melalui warung, maka selepas iklan dibuat di internet, maka pasarannya menjadi lebih dan perniagaannya berdaya maju. Order datangnya dari Kota Bharu dan Johor Bahru.  Menurut Y.B. Rodziah Wifi yang dipasang berkekuatan 2 mate yang keluasan penggunaan dalam lingkungan 200 meter. Kemampuan digunakan ialah 100 orang secara serentak. Y.B. Rodziah berharap melalui Wifi ini pelajar-pelajar dapat meningkatkan pembelajaran, orang ramai menggunakannya bagi berbagai perkhidmatan seperti membayar bil-bil secara online dan juga untuk urusan perniagaan dan sebagainya.


Selepas dari perasmian  Y.A.B. melakukan acara gimik pelancaran dan  menyampaikan Hadiah melalui cabutan bertuah secara maya kepada 5 orang yang bernasib baik yang hadiah-hadiah merupakan jenama handphone dan alat internet terbaru . Kemudian Y.A.B. melawat kawasan Wifi Selangorku di dalam Pusat Penjaja Taman Seroja dan diikuti dengan Sidang Media.


WIFI DI PEJABAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN BANGI Boleh Diguna

Sempena dengan perasmian Wifi, di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi ini, sukacita dimaklumkan di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Bangi juga telah dipasang dengan WIFI Selangorku secara percuma sejak akhir Januari 2013 dan kini boleh digunakan. Kawasan yang dapat digunakan meliputi termasuk di Pasar Basah berdekatan Pejabat Khidmat Adun, Medan parking dan perumahan berhadapan dengan Pejabat Adun. Adun ke Taman Seroja , Bandar Salak Tinggi hari ini untuk mendapat maklumat dan mempelajari dari segi penggunaan dan kemungkinan meluaskan kawasan penggunaan. Menurut Y.B. Puan Radziah Adun boleh membuat keputusan melancarkan penggunaan sama ada menjemput Y.A.B. Dato` Menteri Besar, Y.B. Puan Rodziah, Adun sendiri merasmikan dan sebagainya. Walau apapun:



Wifi di Pejabat Adun Bangi sudah boleh digunakan. Silalah gunakan kemudahan yang disediakan dengan cara baik.

Sekian.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment