BBB, 06 Muharram 1435 = 10 November 2013 (Ahad):
Pengajian akademik di UKM dan mengikuti Kursus penulisan
seperti yang diikuti Penulis sebagaimana yang dianjur oleh Pelita (Persatuan
Sasterawan Muda Terengganu) di Kuala Terengganu sebulan Mac 1972 (kursus hujung
minggu) dan Kursus Kewartawanan anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya
(UM) di Kampus UM dengan kerjasama NST & Bernama mulai 9 April 1972 hingga
17 April 1972 banyak membantu Penulis di dalam penulisan yang bersifat esei dan
rencana. Sebagaimana telah disebutkan jika sebelum tahun 1972, Penulis banyak
menumpukan penulisan dalam bidang puisi, maka mulai tahun 1972 Penulis meluaskan
tulisan di dalam bidang permakalahan di samping meneruskan penulisan di dalam
bidang puisi.
Langkah Penulis memberi tumpuan kepada bidang permakalahan
diperkukuhkan oleh beberapa faktor.
1) Mempunyai
asas ilmiah dan bahan-bahan penulisan setelah mengikuti pengajian di UKM.
Pengajian dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu mengkuhkan
penulis di dalam bidang sastera dan bidang kreatif. Manakala pengajian di dalam
bidang sejarah mengajar berfikir secara logic, membezakan antara fakta dan yang
bukan fakta serta mempelajari kaedah mengkritik.
2) Mendapat
panduan dari pengajian cara menulis berasaskan fakta, huraian, pengolahan dan
pencerakinan, kaedah membuat rujukan, menyusun secara logic fakta dan huraian
dan kaedah-kaedah membuat rujukan dan catatan kaki.
3) Pengajian
di dalam dua bidang major – Bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu
menuntut Penulis banyak membaca, membuat kajian dan rujukan. Dengan cara
sedemikian bukan saja menambahkan ilmu dan maklumat, tetapi juga mempertingkatkan
kemahiran berbahasa yang boleh membina identity sendiri dalam bidang berbahasa
dan bersastera.
4) Melalui
pengajian Fakulti Sastera yang melibatkan pengajian bahasa, kesusasteraan dan
kebudayaan Melayu dan juga sejarah, Penulis dilatih cara membuat esei yang
baik, mengulas, mengkritik dan mencadang melalui pembentangan kertas-kertas
kerja dalam tutorial sama ada dibentang oleh Penulis atau ditulis oleh
pelajar-pelajar yang lain.
5) Keterlibatan
di dalam seminar yang dianjur oleh badan-badan tertentu misalnya Dewan Bahasa
dan Pustaka, atau mengikuti seminar Sejarah oleh persatuan sejarah memantapkan
keilmuan, mempelajari kaedah penulisan dan pembentangan atau pengulas, apa lagi
jika penulis sendiri terlibat di dalam pembentangan seperti sempena Hari
Sastera, Seminar Sejarah dianjurkan oleh persatuan sejarah dan sebagainya.
Dari pengalaman yang diutarakan di atas dan mengikuti kursus
penulisan dan kewartawanan, Penulis mulai menghantar makalah-makalah kepada
majalah-majalah. Antara majalah yang dihantar ialah Majalah Dian yang penulis
amat kagumi dan sayangi pada masa itu. Sebagaimana disebutkan Penulis yang
menghadiri Kursus Penulisan anjuran Pelita turut berkenalan dengan Yusoff Zaky
Yacob salah seorang penceramah dan pembimbing kursus. Kami juga sealiran di dalam
perjuangan menegakkan sastera Islam. Penulis bergetak di dalam badan Gabungan
Penulis Islam Malaysia (GAPIM). Makalah terawal yang Penulis hantarkan ke Dian ialah
berjudul:
`Islam Dalam Pergerakan Nasionalisme Di Indonesia `
Dan pertama kali mendapat tempat di dalam Dian Bil. 49,
Tahun XI, 1972.
Pemahaman Penulis tentang Islam Dalam Pergerakan
Nasionalisme Di Indonesia ini kerana mengikuti kursus ME204 – Sejarah Indonesia 1 yang membincangkan perubahan sosial
yang berlaku abad ke 20, pertumbuhan serta perkembangan pergerakan nasional Indonesia
dengan berbagai aspeknya. Juga dibahaskan bentuk keadaan yang terdapat di dalam
zaman pendudukan Jepun. Masalah persiapan kemerdekaan dan revolusi Indonesia
1945 – 1949, pembentukan Republik Indonesia Sarikat dan pembubarannya pada 17
Ogos 1950. Kursus di atas disampaikan oleh Drs. Teuku Ibrahim Alfian Pensyarah
dari Universitas Gadjah Mada Indonesia
yang dipinjamkan kepada Jabatan Sejarah, UKM.
Tulisan di atas juga dari pengaruh dan pendapat Syed Naguib
al-Attas yang membicarakan tentang Islam di Alam Melayu, terutama melalui
bukunya seperti
``Preliminary Statement On A General Theory of The
Islamization of The Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka
(1969).
Rumusan dari Islam Dalam Pergerakan Nasionalisme Di
Indonesia:
Islam yang menggantikan kepercayaan Hindu di Indonesia
menyatukan penduduk dengan pegangan akidah Islam, diperkukuhkan dengan
penyatuan umat dan memperkasakannya dengan konsep jihad. Apabila Belanda yang
datang pada peringkat permulaan bertujuan perniagaan bertukar kepada penjajahan
dan pengkristianan menjadikan Islam makin berkembang sebagai benteng
penentangan terhadap penjajahan. Manifestasi penentangan seperti berlaku Perang Deponegoro di Jawa (1825-1830), Perang
Paderi di Sumatera Barat (1833-1837), Perang Aceh (1873-1904), Perlawanan
Singamangaraja di Tapanuli (1873-1907) dan beberapa yang lain. Penjajahan
Belanda di Indonesia secara tidak langsung menyatukan rakyat dan Negara Indonesia
diikat oleh pegangan keislaman, penyatuan bahasa dan kawasan.
Untuk membendung kesedaran kebangsaan umat Indonesia Belanda
mewujudkan beberapa dasar seperti Dasar Cultural (1830-1870), Dasar Liberal
(1870-1910) dan Dasar Ethical (1910 hingga Perang Dunia Kedua). Perubahan
budaya kepada yang lebih terbuka menyedarkan masyarakat Indonesia misalnya timbul kesedaran
meningkatkan masyarakat dengan pelajaran yang yang diusahakan oleh Dr. Mas
Wahidin, tertubuhnya Persatuan Budi Utomo (20.5.1908) yang diketuai Radin
Sutomo dan dianggotai 10 ribu ahli dan Kartini yang disifatkan sebagai Srikandi
Indonesia berusaha menyedarkan anak bangsa dengan ilmu pengetahuan.
Pada masa yang sama timbul gerakan yang dicetuskan oleh
Islam kerana dipengaruhi gerakan reformis Asia Barat diketuai Muhammad Abduh
(1848-1905). Kesedaran ini sampai ke Indonesia
melalui jamaah Haji yang ke sana
tidak saja menunaikan Haji, tetapi menimba ilmu pengetahuan dan kesedaran umat.
Bagi mengukuhkan kekuatan ekonomi – kerana Belanda lebih memberi peluang
ekonomi kepada orang Cina untuk kepentingannya, maka tertubuhlah `Syarikat
Dagang Islam` yang kemudian terlibat dalam rusuhan dagang di Surakrta dan
Surabaya. Syarikat ini dijenama kembali dengan nama `Syarikat Islam` (1912)
yang dipimpin oleh Omar Said Chokro Aminoto dengan keahlian lebih dari 800
ribu. Ini merupakan bibit kepada gerakan politik yang dicetuskan oleh Islam.
Dari kesedaran keislaman lahir Muhammadiyyah (1912) yang menekankan dari segi
pendidikan diketua Kiyai Haji Ahmad Dahlan.
Sementara itu Syarikat Islam cuba disusupi oleh PKI (Parti
Komunis Indonesia), tapi pada masa dibawah pimpinan Haji Agus Salim (1921)
dapat dikeluarkan PKI yang diketuai Tan Malaka dan Samaun dari Syarikat Islam.
Dalam masa yang sama lahir Nahdatul Ulama dan Parti Nasional Indonesia (4 Julai
1927) diketuai Sukarno. Menjelang perang Dunia Kedua Indonesia mempunyai 3 aliran
gerakan politik, iaitu Islam, Nasionalis dan Komunis. Oleh kerana menggugat
Belanda Sukarno ditangkap, tapi bila Jepun datang untuk kepentingannya Sukarno
dibebaskan. Sukarno ambil kesempatan dalam pimpinan yang sebelumnya dijuarai
oleh Islam. Pertubuhan Putera dan Peta yang diharap Jepun menyokongnya akhirnya
menentangnya. Pemimpin Islam pada zaman Jepun antaranya Dr. Hussein
Jayadiningrat, Haji Amrullah, Kiyai Mas Mansur dan Abdul Qahhar Muzakkir (Ketua
Pemuda Muhammadiyyah). Namun mereka tidak dapat mengatasi kejuaraan dan
kelantangan pimpinan PNI.
Pada akhir pemerintahan Jepun lahir satu parti Islam yang
mengimbangi PNI, iaitu Parti Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia ). Parti yang merupakan
jelmaan dari Syarikat Islam dulu ini mendapat sambutan masyarakat Indonesia,
bahkan mengatasi PNI, Antara ketua-ketua parti ini ialah Muhammad Nasir,
Sharifuddin Perwira Negara, Muhammad Rum, Abu Hanifah dan lain-lain. Masyumi
mempunyai tenteranya sendiri – Hizbullah. Masyumi berjuang untuk menegakkan Negara
Islam di Indonesia. Namun dalam percaturan politik bila Jepun menyerah kalah
pihak PNI berkesempatan mengisytiharkan Negara Republik Indonesia berdasarkan Pancasila,
bukannya Islam. Oleh kerana tidak berpuashati timbulnya pemberontakan dari gerakan
Islam seperti di Jawa Barat dipimpin oleh S.M. Kartosuwirjo (1953), Di Aceh
dipimpin oleh Teuku Muhammad Daud Bararuweh. Selain dari pemberontakan
parti-parti Islam seperti Masyumi dan Nahdatul `Ulama` berusaha menguasai
majority di dalam Dewan Pemerintahan, tapi tidak berjaya. Pada tahun 1958 Masyumi
cuba
mencetuskan pemberontakan tapi gagal. Pihak pemerintah menggantungkan Parti
Masyumi yang terkenal kuat itu dan dua tahun kemudian diharamkan. Tinggallah
parti-parti Islam yang lebih kecil seperti Nahdatul `Ulama dan beberapa parti
Islam yang lebih lemah memperjuangkan Negara Islam, tetapi tidak kesampaian.
Ironinya Islam yang mencetuskan kebangkitan umat dan menentang penjajahan dan
berusaha menegakkan Islam, tetapi berakhir dengan kecundang. Walau bagaimana
Islam tetap menjadi daya kekuatan umat di Indonesia yang tetap hidup dan
boleh bangkit.
Sekian.
No comments:
Post a Comment