January 1, 2014

`Berperang` Status Kekhalifahan Tetap Dipersoalkan (Sempena Kehadiran 2014)


Di luar Negara
Ada rakyat berperang
Dengan pencuri demokrasi
Merampas kekuasaan
Menghukum sewenang-wenang
Mereka perlu diadili
Dan memulangkan hak
Kepada yang diberi.

Ada pula
Yang mengambil tindakan
Mengikut amarah kemahuan
Turun di jalanan
Tuntut letak jawatan.

Manakala yang lain
Baru dapat kemerdekaan
Atas perpecahan
Bersengketa merebut kuasa
Rakyat terpanggang
Mengusung derita.

Kita juga di Malaysia `Berperang` !
Berperang dengan kenaikan barang
Ditambah dengan pengumuman
Kenaikan petrol, tol dan tenaga
Semuanya bagai mencurah minyak ke api
Marak menyambar setiap hati
Yang sekian lama terbeban
Dengan segala kenaikan.

Bagi rakyat tersepit
Apa lagi senjata bagi mereka
Selain menggunakan hak
Menembak dengan peluru kata
Agar dipertimbang minda
Dan rasa manusia.

Di luar Negara di mana saja
Politik cara mendapat kuasa
Secara lembut atau kekerasan
Amanah tanggungjawab rasa manusia
Jarang dalam perkiraan
Dan firman itu tetap releven
Manusia dan tindakan
Dipersoal dari segi kekhalifahan !

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Safar 1435
01 Januari 2014.

No comments:

Post a Comment