BBB, 01 Ramadhan 1435 = 29 Jun 2014 (Ahad):
Menyambut Ramadhan 1435, di hari yang berkat ini Penulis
sengaja memilih dan mulai menulis membicarakan Masjid Al-Umm yang sedang dalam
pembinaan dengan menggunakan Teori Takmilah sebagai aplikasi pendekatan.
Penggunaan teori ini kepada seni bina, khususnya masjid, bukan merupakan
permulaan, tetapi sesudah melalui perjalanan panjang yang membawa kepada
penemuan-penemuan.
Teori Takmilah terawal dikemukakan pada 1992 sebagai Teori
Sastera Islam yang menyedari Kesempunaan Pencipta dan Keindahannya yang
mendamba hamba sebagai makhlukNya yang lemah dan kekurangan rindu kepada
Kesempurnaan dan KeindahanNya (Shafie Abu Bakar, Takmilah: Teori, Falsafah Dan
Prinsip, dlm. Mana Sikana, Teori Sastera Dan Budaya Dalam Kajian Akademik, JPM,
UKM, Bangi, 1997: 125). Sesungguhnya tiada siapa yang tidak mau kepada yang
sempurna dan indah dan setiap yang kita lakukan kita maukan hasil yang
sempurna, indah dan baik, bahkan adalah menjadi budaya yang terpuji jika kita
melakukan sesuatu kerja yang menghasilkan sesuatu hasil yang sempurna, indah
dan terpuji. Demikianlah Teori Takmilah dihasilkan sebagai mekanisme menggalak,
menilai, dan menghasilkan hasil-hasil sastera yang bernilai, bermutu, indah dan
baik menurut skima Islam sebagai Teori Sastera Islam. Kita menghasilkan Teori
Takmilah lantaran kecintaan terhadap Ilmu dan tidak mau kita selamanya
bergantung kepada teori luar dalam melihat sastera, khususnya sastera Islam.
Kita juga tidaklah mengharapkan apa-apa sanjungan dari mana-mana pihak di atas
usaha membina Teori Sastera Islam ini, walau bagaimana pihak Persatuan
Sasterawan Numera Malaysia memberi pengiktirafan di atas usaha membina Teori
Takmilah ini dengan menobatkan Penulis sebagai Tokoh Persuratan Dunia Nusantara
Melayu Raya (Numera) bagi tahun 2013 pada 20 November 2013 dari Malaysia
bersama penulis terkenal Indonesia Profesor Dr. Abdul Hadi W.M. dari Indonesia
dan Profesor Madya Dr. Victor Pagadaev
dari Rusia kerana peranan mereka memperkembangkan bahasa Melayu di
dunia. Terima kasih di atas pengiktirafan.
Setelah lebih dari dua dekad tumpuan Teori Takmilah terhadap
Sastera Islam. Dalam seminar bertemakan ``Teori Takmilah: Perluasan Dan
Penafsiran`` yang diadakan di UPSI di bawah anjuran Persatuan Penulis Budiman
Malaysia dengan kerjasama UPSI dan DBP pada 27.3.2014 yang penulis adalah salah
seorang pembentang kertas kerja, Maka dalam seminar itu Penulis membentangkan
kertas kerja berjudul, `Perluasan Teori Takmilah`. Dalam kertas kerja ini
Penulis menampilkan gagasan sebagai dimensi baru yang memperluaskan skop Teori
Takmilah, kata Penulis:
``Penulis tidak mau mengulangi apa yang Penulis katakana
mengenai Teori Takmilah, sebaliknya melalui pengalaman, perhubungan dan
pendedahan dengan berbagai episode hidup dari tanggapan estetik hinggalah
kepada politik terbuka pandangan yang melihat bahawa Teori Takmilah tidak hanya
boleh digunakan bagi menghurai, menilai dan mengkaji terhadap bahan-bahan
sastera sahaja, tetapi dapat diperluaskan kepada bidang-bidang lain. Selain
dari sastera yang menggunakan berbagai medium bahasa, maka seni-seni yang lain
juga yang tidak menggunakan medium bahasa mempunyai fungsi yang hampir sama
dengan sastera …
Kalau penghayatan sastera menggunakan medium bahasa maka
seni yang lain yang tidak menggunakan bahasa, tetapi penghayatan, misalnya
melalui penglihatan dan pengertian (kefahaman) dapat dinilai dan diaplikasi
dengan Teori Takmilah.``
(Shafie Abu Bakar, Perluasan Teori Takmilah, dlm. Abdul
Halim Ali (Penyelenggara), Persatuan Penulis Budiman Malaysia , Tanjung Malim, 2014:
22-23).
Sebenarnya banyak ayat Qur`an mengisyarat kepada kepentingan
pembacaan secara minda terhadap `Aayaat-Aayaat`. Antaranya firman Allah:
Bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan silih
bertukar malam dan siang adalah
Aayaat (tanda-tanda) yang dapat dibaca oleh para ulu
al-albab.`` (Ali Imran: 190).
Dan lagi firmanNya yang bermaksud:
``Sesungguhnya mereka yang tidak beriman dengan
aayaat-aayaat Allah, mereka itu tidak mendapat pertunjuk Allah.`` (Ali Imran:
104).
Semasa membentangkan kertas kerja di UPSI Penulis telah
membicarakan secara ringkas lima
bidang seni yang dapat diaplikasi dengan Teori Takmilah, iaitu sastera, khat,
seni bina masjid, seni suara dan lagi muzium dari segi Takmilah. Berikutnya
melalui blog Penulis menambahkan lima
bidang yang lain, iaitu seni Al-Qur`an, landscaping dan seni taman, perfileman,
seni lukis, grafik dan animasi dan seni kraf, anyaman juga tenunan. Kesemuanya
sepuluh bidang dan mungkin boleh ditambah lagi.
Penulis memberi perhatian terhadap seni bina – seni bina
masjid, kerana secara kebetulan Penulis kini sebagai Pengerusi Induk bagi
jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Keterlibatan Penulis
sebagai Pengerusi Jawatankuasa banyak memberi kefahaman terhadap keperluan,
pembinaan dan aspek seni pembinaan Masjid Al-Umm. Dengan keterlibatan secara
langsung ini dan kefahaman yang ada dan dengan bantuan dan kerjasama ahli
jawatankuasa diharap Penulis dapat menulis dengan lebih menyeluruh dan lepih
tepat. Diharap dengan tulisan ini bukan saja dapat mendokumentasikan aspek pembinaan Masjid
Al-Umm, tetapi juga mengukuhkan Teori Takmilah yang diperluaskan kepada Seni
Bina – Masjid.
Sekian.
No comments:
Post a Comment