December 7, 2014

Pantang Larang Masyarakat Orang Asal Di Selangor: Tumpuan Mahmeri Di Pulau Carey


BBB, 13 Safar 1436 = 06 Disember 2014 (Sabtu):
Kertas di atas dibentangkan oleh Prof. Madya  Dr. Juli A/L Ejo dari Jabatan  Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.
Menurut Dr. Juli, jumlah Orang Asal diseluruh Negara ialah 147,721 orang (Statistik JAKOA 2004) dan dalam tempoh 10 tahun kadar perkembangan  penduduk orang asal ialah 2.6%. Penduduk Orang Asal di negeri Selangor terdiri dari orang Temuan, Mahmeri dan Semai.
Orang Temuan terdapat di seluruh negeri Selangor  berjumlah                      14,161  orang. Daripada  jumlah ini  terdapat kumpulan orang-orang seperti di bawah:


Mahmeri sepanjang pantai dari Utara Pelabuhan Kelang ke Tanjung Sepat     2,839  orang
Semai terdapat di dua buah kampong di sepanjang Sungai Bernam                     636  orang
Temiar                                                                                                                               239   orang
Jahut                                                                                                                                   39    orang
Chewong                                                                                                                              5    orang
Jakun                                                                                                                                 100   orang
Semelai                                                                                                                             100   orang
Orang Kuala                                                                                                                        10  orang
Kertas yang dibentangkan oleh Dr. Juli ialah tumpuan terhadap masyarakat Mahmeri di Pulau Carey. Kajian antaranya terhadap 9 orang dari kaum Mahmeri berkenaan. Menurut Dr. Juli, ``Pantang larang adalah perkara atau perbuatan yang terlarang oleh adat. Ia merupakan salah satu bentuk kawalan supernatural yang terhasil dari pengalaman-pengalaman lalu yang ditafsirkan mengikut persekitaran serta rasional fikiran dan kepercayaan lama.`` (hlm. 1)).
Mitos orang Mahmeri di Pulau Carey:
Tuhan telah menurunkan kanak-kanak tanpa jantina. Kemudian kanak-kanak tersebut terbagi dua, lelaki dan perempuan. Mereka dibesarkan oleh Moyang Harimau. Bila dewasa mereka mau kahwin, tapi tak dibenarkan oleh Moyang Harimau. Tapi dia didesak, akhirnya disyaratkan perempuan melarikan diri, kemudian disuruh yang lelaki mencari, akhirnya mereka bertemu di sebuah pulau `Pulau Carey` (dinamakan oleh British kemudian). Mereka berkahwin dan melahirkan zuriat orang Carey. Bahasa Mahmeri  dikelompokkan dalam bahasa  Austroasiatik dalam rumpun bangsa Senoi yang tinggal di kawasan pantai yang menjalankan kegiatan sebagai nelayan. Dari kehidupan di pantai dan darat melahirkan kepercayaan-kepercayaan:
a)      Pantang larang Perkahwinan
·         Dilarang kahwin adik beradik atau keluarga terdekat, keturunan diserang penyakit ganjil
·         Calon pengantin dilarang ke hutan , bimbang diserang harimau
b)      Pantang  Larang Ibu Mengandung
·         Ibu mengandung dilarang masuk ke hutan, dilarang memegang jarum dibimbang lahir pekak
·         Tak boleh keluar waktu senja
·         Suami isteri dilarang menangkap ketam, takut kaki anak macam ketam
·         Dilarang suami memacak tiang, nanti uri tersangkut  uri masa bersalin
·         Dilarang ibu memakan ikan berbisa susah keluar masa bersalin
·         Tak boleh makan cendawan nanti uri akan kembang, tak boleh makan lokan & kepah  sakit lelah
·         Ibu dilarang makan makanan sejuk seperti buah, sayur dan labu bimbang keguguran.
·         Jangan tuding jari ke bulan nanti perut membesar, jangan duduk atas kelapa kepala membesar
·         Jangan duduk atas raga dan guni akan rambang mata, jangan duduk muka pintu susah lahir anak
·         Suami isteri (mengandung)  dilarang mengikat sebarang barang dengan rotan nanti tersimpul uri
·         Tempat tumpah darah dibawah rumah diletak duri elak dari Pontianak
·         Selepas bersalin ibu dilarang makan makanan berangin seperti sayur, ubi dan keladi elak kembung.


Sebarang komplikasi dirujuk kepada bidan
c)       Pantang Larang Kanak-Kanak
·         Ibu dilarang bawa keluar bayi takut dihidu hantu
·         Kanak-kanak dilarang turun ke tanah sehingga merangkak diganggu hantu dan sakit
·         Kanak-kanak tidak dibenar lihat orang mati nanti diganggu mimpi
d)      Kematian
·         Jangan tinggalkan mayat tanpa penjaga , nanti dilangkah kucing, mayat bangun sebagai hantu. Juga jangan mengikat keranda ke tanah perkuburan, mayat bangun sebagai  hantu
·         Jangan usung mayat dengan kepala ke hadapan, hantu dapat ikut jalan pulang
·         Jangan sediakan peralatan kematian seperti tikar, bakul dll. Seolah-olah mau kematian
·         Bila pulang dari kubur jangan toleh ke belakang dan jangan balik terus ke rumah diikuti hantu
·         Masa berkabung penduduk kampong dilarang bersukaria dikhuatiri hujan ribut dimarah hantu
e)      Pantang Larang Kehidupan Harian
·         Jangan mungkir janji dikhuatiri mendapat kemalangan
·         Jangan makan makanan aneh nanti jadi kampunan dan kemalangan
·         Dilarang berebut cari rezeki akan hujan rebut dimarah moyang
·         Dilarang berebut makan belangkas nanti ribut dalam perut (sakit). Jangan menyanyi masa memungut siput beliung, juga boleh sakit perut
·         Jangan main seruling dalam rumah nanti hantu akan datang.
·         Dilarang ketawa atau menyanyi masa kerja  seperti potong kayu dan gali tanah nanti hujan-ribut
·         Jangan tunjuk ke pelangi nanti jari akan busuk dan kudung
·         Jangan berada di luar rumah waktu senja  nanti ditegur mambang kuning dan sakit kuning
·         Jangan kencing atas denai, nanti dikejar asap, jangan atas pembakaran, nanti susah buang air kecil
·         Jangan ludah tempat pembakaran boleh menjadi mulut busuk
·         Jangan campurkan masakan berlainan. Contoh labu dengan gulai boleh mendatangkan  ribut
·         Dilarang menyanyi pada masa membuang air besar  kelak rambut cepat uban
·         Jangan petik sirih atau mengkuang sambil merokok, kelak pokok tidak subur
·         Jangan ketawa kuat akan menarik perhatian hantu
Walaupun kajian tersebut dilakukan oleh Dr Juli terhadap komuniti Mahmeri di Pulau Carey, ianya mempunyai persamaan dengan komuniti-komuniti  Orang Asal yang lain, bahkan ada kesamaan dengan komuniti yang lain. Setengah pantang larang adalah bersifat logic, tapi ada semata-mata untuk menakut-nakutkan, misalnya ditegur hantu dan sebagainya. Walau bagaimana pantang larang ini adalah bertujuan mendidik komuniti setempat agar tidak melalkukan larangan-larangan, khususnya yang di luar batas agar tidak menggugat keharmonian masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment